Friday, 31 July 2009

Mansuhkan ISA : Pecutan Akhir

1. Esok sekali lagi sejarah akan tercipta buat tanahair kita apabila dijangka 100 ribu ummah akan berhimpun bagi mendesak kerajaan memansuhkan satu akta drakonian yang bukan sahaja zalim dan kejam tetapi juga sangat ketinggalan zaman [ primitif ]

2. Akta yang telah banyak memangsakan mereka yang tidak bersalah malah tidak pernah dibuktikan sebarang kesalahan mangsanya di mahkamah atau melalui proses pembicaraan yang adil dan telus .

3. Terlalu banyak artikel dan pendedahan yang boleh kita ikuti untuk mengetahui sejauh mana dan setinggi mana tahap kedurjanaan akta yang bernama ISA ini . Apa yang perlu kini ialah tindakan rakyat setelah kerajaan gagal bertindak .

4. Esok jam 2 petang , dikehendaki semua insan yang prihatin dan yakin akan kebejadan ISA ini agar keluar dan berhimpun dengan penuh yakin dan tabah . Kerana Allah swt , pastinya niat untuk mendesak kerajaan agar segera mansuhkan ISA , bebaskan tahanan ISA dan tutup Kem Kamunting .

5. Konsep perhimpunan Aman 100 ribu ummah ini adalah santai dan bersifat kekeluargaan . Hadhir seperti berpiknik sambil membawa mesej sebagaimana yang saya sebutkan tadi . Tidak pergi dengan hasrat membuat huru hara atau kacau bilau . Jangan bawa senjata dan api provokasi . Tenang , santai dan bermesej !

6. Tinggalkan dirumah hanya 3 golongan atau kategori sahaja iaitu :

1. Mereka yang uzur syarie seperti sakit jantung , dalam pantang , kencing manis tahap teruk dll
2. Mereka yang penakut
3. Mereka yang sokong ISA [ ini orang Khairy jamaludin ]

7. Individu yang tidak termasuk dalam 3 kategori ini wajib berada di Kuala Lumpur guna mendesak kerajaan menghapuskan segera ISA dan membebaskan semua tahanan yang sedang menderita dan sengsara diseksa . Jika mereka diyakini bersalah oleh kerajaan , sila bawa ke mahkamah dan sabitkan kesalahan melalui proses pembicaraan yang adil dan telus .

8. Pakaian rasmi himpunan ini ialah hitam dan merah . Lebih baik jika ada logo mansuhkan ISA . Jika tiada , gunakanlah mana - mana pakaian yang menutup aurat tetapi konsepnya hitam dan merah . jangan sekali - kali memakai pakaian putih justeru itu akan menimbulkan kekeliruan dengan satu lagi kumpulan yang bernama PEWARIS yang turut akan berhimpun untuk menyokong ISA .

9. Elakkan sebarang provokasi . Kita berhimpun dengan aman dan fikiran yang dewasa dan matang . Jua elakkan dari menimbulkan kekecohan awam , kerosakan kepada harta benda awam sebaliknya tumpukan kepada slogan mendesak mansuhkan ISA dan keluar secara berpasukan . jangan sekali - kali bertindak bersendirian .

10. 1000 anggota Jabatan Amal akan bertugas mengawal keadaan dan keselamatan . Sila patuhi arahan mereka dan komander yang dilantik pada hari himpunan iaitu dikalangan pimpinan parti .

Ayuh Pemuda di setiap kawasan ! segera bertindak dan hari ini adalah hari terakhir untuk mengerahkan semua hadhir . Capai sasaran kita 30 ribu anggota pemuda seluruh negara . Pemuda tentunya harapan Ummah !


Setiap anggota pemuda mesti menjalar rasa tanggungjawab ini di dalam jiwa mereka untuk bangkit bersuara . Apa lagi yang saudara boleh lakukan untuk membebaskan mereka yang sedang terinaya ?

Al Faatihah !

MOHD HAMDAN ABD RAHMAN

Dewan Pemuda PAS Pusat mengucap Takziah biat keluarga al marhum yang telah kembali kepangkuan Tuhan Rabbul Izzati . Semoga sabar dan tabah menghadapi ujian ini .

1. Beliau adalah bekas Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang , juga merupakan Calon Barisan Alternatif yang mewakili PARTI ISLAM SEMALAYSIA (PAS), bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 PERMATANG PASIR di Kawasan PERMATANG PAUH.

2. Berkhidmat sebagai ADUN N.11 Permatang Pasir selama 2 penggal (1999-2004 dan Penggal 2004-2008). Berumur 59 Tahun, beristeri dan mempunyai 6 orang cahaya mata.

3. Pendidikan/Latihan.

* Mendapat Pendidikan awal di Sek. Wan Mohamad Saman, Sg Korok, Alor Setar, Kedah.
* Dipilih memasuki Special Malay Class Di bawah Jabatan Pelajaran negeri selama 3 Tahun.
* Lulusan Senior Cambridge Pada Tahun 1965.
* Mendapat pendidikan Agama Islam di bawah Majlis Agama Islam, Kedah sehingga tamat Tahun IV pada tahun 1968.
* Mengikuti Program Intensif Pentadbiran Awam di Institut Tadbiran Awam (INTAN) Pada Tahun 1975.
* Mengikuti Kursus Pentabiran Umum di Kolej Pentadbiran & Latihan Kastam & Eksais Di Raja Malaysia di Melaka Pada tahun 1977.

4. Pengalaman Berkerja :

* Pernah berkhimat sebagai Guru Bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid, Kedah dari tahun 1965 - 1966.
* Berkhidmat sebagai Pegawai Pentadbir dalam Kerajaan Negeri Kedah mulai tahun 1966 sehingga 1977.
* Berkhidmat sebagai Pegawai Pentadbir di Jabatan Kastam & Eksais Di Raja Malaysia dari tahun 1977 sehingga 1983.

5. Jawatan Dalam NGO :

* Pernah menjadi AJK Majlis Belia Malaysia peringkat negeri (MBN) dalam tahun 1973.
* Pernah menjadi Pengerusi ABIM Bahagian Alor Setar bandar serta Setiausaha ABIM Negeri Kedah dari tahun 1973 hingga 1976.
* Pernah menjadi AJK PEMADAM Negeri Pulau Pinang, mewakili PAS negeri dari tahun 1989 - 1999.
* Menjadi AJK PEMADAM Daerah Seberang Perai Tengah mulai 2008.

6. Penglibatan Dalam Politik:

* Pengarah Bilik Gerakan PAS Negeri dari Tahun 1983 - 1986.
* Bendahari badan perhubungan PAS negeri Pulau Pinang 1985 - 1989.
* Ketua Lujnah Penerangan PAS Kawasan Tasek Gelugor dari Tahun 1984 - 1986.
* AJK Lujnah Ekonomi Dewan pemuda PAS Pusat 1985 - 1986.
* Yang DiPertua PAS Kawasan Kepala Batas 1989 - 1997.
* Pengarah Jentera Pilihanraya PAS Negeri Pulau Pinang 1990 - 1998.
* Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang 1989 - 2003.
* Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang 2007 - 2008.
* Ahli Dewan negeri Pulau Pinang. 1999 - 2004 (Penggal Ke-10).
* Terpilih semula sebagai Ahli Dewan negeri Pulau Pinang dari 2004 - 2008 (Penggal ke - 11).
* Terpilih semual sebagai Ahli Dewan Negeri Pulau Pinang. 2008 - (Penggal Ke-12)

Jahannam UMNO ! Kasar ?

1. Islam agama rahmah . Berkembang dan berdaulat dengan ketinggian akhlak dan nilai keperibadian tinggi para pejuangnya . Membawa kebenaran tanpa gentar , meredah ranjau tanpa gusar dan mendepani musuh tanpa risau .

2. Namun pejuang Islam sering menjadi mangsa musuh yang bukan sahaja tidak tahu masa dan waktu untuk menyerang bahkan tidak pernah mengenal mangsa untuk dibelasah .

3. Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz sebagai contoh adalah antara pejuang Islam tanahair yang sering dibelasah oleh UMNO dan BN . Bermula beliau sebagai Pesuruhjaya biasa memimpin PAS Kelantan sehinggalah beliau kini 19 tahun menjadi Pesuruhjaya merangkap Menteri Besar .

4. Reputasinya tidak sudah - sudah diperlekeh dan dipersenda oleh musuh . Kepimpinannya dipersenda dan keperibadiannya dipertikai . Kerajaannya ditekan dan dianiaya . Lebih malang keluarganya juga dizalimi . Anak kesayangannya dipenjara selama 6 tahun untuk memberi tekanan psikologi kepadanya .

5. Usahlah saya lakarkan betapa derita dan sengsaranya Tuan Guru menempuh perjalanan sebagai seorang pejuang demi memartabatkan Islam di atas tanahair ini . Ia diuji dari awal hingga ke penghujung jalan .

6. Sepanjang tempoh itu , Tuan Guru Nik Abdul Aziz mampu bertahan dan menyerap segala tekanan yang dibebankan ke atasnya . Ia mampu menyimpan segala rekod kedukaan bersama garis wajah yang semakin menampakkan usia . Namun jiwanya kental , fikirannya beraqal dan hatinya cekal . Ini membuatkan musuh seperti kehilangan aqal , bagaimana lagi mahu menjatuhkan reputasi beliau sekurang - kurangnya mempalit lumpur diwajah bersihnya.

7. Sesekali Tuan Guru berpeluang membalas serangan yang dihalakan kepadanya bertubi arus . Sesekali dibalas dan dikilas , kelihatan UMNO dan BN mengelumpur kesakitan tidak terperi lantaran bisa serangan biarpun hanya sesekali . Terkini Tuan Guru melepaskan seni "flying kick"nya yang disebut sebagai "jahannam" dan tepat mengenai sasaran .

8. UMNO dan BN jelas merasai bisa yang mula menjalar akibat flying kick tersebut . Lalu mereka mengerahkan seluruh tenaga yang masih bersisa untuk menyerang balas tanpa berkira dan berlengah . saya senyum sendiri , rupanya masih berbisa tendangan Tuan Guru biarpun tenaga dan kudrat kian dimamah usia .

9. Mulanya umum menganggap Tuan Guru Nik Abdul Aziz tidak wajar memberi tendangan itu . Sebagai Tok Guru mestilah bersopan . Ulama' kerajaan seperti Harussani tentu tidak pernah merasai penderitaan teruk sebagaimana yang dialami oleh Tuan Guru . Justeru itu mereka tidak boleh menerima kenyataan Tuan Guru sanggup berkata demikian . Benar ! siapa yang tidak pernah dizalimi adalah tidak dibenarkan berkata kesat dan kasar . Kerana tiada sebab untuk berbuat demikian . Berbeza mereka yang dizalimi . Firman Allah swt :

لَا يُحِبُّ اللَّهُ الْجَهْرَ بِالسُّوءِ مِنَ الْقَوْلِ إِلَّا مَنْ ظُلِمَ وَكَانَ اللَّهُ سَمِيعًا عَلِيمًا


Allah swt sememangnya tidak suka perkataan yang buruk dilafazkan secara jelas kecuali mereka yang dizalimi dan adalah Allah swt Tuhan Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui .


10. Tuan Guru seorang yang dizalimi . Seluruh media UMNO dan BN sejak dulu menyerang beliau , sementara beliau tidak mempunyai media secukupnya untuk menjawab . Kerajaan pusat tekan dan tindas kerajaan pimpinannya sedang beliau tidak mampu untuk menindas kerajaan pusat . UMNO penjarakan anaknya selama 6 tahun tanpa pernah dibuktikan sebarang kesalahan di mahkamah , sedang beliau tidak mampu untuk memenjarakan anak - anak pimpinan UMNO biarpun untuk 6 minit . Maka apa yang mampu Tuan Guru kata ialah Jahannam UMNO !

Wednesday, 29 July 2009

Kezaliman Mesti ditentang .

1. Kezaliman adalah suatu kejahatan dan jenayah yang wajib ditentang habis - habisan biarpun siapa yang melakukannya . Atas nama apa sekalipun , kita tidak boleh membenarkan kezaliman berleluasa .

2. Kezaliman ditentang melewati batas agama , bangsa dan bahasa malah sempadan negeri . Tiada kezaliman terpilih untuk ditentang tetapi semua bentuk kezaliman ditentang . Kecil besar , sikit banyak , kezaliman tetap kezaliman dan ia mesti ditentang .

3. Baru - baru ini negara dikejutkan dengan kematian misteri Mendiang Teoh Beng Hock dan mengundang kemarahan rakyat lantas menuntut sebuah Suruhan Jaya di Raja segera ditubuhkan .

4. Saya setuju ! segera tubuhkan suruhanjaya tersebut dan bukan sahaja menyiasat kaedah siasatan SPRM tetapi siasat punca kematian Teoh Beng Hock secara telus , adil , bebas dan benar .

5. Namun dalam masa yang sama , saya menyeru semua agar kita tidak lupakan kezaliman - kezaliman yang lain .

6. Tentu kita masih ingat kematian Mendiang Anathan Kugan dalam tahanan lokap polis . Begitu Suwandi yang hampir terbunuh ditembak dalam satu himpunan aman di Batu Buruk . Di luar negara pula ialah ummat Islam di palestine dan Xin Jiang yang menjadi mangsa belasahan manusia zalim . [ sekadar menyebut beberapa contoh ] dan banyak lagi kes . Kematian di dalam lokap negara kita juga semakin meningkat mutaakhir ini .

7. Mangsa ISA juga adalah mangsa kezaliman . Mangsa yang perlu pembelaan dari kita semua . Bukan sahaja yang ditahan tetapi juga keluarga mangsa yang tidak kurang juga tekanan dikenakan ke atas mereka selain beban rutin yang terpaksa dipikul sepanjang ketiadaan suami mereka yang merengkok dalam penjara tanpa dibuktikan bersalah .

8. Ertinya kita semua mesti jujur dalam menentang kezaliman . Bukan kezaliman terpilih . Jangan pilih kezaliman mengikut bangsa , kaum , agama atau sempadan negeri untuk ditentang . Sebaliknya kita wajib bangun menentang semua kezaliman di mana jua ia berlaku dan apa pun jenis kezaliman tersebut .

9. Menentang kezaliman juga bukan berasas apa - apa kepentingan melainkan hanya satu kepentingan iaitu untuk menegakkan keadilan dan kesejahteraan atau keamanan . Ia adalah cahaya yang terpancar dari keagongan Allah swt dan rahmatNya .

10. Penentangan terhadap kezaliman juga bukan untuk menjadikannya sebagai batu loncatan mencari pengaruh dan menjadi hero tetapi adalah pembelaan suci yang menjadi tuntutan agama dan amanah perjuangan yang mesti ditunai . Ayuh kita tentang kezaliman ! Bangkitlah wahai pemudaku !

Hari Pahlawan Tanpa Syirik

1. Beberapa hari lagi negara akan menyambut hari Pahlawan . Pada amalan biasa , Tugu Negara akan dikunjungi secara rasmi untuk majlis kalungan bunga.

2. Biarpun Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengumumkan fatwanya bahawa mengalung bunga ke Tugu Negara adalah haram malah membawa kepada syirik .

3. Malangnya , fatwa itu tidak pernah dipedulikan oleh pihak kerajaan sebaliknya perayaan rasmi hari pahlawan tetap menyaksikan upacara mengalung bunga ke Tugu negara oleh Perdana Menteri .

4. Lebih malang , para ulamak kerajaan diam membisu atas perlakuan yang jelas mempunyai fatwa syrik melakukannya , sebaliknya riuh rendah mempersoalkan isu lilin Dato' Seri Nizar yang hanya dipegangnya seusai majlis Press Confrence mendesak siasatan telus dilakukan ke atas Mendiang teoh beng Hock .

5. Lilin itu bukanlah dinyalakan dalam majlis tafakkur mengenang dan menghayati atau meratapi kematian Teoh Beng Hock . Dalam erti kata lain , ianya bukanlah majlis keagamaan tetapi lebih kepada semangat solidariti . Pun begitu tidak dinafikan ianya terdedah kepada khilaf .

6. Justeru itu Dewan Pemuda PAS mendesak agar Kerajaan meniadakan upacara Mengalung Bunga di Tugu Negara yang jelas fatwanya tanpa khilaf lagi oleh Majlis Fatwa Kebangsaan .

7. Dewan Pemuda PAS juga mengharapkan semua ulamak yang sensitif seperti dalam isu lilin tempohari hari bangkit bersuara dan menentang upacara syirik ini . Jangan kerana ia dilakukan oleh kerajaan maka ia didiamkan sementara perkara yang dilakukan oleh pembangkang maka mengundang respon pantas dari ulamak - ulamak ini .

8. Cara hidup dan amalan pemimpin akan menjadi ikutan rakyat . Ianya sangat berisiko tinggi berbanding perlakuan orang awam biasa .

الناس على دين ملوكهم

Manusia di atas [ mengikut ] manhaj [ cara hidup ] pemimpin mereka .

9. Saya secara peribadi menasihatkan diri saya dan juga semua pemimpin negara malah tidak lupa saya kepada pemimpin Pakatan Rakyat yang beragama Islam agar berhati - hati dalam apa jua tindakan yang membabitkan silang agama dan budaya . Apa yang jelas , semua kategori yang hanya bersifat budaya dan adat resam maka ianya dibenarkan oleh Islam . Adapun perkara yang berkait dengan upacara agama , di atas apa pun alasan ianya tidak dibenarkan oleh syara' .

10. Kita berjuang untuk menawan jiwa manusia agar kembali kepada Islam . Lantaran itu , peliharalah kesucian Islam agar kita tidak dimurkai Allah swt . Biarlah ... kita barangkali bakal kehilangan sokongan manusia asal Allah swt mengekalkan redhaNya buat kita . Namun apalah ertinya sokongan padu manusia andai Allah swt murka kepada kita .

H1N1 : Kerajaan Gagal Bertindak

1. Hari ini telah diberitakan jumlah atau angka kematian berpunca H1N1 telah mencecah 4 orang sementara ribuan yang lain sedang mengalami jangkitannya .


2. Hampir 40 buah sekolah dan pusat pengajian swasta dan kerajaan telah ditutup dan pelajar dikuarantin kerana jangkitan H1N1 dan ini memberi kesan kepada psikologi dan pelajaran pelajar .

3. Umum melihat kelembapan pihak kerajaan dan Kementerian bertindak mengawal wabak ini dari merebak . Aktiviti pelancungan dilihat masih bebas tanpa kawalan wajar .

4. Dewan Pemuda PAS menggesa supaya pihak Kerajaan segera mengambil langkah berkesan dan tidak meletakkan rakyat dalam situasi resah dan gelisah dengan keselamatan mereka yang semakin terancam .

5. Seluruh ummat Islam diharapkan dapat melakukan solat hajat bagi memohon keselamatan dan kesejahteraan kepada Allah swt Tuhan yang Maha Berkuasa dari ancaman H1N1 ini .

Tuesday, 28 July 2009

Pemuda PAKATAN tubuh MAMPAT

1. Isnin 27 hb Julai 2009' mencatat sejarah tersendiri apabila mesyuarat Pemuda Pakatan Rakyat telah menubuhkan Majlis Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat [ MAMPAT ]

2. MAMPAT akan bersidang secara rutin pada hitungan sekali sebulan kecuali pertemuan tergempar terpaksa diadakan bagi menangani isu - isu besar dan utama .

3. Mesyuarat kelmarin dihadhiri oleh sdr Shamsul Iskandar Mohd Akin selaku Ketua Angkatan Muda Keadilan [ AMK ] , Yb. Anthony Loke selaku Ketua DAPsy dan semua anggota harian mewakili setiap parti .

4. Setiap parti akan dianggotai oleh 5 orang dengan ketua dan setiausaha masing - masing adalah anggota tetap MAMPAT . Seorang telah dilantik untuk menjadi ketua sekreteriat bagi menyelaras keputusan dan tindakan MAMPAT .

5. MAMPAT sesuai dengan nama penuhnya Majlis Muafakat Pemuda Pakatan Rakyat adalah bertujuan untuk meminimakan perbedaan yang menjurus ke arah pertelingkahan dan percanggahan dalam tindakan .

MAMPAT juga akan menyelaraskan semua tindakan bersama Pemuda Pakatan Rakyat dan sekaligus ia membentuk satu team yang kukuh dan padu untuk mendepani apa jua cabaran politik semasa .

Lebih penting peranan MAMPAT ia tampil untuk memimpin anak - anak muda negara bagi membina real politik baru dan masa depan negara yang lebih cemerlang .

Sunday, 26 July 2009

Marhalah Ketiga DPPP

1. [ Kelmarin ] Seharian Exco Dewan Pemuda PAS Pusat bersama Pengarah - pengarah jabatan dan Ketua - Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri memerah idea serta mencetus pandangan merangka satu plan tindakan strategik bagi semua lajnah dan jabatan Dewan Pemuda PAS Pusat [ DPPP ].

2. Hampir sebulan yang lalu , DPPP telah mengadakan retreat selama 2 hari 2 malam untuk merangka hala tujunya buat musim ini .

3. Alhamdulillah , selesai DPPP mendokumenkan hala tuju dan plan tindakan strategik .

4. Kini DPPP memasuki marhalah ke tiga [ pertama : pembentukan jawatankuasa dan kabinet 2009/11 . Kedua : dokumen hala tuju dan plan tindakan strategik ] . Saya kira inilah marhalah sebenar bagi seluruh pemegang amanah DPPP yang terdiri daripada Exco , Ketua - ketua Jabatan dan Ketua - ketua DPP Negeri untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang telah digalas .

5. Semoga Allah swt tidak membiarkan kami bersendirian memikul beban amanah ini melainkan kami sangat mengharapkan kekuatan dan petunjuk daripada Allah Tuhan rabbul Izzati .

6. Menunaikan amanah , melunaskan tanggungjawab , mendepani cabaran dan menyerap tekanan bukanlah suatu yang mudah dan ringan . Ia memerlukan seluruh pemegangnya bekerja kuat dan gigih serta ikhlas kepada Allah swt disamping tidak lekang dari munajat dan ibadah yang membawa kita aqrab kepada Allah swt .

7. Kekuatan spiritual , fikrah dan syakhsiyah menjadi asas keupayaan untuk kita semua menggalas beban amanah yang berat dan mencabar ini . Apa yang cukup menakutkan ialah bagaimana kelak kita akan dipersoalkan oleh Allah swt di akhirat kelak . Sabda Rasulullah saw :

كلكم راع و كلكم مسؤول عن رعيته

Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipertanggungjawabkan akan kepimpinan kamu .

8. KPI kita kelak bukan sahaja akan dinilai oleh sekreteriat DPPP tetapi ianya akan dinilai oleh Allah swt. Kita bertanggungjawab langsung kepada Allah swt dan Allah swt senantiasa melihat bagaimana performance kita . Apakah kita benar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab atau kita hanya bijak berkata - kata dan pandai bermain alasan ?

9. Ayuh ! segera kita melakukannya . Kita laksanakan segala plan tindakan yang telah kita gariskan bersama untuk mencapai hala tuju yang telah kita jua persetujui bersama . Kerah segala keupayaan untuk menjayakannya sebagaimana kita telah berjaya mengerahkan idea dan buah fikir kita untuk menetapkan hala tuju dan plan tindakan yang strategik .

10. Saya juga sangat mengharapkan in put yang bernas dan bernilai dari semua pihak dalam dan luar DPPP . Segala pandangan sangat kami alu - alukan dan kami dahulukan dengan Jazakumullah Khairan Jaza' . Jika benar tindakan kami , bantulah ! jika salah tindakan kami tegur lah ! Kami bersikap terbuka dan sedia melakukan apa yang terbaik .

Yasmin Telah Kembali Ke Rahmatillah

1. Pengarah filem terkenal Yasmin Ahmad dilaporkan telah meninggal dunia pada jam 11.25 malam ini di Hospital Pakar Damansara. Perkara itu disahkan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan yang berada di Hospital Pakar Damansara.

2. Yasmin disahkan meninggal dunia akibat pendarahan teruk di otak. Suaminya, Tan Yew Leong, Dr.Zakaria Zahri (adik ipar) dan Datin Orked (adik), Dr. Zurin turut berada di sisi Allahyarhamah ketika beliau menghembuskan nafas terakhir.

3. Jenazah pengarah tersohor ini akan dimandikan dan disembahyangkan di Masjid SS19, Subang Jaya sebelum solat Zohor, esok (26 Julai), manakala tempat pengebumian masih belum ditetapkan. Perkara itu dimaklumkan oleh rakan baik Allahyarhamah, iaitu pelakon Fatimah Abu Bakar yang mewakili keluarga pengarah itu, pada sidang media yang dibuat di hospital tersebut, sebentar tadi.

4. Fatimah juga meminta kepada semua peminat Yasmin untuk turut menyertai solat jenazah serta mendoakan agar Allahyarhamah ditempatkan di sisi orang beriman. Pihak media juga diminta untuk tidak mengganggu ahli keluarga Yasmin buat masa ini yang masih bersedih dengan kematian pengarah itu.

5. Turut hadir di sidang media tersebut ialah Datuk Seri Farid Ridzuan dan adik iparnya, Dr. Zakaria Zahri. Yasmin, 51, rebah ketika membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, ibu pejabat stesen televisyen TV3, pada Khamis dan dikejarkan ke hospital berkenaan. Beliau dilaporkan mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.

إنا لله و إنا إليه راجعون

Saturday, 25 July 2009

Sembuh & Kembali ke jalan Allah

Semoga Sembuh dan Kembali
Ke jalan Allah swt

1. Saya doakan agar Yasmin Ahmad , seorang Pengarah Filem terkenal tanahair agar segera sembuh dari musibah yang menimpa beliau biarpun ada laporan yang mengatakan keadaan beliau semakin kritikal .

2. Saya hanya mengenali beliau melalui kontraversi yang sering dicetuskan oleh beliau berurutan dengan pembikinan filem seperti sepet , muallaf dan lainnya .

3. Kini beliau yang pernah mengangkat nama negara ke pentas antarabangsa melalui kemahiran dan kepakarannya menghasilkan filem bertaraf antarabangsa dan banyak merangkul kejayaan dalam pertandingan atau festival filem sedang terlantar di hospital setelah tidak sedarkan diri akibat strok .

4. Saya sekali lagi mendoakan agar Yasmin kembali pulih dan dikurniakan petunjuk ke jalanNya yang benar. Insyaallah , pengembaraan beliau ke alam selepas kehidupan biar pun sementara [ koma ] akan membuka laluan baru buat Yasmin untuk terus berkarya dan menghasilkan filem yang positif dalam membina minda dan syakhsiah masyarakat .

5. Saya sangat mengharapkan agar lahirnya filem - filem yang bercorak Islam namun dalam masa yang sama dapat mengekalkan mutu filem sampai ke peringkat antarabangsa . Buat masa ini , kita hanya melihat filem dari Iran berjaya ke pentas antarabangsa dan sekaligus merangkul award biarpun filem itu adalah filem yang bebas mungkar dan maksiat .

6. Filem Iran dinilai sangat bermutu sehingga layak dianugerahkan sedang perjalanan dan setiap babak filem tersebut sedikit pun tidak mempunyai elemen maksiat dan mungkar . Apakah Malaysia tidak mempunyai tokoh seperti Sutradara Majid Majdi [ Iran ] untuk melahirkan filem bermutu pula penuh dengan nilai - nilai Islamik .

7. Kalau lah Yasmin Ahmad dengan kepakaran yang ada kepada beliau mampu dan sanggup untuk menghasilkan sebuah filem bercorak Islamik bertaraf antarabangsa versi Malaysia , maka saya berhak untuk berbangga justeru saya doakan agar beliau kembali sembuh .

Rasulullah saw pernah bersabda :

خياركم في الجاهلية خياركم في الإسلام إذا فقهوا

Orang yang terbaik dizaman jahiliyyah adalah orang yang terbaik di zaman Islam asal sahaja ia memahami agama Allah swt .

8. Selain daripada zaman yang kini menyaksikan kebangkitan Islam dalam semua aspek , saya sangat mengharapkan agar lahir atau tampil insan yang berani dan mampu menerbit dan mengarah sebuah filem yang bersendikan petunjuk wahyu dan sekaligus berupaya memberi keinsafan dan kesedaran tinggi untuk pulih dari kepungan materialisme dan kapitalisme dalam kehidupan .

9. Tidak mustahil Yasmin mampu mengeluarkan diri dari pengaruh kontraversi dalam sikap yang diambil oleh beliau dan tidak lagi menghasilkan filem yang dikira mengguris perasaan ummat Islam dan mencetus rasa marah dan benci masyarakat kepada beliau .

10. Kalau tidak Yasmin sekalipun , hasrat hati kecil saya tetap tidak berubah. Setelah kita mempunyai Ummu Hani seorang penulis skrip yang berbakat besar biarpun orangnya bersaiz kecil dan ayahnya Hj. Hassan Murad yang juga merupakan pengarah filem yang hebat dan telah berjaya menghasilkan beberapa buah filem dan drama TV yang bercorak agama sekalipun masih belum sempurna sepenuhnya .
4.

Thursday, 23 July 2009

Umang - Umang


1. Rehlah adalah sebahagian dari ekspidisi yang mempunyai pelbagai aktiviti menarik . Apatah lagi ianya diatur dan disusun oleh insan yang berjuang , mencari ruang dan medan mendekati diri kepada Allah swt Tuhan yang Maha Mencipta .

2. Rehlah seperti ini biasanya disebut Rehlah Tarbawi . Selain menyatu diri dengan keindahan alam semesta , meredakan ketegangan saraf yang hampir kejang setelah bergelut di medan guna mempertahankan Islam dan usaha mendaulatkannya , rehlah ini juga menenangkan minda dan mendamaikan jiwa .

3. Lebih bermakna apabila rehlah disertai oleh rakan seperjuangan . Saling memahami malah saling melengkapi . Perkara benar disokong dan dibantu sementara perkara salah , tanpa silu diperbetul dan dipandu . Indah ! sungguh indah dunia ini andai semuanya adalah sahabat seperjuangan kita .

4. Tapi realitinya tidaklah sebagaimana apa yang saya sebutkan tadi . Ada sahabat yang bersedia menjadi sahabat kita tanpa mengira suka atau dukanya . Saat perlu ia hadhir , saat buntu ia mampir . Susah kita resah dia , sakit kita letih dia , sukar kita payah dia , senang kita tenang dia , bahagia kita gembira dia . Demikianlah indahnya bersahabat .

5. Namun ada kalanya kita berdepan dengan musuh. Sering mencari salah dan silap kita justeru itulah pelurunya untuk menembusi jantung hati kita . Bukanlah sukar mereka mahu memahami kita tetapi sengaja buat - buat tidak faham lalu bertindak melulu dan mempertikai apa jua yang lahir dari kita . Tidak tergaris wajah sayang dan kasih sebaliknya apa yang terhambur ialah kebencian dan dendam kesumat .

6. Lebih malang , kita bertemu kawan atau sahabat pada nilai pertamanya tetapi pantang mendapat kesempatan , segala kepercayaan diragut dan segala kesetiaan dinodai tanpa rasa simpati biarpun sekelumit . Dia boleh tipu kita tanpa berkerut kening . Dia tergamak menikam kita walau dari arah belakang .

7. Sahabat saya kata , orang macam ni tak ubah seperti umang - umang . Mulanya kelihatan seperti berkawan dengan kerang atau spesis siput kemudiannya rumah [ cengkerang ] siput atau kerang itu akan diambil setelah ianya dibunuh . Wallahua'alam bis sowab .

8. Saya tidak pernah melihat umang - umang merampas rumah siput atau kerang tetapi yang saya pasti cengkerang umang - umang itu saling tidak tumpah milik spesis siput atau kerang .

9. Harapnya tiadalah sahabat - sahabat ku menjadi umang - umang atau tidaklah pula aku menjadi umang - umang kepada sahabat - sahabat ku . Rehlah tarbawi mengajar erti pengukuhan dalam bersahabat biar pun tiada modul khusus yang lakukan . hanya melalui rehlah dan mukhayyam , persahabatan kian erat dan ukhuwwah kian bersemadi . Apa lagi jika rehlah itu lengkap dengan agenda tarbawi yang baik dan dibimbing pula oleh sang murabbi yang hebat dan berkat .

10. Rehlah tarbawi sangatlah baik dilakukan di semua peringkat pemuda . Sesekali kita keluar dari ruang pejabat kita , jauh ke tengah pulau yang tiada line telefon untuk dihambat oleh wartawan , tiada pula boat yang menanti untuk beralasan lari meninggalkan tapak rehlah . Kita sesama kita , hadapi segala pancaroba dan tempuhi bersama suka duka biarpun 2 atau 3 hari namun ia satu simbolik untuk kekal persahabatan kita tanpa khianat bagi tempoh rehlah kedua menyusul pula akan datang .

Sungguh Indah hari - hari yang dilalui dengan ketenangan . Kemudiannya ianya menjadi modal dan energy baru untuk turun semula ke medan berdepan dengan musuh - musuh Islam , lalu menjulang panji perjuangan .

Monday, 20 July 2009

JAYAkan Himpunan Mansuh ISA

1. Tarikh 1 Ogos 2009 adalah tarikh yang mesti dipahat dalam sejarah . Tarikh yang memansuhkan akta drakonian negara dengan himpunan raksasa seluruh rakyat prihatin menentang kezaliman di ibu negara KL jam 2 pm [ Sogo , Masjid Jamek , KL Central ] .

2. Serentak tarikh ini juga , semangat solidariti ummah bangkit berhimpun untuk menentang semua bentuk kezaliman termasuk tragedi yang menimpa Teoh setelah dijumpai terbunuh di Plaza Masalam sejurus disiasat oleh SPRM.

3. Saya harap seluruh rakyat dapat sebarkan maklumat ini dan pastikan semua dapat turun bagi mendesak agar undang - undang lapuk [ ISA ] dimansuhkan dan pihak yang melakukan kezaliman serta mengakibatkan penderitaan dan kesengsaraan rakyat dikutuk dan dicemuh secara keras sehingga menghentikan segala peluang dan menutup segala pintu yang menghela mereka melakukan kezaliman .

4. Khasnya Dewan Pemuda PAS Kawasan dan Negeri dapat memobilisasi seramai mungkin anggota mereka dan para pemuda yang anti kezaliman dan simpati kepada mangsa kezaliman untuk turut serta dengan yakin , semangat dan tabah .

5. Wahai Pemuda Insaf ! kalianlah sandaran rakyat dan negara untuk menyaksikan segala kesengsaraan akibat ISA yang zalim ini lenyap . Tenaga kalian yang gagah , semangat kalian yang waja dan cita - cita kalian yang tinggi menjadi harapan bernaung golongan mustadhafin [ orang yang lemah dan tertindas ] .


Sunday, 19 July 2009

PAS Sedia Mendengar

Respon kepada Pandangan
Dr. Asri Zainal Abidin

1. Berasaskan kepada apa yang diajar oleh Islam bahawa antara sifat orang yang beriman ialah :

الذين يستمعون القول فيتبعون أحسنه

orang - orang yang sedia untuk mendengar lalu mengikut apa yang terbaik .

أُولَئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ وَأُولَئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

Merekalah golongan yang telah mendapat petunjuk Allah swt dan merekalah jua golongan yang celik aqal [ intelek ] .

Surah az zumar - 18

2. Biarpun agak pahit , langkah pertama saya memilih untuk bersetuju terlebih dahulu terhadap apa yang diluahkan oleh Dr Asri dengan sedikit teguran saya kepada beliau bahawa luahan itu tidak boleh dipukul rata melainkan hanya dirujuk kepada individu - individu terbabit dan kepada kes - kes tertentu .

3. Saya menegaskan demikian kerana secara umumnya PAS sebagai sebuah Gerakan Islam sememangnya telah berulang kali dalam banyak modul tarbiyyah dan penerangannya secara rasmi mendidik pemimpin dan anggota agar bijak dalam membawa risalah Islam yang diperjuangkan ini . Ianya beramal dengan kebijaksanaan yang diwahyukan :

ادع إلى سبيل ربك بالحكمة

Serulah [ berdakwah ] olehmu agar manusia kembali ke jalan tuhanmu dengan hikmah [ bijak ] .... dan peringatan [ mauizah ] yang baik serta dialog atau debate [ mujadalah ] yang baik .

4. PAS tidak pernah mendidik dan mengajar apalagi mempunyai skima dan modul khas untuk pemimpin dan anggotanya mencaci dan mencerca siapa sahaja yang berbeza pendapat , sebaliknya apa yang diajar ialah berlapang dada dalam menerima perbedaan dan mengurus perbedaan pandangan dengan tenang , dewasa dan beradab . Kaedah yang sering dibawa ialah :

نتعاونوا فيما اتفقنا عليه و
نعذر بعضنا بعضا فيما اختلفنا فيه

Kita bertolong bantu dalam perkara yang kita sepakati bersama dan kita bertolak ansur dalam perkara yang kita saling berbeza pandangan .

5. Saya juga secara jujur dan benarnya tidak boleh menafikan betapa masih wujud secara ketara dikalangan pemimpin dan anggota yang mengambil pendekatan caci dan cerca dalam ceramah mahupun kuliah mereka terhadap pihak yang berbeza pendapat dengan mereka . Terkadang tahap dan kadar cercaan itu agak keterlaluan dan sukar kawal lantaran ia dikuasai oleh nafsu dan perasaan .

6. Saya menerima luahan atau tulisan Dr. Asri sebagai nasihat . namun sekali lagi saya mahu pertegaskan bahawa PAS tidak mengajar para pejuangnya walau di mana posisi ia berada untuk memaki hamun sesuka hati mencaci cerca serata tempat melainkan pada keadaan dan suasana yang dilihat sesuai dan wajar seperti berdepan dengan kezaliman dan pelaku zalim yang tiada simpati kepada mangsanya . Sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah swt :

أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا وَإِنَّ اللَّهَ عَلَى نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ

Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) Yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana Sesungguhnya mereka telah dianiaya [ dizalimi ] ; dan Sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).

Surah al Hajj : 39

7. Dakwah Nabi saw. adalah contoh method dakwah yang terbaik . Adakala Nabi saw berlembut seperti saat berdepan dengan badawi yang kencing di dalam masjid . Tika itu Nabi saw menghalang Saidina Omar yang berhasrat untuk memukul badawi tersebut kerana perlakuan biadabnya . Namun sikap Nabi saw pada waktu itu menjadikan badawi terbuka pintu hatinya untuk menerima Islam lalu melafazkan syahadah .

8. Adakalanya pula Nabi saw bersikap tegas dan kasar seperti Nabi saw menangani kedatangan Omar rha. [ masa itu beliau belum beriman ] yang mahu membunuh beliau dirumah al Arqam . Nabi saw menerima kedatangan Omar dengan segera menerpa lalu mencekak leher baju Omar dengan garang Nabi saw berkata untuk apa kamu datang ? Sikap nabi yang kasar dan tegas itu membuka pintu hati Omar rha seorang yang keras dan kasar pada waktu untuk beriman .

9. Demikian halnya , Nabi saw pernah tidak memaafkan musuh seperti seorang yahudi bernama Kaab bin Asyraf sehingga Nabi saw pernah berkata , jika ditemui Kaab ini bergantung di kelambu kaabah sekalipun hendaklah kamu bunuhnya . Namun Nabi yang sama jugalah pernah memaafkan wahsyi yang membunuh bapa saudara baginda yang sangat dikasihi Hamzah Abdul Muttalib .

10. Begitulah episode kebijakan Nabi saw dalam berdakwah . Itulah hikmah yang perlu dimiliki oleh para pejuang Islam dan para pemimpinnya . Namun , dasar umum dalam berdakwah ialah pendakwah mestilah hadhir dengan segala kerendahan budi dan keizzahan diri , sopan santun dan bertata susila , berakhlak dan beradab . Firman Allah swt :

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لَانْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ
فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ

Maka Dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), Engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah Engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan Yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah Dengan mereka Dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila Engkau telah berazam (Sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang bertawakal kepadaNya.

Surah aali Imran : 159

ISA : Mansuh bukan Pinda

1. ISA tidak lagi relevan ! begitulah ungkapan Tun Abdullah Ahmad Badawi . Buat pertama kalinya saya bersetuju dengan Tun Abdullah dengan pengakuan ini .

2. ISA yang diwujudkan sejak 1 ogos 1960 [ 1 ogos 2009 kelak genap 49 tahun beroperasi ] adalah bertujuan untuk mencegah golongan subversif dan komunis yang mengancam keselamatan negara .

3. Menurut bekas Presiden Majlis Peguam Haji Sulaiman Abdullah , Majlis Peguam membantah akta ini [ ISA ] kerana berpagang kepada sebab - sebab yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Kedua [ Tun Abdul Razak ] ketika beliau membentang ISA di Parlimen satu ketika dulu atas ancaman subversif dan pengganas komunis . [ Mingguan Malaysia , 25 Jun 2000 ]

4. Rasionalnya , apabila pergerakan dan ancaman subversif atau komunis telah tidak lagi wujud dalam negara kita , maka akta ini mestilah dimansuhkan terus oleh parlimen .

5. Sungguh ! bahawa keselamatan negara mestilah dikawal dan dipelihara . Persoalannya ialah negara kita telah merdeka sejak sekian lama . Bukankah Negara memiliki PDRM , SPRM , institusi kehakiman , Jabatan pendakwaraya , peguam negara dan institusi mahkamah yang sangat terhormat dalam negara kita . Apakah segala institusi yang ada ini belum memadai untuk menjaga keselamatan negara dan menegakkan keadilan ? sehingga memaksa akta seperti ISA dikekalkan ? tidak masuk aqal !

6. Apa yang dituntut ialah supaya ISA yang memberi kuasa kepada menteri [ orang politik ] untuk menahan sesiapa sahaja yang disyaki mengancam keselamatan negara di mansuhkan kerana ia membuka ruang untuk menteri selaku orang politik bertindak zalim ke atas musuh politiknya .

7. Apa yang dituntut ialah supaya ISA yang menahan dan memenjara mangsa tanpa mendatangkan bukti serta di adili di mahkamah di mansuhkan kerana ia zalim dan menafikan hak individu membela diri atau mendapat hak pembelaan di mahkamah .

8. Apa yang dituntut ialah supaya ISA yang banyak digunakan untuk menangkap musuh politik tidak terus dijadikan mesin hayat pemerintah yang zalim berselindung pula disebalik undang - undang yang zalim dan primitif .

9. ISA tidak demokratik . Bahkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 5 Fasal 4 bahawa undang - undang perlembagaan tidak membenarkan seseorang warganegara ditahan tanpa arahan majistret melebihi tempoh 24 jam [ tidak termasuk perjalanan yang perlu ] dan orang itu tidak boleh ditahan selanjutnya dengan tiada kuasa majistret itu .

10 . Kerana saya tidak setuju ! ISA mesti dimansuhkan ! Anda setuju ?


Saturday, 18 July 2009

SAIF Terbakar

1. Sekolah Integrasi Faizin (SAIF) Guar Chempedak telah terbakar kira jam 10.00 pagi 17 Julai kelmarin dan menyebabkan kerugian yang sangat teruk . Anggaran pihak bomba sebanyak RM550,000.

2. Pengerusi Lembaga Tadbir SAIF, Ustaz Mussodak Haji Ahmad menjelaskan bahawa kebakaran itu telah mengakibatkan pejabat pentadbiran sekolah, bilik lembaga tadbir, bilik mudir , bilik guru , perpustakaan dan dua buah bilik darjah musnah.

3. Turut terlibat adalah 11 unit komputer termasuk dua unit komputer pentadbiran sekolah dan guru, 1 unit mesin fotostat yang baru dibeli, peralatan perabot antaranya meja mudir, meja kerani dan kaunter serta beberapa buah almari, 65 unit meja dan kerusi murid.

4. SAIF adalah di bawah pentadbiran Muassah Darul Ulum dan diuruskan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah yang memulakan sesi persekolahannya pada 1 Januari 2006. Sekolah ini ditubuhkan hasil daripada penggembelingan tenaga pemuda, masyarakat setempat, intelektual yang inginkan penggabungan atau kesepaduan pendidikan agama, sains, tahfiz dan teknik pembelajaran dan pengajaran terarah.

5. Kini mempunyai 217 pelajar terdiri dari 145 putera dan 72 puteri dari tahun satu hingga empat sementara bilangan guru pula seramai 17 orang dan 8 staf. Musoddak berkata, bagi mereka yang ingin menyumbang boleh salurkan melalui akaun Bank Islam : Tabung Pembangunan SAIF no. akaun 02084010028830. Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut sila hubungi beliau di talian 012-4827563 atau Setiausaha Lembaga Tadbir sekolah, Ustaz Mohamad Ismail (019- 4227323).

6. Dewan Pemuda PAS Pusat juga sememangnya sangat prihatin di atas musibah yang menimpa justeru SAIF sendiri sangat dekat dengan Dewan Pemuda PAS Pusat malah Dewan Pemuda PAS Pusat pernah mengadakan muktamar tahunannya di sekolah tersebut . Sementara Pengerusi Lembaga Tadbirnya pula adalah mantan EXCO DPP Pusat .

7. Dewan Pemuda PAS Pusat turut melancarkan derma kebajikan dan bencana bagi membantu SAIF kembali pulih seperti biasa . Kepada siapa jua yang ingin menyumbang melalui Dewan Pemuda PAS Pusat boleh terus ke akaun Bank Islam No : 14069010014143 atas nama Dewan Pemuda PAS Pusat .

8. Saya harap seluruh exco DPPP dan ustaz - ustaz kita dapat berbuat sesuatu bagi mengisi tabung ini . Semoga Allah memudahkan segala urusan kita dan memberikan kesabaran jua ketabahan menghadapi kesukaran kepada seluruh warga SAIF .

Friday, 17 July 2009

Mati dalam Tahanan ......SPRM

Mati Dalam Tahanan :
Satu Lagi Episode Malang


1. Negara sekali lagi gempar dengan tragedi malang yang menimpa . Tragedi yang melenyapkan rasa rungsing akibat kemerosotan undi majoriti PAS di Manek Urai .

2. Semua tertumpu kepada peristiwa malang yang membawa kepada terbunuhnya mendiang Teo Beng Hock .

3. Bagaimana beliau yang juga merupakan setiausaha politik kepada Yb Ean Yong Hian Wah [ EXCO Selangor ] itu terbunuh adalah satu persoalan besar yang perlukan siasatan segera dan terperinci oleh pihak berwajib .

4. Lebih besar bencananya ialah bagaimana beliau boleh terbunuh dalam [ atau sewaktu masih dalam ] tahanan SPRM . Tentunya ini akan mengundang pelbagai spekulasi dan tentunya SPRM dilihat sebagai pihak yang paling hampir untuk bertanggungjawab .

5. Rakyat mengharapkan satu siasatan rapi , telus dan bertanggungjawab diambil oleh pihak kerajaan untuk menyiasat tragedi ini dan jika ada pihak yang bersalah , hukuman setimpal mestilah dijatuhkan .

6. Sehingga hari ini terlalu banyak tragedi malang seperti cedera dan terbunuh dalam tahanan . Samaada tahanan SPRM atau tahanan polis . Sedangkan menjadi tanggungjawab penuh pihak yang menahan , menjaga keselamatan dan kebajikan tahanan sebelum ia disabitkan bersalah . Individu yang ditahan untuk soal siasat tidak boleh di dera , dipaksa atau dicederakan , apalagi dibunuh mati kerana individu itu bukan pesalah sebelum ia disabitkan bersalah melainkan ia hanyalah individu yang membantu siasatan .

7. Sekalipun pihak yang menahan tidak melakukan pembunuhan tersebut , keselamatan tahanan tetap dibawah jagaan mereka selama ia masih dalam tahanan [ atau premis tahanan ] . Selayaknya tragedi seperti ini tidak berlaku apalagi dalam kawasan pihak yang menahan . Malangnya di negara kita hari ini , siapa jua yang ditahan tidak mempunyai jaminan keselamatan diri . Mereka seperti dihukum terlebih dahulu sebelum mereka disabitkan bersalah .

8. Jika satu atau dua kes , mungkin rakyat boleh terima ia sebagai suatu tragedi yang tidak disengajakan atau diluar tanggungjawab mereka . Tetapi jika kes mati dalam tahanan ini kian menjadi - jadi , Kerajaan wajib mengeluarkan satu kertas putih berkait perkara ini .

9. Apakah satu suruhanjaya lagi akan dibentuk untuk menyiasat suruhanjaya ini ? berapa banyak suruhanjaya daa ? Saya ingat Malaysia adalah sebuah negara yang paling banyak menubuhkan suruhanjaya . Entah berapa banyak suruhanjaya yang telah ditubuh . Samaada yang kekal atau bersifat sementara , tetapi hasilnya tetap satu [ one Malaysia ] iaitu tragedi tetap berlaku dan berlaku .

10. Saya mencabar supaya pengerusi SPRM segera meletakkan jawatan bagi membolehkan satu penyiasatan telus dan teliti dilakukan justeru beliau mestilah mengambil tanggungjawab atas tragedi yang berlaku . Soal siapa salah itu perkara kedua . Terserah kepada hasil siasatan . Tetapi perletakkan jawatannya adalah untuk memastikan siasatan berjalan lancar dan rakyat yakin terhadap siasatan itu . Jika tidak , terpaksalah rakyat menjalankan siasatan sendiri ! lebih malang kalau rakyat ambil hukum sendiri ! jika ini benar berlaku , siapa lagi boleh halang pada waktu ?

Melihat kepada peningkatan angka kematian dalam tahanan dan lokap , rasanya , Musa Hassan pun tidak perlu lagi disambung kontraknya yang bakal berakhir september ini , atau mungkin juga Perdana Menteri sendiri ambil tanggungjawab ? paling tidak , menteri terbabit . Tapi saya tahu , apa yang akan berlaku dalam negara saya , kerana ini bukan kali pertama .......Harap ada percaya tiada !

Wednesday, 15 July 2009

Pilihanraya Kecil vs Pilihanraya Umum

1. Pilihanraya yang berlaku di Negeri Kelantan sememangnya menarik untuk dikaji dan dipelajari . Kelantan yang terkenal dengan jolokan University Politik adalah bahan dan data yang hidup serta praktis untuk dikaji . Tidak kiralah , pilihanraya umum atau pilihanraya kecil , Kelantan adalah sebuah negeri yang unik .

2. Sebagai contoh , data atau statistik yang ada pada kita :


. Dun Pengkalan Pasir : PAS kalah dengan majoriti 134 undi dalam pilihanraya kecil Disember 2005. Namun dalam pilihanraya umum 2008, PAS menang dengan majoriti 2,348 undi.


. Dun Semerak : PAS kalah dengan majoriti 778 undi dalam pilihanraya kecil Ogos 1997 namun dalam pilihanraya umum 1999, PAS menang dengam majoriti 1475.


. Dun Pulai Chondong : PAS menang dengam majoriti 118 undi dalam pilihanraya kecil 1996, tetapi dalam pilihanraya umum 1999, PAS menang 2318.


3. Pun begitu , iktibar mesti diambil dan muhasabah mesti dilakukan oleh PAS setelah memenangi Pilihanraya kecil Manek Urai kelmarin dengan majoriti tipis . Itu realitinya sebagai sebuah parti politik yang dewasa dan matang . Tiadalah istilah kecewa dan putus asa .

5. Peringkat awal semua pimpinan PAS menjangkakan kemenangan PAS di Manek Urai dan sebahagiannya menganggarkan kemenangan yang lebih besar . Biarpun anggaran sebahagian pimpinan PAS itu meleset tetapi alhamdulillah jangkaan semua pimpinan PAS itu tercapai .

6. Kemenangan biarpun kecil atau tipis majoritinya tetap akan menjadi tanggungjawab bukan sahaja kepada calon yang menang tetapi juga kepada parti [ PAS ] yang bertanding . Bertolak dari natijah kepada muhasabah [ post mortem ] yang bakal dilakukan kelak , rata - rata mengharapkan PAS dapat melakukan sesuatu yang lebih berkesan . Saya yakin PAS akan melakukan sesuatu dan komitmen ini turut melibatkan Dewan Pemuda PAS .

7. Kini jentera parti mesti bersiap untuk mendepani pilihanraya umum . Sebagaimana saya sebut sebelum ini , mudah - mudahan keputusan pilihanraya kecil Manek Urai ini akan merubah banyak perkara untuk PAS kembali mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya umum kelak .

8. Tidak kita nafi betapa UMNO dan BN mengumpul seluruh kekuatan dalam usaha memulihkan reputasi mereka yang tercalar teruk sepanjang sessi ini , pula jutaan ringgit ditawar dan dijanjikan kepada penduduk Manek Urai menjadi satu dari faktor menurunnya majoriti kemenangan PAS .

9. Tetapi PAS tidak boleh berpada dengan alasan tersebut kerana PAS perlu melihat ke "dalam" bagi memastikan kemenangan akan datang dengan majoriti yang lebih besar . Banyak perkara yang perlu dilihat . Pendekatan , cara kempen , ukhuwwah , pengorbanan , sikap dan 1001 perkara yang perlu diperbaiki .

10. Berbanding keputusan pilihanraya umum di Manek Urai yang lalu , undi yang diperolehi oleh al marhum Pak Su Weil [ PAS ] ialah 5746 . Ertinya PAS kehilangan 398 undi berbanding undi yang PAS perolehi dalam pilihanraya kecil kelmarin ialah 5348 . Tanpa memandang rendah kepada peningkatan undi BN tetapi saya tidak terkilan dengan kehilangan hanya 398 undi dalam pilihanraya kecil berbanding undi dalam pilihanraya umum lalu , setelah melihat cara BN turun berkempen . Pilihanraya umum akan datang , saya yakin PAS kembali mampu menang besar , dengan PAS mengambil langkah memperbaiki segala kelemahan . Lihat sahaja senario lalu .

Risalah & Iktibar Dari Hunain . vol 2

Peristiwa Uhud , Hunain
dan Manek Urai

1. Bulan February yang lalu , saya pernah menulis satu posting yang bertajuk Risalah dan Iktibar dari Hunain [ klik di sini untuk membacanya kembali ] . kali ini saya masih menggunakan tajuk yang sama [ tetapi vol ke 2 ] untuk mengulas sedikit mengenai kemenangan tipis yang dicapai oleh PAS dalam pilihanraya kecil N41 Manek Urai

2. Majoriti kecil yang dicapai oleh PAS dalam pilihanraya kecil Manek Urai tentu sahaja mengundang pelbagai reaksi dan komentar . Bagi pihak UMNO dan BN tentu sahaja mereka gembira kerana berjaya mengurangkan majoriti undi PAS .

3. Bagi PAS tentu sahaja pimpinan tertinggi khasnya Jabatan Pilihanraya PAS Pusat dan Negeri akan mengadakan bedah siasat [ post mortem ] untuk melihat faktor sebenar penurunan ketara undi majoriti yang pernah diperolehi oleh PAS sebelum ini . Saya yakin ia akan dilakukan secara telus dan jujur untuk melihat senario yang benar dan tepat ekoran keputusan pilihanraya kecil manek urai yang sangat ajaib [ pinjam istilah Dr. Abu Hassan ]

4. Saya tidak berhak untuk mengganggu atau mendahului keputusan post mortem tersebut . Sama - sama lah kita tunggu dan lihat kelak apakah faktor sebenar yang membentuk keputusan Pilihanraya kecil Manek Urai tersebut . Cuma saya ingin menyentuh beberapa perkara sebagai iktibar umum kita bersama dan harapnya dibaca sekali dengan Risalah dan Iktibar dari Hunain yang dipostkan pada bulan february yang lalu .

5. Menang kalah dalam pertarungan dan perjuangan tentunya mempunyai iktibar yang perlu diteliti , demikian juga menang besar atau kecil skalanya mempunyai hikmah yang perlu dihayati . ianya menjadi proses muhasabah yang diajar oleh agama kepada kita . Namun jiwa mesti tenang , aqal wajarnya rasional dan niat layaknya tulus dalam mengamati iktibar dan menekuni hikmah . Jika tidak , segalanya berlalu tanpa nilai .

6. Marilah kita baca sekali lagi ayat dari surah at Taubah ini dan kalau boleh ambil sedikit masa untuk meneliti sejarah panjang dan cukup menginsafkan bagaimana perjalanan kisah Hunain daripada buku - buku atau kitab sirah lalu dipadankan dengan ayat ini :

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ
فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ

Sesungguhnya Allah swt telah menolong kamu dalam banyak medan peperangan dan hari peperangan Hunain ketika kamu dijangkiti penyakit ujub [ kagum diri / rasa diri hebat ] dengan sebab ramainya jumlah bilangan bala tentera kamu , maka ia ia sebenarnya tidak boleh mendatangkan apa - apa faedah [ keistemewaan/kemenangan ] kepada kamu di medan perang itu sehingga bumi yang luas dirasakan sempit oleh kamu kemudian kamu berpaling undur melarikan diri .


ثُمَّ أَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَى رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنْزَلَ جُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا
وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَذَلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ

Kemudian Allah swt menurunkan semangat ketenangan ke atas RasulNya dan ke atas orang - orang yang beriman dan Allah swt menurunkan bala tentera yang tidak dapat kamu melihatnya serta ia menyeksa orang - orang yang kufur dan demikian itulah balasan bagi orang - orang yang kufur .


ثُمَّ يَتُوبُ اللَّهُ مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ عَلَى مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Kemudian Allah swt menerima taubat orang - orang yang Dia kehendaki [ memberi hidayah memeluk Islam ] sesudah itu dan Allah swt Maha pengampun lagi maha Penyayang .

Surah at Taubah : Ayat : 25 - 27

7. Ayat ini menceritakan kisah Hunain . Pada prinsipnya ciri - ciri yang terdapat pada Hunain sama dengan peperangan Uhud . Perbezaan antara keduanya ialah cara pendekatan salah yang dilakukan pada kedua - duanya . Peristiwa Uhud kerana terpengaruh dengan harta benda rampasan yang berselerak ditinggalkan oleh musuh di awal pertempuran . Akhirnya mereka tidak patuh perintah Rasulullah saw dan sedikit pertelagahan berlaku sesama tentera dan jentera . Adapun Peristiwa Hunain pula berpunca daripada bermegah dengan jumlah yang ramai dan kekuatan yang dimiliki .

8. Kedua - dua peristiwa tersebut memberi pengajaran yang pahit kepada generasi awal Islam . Sementara kita generasi mutaakhir ini sewajarnya mempelajari risalah dan menghayati iktibar dari pengalaman silam . Betapa harta dan kemenangan sering mendorong kita alpa dan teruja dengan pencapaian lalu meletakkan kita di awangan .

9. Setelah kita membaca pula Peristiwa Manek Urai , marilah kita segera insaf dan berdoa kepada Allah swt agar mengurniakan thabat [ teguh pendirian dalam perjuangan ] kepada kita sementara dibekalkan pula kekuatan dan pedoman untuk keluar dari belenggu kealpaan yang melilit tubuh dan menjerut leher kita .

10. Ya Allah ! kami yakin akan kebesaranMu sebagaimana kami juga yakin bahawa kemenangan adalah dari kurniaanMu . Keputusan MU [ Manek Urai ] turut menginsafkan kami bahawa kemenangan Islam bukan bergantung semata - mata kepada strategi kami tetapi jua dari pertolonganMu sebagaimana firman dari surah at taubah ayat 25 - 27 .

Ya Allah ! Kemenangan Islam bukan dari sesiapa dan bukan juga dari barakah atau karamah sesiapa , justeru itu Saiyidina Umar al Khattab rha. menamatkan tempoh perkhidmatan Khalid al Walid di medan perang selaku komander kerana mahu memastikan aqidah para sahabat benar dan sohih bahawa menang kerana pertolongan Allah swt bukan menang kerana kehebatan Khalid al Walid .

Ya Allah ! Kami yakin kemenangan Islam hanya berpaksi kepada keutuhan berjamaah dan keintiman berikhuwwah justeru firmanMu bahawa PertolonganMu turun bersama jamaah yang utuh dan mantap .

Ya Allah ! Kami juga yakin bahawa kemenangan dan pertolonganMu hanya berhak dimiliki oleh pejuang yang merendah diri , hampir mengabdi diri kepada mu , bebas dari pra sangka yang membusuk di dada , jauh pula dari sikap dendam kesumat yang membinasakan .

Ya Allah ! kami yakin bahawa kemenangan tegak di atas segala sifat mahmudah sebaliknya mazmumah akan merosakkan segalanya .

Ya Allah ! keputusan MU [ Manek Urai ] menunjukkan masih tersimpan rasa kasih dan sayangMu buat kami yang alpa . Semoga Engkau pulihkan semula keyakinan kami dan kembalikan kekuatan kami buat mendepani segala cabaran demi mendaulatkan agamaMu ya Allah !

Thursday, 9 July 2009

Semoga Ust. Nasha Cepat Sembuh

1. Pelbagai pihak termasuk pemerhati politik dan pihak media telah membuat aneka andaian berikutan ketiadaan ustaz Nasharudin Mat Isa Timbalan Presiden di manek Urai .


2. Semoga ustaz nasha dapat bersabar dengan segala fitnah yang menimpa beliau justeru itu adalah sebahagian dari mehnah dan sunnah orang yang berjuang .

3. Juga saya ucapkan agar Ustaz Nasha selamat dan cepat sembuh agar kembali dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah perjuangan yang tentunya semakin sukar dan mencabar .

4. Ustaz nasha yang baru sahaja selesai menjalani pembedahan kecil di Hospital Serdang dan menurut maklumat yang saya terima bahawa beliau akan dibenarkan keluar pada petang ini .

5. Teruskan perjuangan dengan penuh istiqamah dan ikhlaskan diri , kepada Allah jua kita bertawakkal dan menyandarkan segala urusan kita . Agar tapak kaki terus thabat bersama perjuangan suci ini insyallah .

Hentikan Pembantaian Ummah

Hentikan Pergaduhan dan Rusuhan yang membunuh Ummat islam di XinJiang .


1. Dewan Pemuda PAS Pusat merasa bimbang malah memandang berat akan perkembangan mutakhir yang berlaku di Xinjiang China di mana berlaku pergaduhan etnik antara kumpulan Han dan Uigur yang menyebabkan lebih 156 orang maut dan 1000 orang tercedera.

2. DPP Pusat menegur Kerajaan China dan sangat tidak bersetuju dengan tindakan keras yang diambil sehingga berlaku tragedi pembunuhan terhadap etnik Islam di Wilayah Xinjiang . Media melaporkan Xinjiang ialah tempat bagi kaum Uighur yang mendakwa bahawa mereka di diskriminasi oleh kaum majoriti Han .

3. Rusuhan yang berlaku seperti yang disiarkan oleh media , pihak polis telah menangkap 1,434 kaum Uighur kerana mengadakan perhimpunan besar - besaran . DPPP mempersoalkan mengapakah ramai kaum Uighur yang beragama Islam ditangkap sedang tiada alasan yang munasabah .

4. Pihak polis juga bertindak ganas dengan memukul menggunakan belantan dan menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan perhimpunan tersebut . Rusuhan dan pergaduhan etnik di kawasan pendudukan muslim dikhuatiri akan menyebabkan sentimen kebencian terhadap ummat Islam dan mengakibatkan krisis kemanusiaan yang berpanjangan .

5. DPP Pusat menegaskan bahawa hak asasi penduduk Islam Uighur di Wilayah Autonomi Xinjiang , mestilah dijamin dan dilindungi semua pihak . Justeru itu , DPP Pusat mengharapkan kerajaan China segera mengatasi dan menghentikan persengketaan yang berlaku dan menyeru semua pihak mencari jalan untuk menyelesaikannya.

6. Memorandum DPP Pusat telah diterima oleh Chen Feng [ First Secretary ] Embassy of the People's Republic of China in Malaysia .

Wanita berhijab dibunuh

Mengutuk Pembunuhan Wanita Muslimah Berhijab di Jerman .


1. Dewan Pemuda PAS Pusat hari ini menyerahkan memorandum mengutuk sekeras - kerasnya pembunuhan Marwa el Sharbini seorang wanita Muslimah warga Mesir yang mati ditikam oleh seorang pemuda disebuah mahkamah di Jerman .

2. Memorandum DPPP telah diterima sendiri oleh Duta Besar German di Malaysia Dr. Guenter Gruber di Kedutaan German sekitar jam 11 pagi tadi .

3. DPPP mendesak supaya kerajaan Jerman memohon maaf kepada ummat Islam amnya dan warga Mesir khasnya diatas tragedi malang yang berlaku dihadapan mahkamah tersebut sedang itu adalah kawasan di mana keadilan ditegakkan .

4. Marwa al Sherbini telah ditikam bertubi - tubi dengan 18 tikaman dan suaminya yang cuba menyelamatkan beliau pula ditembak oleh pengawal keselamatan . Sebelumnya Marwa membawa kes penghinaan ke atas dirinya oleh seorang pemuda [ pembunuh ] yang mengatakan beliau adalah pengganas kerana memakai tudung .

5. DPPP bimbang ini adalah episod islamofobia yang tercetus dinegara - negara barat dan akhirnya ketegangan ini akan terus berlanjutan . Kerajaan Jerman mesti segera memohon maaf kepada ummat Islam dan segera pula mengambil tindakan wajar dan adil ke atas pembunuhnya yang kejam itu .

Wednesday, 8 July 2009

Abe Uji Calon PAS di N. 41

1. Mohd Fauzi Abdullah [ lebih mesra dengan Abe Uji ] adalah calon PAS di Manek Urai yang akan membawa tanggungjawab dan amanah besar sekaligus menggalas risalah perjuangan untuk terus mara membelah segala halangan dan rintangan .

2. Sebagai tokoh tumpuan seluruh negara sepanjang musim pilihanraya kecil N. 41 Manek Urai ini , Abe Uji menjadi medan sasar serangan psikologi yang dilancarkan oleh musuh yang mahu melihat kekalahannya kelak .

3. Taraf pengajian dan pekerjaannya menjadi topik utama yang digunakan sepenuhnya untuk merendah dan memperlekeh peribadi serta keupayaannya untuk membawa mandat rakyat di Manek Urai .

4. Tidaklah Abe Uji ini seorang graduan lepasan University luar negeri seperti Cambridge dan lainnya . Beliau juga bukanlah seorang pengarah syarikat yang memiliki segala kemudahan mewah dan elaun yang mencecah puluhan ribu ringgit .

5. Persoalannya , itukah yang menjadi nilaian masyarakat dan penduduk di Manek Urai ? Lebih jauh lagi , itukah syarat penting untuk layak menjadi wakil kepada rakyat di Dewan Undangan negeri kelak ?

6. Walau hanya memiliki pendidikan tahap biasa dan pekerjaan sendiri untuk menyara hidup dan keluarga , Abe Uji adalah tokoh yang dikenali ramai dalam DUN Manek Urai malah apa yang lebih penting ialah beliau juga merupakan individu yang sangat mesra dan mudah berkomunikasi dengan masyarakat awam . Justeru kehidupan dan pekerjaan beliau meletakkan beliau hidup dan interaktif di tengah - tengah masyarakat secara langsung .

7. Lebih bermakna apabila semua mengenali bahawa Abe Uji adalah seorang insan yang soleh . Kuat beragama dan bahasa mudahnya , beliau adalah kaki masjid yang istiqamah menunaikan solat berjamaah dan menghadhiri kelas - kelas pengajian yang dianjurkan di masjid dan surau .

8. Saya kira watak sedemikian lebih membawa Abe Uji dekat dengan masyarakat dan lebih memahami jiwa masyarakat tempatan di Manek Urai . Malah Abe Uji lebih mampu dan berupaya untuk merasai denyut nadi masyarakat Manek Urai . Bahkan lebih penting , Abe Uji pasti akan mampu memikul amanah berupa mandat rakyat sebagai pemimpin mereka dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab justeru beliau adalah insan yang soleh dan muttaqin .

9. Apalah gunanya belajar tinggi menjadi cerdik dan berkerjaya dengan nilai gaji bertaraf 4 atau 5 angka tetapi gagal merasai dan menghayati susah sukar kehidupan rakyat pula gagal menunaikan amanah kepimpinan dengan baik .

10. Lebih malang dan tersangat malang apabila segala kecerdikan dan kemewahan itu hanya menjadikan mereka lalai dan sering terjebak dalan kancah maksiat dan mungkar justeru tiada taqwa di dada . Mudah sahaja mereka terjebak dalam perangkap rasuah dan penyalahgunaan kuasa . Akhirnya rakyat juga merana dan menderita , menjadi batu tangga yang dipijak oleh golongan oputurnis ini mencari lebih kemewahan dan kedudukan yang tinggi .

Rakyat Manek Urai tahu , siapa yang patut di pilih .
Tentunya Abe Uji dari PAS.
UNDILAH PAS

Tuesday, 7 July 2009

Nabi saw Menyokong Hilful Fudhul

Nabi saw. pernah bersabda :

لقد شهدت في دار عبد الله بن جدعان حلفا ما أحب أن لي به حمر النعم
ولو ادعى به في الإسلام لأجبت

Sesungguhnya Aku telah menyaksikan satu sumpah setia [ perjanjian ] yang dimeterai di rumah Abdullah bin Jad'an . Aku tidak akan suka bahawa aku menerima unta yang hebat sebagai ganti untuk menyalahi sumpah setia itu . Jika Islam mengajak dengan perjanjian yang serupa nescaya aku menerimanya .

Sirah Ibnu Hisyam dan turut diriwayat
di dalam Musnad Imam Ahmad

2. Hadis tersebut menunjukkan sikap Nabi saw yang sangat prihatin terhadap sebarang pakatan atau tindakan untuk menentang kezaliman . Biarpun sumpah setia ini berlaku sebelum kebangkitan Nabi saw sebagai Rasul akhir zaman , tetapi naluri seorang nabi sangat terkesan dengan sebarang tindakan yang dilakukan untuk menentang kezaliman .

3. Hadis ini menceritakan bagaimana satu sumpah setia [ perjanjian ] yang dilakukan oleh beberapa kabilah Arab Quraisy untuk menentang kezaliman sekaligus memberi lindungan , sokongan dan pembelaan kepada siapa sahaja yang menjadi mangsa kezaliman .

4. Perjanjian yang dilakukan di rumah Abdullah bin Juda'an at Taimi ini dikenali sebagai Hilful Fudhul sempena 3 nama yang menyertai perjanjian ini mempunyai nama hampir sama dari kaum banu Jurhum iaitu Fadhal bin Fudhalah , Fadhal bin Wada'ah dan fadhal bin al Harith .

5. Atas semangat yang sama , Pemuda PAS bersedia untuk bangkit menentang sebarang bentuk kezaliman dan bangun membela siapa jua yang menjadi mangsa kezaliman .

DPPP Sokong Penubuhan KEJAM

1. Dewan Pemuda PAS Pusat memberi sokongan penuh di atas usaha Angkatan Muda Keadilan yang telah menubuh dan melancarkan Gerakan Rakyat Tolak Konspirasi Jahat Terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim . [ KEJAM ]

2. Rakyat mesti bersatu menolak dan menentang sebarang kezaliman yang dilakukan oleh Kerajaan UMNO dan BN termasuk kezaliman yang dilakukan ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim .

3. Saya percaya konspirasi berterusan oleh Kerajaan UMNO dan BN ke atas Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah politik kotor yang bermaksud untuk mengekang penglibatan beliau di pentas politik sekaligus ingin memberi tekanan kepada PAKATAN Rakyat .

4. Saya menyeru supaya seluruh rakyat menyatakan sokongan yang sama kepada penubuhan Gerakan Rakyat Tolak Konspirasi Jahat Terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim [ KEJAM ] .

5. Saya juga mendoakan agar Dato' Seri Anwar Ibrahim berjaya dan selamat dari terus menjadi mangsa politik kotor dan konspirasi jahat UMNO dan BN . Allah swt tetap bersama orang - orang yang benar dan sabar .

Pulanglah .......Anak Muda !

1. Hari ini selesai proses Penamaan Calon di N41 Manek Urai . Sah berlakunya pertarungan dua penjuru antara PAS [ mewakili PAKATAN Rakyat ] dengan UMNO [ mewakili Barisan Nasional ]

2. Insyaallah , Dewan Pemuda PAS sangat optimis bahawa kemenangan akan berpihak kepada PAS . Sokongan padu dari Angkatan Muda Keadilan [ AMK ] dan DAPsy yang turut bekerja keras bagi meraih sokongan pengundi muda sangat meyakinkan .

3. Pengundi Muda mewakili hampir separuh jumlah pengundi di Manek Urai . Tidak keterlaluan jika saya menyebut bahawa para belia dan anak - anak muda adalah penentu kepada keputusan pilihanraya kecil Manek Urai ini .

4. Jika momentum kebangkitan rakyat yang rata - ratanya didokong oleh kemaraan anak - anak muda untuk bangkit dan keluar dari belenggu minda dan penjajahan politik UMNO dan BN masih kekal , Insyaallah kita bakal menyaksikan sekali lagi UMNO dan BN tersungkur dan terburai di Manek Urai .

5. Setelah UMNO tertinggal jauh di Permatang Pauh , UMNO panik termangu di Kuala Terengganu , UMNO rebah terlentang di Bukit Gantang , UMNO rasa hiba terhalau di Bukit Selambau dan UMNO tersungkur hampir mati di Penanti , saya ulangi sekali lagi insyaallah rakyat bakal menyaksikan bagaimana UMNO dan BN akan hancur terburai di Manek Urai .

6. Justeru itu , demi menyaksikan harapan ini menjadi kenyataan setelah berhadapan dengan 1001 episode malang bersama UMNO dan BN sebagai penguasa yang zalim di peringkat persekutuan , Dewan Pemuda PAS menyeru agar semua pengundi muda sekali lagi menunjukkan kebangkitan mereka menolak UMNO dan BN .

7. Anak - anak muda yang berada di perantauan , pulang lah .... pulang lah mengundi demi sebuah tanggungjawab dan maruah agama dan negara , lalu memastikan kemenangan kekal bersama PAS dengan slogan Tok Guru memimpin ... Manek Urai Berkat .

8. Biarpun ini adalah pilihanraya yang kecil pada saiznya tetapi yakinlah bahawa ia sangat besar pada nilainya untuk kelangsungan kebangkitan rakyat khasnya anak - anak muda untuk menolak kerajaan UMNO dan BN . Kemenangan di Manek Urai akan menjadi signal atau isyarat jelas kepada seluruh rakyat di dalam negara kita , bahawa kekalnya momentum anak muda menolak UMNO dalam pilihanraya umum ke 13 kelak .

9. Pulang lah .... Dewan Pemuda PAS sekali lagi menyeru dan merayu agar semua anak - anak muda pulang menunaikan tanggungjawab jihadnya bagi menewaskan UMNO dan BN dalam Pilihanraya kecil N 41 Manek Urai pada 14 hb Julai kelak .

10. Uniknya , Yang di Pertua PAS kawasan Kuala Krai yang merupakan kawasan dimana terletaknya DUN Manek Urai ini , malah orang yang bertanggungjawab langsung untuk mengekalkan kemenangan PAS di situ adalah Ketua Dewan Pemuda PAS negeri Kelantan sendiri iaitu al Fadhil ustaz Abdul Latif bin Hj. Abdul Rahman . Maka hemat saya , anak - anak muda pasti mendokongnya Insyaallah . Amin Ya Rabbal A'lamin .

Pembicaraan Bermula jam 9 pagi ini

1. PAS Wilayah Persekutuan melahirkan rasa kecewa dan terkejut dengan campurtangan politik yang sangat jelas ke atas badan kehakiman berhubung pengendalian kes perhimpunan Bersih di Parlimen yang melibatkan sepuluh orang penyokong dan pimpinan tertinggi PAS.

2. Kes tersebut yang ditetapkan untuk bicara pada 7 hingga 9 Julai 2009 ini pada asalnya telah ditangguhkan kerana Hakim perlu menghadiri kursus di Melaka.

3. Mahkamah telahpun menyerahkan surat kepada peguambela tertuduh dua minggu yang lepas bagi memaklumkan penangguhan tersebut. Walau bagimanapun, pada hari Jumaat (3 Julai 2009) lebih kurang jam 12.00 tengahari, pihak Mahkamah telah menghubungi peguambela tertuduh dan memaklumkan bahawa mereka mendapat "arahan" untuk meneruskan dengan perbicaraan sungguhpun Hakim yang mengendalikan kes tersebut sepatutnya menghadiri kursus seperti yang ditetapkan.

4. Perubahan arahan di saat akhir ini sangat meragukan dan menampakkan tekanan dan campurtangan politik yang cukup tidak bermoral ke atas kes ini, lebih-lebih lagi menjelang penamaan calon Pilihanraya Kecil DUN Manik Urai pada hari ini.

5. Kes ini melibatkan pimpinan tertinggi PAS iaitu YB Dr Mohd Hatta Md Ramli selaku Bendahari PAS dan juga Ahli Parlimen Kuala Krai (di mana DUN Manik Urai berada di dalam kawasan parlimen tersebut) , Ust Nasrudin Hassan, Ketua Pemuda PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS, YB Dr Lo'Lo' Dato Hj Mohamad Ghazali , AJK PAS Pusat yang juga merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa, YB Dr Mohd Nasir Hashim, Presiden Parti Sosialis Malaysia yang juga merupakan ADUN Kota Damansara dan lima penyokong Pakatan Rakyat yang lain.

6. Mereka telah ditahan kerana kononnya berhimpun secara haram di perkarangan Parlimen pada 11Disember 2007 untuk menyerahkan memorandum bantahan pindaan perlembagaan bagi melanjutkan tempoh persaraan setahun lagi Tan Sri Abdul Rashid, Pengerusi SPR pada ketika itu. PAS Wilayah Persekutuan amat berharap agar perbicaraan kes ini dapat berjalan dengan seadil-adilnya dan tanpa gangguan dan campurtangan politik parti pemerintah.

7. Sebab utama kes ini perlu sangat disegerakan oleh "pihak atasan" amat diragui dan dipersoalkan, kerana dalam masa yang sama ribuan kes-kes lain yang melibatkan nyawa dan hak asasi tertuduh masih belum lagi dibicarakan. Ini menunjukkan berlakunya "selective prosecution" yang sangat jelas dalam insitusi kehakiman negara dan mengesahkan lagi pandangan umum bahawa insitusi kehakiman kita masih belum bebas sepenuhnya dari tangan-tangan kotor parti pemerintah.

AHMAD ZAMRI BIN ASA'AD KHUZAIMI
Pengerusi Lajnah Guaman
PAS Wilayah Persekutuan,

Saturday, 4 July 2009

Dakwah Fardiyyah . vol 2

Dakwah Fardiyyah :
Peringkat Kedua :
Menyedarkan Iman yang Leka
Serta Membina Aqidah


1. Asy Syeikh Abdul Halim al Kinani menyebut bahawa faktor utama kepada segala masaalah yang melanda ummat Islam bukannya kerana aspek kekurangan kuantiti [ bilangan ] penganut , harta benda , kekuatan material atau lain - lain aspek dan kemudahan .

2. Sebaliknya segala masaalah [ konflik dan krisis ] yang berlaku adalah disebabkan kelemahan yang menimpa jiwa dan penyakit al wahnu [ cinta dunia dan takutkan mati ] yang menguasai hati , disamping kelalaian [ dengan kemewahan dunia ] yang akhirnya melumpuhkan semangat serta mematikan kesungguhan dan keazaman mereka .

3. Ummat pada hari ini seperti yang pernah disebut oleh Rasulullah saw dengan sabdanya :

بل أنتم يومئذ كثير و لكنكم غثاء كغثاء السيل

bahkan pada masa itu bilangan kamu sebenarnya amat ramai tetapi kamu hanyalah seperti bebuih banjir .

4. Kelemahan ummat hari ini sebahagiannya tidak mampu menghadapi godaan dan syahwat dunia . Hati juga tidak mampu menjadikan jiwa terlepas dari dosa dan kehinaan . Inilah penyakit yang paling dahsyat menimpa ummah dewasa ini .

5. Ummat Islam tidak akan mampu menyelesaikan dan memadamkan gejala , kehinaan dan kebejadan yang dihadapi ini kecuali dengan melakukan perubahan total dalam peribadi seseorang muslim .

6. Perubahan yang dilakukan hendaklah perubahan dasar dan mendalam , bukan hanya perubahan luaran dan kulit semata - mata . Titik mula kepada perubahan ini ialah membangkitkan iman dan aqidah di dalam hati . Apabila makrifatullah mula menyelinap di dalam hati seseorang manusia , pasti sahaja ia akan berubah menjadi insan yang bertaqwa dan soleh .

7. Asy - syeikh Abdul Halim al Kinani turut menggariskan langkah - langkah teknikal untuk mencapai matlamat dakwah diperingkat ini .

. Pendakwah hendaklah menjadi ikutan yang baik , benar - benar komited dan terkesan dengan pengertian iman sebelum memindahkannya kepada sasaran dakwah .

. Perbincangan secara langsung dan dua hala berlaku antara pendakwah dan sasaran dakwah [ maduu ] . Ia bertujuan untuk memindahkan pengertian - pengertian dan cetusan - cetusan [ input ] iman ketika ziarah , pertemuan dan perbualan .

8. Memimpin sasaran dakwah [ madu'u ] secara praktikal :

. Mendorong dan menggalakkan supaya bertaubat dan menjelaskan kepentingan untuk segera bertaubat .

. Meninggalkan segala dosa , maksiat dan mungkar serta tidak lagi mengekalinya . Serentak itu merangsangnya untuk melakukan taat dan ibadat kepada Allah swt .

. Mendorong agar mengikat diri dengan al Quran dan sunnah . Mendengar , membaca , memahami , melaksana dan menghayatinya .

9. Memberikan peringatan [ inzaar ] dan galakan kepada madu'u [ sasaran dakwah ] .

. Memberi galakan dan ancaman agar tertanam rasa ingin mengabdikan diri kepada Allah swt dengan melaksanakan segala hukum hakam Allah swt dan dalam masa yang sama takut akan azab Allah swt akibat kecuaian dan kedegilan melaksanakan syariat Allah swt .

. Memberi amaran dan ingatan supaya mengharapkan rahmat dan keampunan Allah swt sebelum mati sedang mati itu datang secara tiba - tiba dan azab Allah swt itu sangatlah pediah .

و من أعرض عن ذكري فإن له معيشة ضنكا و نحشره يوم القيامة أعمى

dan sesiapa yang berpaling [ ingkar ] dari ingatan dan petunjukku , maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta .

10. Islam adalah cara hidup yang mesti diterima oleh semua . Tiada siapa yang berhak menghalang Islam ini dikembangkan sebagaimana tiada siapa yang berhak menghalang dirinya sendiri dari menerima Islam , cara hidup yang diwahyukan Allah swt .

Friday, 3 July 2009

Dakwah Fardiyyah . vol 1

Dakwah Fardiyyah :
Marhalah yang Perlu dilalui
Oleh Para Pendakwah.


1. Hari ini saya berkesempatan membaca sebuah buku lama yang ditulis oleh Asy Syeikh Abdul Halim Al Kinani . Seorang pendakwah yang terkenal dengan keiltizamannya membawa Islam kepada ummah.

2. Syeikh Muhammad Abdullah al Khatib memuji karya Asy Syeikh Abdul Halim sebagai bingkisan yang kecil pada saiznya tetapi sangat besar pada nilai dan pengertiannya . Terutama apabila beliau menjelaskan marhalah dakwah .

3. Suka saya berkongsi bahan dan hasil baca ini demi sama - sama kita merealisasikan satu usaha murni dalam perjuangan kita untuk membawa Islam sampai kepada setiap insan dimana sampainya cahaya matahari . Tambahan pula jamaah kita ini adalah Jamaah Dakwah dan Tarbiyah disamping kita bersiasah .

4. Peringkat Pertama Dakwah Fardiyyah :
Mewujudkan Kasih sayang , kepercayaan dan saling mengenali .

5. Ianya merupakan peringkat [ marhalah ] pertama dan paling asas dalam dakwah . Ianya perlu dilaksanakan dengan baik justeru ia akan memainkan peranan yang besar untuk menjayakan malah menyempurnakan peringkat seterusnya . Terutama dalam usaha untuk meyakinkan dan mempengaruhi sasaran dakwah kita [ maduu ]

6. Peringkat pertama ini mempunyai beberapa nokhtah yang perlu diberi perhatian oleh kita khasnya pendakwah :

  • Percaya kepada pendakwah dari sudut keikhlasan amalan , dakwah , komitmen agama dan kebaikan yang diserunya .
  • Percaya kepada wibawa , pemahaman , pengalaman , kesesuaian pendakwah untuk diambil dan diterima segala nasihat dan pandangannya .
7. Kepercayaan ini tidak akan datang tanpa usaha atau secara spontan . Ia memerlukan pendakwah yang layak dipercayai . Sementara orang yang layak dipercayai ialah orang yang mempunyai akhlak dan adab - adab Islam serta komitmen yang tinggi terhadap hukum hakam Islam .

8. Mengenali sasaran dakwah [ madu'u ] secara mendalam dan jelas sehingga dia dapat mengenali personaliti dan kunci kepada peribadinya . Ini meletakkan pendakwah boleh menggunakan cara interaksi yang tepat dan berkesan dalam usaha mempengaruhi dan meyakinkannya .

9. Antara nokhtahpenting untuk mencapai objektif peringkat ini disebut oleh asy Syeikh Abdul Halim Al Kinani ialah :

  • Pendakwah mesti mengikhlaskan niatnya dan berdoa untuk sasaran dakwahnya semasa ketiadaannya agar Allah swt membuka pintunya kepada hidayah , melapangkan dadanya kepada dakwah dan menyelamatkannya dari neraka .

  • Memelihara adab - adab pergaulan dan berbicara dengannya .

  • Bersungguh - sungguh untuk melihat dan bertemunya secara berterusan serta bertanya khabarnya apabiala dia tiada .

  • Berwajah ceria ketika bertemu . Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda :

تبسمك في وجه أخيك لك صدقة

Senyummu dihadapan saudaramu itu adalah sedeqah

Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud : " Kamu tidak mampu mengembirakan manusia dengan harta kamu tetapi kamu dapat lakukannya dengan muka berseri dan akhlak yang baik .

  • Mulakan dengan salam dan berjabat tangan .

Sabda Rasulullah saw :

ألا أدلكم على شئ إن فعلتموه تحاببتم أفشوا السلام بينكم

Adakah kamu suka aku tunjukkan kepada kamu satu amalan , jika kamu lakukan akan mengeratkan lagi kasih sayang antara kamu ? sampaikan salam antara kamu .

10. Asy Syeikh Abdul Halim al Kinani menyebut lagi bahawa pengukur kepada kejayaan pada peringkat ini ialah melihat kepada bagaimana jawapan kepada soalan - soalan berikut :

  • Adakah sasaran dakwah menganggap pendakwah sebagai rakan yang lebih istemewa dari rakan - rakannya yang lain ?

  • Adakah sasaran dakwah pernah bercakap dengan pendakwah menggunakan bahasa yang mesra dan biasa ataupun masih bersifat hipokrit atau waspada ?

  • Adakah sasaran dakwah merasa atau memperlihatkan rasa jauh diri atau tidak selesa terhadap beberapa sifat , cara interaksi dan percakapan pendakwah ?

  • Adakah sasaran dakwah merasa minat untuk menziarahi pendakwah ? Adakah dia pernah menjemput pendakwah untuk menziarahinya ?

  • Adakah pendakwah dapat merasakan sasaran dakwah memberi respons yang baik terhadapnya pada setiap kali pertemuan , salam , pergaulan , percakapan dan lain - lain ?

  • Adakah sasaran dakwah mula berbicara tentang perasaan , keperihatinan , keadaan dan segala apa yang bermain dimindanya ?

  • Adakah dia menemui pendakwah untuk menyelesaikan segala masaalah dan situasi yang menimpanya ?

  • Adakah dia merasakan bahawa pendakwah layak dan sesuai untuk ditanya dan diminta pandangan ?

  • Adakah dia diam untuk mendengar percakapan pendakwah dan menyertainya atau dia akan membantah , membidas atau langsung tidak ambil peduli .

  • Adakah wujud kesan yang jelas dari amalan bertukar - tukar hadiah antara pendakwah dan sasarannya ?

Dengan menjawab semua soalan - soalan ini pendakwah mampu mengukur sejauh mana kejayaannnya pada peringkat yang pertama ini dan sejauh mana ia mencapai matlamat yang diharapkan .

bersambung .....

Thursday, 2 July 2009

Pemuda UMNO Menyindir PM

Pemuda UMNO Menyindir Perdana Menteri

1. Keberanian yang ditunjukkan oleh Khairy Jamaludin menyambut baik pelawaan untuk berwacana secara Ilmiah dengan pemuda PAS adalah secara tidak langsung sebagai sindiran tajam kepada Datuk Seri Najib Tun Razak .

2. Biar pun Dewan Pemuda PAS belum menerima sebarang jawapan justeru tempoh yang diberi masih belum berakhir , tetapi sikap yang ditunjukkan oleh Khairy Jamaludin adalah satu tamparan buat Perdana Menteri.

3. Sebelumnya Datuk Seri Najib enggan menerima cabaran debat dari Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi membuktikan UMNO dan BN tidak sesat seperti yang didakwa .

4. Wacana Ilmiah yang mahu diadakan oleh Dewan Pemuda PAS Pusat bersama Pergerakan Pemuda UMNO ialah bertajuk : Benarkah Perjuangan UMNO bertentangan dengan syariat .

5. Ianya adalah ruang yang kita buka untuk UMNO menjawab , benarkah perjuangan mereka tidak bertentangan dengan syariat Islam sebagaimana yang telah didakwa oleh Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat . Kalau Khairy ketua pemuda UMNO berani menyambut peluang untuk berhujjah , kenapa Datuk Najib Razak awal - awal lagi menolak cabaran debat tersebut ? Malu Perdana Menteri lagu nih atau Khairy sengaja mahu memalukan Najib ? .

6. Saya masih ragu terhadap kenyataan Khairy yang kononnya bersedia untuk berwacana secara ilmiah dengan pemuda PAS . Kerana sebelum ini sudah 3 kali beliau menolak cabaran kita untuk debat dengan isu Islam , kemerdekaan negara dan penderhakaan terhada institusi raja - raja .

7. Malah Khairy Jamaludin juga pernah memberitahu media bahawa beliau bersedia dan menyambut baik untuk berbincang dan berdebat dengan Yb. Salahudin Ayub sewaktu Yb. Salahudin sebagai Ketua Pemuda PAS pada masa itu mencabar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO [ Hisyamudin Tun Hussein - namun beliau tidak hadhir dan menghantar Khairy sebagai naib Ketua Pemuda masa itu , untuk menerima surat cabaran dari Pemuda PAS ] untuk debat dalam isu PPMSI .

8. Walaupun kali ini Khairy sekali lagi mengatakan beliau bersedia untuk berwacana , saya harap beliau benar - benar turun menyahut wacana kita untuk berhujjah . Jika beliau tidak turun lagi kali ini setelah debat pun beliau tolak dan wacana juga beliau tolak , maka sahlah nanti Khairy seorang yang pengecut . Saya menanti sehingga tarikh seminggu yang kita beri berakhir !

9. Kerana saya masih percaya bahkan sangat yakin bahawa Islam tegak dengan Hujjah dan hujjah senantiasa bersama kebenaran sementara kebenaran itu suatu yang datang dari Allah swt .

10. Hujjahlah kekuatan dan senjata bagi perjuangan Islam bukan emosi yang tidak terkawal dan tindakan yang di luar batas seperti yang sering dilakukan oleh UMNO dan BN sebelum ini , apabila mereka gagal berhujah akhirnya mereka menggunakan ISA , OSA , Akta Cetak dan sebagainya .

Dialog Pemuda PAS & UMNO

Dialog Pemuda PAS dan UMNO
di Kantin Parlimen
[ ini catatan sdr Suhaizan ]

1. Berikut adalah dialog saya (Suhaizan Kayat) Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Pusat dengan YB. Razali Ibrahim Ahli Parlimen Muar, yang jugak Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia di kantin Parlimen pada 1hb Julai 2009, berhubung dengan penurunan pegangan ekuiti bumiputra daripada 30% kepada 12.5 %.

2. Sepanjang perbualan ini YB Razali Ibrahim menjawab penuh emosi dengan menggunakan bahasa rojak (60% BI, 40% BM). Disini saya terjemahkan sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia. Dialog ini adalah berdasarkan kepada fakta perbincangan bukan butiran setiap patah perkataan.

Suhaizan Kayat : Apa pandangan YB berkenaan ekuiti 30% yang diturunkan oleh PM?

YB. Razali Ibrahim : Kita dah beri peluang dalam DEB sebanyak 30% tapi tak boleh capai, sampai bila kita nak tunggu. Pelabur tak mahu datang sebab dasar kita. Kita tak boleh harapkan modal tempatan untuk bangunkan negara kita. Kita terpaksa turunkan.......

Suhaizan Kayat : Sepatutnya kita baiki kelemahan. Mengapa kita gagal. Hanya dapat 19.5 % ekuiti sahaja. Bukannya turunkan ke 12.5% seperti yang diumumkan oleh PM.

YB. Razali Ibrahim : Kita tidak boleh tunggu. Pelabur tidak mahu masuk sebab dasar kita yang ketat. Sepatutunya kita tiru macam Perak. Gunakan kuasa yang ada. Dapat kuasa terus beri tanah kepada siapa yang kita mahu. Kalau kita nak guna kuasa, kita boleh langgar aja. Tapi kesan tidak baik kepada rakyat. PAS pun tak tolong kita untuk perjuangkan isu-isu Melayu.....

Suhaizan Kayat : Saya rasa punca utama kegagalan adalah kerana ketirisan

YB. Razali Ibrahim : (Dengan penuh emosi) Itu awak sentimen. Kerajaan Pakatan pun ada ketirisan. Sebenarnya kita pun tak tahu siapa dapat projek. Bila gagal kerjaan yang disalahkan. Macam tiga jambatan di Muar yang terbengkalai. Kita tidak kenal siapa yang dapat. Bila gagal lari pergi Australia. Kita yang dituduh rakyat terlibat dengan rasuah. Rasuah ni tiada. Ini persepsi rakyat aja.....

Suhaizan Kayat : Habis kalau tak de rasuah. Pemimpin UMNO yang tertangkap dengan politik wang tu macammana.

YB. Razali Ibrahim : Kita pun sokong, Mereka yang ditangkap. Tapi kita pun tak tahu siapa yang dapat. Kita pun tak dapat apa-apa......

Suhaizan Kayat: Salah kerajaan jugak. Dulu diberi peluang dalam DEB untuk capai 30% tapi gagal. Dalam Islam kita utamakan yang memerlukan. Bukannya melayu aja tapi semua bangsa. Kita utamakan orang yang amat memerlukan

YB. Razali Ibrahim : Itu lah yang kita buat sekarang(seperti yang Islam mahu). Sebenarnya orang cina tak mahu kita dapat 30%. Mereka marah kita. Tengok YB Mohammad Taslim menang kerana apa. Sebab cina sokong dia. Kita tiada pilihan . Kita terpaksa buat perubahan .......

Suhaizan Kayat : Macammana pulak dengan orang UMNO. Adakah mereka boleh terima. Sebab dalam Perhimpunan Agong UMNO mereka mahu melayu di utamakan.

YB. Razali Ibrahim : (Dengan penuh emosi) Itu tugas kita Pemuda UMNO. Awak jangan bimbang......

Suhaizan Kayat : Macamana pulak dulu kerajaan suruh capai 30%. Sekarang pulak tukar jadi 12.5%. Kerajaan tak konsisten.

YB. Razali Ibrahim : Itu DEB.....

Suhaizan Kaiat : Jangan pulak nak dapat modal asing . Negara jadi tergadai.

YB. Razali Ibrahim : Tak kanlah kita nak gadai negara. Kita mempunyai perancangan untuk kekang perkara ini. Pelabor akan tinggalkan aset mereka apabila mereka tinggalkan negara kita. Itu jadi hak kita.........

Suhaizan Kayat : Kenapa tak keluarkan strategi ini. Beritahu rakyat

YB. Razali Ibrahim : Mana boleh kita beritahu. .......

4. Perbualan ini terhenti sebab semua kawan-kawan dah nak balik dan susana bertambah panas. Sebelum terbakar mereka ajak saya balik. Saya tidak puashati dengan perbincangan tidak fomal ini. Kerana saya tidak banyak diberi ruang bercakap.

5. Suara YB Razali Ibrahim lebih kuat. Saya tidak menggunakan suara saya yang sebenar. Sebab menjaga adab dan takut terbakar kantin parlimen. Sedangkan suara saya boleh didengar pada jarak ½ KM. Saya teringinkan perdebatan terbuka isu Penurunan Ekuiti 30% antara saya dan YB. Razali Ibrahim dikampung halaman kami Kg. Seri Menanti, Muar. Disitulah YB. Razali Ibrahim dan saya dibesarkan. Soalnya....Beranikah YB. Razali Ibrahim berdebat ?

6. [ komen saya : Nasrudin ...] saya hanya menjadi pemerhati . Rancak mereka berbalas hujjah sehingga yang lain hanya sempat minum air sambil mendengar . Oleh kerana ia berlarutan panjang . Saya kata , jom kita balik dulu , kita sambung dalam wacana yang akan kita adakan nanti dan saya harap salah seorang anggotanya ialah Datuk Razali Ibrahim .

Pengunduran Tentera US dari Iraq

Pengunduran Tentera US di Iraq

1. Dunia Islam menyambut gembira berita pengunduran tentera Amerika Syarikat di bumi Iraq pada 30 Jun 2009 , walaupun ia masih di peringkat permulaan.

2. Pengunduran tentera AS seperti yang dipersetujui dalam perjanjian keselamatan AS-Iraq, menandakan satu langkah pertama ke arah pengunduran semua tentera negara tersebut dari Iraq menjelang 31 Disember 2011.

3. Kita bersama pejuang Islam lainnya juga turut berasa gembira serta mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pejuang pembebasan serta mujahidin di Iraq.

4. Pengambilan alih kuasa oleh tentera Iraq membanggakan rakyat negara ini, namun masyarakat masih khuatir sekiranya tentera kerajaan tidak bersedia, di samping kebimbangan keganasan akan meningkat.

5. Menurut sumber AP, Masyarakat Syiah bimbang lebih banyak insiden pengeboman oleh pejuang Sunah akan dilancarkan, sementara Sunah khuatir tentera keselamatan Iraq yang didominasi Syiah tidak akan memberi perlindungan sepenuhnya kepada mereka. Hal ini sedikit sebanyak menggambarkan betapa kehadiran Amerika di bumi anbiya’ ini telah berjaya mengindoktrinisasi masyarakat bahawa hanya Amerika mampu menghapus pengganas dengan menidakkan faktor sebenar gejala dan fenomena keganasan berlaku sebenarnya.

6. Umat Islam harus bersyukur dengan kemenangan pertama ini disamping berusaha mengekalkan kemerdekaan serta mengisi kemenangan agar selaras dengan erti kemenangan konsep istiqlal dan hurriyyah menurut aspirasi Islam yang sebenarnya.

7. Kita sedar pengunduran Amerika adalah berpunca dari pelbagai faktor dan diantaranya adalah berdasarkan faktor material. Kejatuhan ekonomi Amerika yang terlalu buruk sepenggal yang lalu hingga kini menunjukkan bahawa Amerika Syarikat tidak sanggup lagi menanggung hutang dan bebanan peperangan walaupun industri persenjataan adalah pemberi keuntungan major dalam negara mereka.

8. Faktor desakan rakyat juga semakin menjadi-jadi malah wabak selsema babi yang menular di Mexico, Amerika Syarikat serta Amerika Utara menghilangkan sebahagian ‘mood’ Amerika untuk meneruskan invensi dan pengaliran duit keluar. Senario ini sama seperti keadaan Belanda dan British yang akur memberi kemerdekaan kepada Asia Tenggara akibat hutang maksimum selepas Perang Dunia Kedua.

9. Obama yang kelihatannya berminat dalam hubungan diplomasi positif dengan dunia Islam termasuk Malaysia kini, harus mengotakan janji awalnya untuk mengurangkan jurang pemikiran dan ketegangan diplomasi dunia selepas kempen anti Islam oleh regim Bush.

10. Dalam setiap pengunduran tentera Amerika Syarikat atau regim komunis lain, mereka pastinya meninggalkan untuk mewarisi regim yang menurut acuan pemikiran mereka. Di sinilah kepentingan mujahidin untuk terus sabar dalam membina semula negara menurut dimensi dan metodologi yang lain serta kena dengan persekitaran (waqi’) yang baru.

Pemuda di Astro Awani malam ini

Insyaallah , jika tiada aral yang melintang . Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat sdr. Kamaruzaman bin Mohamad akan ke udara secara langsung malam ini di Astro Awani .

Harap maklumkan kepada semua untuk menyaksikan beberapa penjelasan dari Dewan Pemuda PAS Pusat berkait isu mutaakhir . Semoga Allah bersama perjuangan suci ini sekaligus memartabatkan kebenaran dan menumpaskan kebathilan.

Buat sdr Kamaruzaman . Siiru A'la Barakatillah

Pengalaman Pemuda dalam Debat

1. Debat , bahas , wacana dan diskusi adalah asas pendekatan Pemuda PAS untuk menyelesaikan apa jua masaalah dan isu yang berbangkit .

2. Dewan pemuda PAS bersedia untuk bertemu atau berhadapan dengan siapa sahaja dalam usaha mencari dan menegakkan kebenaran termasuk berhadapan dengan Pergerakan pemuda UMNO .

3. Sebelum ini Dewan Pemuda PAS sewaktu dibawah kepimpinan kekanda saya Yb. Salahudin Ayub pernah merintis jalan bertemu dan mengajak Pergerakan Pemuda UMNO untuk berbincang , berbahas dan berdebat mengenai isu seperti ISA dan PPMSI . Rujuk dan klik di sini : [ video klip - klik sini - cabaran debat Salahudin vs Khairy dalam satu kenyataan media bersama ]

4. Isunya ialah medan untuk berhujjah justeru Islam sangat menggalakkan kita berhujjah dalam mencari kebenaran demikian juga berhujjah dalam menumpaskan kebathilan . Medan untuk berhujjah terlalu luas . Letaklah apa nama sekalipun cuma Pemuda PAS kali ini memilih Wacana Ilmiah sebagai mewujudkan medan untuk berhujjah .

6. Sebelum ini saya sendiri telah berkali - kali mencabar Khairy Jamaludin berdebat tetapi malang beliau tidak pernah menyahutnya .

Pertama : Apakah Malaysia Sebuah Negara Islam ? [ klik ]
Kedua : Benarkah UMNO yang Memperjuangkan Kemerdekaan negara ?
Ketiga : Siapakah penderhaka Sultan ? [ klik ]

7. Kali ini saya tukar . Saya guna Wacana Ilmiah kelihatan lunak pada bahasa atau kalimah tetapi membawa maksud yang sama iaitu membuka medan berhujjah dan saya harap Khairy Jamaludin menerima pelawaan ini setelah ia berkali - kali menolak cabaran debat daripada saya .

5. Apa yang pasti ialah kita diajar menggunakan Quwwatul Mantiq [ kekuatan hujjah ] bukan Mantiqul Quwwah [ Hujjah kekuatan ] . Justeru itu saya sangat komited dengan usaha bertemu dan berhujjah walau atas nama apa sekalipun demi saya menegakkan kebenaran dan menumpaskan kebathilan . Ya Allah berikanlah daku kekuatan .

ها توا برهانكم إن كنتم صادقين

Sila kemukakan hujjah kamu jika sekiranya kamu benar !

Pemuda UMNO Usah Cabar Tok Guru

1. Ekoran dakwaan al Mursyidul Am PAS bahawa UMNO adalah sebuah parti yang sesat seperti Ayah Pin dan komunis , maka Pemuda UMNO Kelantan telah membuat report polis ke atas Tuan Guru Al Mursyidul Am .

2. Kemudiannya Tuan Guru mencabar Najib berdebat mengenai isu ini . Najib nyata tidak berani menyahut cabaran debat tersebut dan saya kira debat itu mungkin tidak jadi .

3. Pemuda UMNO Kelantan sekali lagi tampil mencabar Tuan Guru berdebat dengan mereka kononnya memadailah mereka untuk berdebat dengan Tuan Guru sebagai saringan sebelum mengadakan debat dengan perdana menteri .

4. Saya kira pemuda UMNO Kelantan tidak memahami adab . Jika mereka mahu berdebat sila hantar surat cabar debat kepada Pemuda PAS bukan Tuan Guru al Mursyidul Am . Kerana sememangnya level debat Tuan Guru Mursyidul Am ialah Perdana Menteri . Insyaallah Pemuda PAS bersedia pada bila - bila masa untuk menyahut cabaran debat pemuda UMNO Kelantan .

5. Terdahulu Dewan Pemuda PAS Pusat telah meminta satu Wacana Ilmiah atau Intellectual Discourse diadakan antara Pemuda PAS dengan pergerakan Pemuda UMNO . Kerana saya percaya terlalu banyak perkara yang mesti dibincang secara ilmiah mengikut disiplin ilmu yang benar sebagaimana yang diajar oleh Islam .

6. Pemuda PAS sedang menunggu keputusan dari Pergerakan Pemuda UMNO dan saya mencabar Pergerakan Pemuda UMNO supaya menerima Wacana Ilmiah ini tanpa sebarang sikap yang memutar belit kenyataan dan menimbulkan kekeliruan .

7. Wacana Ilmiah ini akan menjadi medan untuk berhujjah sama seperti di medan debat yang juga menggunakan hujjah dan tentunya hujjah yang benar mesti dipatuhi oleh semua kecualilah ada pihak yang degil dan enggan tunduk kepada kebenaran .

8. Oleh kerana tajuk yang dikemukakan bagi mengadakan wacana ini ialah " Benarkah Perjuangan UMNO bertentangan dengan syariat Islam " maka UMNO mesti menerimanya jika mereka mendakwa perjuangan mereka adalah benar . Benar atau tidak perjuangan mereka mestilah dinilai di atas hujjah ! Ayuh turun berhujjah dengan Pemuda PAS !

9. Saya harap Pemuda UMNO tidak menolak tajuk yang pemuda PAS kemukakan kerana Pemuda UMNO Kelantan terlebih dahulu lantang mencabar Tuan Guru berdebat kononnya bagi membuktikan bahawa perjuangan mereka tidak bercanggah dengan syariat Islam . Sekali lagi saya harap , terimalah tajuk yang pemuda PAS beri dan buktikan perjuangan UMNO tidak salah melalui hujjah dalam wacana yang pemuda PAS cadangkan secara ilmiah .

10. Isu berkait dasar perjuangan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum kita pergi lebih jauh dalam membincangkan perkara - perkara lain . Andai perkara yang mendasari perjuangan sesebuah parti sudah terhindar dan menyeleweng dari petunjuk Allah swt , maka apalah yang boleh kita harapkan untuk menyelesaikan isu - isu nasional yang lain .

11. Tidak ada sebarang pertemuan atau wacana secara tertutup . Syarat Dewan Pemuda PAS Pusat adalah jelas iaitu Wacana Ilmiah Secara Terbuka .

Wednesday, 1 July 2009

Menafikan Kerjasama dengan UMNO

1. Saya menafikan laporan yang dibuat secara salah dari kenyataan dan maksud Dewan Pemuda PAS Pusat sewaktu menyerahkan surat rasmi meminta Pergerakan Pemuda UMNO mengadakan " Wacana Ilmiah secara Terbuka atas isu : Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan dengan Islam " . sebagai menubuhkan sekretariat untuk bekerjasama dengan UMNO .

2. Terdapat laporan dan salah faham berkait dengan tindakan Dewan Pemuda PAS Pusat mengajak Pergerakan Pemuda UMNO untuk mengadakan wacana Ilmiah secara terbuka .

3. Wacana Ilmiah ini satu mekanisme untuk berhujjah seperti debat [ mujadalah ] dan muzakarah . Apa yang penting ialah Pemuda PAS Pusat mahu menyediakan medan dan ruang untuk berhujjah dan tentunya hujjah kita ialah untuk mencari kebenaran berpaksi kepada al Quran dan Sunnah .

4. Wacana Ilmiah lebih kepada satu mekanisme untuk mempertemukan dua pihak dan saling berhujjah secara terbuka untuk mencari kebenaran . Semua mesti tunduk kepada kebenaran dan tiada siapa yang boleh lari dan mengelak diri dari kebenaran dan tentunya yang benar itu ialah apabila ia selaras dengan al quran dan sunnah .

5. Apabila Pemuda UMNO membuat report polis terhadap kenyataan atau dakwaan Al Mursyidul Am yang mengatakan UMNO sesat ertinya UMNO tidak setuju mereka dilabelkan sebagai sesat . Maka Pemuda PAS Pusat menganjurkan wacana Ilmiah sebagai satu medan dan mekanisme untuk berhujjah bagi mencari kebenaran .

6. Laporan yang mengatakan Dewan Pemuda PAS Pusat akan mmenubuhkan seketeriat bagi mengadakan kerjasama dengan Pergerakan Pemuda UMNO adalah laporan yang salah dan tidak benar .

Sekian

Nasrudin bin Hj. Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat .

Wacana Ilmiah Terbuka

1. Hari ini Dewan Pemuda Pemuda PAS Pusat telah menghantar surat rasmi kepada Pergerakan Pemuda UMNO untuk mengadakan Wacana Ilmiah secara Terbuka mengenai isu : Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan Dengan Islam .

2. Surat ini telah diterima oleh Yb. Dato' Razali Ibrahim selaku Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO di Lobi Parlimen sebentar tadi bagi menggantikan Yb. Khairi Jamaludin yang tidak dapat hadhir .

3. Dewan Pemuda PAS Pusat meletakkan tempoh selama 7 hari dari tarikh penyerahan surat tersebut untuk mendapatkan jawapan dari Pergerakan Pemuda UMNO .

3. Ianya mestilah diadakan secara terbuka dan Pemuda PAS mengharapkan agar ia turut dapat disiarkan secara langsung oleh Televisyen Malaysia .

4. Insyaallah , Dewan Pemuda PAS Pusat akan mewujudkan satu Sekteriat Khas sebagai jawatankuasa pelaksana ke arah menjayakan Wacana Ilmiah tersebut . Jawatankuasa Khas ini akan membincangkan mengenai format Wacana Ilmiah tersebut demikian juga mengenai tarikh , tempat dan masa .

5. Saya sertakan kandungan surat rasmi Dewan Pemuda PAS Pusat kepada Khairi Jamaludin Ketua Pergerakan Pemuda UMNO di sini .

Kepada :

Yb. Sdra Khairi Jamaludin
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO
Ibu Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Tingkat 28 , Menara Dato' Onn
Jalan Tun Ismail 50480 Kuala Lumpur .

Saudara Yb.

WACANA ILMIAH TERBUKA :
BENARKAH PERJUANGAN UMNO TIDAK BERTENTANGAN DENGAN ISLAM

Perkara diatas adalah dirujuk

Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Pusat dengan ini mengajak Yb sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk mengadakan Wacana Ilmiah Terbuka mengenai isu yang tercetus mutakhir ini berkait dengan perjuangan UMNO , benarkah ia tidak bertentangan dengan Islam .

Saya mencadangkan kepada pihak Yb. untuk kita berbincang secara terbuka dengan mengemukakan 4 [ empat ] wakil daripada Pemuda UMNO dan 4 [ empat ] wakil daripada pemuda PAS .

Saya menyerahkan pemilihan tarikh , tempat dan masa yang sesuai kepada pihak Yb. dan mencadangkan supaya ianya diadakan langsung di mana - mana saluran televisyen .

Saya berharap Yb. dapat memberikan jawapan dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat ini .

Sekian Terima Kasih

Yang Menjalankan Amanah

Nasrudin bin Hj. Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat .

s.k ; Setiausaha Agung PAS

Himpunan Raksasa Pemuda PAKATAN

1. Insyaallah , satu Himpunan besar - besaran Pemuda PAKATAN Rakyat akan diadakan di Kampung Sungai Sok Manek Urai Kelantan pada 5 hb Julai 2009 [ Ahad ] jam 9.00 Malam .

2. Himpunan ini adalah satu perhimpunan yang akan mengumpulkan seluruh rakyat khasnya pemuda untuk mendengar beberapa isu semasa dan sekali gus membangkit semangat juang para pemuda untuk memenangkan PAKATAN yang diwakili oleh PAS di pilihanraya kecil DUN Manek Urai .

3. Semua hadhirin dan hadhirat serta pemuda dan pemudi dijemput hadhir bagi menjayakan majlis bersejarah ini dan mendapatkan penjelasan isu terkini dari pimpinan pemuda .

4. semua sahabat cyber agar dapat siarkan maklumat ini di mana sahaja laman cyber milik anda dan sebarang bentuk sebaran kepada umum agar kelak tiada siapa yang ketinggalan maklumat mengenai himpunan besar ini .

5. Selamat berjuang dan Insyaallah kita menang di Manek Urai .