HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, August 31, 2009

Perarakan Kepala Lembu

1. Saya tidak ralat dengan perarakan dan perhimpunan yang diadakan secara aman . Kalau salah pun , hanyalah menurut kacamata PDRM . Tapi peliknya , perarakan membawa kepala lembu bagi membantah pembinaan kuil di Shah Alam baru - baru ini tidak pula dihalang oleh polis .

[ Mungkin kerana mereka membawa kepala lembu membuatkan polis kehilangan idea untuk bertindak :( ]

2. Salah dan benarnya sesuatu tindakan banyak bergantung kepada tujuan dan matlamat tindakan itu diambil . Justeru itu , penting dilihat kepada kenapa perarakan atau perhimpunan itu dilakukan ?

3. Perlu jua dilihat kepada kewajaran dan kesesuaian sebagai faktor sokongan untuk menilai salah dan benarnya tindakan . Tindakan semborono yang hanya didorong oleh emosi atau provokasi pihak tertentu adalah satu contoh tindakan yang tidak memiliki kewajaran untuk dilaksanakan .

4. Setelah saya melihat isu berbangkit dan menilainya , saya berpendapat bahawa isu perpindahan kuil di Shah Alam ini masih boleh dirunding dan dibawa berbincang dengan tenang dan semangat harmoni sesama anggota masyarakat yang sememangnya berbilang kaum tanpa perlu mencetuskan ketegangan kaum .

5. Pihak kerajaan negeri Selangor hanya perlu kemukakan asas kewajaran kuil itu dibina atau dipindahkan ke Seksyen 23 Shah Alam sementara penduduk mestilah menilai terlebih dahulu kewajaran itu dengan rasional sebelum bantahan atau perarakan seperti itu dilakukan .

6. Pembinaan kuil atau mana - mana rumah ibadah yang diperlukan penganut agama masing - masing di dalam negara ummat Islam tidak lah salah menurut pandangan Islam asal sahaja ia tidak menganggu hak orang ramai atau ketenteraman awam dan tidak pula keterlaluan iaitu melebihi keperluan dan kapisiti penganut agama tersebut .

7. Islam menghormati hak mereka beragama dan memiliki rumah ibadah , maka saya melihat isu yang sedang berlaku di Selangor hari ini adalah soal teknikal yang mesti ditangani dengan cermat dan bijak . Semua pihak mesti tenang dan lapang . Jangan terpengaruh dengan sebarang provokasi kaum yang hanya mahu mencetuskan ketegangan dan mereka kelak akan menangguk di air keroh .

8. Perarakan dan perhimpunan aman adalah satu bentuk bantahan setelah jalan rundingan buntu sedang perkara tersebut mempunyai alasan yang kukuh untuk dibantah seperti ianya bertentangan secara qatei dengan nas syara' seperti akta tangkap orang tanpa bicara ISA .

9. Sekali lagi saya tegaskan bahawa Islam tidak bermusuh dengan sesiapa semata - mata kerana agamanya berbeza dengan Islam . Islam hanya akan bangkit menentang dan menyerang bersama saff pejuang - pejuangnya apabila Islam dihina dan diperlekeh sebagaimana Islam sangat menghormati siapa jua yang menghormati dan memelihara kesucian Islam .

10. Jangan cemari kesucian agama Islam dan mendorong orang salah faham terhadap dasar dan prinsip agama dengan tindakan yang menyalahi kehendak agama Islam itu sendiri . Saya pesan perkara ini samaada kepada pihak yang mengadakan perarakan mahupun pihak kerajaan .

Sempadan Kemerdekaan

Perutusan Kemerdekaan
Sedikit Renungan
Buat Anak Muda Negara .


1. Negara kita telah Merdeka . Merdeka sejak lama dulu . Kita selaku anak - anak muda negara belum lagi dilahirkan detik laungan merdeka bergema . Bebas dari belenggu pemerintahan penjajah .

2. Kita hanya mampu membaca sejarah . Menelusuri kronologi berdarah para pejuang kemerdekaan yang mempertaruhkan jasad dan nyawa demi masa depan negara .

3. Ramai dikalangan kita mengetahui erti kemerdekaan melalui pembacaan namun tidak mungkin kita mampu mencapai tahap menghayati kemerdekaan melalui pengalaman juang yang direntas oleh para pejuang - pejuang negara . Oleh kerana kita ditakdir hidup di zaman selepas merdeka , maka saya melihat kita mesti mencipta sejarah kemerdekaan yang tersendiri .

4. Kemerdekaan negara dari belenggu pemerintahan dan penjarahan penjajah telah berjaya dicapai oleh orang terdahulu dan kita tiada pada waktu itu maka tiada apa yang boleh kita lakukan . Namun berjuang untuk kemerdekaan tidak terhad memerdekakan negara dari belenggu pemerintahan penjajah Inggeris semata - mata . Perlu diingat , hasrat pejuang - pejuang kemerdekaan yang sanggup mengorbankan darah dan nyawa mereka bukan terhenti setakat menghalau Inggeris pulang ke kampung mereka tetapi turut melihat bagaimana negara ini pula dibangunkan oleh generasi muda hari ini .

5. Apalah ertinya merdeka setelah Inggeris pulang bergaya , kini anak bangsa sendiri seperti masih terkial - kial mencari identiti diri . Tamaddun yang dibina hanya bersendikan material dengan asas pembangunan dan kemajuan , tetapi malangnya tamaddun ini kering gersang dari pertumbuhan spiritual dan moral berbanding kepesatan material .

6. Mudahnya saya sebut , apalah ertinya negara memiliki bangunan - bangunan mencakar langit tetapi di celah - celahnya penuh dengan penagih dadah , pelacuran , arak , casino , kelab malam , rasuah , penyalahgunaan kuasa , pengangguran , ah Long , peras ugut , penipuan , pecah amanah , pengkhianatan , dan 1001 mungkar yang boleh meruntuhkan tamaddun yang dibina .

7. Membina tamaddun berasaskan material [ atau tamaddun batu ] adalah mudah , tetapi membina tamaddun manusia [ tamaddun jiwa ] sekaligus bebas dari minda penjajah adalah tamaddun sebenar ummat yang merdeka .

8. Merdeka kepada anak muda hari ini bukan lagi merdeka dari pemerintahan penjajah tetapi merdeka dari minda yang mundur dan sempit kepada sebuah keyakinan terhadap kehidupan yang maha luas di dunia dan sampai ke akhirat . Merdeka dari perhambaan sesama hamba kepada perhambaan kepada Tuhan yang mencipta hamba dan seluruh alam cakrawala ini . Merdeka dari kezaliman dan kesongsangan ideologi ciptaan manusia kepada keadilan Islam dan wahyu yang diturunkan oleh Allah swt .

9. Anak muda yang merdeka ialah mereka yang tidak mengizinkan dirinya hanyut tidak menentu arah dengan pelbagai kelalaian dan keasyikan semata - mata memuaskan keinginan duniawi [ dunia ] tanpa melaksanakan tanggungjawab membangunkan jiwa , minda , masyarakat dan negara selari pula dengan tuntutan ukhrawi [ akhirat ] .

10. Anak muda yang masih tersepit dalam arus budaya asing dan hidup bersiangan tanpa arah tuju hidup yang jelas didorong dan digesa agar segera keluar dari arus yang membinasakan masa depan diri sendiri dan jua masa depan negara . Marilah kita merdekakan diri kita bukan sekadar berbangga dengan kemerdekaan yang dicapai oleh generasi terdahulu .

Saturday, August 29, 2009

Paling tidak ... Hormati Ramadhan

1. Islam tidak datang untuk mengharamkan hiburan , justeru itu tidaklah pula DPPP mengharamkan hiburan . Cuma Islam datang membawa risalah pemulihan dan penyempurnaan . Maka DPPP mengambil langkah yang telah ditetapkan oleh syara' dalam membentuk sikap terhadap hiburan .

2. Hiburan yang mendamaikan hati malah menyuburkannya tanpa sebarang elemen yang leka dan lagha sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim dan mencetus suasana yang tidak islamik adalah hiburan yang dibenarkan .

3. Sementara hiburan yang diiringi dengan muzik yang hingar bingar , pula mengarah kepada pergaulan bebas lelaki dan perempuan dengan penampilan yang menjolok mata adalah hiburan yang jelas diharamkan oleh agama .

4. Hiburan yang mematikan jiwa dengan memuja nafsu dan mengeksploitasi suara manja penyanyi wanita , ditambah pula dengan pakaian dan lenggok tari yang menggiurkan juga merupakan hiburan yang diharamkan oleh agama .

5. Apabila Islam mengharamkan perkara ini , bukan bermakna Islam hanya tahu menghukum tetapi disebalik hukum tersebut tersimpan sejuta hikmah untuk membentuk jiwa dan peribadi yang hebat dan tidak hanyut dibuai fantasi

6. Berhibur pula ada batas . Contoh mudah dalam bulan Ramadhan . Ramadhan adalah bulan mulia . Bulan ibadah dan bulan taqwa . Tentu sahaja hiburan yang keterlaluan amat tidak sesuai. Sebagai contoh program hiburan Sehati Berdansa adalah sangat bercanggah dengan amalan murni Islam . Tambah pula diulang tayang dalam bulan Ramadhan .

7. Hiburan yang menampilkan tarian dan pakaian seperti itu sebenarnya di bulan apa pun tetap salah dari sisi agama . Cuma maksud saya , paling tidak hormatilah Ramadhan . Jangan rosakkan mood Ramadhan untuk ummatnya beribadah dengan hiburan sedemikian .

8. Puasa tak sampai seminggu , TV sudah riuh rendah dengan hiburan kononnya persiapan nak sambut Aidil Fitri . Penuh dan sarat dengan nyayian dan tarian yang diselang seli dengan tazkirah dan tilawah al Quran . Saya lihat seperti ianya sedang mempersenda agama Islam .

9. Manalah pergi pengarah JAKIM dan Pengerusi IKIM . Menteri yang jaga agama buat apa ? Justeru itu saya desak supaya kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti hiburan melampau khasnya di bulan Ramadhan . Begitu juga sambutan 31 ogos kelak yang kebetulannya jatuh di bulan Ramadhan , jangan anjurkan konsert dan pesta hiburan . Hormatilah kemuliaan Ramadhan .

10. Ingatlah syurga neraka dan dosa pahala . Jangan hanya kerana mahu berhibur kita lalaikan hati dari mengingati Allah swt. Jika di bulan Ramadhan pula ummah dalam keadaan lalai dan alpa saya tidak nampak dibulan lain keadaan menjadi lebih baik .

Friday, August 28, 2009

Arak Ibu Segala Maksiat

1. الخمر أم الخبائث
Khamar [ arak ] itu adalah ibu segala kejahatan

Riwayat At tabarani

Beza antara manusia dengan binatang ialah aqal . Kerana aqal manusia ditaklifkan dengan tanggungjawab pengabdian diri kepada Allah swt . Aqal jua meletakkan manusia waras bertindak dan merencana . Justeru itu , demi meletakkan manusia dalam kewarasan maka Islam mengharamkan arak dan segala perkara yang memabukkan .

2. Pengharaman arak adalah bersifat ijma' dan qatei . Sabit dalil dari nas al quran [ surah al Maaidah : Ayat 90 - 91 ] sementara nas daripada hadis Nabi saw , antaranya ialah :

ما أسكر كثيره فقليله حرام

Apa yang banyaknya memabukkan maka yang sedikitnya adalah haram.

Riwayat Ahmad , Abu Dawud , At Tarmizi , Ibnu Majah dan Ibnu Hibban.

ثلاثة قد حرم الله عليهم الجنة مدمن الخمر و العاق و الديوث الذي يقر الخبث في أهله

Tiga golongan orang yang telah diharamkan Allah memasuki syurga : iaitu penagih arak , orang menderhakai ibu bapanya dan orang yang dayus iaitu orang yang membiarkan kejahatan dalam keluarganya .

Riwayat Ahmad , al Haakim dan al Baihaqi

لعن النبي صلى الله عليه وسلم في الخمر عشرة عاصرها و معتصرها و شاربها و حاملها
و المحمولة إليه وساقيها و بائعها و أكل ثمنها و المشترى لها و المشترى له

di riwayatkan dari Anas rha bahawa rasulullah saw bersabda : [ dalam hal arak ini ada sepuluh orang yang dilaknat oleh Allah swt : pembuatnya , pengedarnya , peminumnya , pembawanya , pengirimnya , penuangnya , penjualnya , pemakan wang hasilnya , pembayar dan pemesannya .]

Riwayat Ibnu Majah dan at Tarmizi

3. Hukuman atas pesalah arak .

Tiada khilaf dikalangan ulama' menegenai bentuk hukuman iaitu rotan atau sebatan yang wajib dijatuhkan ke atas mereka yang bersalah meminum arak , cuma yang di perselisihkan dikalangan ulama' ialah jumlah sebatan .

4. Asy Syafie berpendapat jumlah sebatan ialah 40 kali . Pendapat ini berdasarkan kepada hadis nabi yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Saidina Ali karramallahuwajhah merotan al walid bin Uqbah sebanyak 40 kali sebatan kemudian beliau [ Ali rha ] berkata :

جلد رسول الله صلى الله عليه وسلم أربعين و أبو بكر أربعين و عمر ثمانين و كل سنة و هذا أحب إلي

Rasulullah saw telah merotan 40 kali rotan , Abu Bakar merotan 40 kali dan Umar merotan 80 kali , semuanya berdasarkan sunnah dan saya lebih menyukai ini [ 40 kali rotan ]

Riwayat Imam Muslim

Hukuman 40 kali terhadap peminum arak ini disetujui oleh Dawud az Zahiri dan Abu Thaur . Sementara Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya , Imam Malik , al Laith , ahlil Bait dan satu pendapat lain dari Asy Syafie menetapkan bahawa hukuman ke atas peminum arak ialah 80 rotan . Mereka mengatakan hukuman 80 rotan adalah suatu yang telah diijma' oleh para sahabat rhm berdasarkan hadis Anas rha.

Telah dibawa kepada Rasulullah saw seorang peminum arak , maka rasulullah saw memukulnya dengan sandalnya [ selipar ] sebanyak lebih kurang 40 kali kemudian Abu Bakar dibawa kepada peminum arak , maka beliau berbuat seperti itu juga . Kemudian dibawa peminum arak kepada Umar , lalu beliau bermesyuarat mengenai hukuman had ini . Ibn Auf [ Abdur Rahman ] berkata : sekurang - kurang hukum hudud ialah 80 kali pukulan , maka Umar memukul peminum arak tadi 80 kali pukulan .

Riwayat Ahmad , Muslim , Abu Dawud dan At tarmizi

5. Alat untuk Merotan

Tidak sabit dalam dari Rasulullah saw bahawa baginda menetapkan alat - alat tertentu untuk memukul peminum Arak . kadang - kadang baginda memukul dengan selipar , kadang - kadang dengan pelepah tamar , kadang - kadang dengan rotan dan pelepah tamar , kadang - kadang dengan tangan dan selipar seperti di riwayat berikut .

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم جلد في الخمر بالجريد و النعال و جلد أبو بكر أربعين

Bahawa rasulullah saw memukul dalam hukuman meminum Arak dengan pelepah tamar dan selipar dan Abu Bakar memukul 40 pukulan .

Muttafaqun Alaih

Abu Said berkata : Pada zaman rasulullah saw , hukuman meminum arak dipukul 40 kali dengan dua selipar maka pada zaman Umar beliau menggunakan cemeti sebagai ganti tiap - tiap satu selipar.

Riwayat : Ahmad

6. Tindakan merotan sekuat - kuat dengan menggunakan rotan yang besar dan mencederakan dengan satu kecederaan yang parah adalah suatu yang bercanggah dengan kaedah sebatan dalam Islam .

7. Justeru itu ada 2 perkara yang perlu dilihat semula , pertama berkait dengan jumlah sebatan dan kedua ialah cara sebatan .

8. Walaupun Islam meletakkan meletakkan jumlah yang besar iaitu 40 hingga 80 , ia tidaklah membawa kecederaan sebagaimana hanya 6 sebatan mengikut undang - undang manusia di mahkamah sivil .[ rujuk gambar ]

9. Saya dapat satu info dari sahabat dengan membawa satu frasa yang menarik :

Islam kata , orang Islam yang didapati bersalah minum arak harus dirotan mengikut syariat Islam . Rotan tidak menyiksa tetapi untuk pengajaran . Sementara saintis bukan Islam pula kata merotan boleh merawat mereka yang ketagih arak .

Dr Marina Chuhrova [ saintis Rusia ] menyatakan bahawa beliau mempunyai pesakit tetap seramai 10 orang yang memerlukan rawatan merotan ini . Menurut beliau pada mulanya mereka tidak suka kaedah ini tetapi apabila mereka merasai kebaikannya , mereka mula gemar pada kaedah rawatan sebegini [ rotan ] . Malah mereka sanggup pula membayar sekitar RM 400 untuk satu sessi rawatan .

10. ...... Biologist Dr Sergei Speransky who led the research claims corporal punishment , similar to that doled out regularly in British Schools in the last century , helps people overcome addiction and depression. He confirms he is not a sadist even though he recommend caning and says the treatment work . A standard treatment course entails 30 sessions with 60 of the best .

....... The Russian team says they are now charging for caning sessions and are getting over U.S $ 100 per patient for a standard treatment .


Monday, August 24, 2009

Hukum Dedahkan Kesalahan Pemimpin

Hukum Mendedahkan Kesalahan Pemimpin

Hukum mengumpat

Mengumpat ialah mendedahkan sesuatu perkara yang betul-betul ada pada seseorang yang tidak disenangi penghebahannya oleh orang tersebut sama ada perkara tersebut adalah perbuatan atau sifat kejadian.

Hukum asal kepada mengumpat adalah haram kerana dengan mengumpat, aib seseorang muslim itu akan didedahkan kepada orang ramai sedangkan Islam mewajibkan para muslim untuk menyembunyikan aib seseorang.

Namun di dalam beberapa keadaan mengumpat dibenarkan oleh Islam.

Al-Imam Al-Ghazali dan Al-Imam Al-Nawawi[1] mendedahkan kepada kita 6 keadaan perbuatan mengumpat itu dibolehkan oleh Syarak. Kesimpulannya adalah seperti berikut

1. Orang yang dizalimi membuat aduan kepada pihak pemerintah seperti Khalifah dan hakim ataupun kepada orang yang mempunyai kemampuan berkaitan dengan individu yang menzaliminya agar kezaliman itu akan dibanteras.

2. Perbuatan mengumpat itu adalah bertujuan untuk membasmi kemungkaran seperti apabila seseorang berkata kepada orang yang mempunyai kemampuan untuk mengubah kemungkaran "Si Fulan melakukan kemungkaran maka cegahlah ia daripada kemungkaran tersebut". Namun hendaklah niat mengumpat tadi semata-mata kerana ingin mencegah kemungkaran.

3. Meminta fatwa daripada seorang mufti yang mana orang yang bertanya terpaksa menggunakan umpatan bagi menjelaskan masalahnya kepada sang mufti. Contohnya si penanya bertanya "Ayah saya menzalimi saya kerana sebab begini dan begini. Bagaimanakah cara untuk saya mendapatkan hak saya?"

4. Memberikan peringatan kepada para muslim terhadap kejahatan seseorang agar setiap orang dapat menghindari kejahatannya.

5. Apabila seseorang itu menzahirkan kemungkaran yang dilakukannya. Maka ketika itu tidak mengapa seandainya kita menghebahkan kepada masyarakat kejahatan yang dilakukannya kerana dia sendiri telah pun menzahirkan kejahatannya secara terang-terang. Walaubagaimanapun kejahatan yang dibenarkan untuk didedahkan hanyalah perbuatan munkar yang dilakukannya secara terang-terangan. Adapun kejahatan lain yang dilakukannya secara bersembunyi maka haram hukumnya untuk didedahkan kepada masyarakat umum.

6. Mengumpat dengan tujuan mengenali seseorang. Apabila seseorang individu dikenali dengan sesuatu aib yang ada pada dirinya maka kita boleh menggunakan gelarannya yang merupakan aib tersebut atas tujuan untuk mengenali orang tersebut. Namun kebenaran ini dibolehkan dengan syarat si pemilik aib tersebut tidak merasa marah dengan gelaran aib yang disandarkan kepadanya selepas gelaran tersebut dikenali oleh orang ramai.

Kesimpulan

Hasil daripada 6 keadaan yang dibolehkan mengumpat ini, kita dapati bahawa mendedahkan kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah UMNO pada hari ini adalah dibenarkan oleh Syarak atas sebab-sebab berikut:

1. Kemungkaran yang dilaksanakan oleh pemimpin UMNO pada hari ini seandainya tidak didedahkan kepada masyarakat, maka masyarakat akan tertipu dengan zahir kebaikan mereka lantas mereka akan memilih UMNO sebagai parti yang memerintah. Namun apabila penyelewengan pemimpin-pemimpin UNMO didedahkan kepada masyarakat, maka ia akan mendorong mereka untuk menggantikan pemimpin-pemimpin lain yang amanah terhadap Islam dan rakyat.

Ini bermakna tindakan mendedahkan kesalahan mereka adalah kerana ingin mengelakkan masyarakat daripada ditimpa oleh kejahatan mereka yang tidak mahu meletakkan Islam sebagai pemutus kepada setiap keputusan negara.

Al-Imam Al Nawawi menyatakan di dalam syarah Sohih Muslim contoh-contoh ghibah dan umpatan yang dibenarkan:
ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمن له عليه ولاية ليستدل به على حاله
فلا يغتر به ويلزم الاستقامة
Maka kalaulah pada zaman Khilafah Islamiah, seseorang rakyat boleh mendedahkan kepada Khalifah keburukan para menteri yang berada dibawahnya yang tidak amanah dengan harapan khalifah dapat menegurnya ataupun menggantikannya dengan menteri yang baru, maka kita pada hari ini boleh untuk mendedahkan kepada rakyat kezaliman pemerintah dan tidak amanahnya mereka terhadap Allah dan rakyat kerana rakyat berkuasa untuk menjatuhkan pemimpin seperti ini di dalam pilihanraya di bawah sistem demokrasi pada hari ini.

2. Kemungkaran yang dibuat oleh pimpinan UMNO pada hari ini kebanyakannya dibuat secara terang-terangan. Maka ketika itu Islam tidak melarang mana-mana individu untuk mendedahkan kejahatan yang dilakukan secara zahir tersebut kepada rakyat dan orang awam.

Al Iman Al-Ghazali berkata:

وكانوا يقولون ثلاثة لا غيبة لهم الإمام الجائر والمبتدع والمجاهر بفسقه

Maka ini dengan jelas membuktikan bahawa pemerintah yang zalim, mendedahkan kezaliman mereka adalah dibenarkan agar masyarakat dapat selamat daripada kezaliman mereka. Pemerintah yang zalim juga telah pun membuat kezaliman tersebut secara terang-terangan.

Dari konsep kenegaraan pada hari ini, menyelamatkan masyarakat daripada kezaliman pemerintah adalah dengan cara tidak memberikan undian kepada mereka pada musim pilihanraya.
3. Pendedahan kejahatan para pemerintah pada hari kepada masyarakat adalah atas sebab kita ingin meminta bantuan masyarakat untuk mengubah kezaliman pemerintah dengan cara menjatuhkan mereka di dalam sistem demokrasi yang digariskan oleh perlembagaan Malaysia.

Penutup
Walaupun kita dibenarkan mendedahkan kepada rakyat kejahatan dan kezaliman para pemimpin yang zalim, namun keharusan ini hendaklah atas dasar ingin mencegah kemungkaran iaitu membiarkan kuasa penentu adalah ditangan manusia dan bukannya Islam.
Namun, seandainya kemungkaran yang dilakukan oleh para pemimpin adalah kemungkaran yang hanya berkait antara dia dan Allah yang tidak melibatkan sebarang kezaliman kepada insan lain atau rakyat seperti berzina dan minum arak, maka haram hukumnya kita mendedahkan kejahatan yang disembunyikan oleh pemimpin tersebut kerana dengan menyebarkan kepada masyarakat umum, ini akan mendedahkan aib seseorang itu. Selagi mana kemungkaran itu tidak dilakukan secara terang-terangan maka kita tidak boleh mendedahkannya kepada masyarakat.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang menutup keaiban seseorang Muslim, nescaya Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat kelak." (Hadis riwayat Muslim)

Menjelaskan mengenai perbuatan mendedahkan keaiban ini, Ibn Hajar dalam Kitab Fath al-Mubin membahagikan manusia kepada dua golongan,

pertama ialah orang yang tidak pernah disebut melakukan kejahatan atau kemungkaran; jika terdengar atau diketahui bahawa mereka melakukan sesuatu kemungkaran, maka tidaklah harus didedahkan atau diperkatakan.Jika tetap diperkatakan atau didedahkan juga kemungkaran yang didengari itu, maka ia menjadi umpat yang hukumnya haram dan amat berat dosanya.

Kedua , orang yang sudah terkenal dengan kejahatan atau kemungkarannya secara terang-terangan, malahan tidak mempedulikan sebarang nasihat diberikan dan tidak malu melakukan kejahatan secara terbuka; harus didedahkan keaibannya. Mendedah dan bercakap mengenai kejahatan mereka dalam situasi ini tidak lagi dianggap mengumpat.

Malah ada kalanya wajib didedahkan kejahatannya kepada orang ramai, supaya mereka sentiasa berwaspada dengan tingkah lakunya kerana jika didiamkan tentulah ia bermaharajalela dan kejahatannya semakin hari akan bertambah sehingga membahayakan masyarakat.

[1] Nas Al-Imam Al-Nawawi adalah seperti berikut:
قال الإمام النووي في شرح مسلم باب تحريم الغيبة:

"والغيبة ذكر الانسان في غيبته بما يكره واصل البهت أن يقال له الباطل في وجهه وهما حرامان لكن تباح الغيبة لغرض شرعي وذلك لستة أسباب

أحدها التظلم فيجوز للمظلوم أن يتظلم الي السلطان والقاضي وغيرهما ممن له ولاية أو قدرة علي انصافه من ظالمه فيقول ظلمني فلان أو فعل بي كذا

الثاني الاستغاثة على تغيير المنكر ورد العاصي إلى الصواب فيقول لمن يرجو قدرته فلان يعمل كذا فازجره عنه ونحو ذلك

الثالث الاستفتاء بأن يقول للمفتي ظلمني فلان أو أبي أو أخي أو زوجي بكذا فهل له ذلك وما طريقي في الخلاص منه ودفع ظلمه عني ونحو ذلك فهذا جائز للحاجة والاجود أن يقول في رجل أو زوج أو والد وولد كان من أمره كذا ومع ذلك فالتعيين جائز لحديث هند وقولها أن أبا سفيان رجل شحيح

الرابع تحذير المسلمين من الشر وذلك من وجوه
· منها جرح المجروحين من الرواة والشهود والمصنفين وذلك جائز بالاجماع بل واجب صونا للشريعة
· ومنها الاخبار بعيبه عند المشاورة في مواصلته
· ومنها اذا رأيت من يشتري شيئا معيبا أو عبدا سارقا أو زانيا أو شاربا أو نحو ذلك تذكره للمشتري اذا لم يعلمه نصيحة لا بقصد الايذاء والافساد
· ومنها اذا رأيت متفقها يتردد إلى فاسق أو مبتدع يأخذ عنه علما وخفت عليه ضرره فعليك نصيحته ببيان حاله قاصدا النصيحة
· ومنها أن يكون له ولاية لا يقوم بها على وجهها لعدم أهليته أو لفسقه فيذكره لمن له عليه ولاية ليستدل به على حاله فلا يغتر به ويلزم الاستقامة

الخامس أن يكون مجاهرا بفسقه أو بدعته كالخمر ومصادرة الناس وجباية المكوس وتولي الامور الباطلة فيجوز ذكره بما يجاهر به ولا يجوز بغيره الا بسبب آخر

السادس التعريف فاذا كان معروفا بلقب كالاعمش والاعرج والازرق والقصير والاعمى والاقطع ونحوها جاز تعريفه به ويحرم ذكره به تنقصا ولو أمكن التعريف بغيره كان أولى والله اعلم"

Bantah Konsert Michael Learns To Rock

BANTAH KONSERT MICHAEL LEARNS TO ROCK -
ETERNITY TOUR 2009:
LIVE IN MALAYSIA
PADA 5 SEPTEMBER INI,
DI ARENA OF STARS, GENTING HIGHLANDS.

1. Dewan Pemuda PAS Pusat mengutuk sekeras–kerasnya tindakan jemaah menteri meluluskan konsert Michael Learns to Rock - eternity tour 2009 : live in malaysia yang bakal berlangsung di arena of stars, genting highlands pada 5 september 2009 ini.

2. Konsert ini adalah suatu penghinaan besar kepada negara Malaysia dan umat Islam yang sedang menyambut bulan Ramadhan al Mubarak kini. Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mengutuk sekeras-kerasnya jemaah menteri yang membuat keputusan ini. Dimana ia adalah suatu tindakan yang kurang ajar dan penghinaan besar terhadap ummat Islam di Malaysia.

3. Ini menunjukkan tidak ada sedikit pun rasa hormat dan sensitiviti kerajaan UMNO/BN terhadap perasaan majoriti umat Islam dan warga pribumi di negara ini. Tarikh 05 September 2009 adalah suasana penting bagi negara ini khasnya ummat Islam yang sedang menyambut bulan ramadhan.

4. Pertama , ummat Islam sedang menghadapi bulan ibadah yang penuh kemuliaan dan keberkatan. Sepatutnya ia tidak dicemari oleh konsert seperti ini yang membawa masuk sekumpulan artis luar negara yang tentunya tidak mempunyai langsung sensitiviti terhadap masyarakat tempatan. Pastinya konsert ini akan membawa ummat leka dan lalai malah merosakkan moral dan akhlak mereka.

5. Kedua , berhadapan pula dengan ulangtahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos. Lazimnya pihak kerajaan menganjurkan majlis tahlil di seluruh negara dan forum untuk motivasi rakyat khasnya anak–anak muda supaya mewarisi semangat patriotisme.

6. Konsert seperti ini sekali lagi tidak akan membantu motivasi rakyat untuk menjadi rakyat yang baik, bermoral dan berdaya saing, sebaliknya hanya melemahkan moral dan mental mereka sekaligus mengheret mereka tenggelam dibawah gelora nafsu.

7. Dewan Pemuda PAS Pusat mempersoalkan tindakan Kerajaan UMNO/BN, di mana pemimpin-pemimpin UMNO yang kononnya hendak memperjuangkan nasib umat Islam dan kaum Melayu di negara ini. Khasnya, di mana peranan dan keperihatinan Pemuda UMNO terhadap isu ini, sedangkan ini juga adalah satu penghinaan besar terhadap agama Islam.

8. Dewan Pemuda PAS Pusat tegas menyatakan sikap, bahawa konsert seperti ini mesti dibatalkan segera dan ini adalah amaran keras kepada pihak penganjur agar tidak mencabar sensitiviti ummat Islam. Andai mereka tidak peduli amaran ini, Dewan Pemuda PAS Pusat tidak teragak–agak akan mengerahkan seluruh pemuda Islam agar turun membantah Konsert tersebut daripada terus berlangsung.

9. Di sini, kami Pemuda PAS mencabar Pemuda UMNO untuk sama-sama membantah penganjuran konsert maksiat ini.Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyeru dan mengajak NGO-NGO Islam seperti GPMS, PPIM, PEKIDA, ABIM, JIM, TERAS dan GAMIS turut bersama-sama membantah konsert tersebut. Ini bukan untuk kepentingan politik tetapi melibatkan maruah dan harga diri ummat Islam.

10. Jika begini terus menerus sikap kerajaan UMNO/BN, mereka bukan sahaja jauh dari rahmat dan berkat Ilahi tetapi InsyaAllah akan terus dibuang dan dihumban oleh rakyat yang semakin hari semakin jelak dan muak dengan sikap berpura–pura Islam mereka.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga turut menggesa agar majlis fatwa dan para mufti menunjuk sikap dan menyuarakan bantahan mereka terhadap kerajaan Pusat yang membenarkan penganjuran pesta maksiat ini agar mereka tidak hanya responsif terhadap isu seperti kenyataan di manipulasi pihak media terhadap YAB Dato Tuan Guru Nik Aziz tempuh hari, tetapi diharap turut menunjuk peranan majlis fatwa itu sendiri bagi membersihkan bumi malaysia ini dari maksiat dan mungkar tajaan kerajaan UMNO/BN.

Syurga dan Neraka : Calon - calonnya ...

1. Umno dan BN sangat konsisten menyerang Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Anwar Ibrahim . Mereka menggunakan pelbagai sarana termasuk TV dan surat khabar tanpa henti . Secara politiknya , serangan itu dianggap usaha untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat dan sekaligus melumpuhkannya.

2. Rupanya UMNO dan BN terlalu rapuh dan lemah . Saat ghairah mereka menyerang peribadi kedua - dua tokoh pemimpin itu , kelihatan mereka begitu gah dan perkasa menghunus segala senjata yang mereka miliki untuk menjatuh dan membunuh karektor lawan mereka . Namun sesekali berpeluang Pakatan Rakyat membongkar segala penyelewengan dan kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin UMNO dan BN , jelas mampu membuatkan mereka menggelumpur .

3. Terbaru apabila Tuan Guru menegaskan bahawa pengamal - pengamal Islam palsu tidak boleh masuk syurga . Suatu kenyataan membuatkan pemimpin UMNO dan BN seperti kehilangan arah lalu melepaskan peluru tabur kesegenap penjuru . Menggunakan akhbar dan TV tanpa simpati , berminggu - minggu tanpa henti . Tiada peluang Tuan Guru memberi penjelasan dan pencerahan bagi isu yang timbul .

4. Lebih malang mereka menggunakan Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menyerang setelah beberapa ahli akademik turut diseret untuk menyerang Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat . Malang yang saya maksudkan ialah bagaimana Majlis Fatwa Kebangsaan yang sangat lembab untuk mengeluarkan fatwa berkait isu ISA dan pelbagai isu besar yang melanda negara tetapi tiba - tiba berubah menjadi pantas mengeluarkan fatwa dalam isu "syurga" ini sehingga tidak sempat memanggil Tuan Guru Nik Abdul Aziz mengadap dan mengambil keterangan dari beliau sendiri . Cukup laporan Utusan Malaysia , Majlis Fatwa bersidang dan mengeluarkan fatwa .

5. UMNO dan BN kelihatan sangat kecewa apabila disebut tidak boleh masuk syurga . Ertinya mereka masih menyimpan hasrat nak masuk syurga . Tetapi malang mereka seperti tidak memahami atau mengetahui bagaimana kriteria dan ciri - ciri ahli syurga atau dalam erti nilai yang lain , mereka nak masuk syurga kononnya tetapi melakukan perangai dan tingkah laku ahli neraka . Walhal ciri - ciri ahli syurga dan neraka ini telah dijelaskan oleh Allah swt dan rasulNya saw. Sementara Tuan guru Nik Abdul Aziz hanya mendedahkannya !

6. Sabda Rasul saw :

كل أمتي يدخلون الجنة إلا من أبى قيل و من يأبى يا رسول الله
قال من أطاعني دخل الجنة و من عصاني فقد أبى

Semua ummatku layak masuk syurga kecuali mereka yang sengaja enggan masuk syurga . Sahabat bertanya : Siapakah yang enggan masuk syurga itu ya Rasulullah ? Jawab Rasulullah saw : sesiapa yang taat kepadaku layak masuk syurga dan sesiapa yang menderhakaiku maka sesungguhnya ia lah orang yang enggan masuk syurga .

Hadis ini menjelaskan kepada kita calon syurga ialah mereka yang taat kepada Allah swt dan melaksanakan sunnah Rasulullah saw sementara calon neraka pula ialah mereka yang , melanggar perintah Allah swt , melakukan maksiat dan mungkar serta derhaka kepada Allah swt dan RasulNya .

7. Antara calon neraka ialah mereka yang melampaui batas agama . Tidak peduli dosa dan pahala . Mereka bertindak berasaskan nafsu dan syahwat . Memburu kepentingan politik dan duniawi tanpa peduli halal dan haram . Demikianlah firman Allah swt :


فَأَمَّا مَنْ طَغَى وَآثَرَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا فَإِنَّ الْجَحِيمَ هِيَ الْمَأْوَى


Maka adapun sesiapa yang melampaui batas [ melakukan perbuatan yang ditaja oleh nafsu dan syaithan ] dan terlalu kemaruk dengan kehidupan dunia sehingga mengabaikan akhirat maka sesungguhnya neraka jahannam lah tempat tinggal yang layak buat mereka .

8. Sementara calon syurga pula ialah mereka yang takut kepada Allah swt Tuhan yang maha Agong . Tidak berani mengangkat muka untuk derhaka dan melanggar hukum Allah swt . Juga orang yang mencegah dirinya dari perangkap nafsu dan syahwah serta bebas dari melakukan perbuatan terlarang seperti rasuah , judi , arak , zina , pecah amanah , zalim dan sebagainya . Firman Allah swt :


وَأَمَّا مَنْ خَافَ مَقَامَ رَبِّهِ وَنَهَى النَّفْسَ عَنِ الْهَوَى فَإِنَّ الْجَنَّةَ هِيَ الْمَأْوَى

dan adapun mereka yang takut kepada Tuhannya yang Maha Tinggi dan mencegah dirinya dari nafsu dan syahwah maka sesungguhnya syurga adalah tempat tinggalnya yang paling layak .

Surah an Naazia't : 38 - 41

9. Tegasnya syurga tidaklah mudah untuk dimasuki melainkan mereka yang bertaqwa kepada Allah swt , justeru Syurga hanyalah diwariskan kepada mereka yang bertaqwa . Taqwa dengan maksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah swt dan meninggalkan semua perkara yang dilarang oleh Allah swt .


تِلْكَ الْجَنَّةُ الَّتِي نُورِثُ مِنْ عِبَادِنَا مَنْ كَانَ تَقِيًّا



Demikian syurga yang kami wariskan dari kalangan hamba - hamba kami akan mereka yang benar - benar bertaqwa .


Surah Maryam : 63


10. Sebahagian dari penegasan Al Quran sebagai kalamullah dalam menetapkan calon neraka dan calon syurga dapat kita lihat dari ayat ini :


بَلَى مَنْ كَسَبَ سَيِّئَةً وَأَحَاطَتْ بِهِ خَطِيئَتُهُ فَأُولَئِكَ أَصْحَابُ النَّارِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

bahkan mereka yang melakukan kejahatan [ rasuah , pecah amanah , judi , zina , arak , zalim , menganiaya dsbnya ] dan ia terus hanyut tenggelam dalam kejahatannya maka mereka adalah penghuni neraka , mereka pula kekal di dalamnya sementara orang - orang yang beriman dan beramal dengan amalan yang soleh , merekalah penghuni syurga , mereka pula kekal di dalamnya .

Surah Al Baqarah : 81

Ayat - ayat di atas , bolehlah dinilai oleh setiap individu , bagaimana keadaan kita . Ianya pasti sahaja melewati batas sempadan parti politik dan kepentingan suku kaum . Siapa jua yang tidak melandasi hidup berasaskan manhaj rabbani dan sunnah an nabawi maka ia sendiri tahu bagaimana nasib dan masa depannya di akhirat kelak . Selebihnya menjadi milik mutlak Allah swt untuk menetapkan keputusannya berkait syurga dan neraka .

Namun tidaklah salah jika kita menyebut kalau kamu buat begini jawabnya neraka dan kalau kamu buat begini tentunya syurga balasan ke atas kamu . Seperti kita menyebut kepada anak kita , hei awang ! jangan mencuri nanti kamu masuk neraka . atau sebaliknya hei awang ! sembahyanglah kalau kamu nak masuk syurga . Tentu tidak salah perkataan - perkataan tersebut justeru ia bermaksud untuk mendidik anak bukan menentu syurga atau neraka buat sang anak .

Tuan Guru adalah guru kepada ummah . Bukan sahaja mendidik anak tetapi ia mendidik seluruh masyarakat lalu ia berkata hei UMNO ! kalau kamu amalkan Islam Palsu , kamu tidak akan masuk syurga .

Saturday, August 22, 2009

Kezaliman Ke atas Seorang Muslimah

Dengan Nama Allah swt Tuhan yang Maha Pemurah Lagi
Maha Penyayang .

Kezaliman Akan Ku Tentang
Insan Terinaya Akan Ku Bela .

1. Dengan segala kerendahan diri dan berat hati , saya tegaskan kenyataan saya di sini demi membela insan lemah yang bergelar muslimah sekalipun terpaksa merempuh dinding kebal keegoan seorang insan yang bergelar lelaki .

2. Kezaliman adalah suatu jenayah dan kesalahan yang besar terutamanya apabila ia dilakukan oleh seorang yang mengaku muslim pula seorang pemimpin . Justeru pemimpin akan menjadi ikutan ramai , maka peribadinya mesti mulia . Akhlaknya mesti tinggi . Moralnya terpelihara , sikapnya bertanggungjawab , tindakannya adil dan hatinya pula mesti bersih .

الناس على دين ملوكهم

Manusia berada di atas manhaj [ cara hidup ] para pemimpin mereka.

3. Isu yang saya dedahkan baru - baru ini adalah berkait kes penganiayaan dan kezaliman yang dilakukan oleh calon BN di N.11 Permatang Pasir ke atas seorang muslimah yang dikahwininya sebagai isteri kedua beliau , bukanlah bermotifkan politik tetapi melibatkan nafsu buas orang politik yang tidak kenal dosa dan pahala .

4. Isu yang saya timbulkan ini bukanlah bersifat peribadi tetapi melibatkan peribadi seorang pemimpin yang cuba melindungi kejahatan dan kezalimannya disebalik aksi berhemah seorang ahli politik yang ingin memenangi kerusi dalam pilihanraya untuk memimpin rakyat dan masyarakat .

5. Isu ini adalah isu keluarga besar kami . Keluarga muslim pula keluarga yang terlibat dalam perjuangan Islam . Isteri kedua calon BN di N.11 Permatang Pasir [ Puan Rafizah ] adalah adik angkat kepada Tok Guru saya [ Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man ] . Sementara ayah dan ibunya pula anak angkat kepada ayah Tok Guru saya . Hubungan mereka sangat erat dan rapat seperti sebuah keluarga bertalian darah . Sementara saya adalah anak murid setia kepada Tok Guru malah saya seperti adik kandungnya sendiri. Kami berkeluarga dan hubungan kami melewati hubungan pertalian darah .

6. Sebenarnya sejak lebih setahun yang lalu , Puan Rafizah telah mengadu hal nasib malang yang menimpa dirinya kepada Tuan Guru tetapi teguh beliau merahsiakan suaminya . Sehingga Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim pun tidak mengetahui siapakah suaminya dan Tuan Guru tidak pula mahu mencampuri urusan keluarganya . Sekadar memberi nasihat dan tunjuk ajar agar bersabar dan tenang menghadapi ujian berat yang menimpa dirinya .

7. Sehinggalah beberapa hari yang lalu , Puan Rafizah memberitahu : " ustaz , Rohaizat [ calon BN ] itulah suami saya ! " pastinya Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim terkejut besar dengan pengakuan itu . Saya segera bertemu kedua - dua ibubapa Puan Rafizah bagi mendapat gambaran yang lebih jelas . Ya ! hanya linangan air mata dari sang ibu yang sangat memahami betapa derita yang ditanggung oleh anaknya sejak bertahun yang lalu .

8. Malah setiap kali mendengar rintihan dan keluhan derita dari Puan Rafizah , lebih banyak esak tangis berbanding kata - kata yang cukup menggambarkan derita dan sengsara hati seorang perempuan muslimah yang digantung tidak bertali malah diperlaku tidak ubah seperti perempuan simpanan [ maaf ] meskipun ia adalah seorang isteri yang dikahwini secara sah .

9. Tiada siapa yang dapat memahami jiwa Puan Rafizah selama ini termasuk suaminya yang tidak bertanggungjawab . Batinnya menjerit menyatakan kesengsaraan hidupnya yang pernah dibiarkan tanpa sebarang berita dan khabar , jauh sekali dititip nafkah zahir dan batin selama 7 bulan berturut - turut . [ Menurut pengakuan ibunya , dengan genangan air mata seorang ibu yang lemah tidak berdaya untuk berdepan pula dengan seorang politikus yang gagah meredah medan politiknya ]

10. Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini , ibunya berkata : anaknya hanya dikunjungi suaminya sebanyak 2 kali dan itupun hanya sekadar beberapa jam , kemudian terus bergegas pergi meninggalkan isteri dalam kesepian mengharapkan kasih seorang suami .

11. Bukanlah salah beristeri dua . Islam tidak melarang muslim beristeri dua . Apa yang saya dedahkan disini bukan isu Rohaizat beristeri dua . Beristeri dua bukan isunya di sini . Tetapi isu besar yang saya bawa ini ialah isu kezaliman dan penginayaan ke atas seorang wanita muslimah yang lemah tidak berdaya oleh seorang lelaki [ bergelar suami ] yang sepatutnya memberikan keadilan , kasih sayang dan haknya sebagai seorang isteri yang sah . Inilah perlakuan yang ditegah dan diharamkan oleh Allah swt.

12. Saya tidak berhasrat mahu meruntuhkan rumahtangganya malah berusaha mahu menyelamatkannya . Apa yang dikehendaki oleh Puan Rafizah ialah supaya suaminya mengakui beliau sebagai isteri yang sah dan kembali berlaku adil serta memberikan haknya sebagai seorang isteri bukan lagi digantung tidak bertali . Datang dan pergi seperti mengunjungi rumah di lorong maksiat . Jangan perlakukan Puan Rafizah sedemikian rupa . Saya membawa suara derita Puan Rafizah .

13. Malangnya sebelum ini , Rohaizat berkali - kali menafikan Puan Rafizah sebagai isterinya . Puan Rafizah berkata : kalau Rohaizat tidak akui dirinya sebagai isteri yang sah , maka selama ini dirinya sebagai apa ? akhirnya deraian air mata yang cukup memilukan hati kami membatasi kata - katanya .

14. Menurut pengakuan Puan Rafizah , betapa beliau telah menanggung derita ini sejak lebih 3 tahun yang lalu . Beliau dipandang serong oleh masyarakat sekitar dan teman - teman rapat yang mengetahui kedudukannya. Selain dari cengkaman perasaan yang terpaksa ditanggung , Puan Rafizah turut berdepan dengan fitnah ke atas dirinya yang dipandang serong oleh masyarakat gara - gara Rohaizat enggan mengakui dirinya sebagai isteri yang sah meskipun Rohaizat mengahwininya dan tidak pula mendokumenkan perkahwinan mereka .

15. Wahai insan yang Islam agamanya ! Wahai Insan yang memiliki Iman ! Wahai insan yang bergelar wanita ! Bukankah seorang perempuan itu dikahwini untuk memupuk kasih sayang , berada di sisi suami [ jika berpoligami - berlaku adil dalam giliran ] , dibelai , dipimpin dan dibimbing dengan penuh sakinah , mawaddah dan rahmah .

16. Wanita juga apabila berumahtangga , ingin sekali menimang cahayamata tetapi malang segala - galanya tidak dimiliki oleh Puan Rafizah . Beliau benar - benar hanya isteri simpanan . Hatinya derita melihat kebahagiaan orang lain disamping suami masing - masing jua bersama anak - anak menceriakan rumahtangga.

17. Dulunya , Puan Rafizah yang pernah bertugas sebagai ketua kerani di pejabat Rohaizat selama 8 tahun mendirikan rumahtangga bersama Rohaizat dengan harapan kebahagiaan dan keharmonian serta kesempurnaan hidup akan dapat dikecapi sebagaimana insan yang lain . Malang panas tidak sampai ke petang . Beliau dianiaya oleh suaminya sendiri yang tidak mahu pula mengakui beliau sebagai isteri yang sah kepada umum sehingga memaksa beliau menjalani kehidupan dengan murung , resah , rasa bersalah , kecewa dan derita .

18. Ke mana pergi pejuang wanita ? kemana perginya pejuang hak asasi ? saya yakin , bukan seorang Rafizah di luar sana . Mungkin ribuan lagi mangsa seperti Puan Rafizah . Mana perginya Sharizat Jalil yang kononnya beliau adalah serikandi membela hak wanita dari menjadi mangsa penderaan lelaki ? Apakah kerana ia isteri calon BN di N. 11 Permatang Pasir maka semuanya membutakan mata ? membiarkan Puan Rafizah menderita ?

19. Mana insan bergelar muslimah ? kalian nak biarkan Puan Rafizah terus derita ? Ya ! sementara kalian tidak merasai deritanya . Mana insan yang mewarisi ketaqwaan Fatimah ? tergamak kalian biarkan Puan Rafizah terus terbelenggu hidupnya semata - mata kerana nafsu dan kepentingan politik kalian ? mana semuanya ? Takut nak bercakap perkara ini ? bimbang mengganggu keputusan pilihanraya ?

20. Saya teringat kisah seorang wanita muslimah yang diinaya lalu berteriak memanggil nama sultan Mu'tasim yang memerintah pada waktu itu . Waa Mu'tasimaaah ! [ wahai Sultan Mu'tasim ... bantulah aku ] . Lalu rintihan derita itu disampaikan kepada sultan Mu'tasim lalu Mu'tasim bangun dari singgahsana lalu berkata : Labbaiki Yaa Ummaaaah ! [ Aku sahut seruanmu wahai Ibu ! ] lalu beliau mengerahkan bala tenteranya untuk membela wanita muslimah yang dianiaya .

21. Apakah hari ini telah tiada Mu'tasim ? maka Puan Rafizah di zalimi dan didera perasaannya . Malang ! sabar sajalah Puan Rafizah . Nasiblah dirimu hidup dizaman ramai manusia pengecut ! Tidak berani berkata benar !

22. Demi Allah ! jangan biarkan penginayaan ini berterusan . langkah pertama saya nasihatkan supaya Rohaizat sebagai orang tahu agama dan tahu hukum hakam agar tidak menzalimi isteri sendiri . Kembalilah kepangkuan isterimu dengan damai dan penuh kasih sayang . Berlaku adillah terhadap kedua - dua isteri kamu . Berikan hak mereka dan berikan kasih sayang kepada mereka . Biarpun mereka bergelar wanita , mereka juga berhak mendapat kasih sayang dan pembelaan khasnya dari orang yang bergelar suami .

23. Saya dedahkan perkara ini dengan izin isterinya yang telah puas menjerit tanpa didengar oleh siapa agar suaminya mengakui dirinya sebagai isteri yang sah dan berikan haknya untuk hidup sebagai isteri sebagaimana isteri - isteri yang lain . Telah banyak usaha dilakukan oleh Puan Rafizah agar dirinya diisytiharkan sebagai seorang isteri yang sah agar ia boleh hidup bahagia dan damai seperti orang lain tetapi gagal .

24. Ertinya masih terbuka luas untuk Rohaizat selamatkan rumahtangganya tetapi dengan syarat Rohaizat runtuhkan tembok keegoannya sebagai lelaki lalu segara kembali kepangkuan isteri dengan penuh insaf . Sempena bulan Ramadhan al Mubarak , Saya doakan rumahtangga kalian bahagian dan harmoni . Saya gembira jika rumahtangga Rohaizat dapat diselamatkan . Buat Puan Rafizah , sekadar itulah usaha dan pendedahn yang tergamak saya lakukan walau hanya menyebut 10% dari kisah penderitaan yang ditanggung olehmu . Maaf saya tidak tergamak hendak menyebut lebih dari itu . Selebihnya Puan Rafizah sendiri mesti ada kekuatan menghadapi situasi ini .

25. Jika Rohaizat masih enggan mengakui Puan Rafizah sebagai isteri yang sah dan masih meninggalkannya kesepian tanpa belaian kasih sayang dan giliran hak secara adil , maka demi Allah ! saya bersumpah dengan nama Allah yang maha suci bahawa Rohaizat tidak layak menjadi pemimpin . Tidak layak memegang amanah rakyat .

Saya cabar Wanita UMNO bangkit
membela wanita teraniaya ini !
Ayuh bangkit Sharizat !

Kezaliman seorang suami ke atas isterinya samalah dosa kezaliman kerajaan mengISAkan [ tahan tanpa bicara ] seorang insan tanpa bukti yang kita tentang ramai - ramai hari tu . Zalim tetap zalim dan ianya mesti ditentang . Apakah kezaliman ke atas wanita perlu disembunyikan dari pengetahuan umum agar dia terus derita sedang dia meronta minta dikasihani ?

Sunday, August 16, 2009

Jom Sertai Usrah

1. Syabas saya ucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang , meskipun tidak menang tangan menyelesaikan tugas dan amanah mendepani pilihanraya kecil N.11 Permatang Pasir , mereka masih sempat melancarkan projek Jom Sertai Usrah peringkat negeri Pulau Pinang .

2. Usrah sememangnya aktiviti asas bagi sebuah gerakan Islam seperti PAS . Ianya begitu popular pada pertengahan tahun 80an dan awal 90an . Malangnya kini agar suram dan perkembangan mengenai usrah agak pudar . Biarpun masih ada negeri , kawasan dan cawangan yang aktif berusrah , tetapi kebanyakkan peringkat telah mengabaikan usrah .

3. Langkah mempromosikan semula usrah agar ia kembali berfungsi secara berkesan sebagai medium asas mengkaderkan ahli dan pimpinan PAS adalah suatu yang mesti dilakukan secara serius dan dipandang penting oleh setiap peringkat pemimpin dan ahli khasnya pemuda .

4. Tidak perlu saya menjelaskan secara panjang lebar mengenai peri pentingnya usrah bagi sebuah gerakan Islam seperti PAS justeru ia boleh dirujuk kepada manhaj dan dasar pentarbiyyahan PAS yang diwarisi sejak lama dulu . Terlalu banyak buku - buku dan kertas kerja yang tersimpan rapi dalam arkib dan tangan individu pimpinan PAS terutamanya pimpinan veteran seperti sang Murabbi al Fadhil Ustaz Yahya Othman , al Fadhil Ustaz Harun Taib dan lain - lain [ sekadar membawa satu dua contoh ] .

5. Kini Usrah mengalami zaman suramnya. Entah kenapa ? saya pun tidak pasti secara tepat punca dan sebabnya , tetapi yang pasti usrah kini tidak lagi popular seperti dulu dan memerlukan satu langkah jitu untuk mengembalikan semula zaman kegemilangannya sebagai medium atau kilang yang melahirkan anggota PAS samaada ahli atau pimpinan yang benar - benar menepati piawaian sebagai anggota Gerakan Islam .

6. Hari ini , buku - buku yang dulunya sering menjadi teks perincangan khusus di dalam usrah [ seperti Al Istia'ab karya Fathi Yakan , Maaza Ya'ni intimaa'i lil Islam karya Fathi Yakan , Jundullah karya Said Hawwa , Ma'alim Fit Toriq karya Syed Qutb , Risaalatut Ta'alim karya Albanna , Asy Syabab wa Taghyiir karya Fathi Yakan , al Mabaadi' karya Abu A'la Al Maududi dan banyak lagi ] kini tidak lagi menjadi buku yang dicari dan dibaca berbanding dahulu , buku - buku tersebut adalah yang terlaris di pasaran .

7. Saya melihat , usrah antara perkara yang sangat urgent untuk kembali dinobatkan dalam PAS agar ia kembali menjadi satu mekanisme yang mendominasi gerakkerja pengkaderan dan pembinaan fikrah , aqidah serta syakhsiyyah yang mantap . Lajnah Tarbiyyah tidak lagi boleh memandang perkara ini dengan sebelah mata melainkan usrah kembali menjadi medium yang menyemarakkan semua ruh Amal Jamaei .

8. Harapan saya [ dan insyaallah saya akan benar - bnar berusaha untuk memastikan ] , khasnya kepada pemuda di semua peringkat agar menyemarakkan promosi Jom Sertai Usrah demi memartabatkan mekasnisme berkesan untuk melahirkan tenaga upaya mendokong cita - cita perjuangan Islam berasaskan Manhaj Rabbani dan Sirah an Nabawi .

9. Kepentingan kembali mengadakan usrah secara pro aktif ...... , justeru ia menepati keperluan zaman atau era ini . Aliran fikrah sesama anggota mula bergaris seribu menandakan 1000 pula alasan untuk mencetus pertembungan fikrah sesama anggota PAS . Lebih dahsyat apabila nilai ukhuwwah dikalangan ahli dan pimpinan PAS mula luntur dan lebih pilu apabila wehdatul fikr dan wehdatul amal sering gagal diterjemah bila berdepan saat getir dan memerlukan .

10. Bagaimana perlaksanaan berkesan , juga dengan mengambil kira situasi di semua tempat dan peringkat maka usrah adalah tertakluk kepada keperluan dan kewajaran di peringkat - peringkat tertentu . Tarbiyyah tidak bersifat statik cuma apa yang mesti ialah kesediaan seluruh ahli dan pimpinan PAS untuk melibatkan diri dengan usrah . Lajnah Tarbiyyah akan organize secara sistematik dan semua anggota PAS mohon beri kerjasama baik demi menjayakannya . Jom Sertai Usrah .



Syafaakillah

1. Semoga Allah swt mengurniakan kesejahteraan buat Dr Lo Lo Ghazali AJK PAS Pusat dan juga Ahli Parlimen Titiwangsa yang baru selesai menjalani pembedahan paru-paru (labectomy) di IJN. [ maklumat saya terima dari seorang rakan ]

2. Saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Pusat mendoakan agar Dr. Lo' Lo' segera sembuh dan akhirnya dapat menjalankan tugas - tugas perjuangan seperti biasa .

3. Semoga Dr. Lo' Lo' dan keluarganya juga sabar menghadapi ujian getir ini , justeru ia adalah antara tanda kasih sayang Allah swt kepada kita agar hati dan nurani kian bertaut dengan ketentuanNya yang Maha Adil .

4. Setiap ujian pastinya tersimpan sejuta hikmah untuk kita hayati . Paling tidak , kita akan terus dekat dengan Allah swt dan dapat merasai keagongan dan kehebatanNya.

5. Akhirnya , Dewan Pemuda PAS Pusat sekali lagi mendoakan agar Dr. Lo' Lo' sendiri tabah dan gigih menghadapi suasana sukar sebegini dan redha atas ketentuan Allah swt Mudah - mudahan , bukan sahaja cepat sembuh tetapi juga dilipat gandakan ganjaran dan pahala atas kesabaran dan penderitaan yang dihadapi .

Saturday, August 15, 2009

Marilah Kita Berjuang

1. Mutaakhir ini , landskap sosial negara semakin tenat. 1001 jenis mungkar dan maksiat mula menular ke segenap sendi dan saraf masyarakat . Moral dan adab masyarakat kian pudar dan jati diri mereka kian lumpuh .

2. Arak dengan 1001 jenama , judi dengan 1001 istilah , konsert hiburan dengan 1001 pendekatan , pergaulan bebas dengan 1001 style , jenayah dengan 1001 cara , penyalahgunaan kuasa dengan 1001 kaedah , seks bebas dengan 1001 alasan dan 1001 jenis maksiat dan mungkar yang membawa kefasadan atau musibah buat negara dan penduduknya.

3. Fenomena ini akan mengheret negara dan seluruh isinya menuju kehancuran dan kebinasaan yang total . Undang - undang tidak pedulikan lagi , penguatkuasaan tidak memberi apa - apa erti dan adat kepercayaan turut dinodai .

4. Harapkan pagar , pagar tidak boleh diharap !

- Pemimpin diharap pimpin negara dan rakyat , tahu - tahu mereka menyalahgunakan kuasa dan terbabit dalam rasuah serta pelbagai bentuk maksiat dan mungkar .

- Hakim diharap menegakkan keadilan , tahu - tahu hakim turut terbabit dalam skandal cabul undang - undang .

- Polis diharapkan jaga keamanan , tahu - tahu polis belasah rakyat dan terlibat dengan gengster lalu membuatkan rakyat cemas dan tidak aman .

- Wakil rakyat diharap mewakili rakyat dalam DUN atau Parlimen untuk perjuangkan hak rakyat , tahu - tahu mereka yang songlap duit rakyat dan hanya tidur di dalam dewan .

- Ulama' diharap didik ummah agar berilmu dan jauh dari maksiat , tahu - tahu ulama' hanya diam membisu sambil tangan mengipas - ngipas kepala pemerintah .

5. Harapan yang masih berbaki ialah mengharapkan generasi akan datang , kembali bangun membina tamaddun dan peradaban baru yang mampu membawa negara kembali pulih dari ancaman maksiat dan mungkar . Mendaulatkan peraturan yang diperkayakan dengan nilai insaniah dan rabbaniah .

6. Harapan ini tentunya disandarkan kepada generasi muda hari ini . Mereka adalah pemimpin masa depan . Golongan yang pernah menjadi kebanggaan nabi saw . untuk membarisi golongan teras mendokong cita - cita baginda membangunkan tamaddun yang bebas dari pengaruh mungkar .

7. Besar tapak tangan bersama segala kerendahan diri , saya alu - alukan generasi muda hari ini agar sama - sama kita dokong cita - cita besar untuk pulihkan negara sekaligus membebaskannya dari perangkap kefasadan yang membinasakan . Saya dan seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia , insyaallah sabar menunggu dan menanti semua warga muda negara tanpa mengira apa warnanya , apa bahasanya , apa budayanya dan apa agamanya , di kepala jambatan ini untuk kita segera lintas meninggalkan dunia lama dan kita bina dunia baru dengan segala harapan menggunung .

8. Ayuh ! cepatlah anak muda . Kita bergerak sepantas tenaga yang dimiliki , kita merancang serancak kecerdasan yang ada pada aqal sang muda . Kita sahut cabaran musuh yang mahu melihat generasi ini musnah dan hanyut dengan pelbagai ideologi dan kegiatan tajaan mereka dengan jiwa yang besar dan cekal . Tidak mengalah biar ditawar segala keseronokan dan kepuasan justeru kita memahami bahawa segalanya itu hanyalah fatamorgana .

9. Kita tidak punya banyak masa untuk saling harap mengharap antara satu sama lain , demikian juga kita tidak cukup waktu untuk saling tuding menuding antara satu sama lain . Apa yang terbentang dihadapan kita ialah jalan untuk kita berlari laju meninggalkan sempadan lama yang kian binasa .

10. Marilah kita sama - sama bergandingan dan berjuang menuntut perubahan . Gandingan kita semua anak muda akan meringankan beban tugas berat dan kerja yang mencabar untuk membina tamaddun yang baru ini . usah leka dan lalai lagi . Usah asyik dan alpa lagi . Jom Bersama Pemuda , Orang Muda Geng Kita !

Friday, August 14, 2009

Etika dan Adab Seorang Blogger

1. Memberi dan menyampaikan maklumat adalah kerja terpuji bagi membina dan membentuk minda para pembaca . Tetapi ianya mestilah dilakukan dengan penuh adab dan etika . Bertanggungjawab dengan tulisan dan amanah dalam meriwayat .

2. Pertama : Ikhlas , jujur dan suci niat dalam apa jua bentuk tulisan justeru ia diperhati dan dinilai oleh Allah swt sekalipun serapat mana bilik komputer kita dikunci

3. Kedua : Tulis dan riwayat perkara yang benar . Jangan berbohong atau berdusta . Menyembunyikan fakta sebenar dan menukilkan andaian yang penuh hasad dan dusta . Kerana dosa dan neraka juga boleh menerima seorang penulis blog sebagaimana pahala dan syurga juga boleh menerima mereka . Bergantung bagaimana mereka ber"blog" .

4. Ketiga : Berbahasa dan berbudi dalam tulisan tentunya menjadikan hasil karya kita lebih bermutu dan meyakinkan . Kebenaran akan ternoda dengan kalimah dan tulisan yang kesat atau celupar dan berbau fitnah .

5. Keempat : Tulisan yang bertanggungjawab ialah yang diketahui siapa penulisnya . Penulis misteri hanya meletakkan tulisannya setaraf surat layang yang tidak memiliki kredebiliti untuk dipercayai dan diyakini .

6. Kelima : Penulisan menggambarkan karektor penulis . Penampilan gaya dan cara penulisan yang tenang , ceria , jelas dan benar akan membawa pembaca merujuk kepada kehebatan peribadi penulis . Lantaran itu , menulislah dengan jiwa yang tenang dan nurani yang suci nescaya tulisan itu akan meresap dengan tenang ke segenap jiwa pembaca dan membawa ketenangan kepada semua .

7. Ramai penulis mutaakhir ini selain terjebak sebagai penulis upahan untuk menjuarai kepentingan tertentu , terdapat juga penulis picisan yang tidak punya matlamat dalam menulis kecuali menabur fitnah dan menyalakan api permusuhan . Mereka langsung tidak memiliki etika penulisan bahkan tiada juga adab dalam menulis .

8. Mereka menulis seolah - olah mereka bebas untuk berbuat apa sahaja tanpa memikirkan implikasi atau risiko yang bakal tercetus gara - gara tulisannya . Mereka hanya mementingkan diri sendiri untuk mencapai sebuah kepuasan yang tidak pasti benar atau salah . Penting bagi mereka ialah puas . Mereka tidak peduli kadang - kadang sahabat handai dan rakan taulan sendiri remuk rendam perasaan angkara tulisannya .

9. Hati - hatilah sahabat sekelian , dalam kita menulis di sana terdapat beberapa perkara yang perlu difikirkan secara mendalam sebelum kita publish sesuatu tulisan itu . Asasnya ialah bertanggungjawab terhadap tulisan tersebut dan ianya bertunjangkan kebenaran fakta dan nas .

10. Berjiwa besarlah justeru tulisan kita akan membentuk persepsi masyarakat terhadap apa jua isu yang kita bawa , jika tulisan yang kita paparkan adalah tulisan yang meyakinkan bukan menjengkelkan . Maka tulislah perkara yang baik nescaya kita akan dapat natijah yang baik .

Pun begitu , sabarlah ! terkadang tulisan yang baik dan benar ini akan diserang oleh musuh dan difitnah atau ditohmah kerana mereka tidak senang dengan kebenaran yang dibawa dan mereka cuba mengheret kita menjadi blogger seperti mereka yang penuh dengan hasad , fitnah , kata - kata kesat dan celupar serta sumpah seranah .

Thursday, August 13, 2009

Siasat Ong Tee Keat

1. Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak dan menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pada kadar segera dakwaan Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Tiong King Sing , bahawa syarikatnya telah memberikan RM10 juta kepada Presiden MCA , Datuk Ong Tee Kiat , untuk urusan mesyuarat bahagian parti itu tahun lepas.

2. Dakwaan Ketua Pegawai Syarikat Kuala Dimensi yang sedang disiasat atas tuduhan salah laku dalam projek Perlabuhan Klang Free Trade Zone (PKFZ) , Tiong King Sing mengaku bahawa dia telah mendermakan RM10 juta kepada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Kiat.

3. Derma itu diserahkan beliau melalui Bahagian MCA tahun lepas.

4. "Saya bagi dia duit cash kerana dia mahu cepat " kata Tiong King Sing kepada sebuah laman web hari ini.

5. Isu PKFZ dianggap punca penolakan secara langsung orang Cina terhadap MCA . Sebaik sahaja menjadi Presiden MCA & Menteri Pengangkutan , Ong Tee Kiat berusaha untuk menyelesaikan isu ini.

6. PKFZ telah mendedahkan , siasatan sedang dibuat terhadap Kuala Dimensi ekoran beberapa tuntutan yang tidak munasabah yang melibatkan wang sehingga RM1 bilion . Tiong King Sing marah apabila Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat penyelewengan PKFZ tidak pernah memanggil mereka untuk mendapatkan maklum balas sebelum membuat laporan termasuk salahlaku wang yang bernilai antara RM500 juta ke RM1 bilion.

7. Tiong King Sing yang juga pengerusi Kelab Penyokong BN di Dewan Rakyat mendakwa beliau telah 'menderma' RM10 juta kepada Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat tahun lalu. Wang tersebut, tambahnya, adalah untuk aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan bahagian-bahagian MCA.

8. Timbalan Tiong dalam KDSB, Datuk Faizal Abdullah berkata, Ong telah menggunakan jet peribadi milik syarikat tersebut sebanyak lima kali dan 'berhutang' kepada mereka sebanyak AS$40,000 bagi perkhidmatan tersebut, sebagaimana dilapor dala sebuah laman web.

9. Jika tiada sebarang tindakan atau usaha menyiasat oleh pihak SPRM atau mana - mana pihak berkuasa seperti polis , insyaallah Dewan Pemuda PAS Pusat akan membuat satu laporan polis berkait isu ini . Rakyat ingin tahu kesudahan sandiwara baru pemimpin BN ini .

10. Malang Malaysia ku , kalau melibatkan wang hanya RM 2500.00 pasti sudah lama ia disiasat atau kalau tidak pun esok akan ditemui mati terbunuh . Tapi oleh kerana melibatkan RM 10 juta , entah siapa yang mahu bertindak . Pelikkan ? salaaam satu Malaysia ! Apa khabar BN ?

Pergi Tak Kembali Lagi

1. Al Faatihah . Semoga Ruh vokalis kumpulan nasyid kontemporari Rabbani yang telah disahkan kembali ke pangkuan Allah swt lebih kurang sejam yang lalu akibat serangan jantung di hospital Pantai Bangsar , dicucuri rahmat oleh Allah swt dan digolongkan dalam golongan hamba - hambaNya yang soleh .

2. Allahyarham al Fadhil Ustaz Asri Ibrahim adalah sahabat lama saya semasa kami sama - sama merantau ke bumi Syam Beliau seorang yang sangat istemewa dan memiliki suara emas .

3. Allahyarham pernah digelar jelmaan Bilal ibnu Rabah apabila beliau sering ditugaskan untuk mengumandangkan azan di markaz al Arqam Jordan dan juga dalam majlis - majlis rehlah kami apabila tiba waktu solat .

4. Allahyarham juga sangat konsisten membawa Islam melalui pendekatan Nasyid kontemporari bermula dengan kumpula Nada Murni dan kini Rabbani . Semoga usahanya diterima Allah swt sebagai amal yang soleh . Allahyarham meninggal dunia selepas jatuh pengsan semasa memberi ucapan dalam sidang media program syahadah di angkasapuri RTM kira - kira jam 10.30 pagi tadi.

5. Saya mewakili seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia mengucapkan takziah kepada seluruh isi keluarga Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim dan permergian beliau adalah satu ketentuan Allah swt yang menyayangi hambaNya Agar bersabar di atas ujian getir ini dan kami juga seluruh ummat Islam sangat merasai kehilangan beliau . Sekali lagi semoga Allah swt merestuinya dan menempatkannya di Jannatul Firdaus . Al Faatihah .

Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang Selangor .

Jangan Hina Islam

1. Islam adalah agama suci yang diwahyukan Allah swt. Agama yang mendamaikan hati , menyatukan silaturrahim , memperkayakan budi , menegakkan keadilan , menentang kezaliman , membina peradaban , menolak korupsi , anti penyelewengan , menyanggah penyalahgunaan kuasa , benci sikap hipokrit , tidak berpura - pura , memberi hak beragama dan tidak mencela antara satu sama lain tanpa sebarang asas .

2. Islam agama yang benar Ianya agama Allah Tuhan yang maha sempurna bukan ciptaan manusia yang terdedah kepada 1001 kekurangan dan kelemahan . Justeru itu Islam adalah agama yang layak dianuti bukan dikeji . Islam adalah agama yang wajar diterima bukan dihina .

3. Islam telah membuka ruang kepada umum sejak ia diturunkan sehinggalah kiamat kelak kepada siapa sahaja yang berupaya mendatang satu bukti atau satu surah yang boleh menandingi kebenaran al Quran . Islam pernah mencabar melalui kitab sucinya agar siapa sahaja yang tidak bersetuju dengannya agar membawa bukti bahawa Islam adalah salah sementara yang lain adalah benar !

هاتوا برهانكم إن كنتم صادقين

Sila datangkan pembuktian kamu [ untuk menolak kebenaran Islam ]
jika dakwaan kamu benar.

4. Justeru itu , tiada siapa berhak menghina agama Islam sebagaimana Islam melarang penganutnya menghina agama lain . Bahkan tidak dibenarkan sama sekali kepada siapa jua samaada muslim atau non muslim untuk menghina , mempersenda , mempermain , memperkecil , memperlekeh atau 1001 perkataan yang membawa maksud serupa . Melalui apa jua cara , kaedah dan pendekatan penghinaan kepada Islam adalah perbuatan terkutuk yang bukan sahaja mengundang kemarahan ummat Islam tetapi diwajibkan ke atas ummat Islam bangkit membela dan mempertahankan Islam .

5. Akhbar Jylland Posten pernah menghina Islam dengan lukisan karikatur nabi saw , kita pemuda Islam dan seluruh ummat Islam prihatin yang ada iman biarpun sekelumit bangkit menentang di seluruh dunia walaupun akhbar itu dimiliki oleh orang - orang bukan Islam . Begitu sepatutnya penentangan mesti dilakukan oleh ummat Islam kepada akhbar Utusan Malaysia dan lainnya juga menghina Islam apabila memaparkan gambar dan aksi artis yang mendedahkan aurat secara ghairah , mempamerkan keputusan judi sport TOTO , lumba kuda dan sebagainya .

6. Siapa sahaja tidak boleh mempertikaikan kesucian agama Islam . Samaada non muslim atau lebih - lebih lagi seorang yang mengaku muslim . Non muslim yang menghina , mempersenda dan menetang Islam akan ditentang pula oleh ummat Islam sementara yang mengaku muslim tetapi menghina , mempersenda dan menentang Islam adalah murtad dan ia berdepan dengan hukuman bunuh mandatori . Demikian ketetapan Islam dari Allah swt dan Nabinya saw.

7. Begitulah pula Islam menghulurkan tangan sucinya untuk menyambut siapa sahaja dengan penuh mesra dan semangat setiakawan sekalipun ia adalah non muslim andainya mereka bersedia menerima Islam dan ummatnya walaupun mereka tidak menganut ajaran Islam dan beriman kepada Allah swt . Islam tidak boleh memaksa orang lain memeluk ajaran Islam lantaran Islam adalah agama yang mesti dianut dengan rela dan yakin .

8. Ummat Islam berkewajipan memelihara , mempertahan dan memperjuangkan Islam dari segala ancaman dan penghinaan sehinggalah terserlah kesucian dan kemuliaan Islam setelah sekian lama ianya ditudung dan sengaja disembunyikan oleh musuh - musuhnya termasuklah angkara perbuatan sebahagian dari kalangan ummat yang mengaku Islam tetapi jahil dan munafik [ hipokrit ] serta merelakan diri mereka menjadi boneka dan alat musuh .

9. Non muslim pula berkewajipan mendapatkan maklumat dan penjelasan terlebih dahulu daripada pihak yang berauthoriti untuk memberi penjelasan mengenai Islam agar dapat mengelak diri dari kenyataan dan tindakan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan ummat Islam .

10. Perkara yang perlu diawasi dan diberi perhatian oleh semua pihak ialah peranan media musuh yang tidak bertanggungjawab untuk sengaja mempertembungkan muslim dan non muslim atau meruncingkan lagi perbezaan yang sedia wujud . Selayaknya media mengambil peranan mendamaikan dan merapatkan jurang . Jirus air ke atas bara api jangan jirus petrol !

Wednesday, August 12, 2009

UMNO Pengkhianat Agama

1. Pertama saya mahu ucapkan syabas kepada Yb. Dato' Dr. Hassan Ali Pesuruhjaya PAS Selangor di atas ketegasan beliau biarpun berdepan dengan kecaman hebat dari pelbagai pihak termasuk dari rakan PAKATAN namun tetap teguh dengan pendirian mempertahankan prinsip perjuangannya yang berasaskan nilai Islam khasnya dalam isu arak . Beliau kini dianggap hero ummat Islam di Selangor khasnya dan dinegara ini amnya oleh rata - rata pencinta Islam .

2. Tahniah juga saya ucapkan kepada YAB Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor yang sebentar tadi telah mengumumkan kawasan - kawasan [ majoriti muslim ] larangan menjual arak dan minuman beralkohol di Selangor . Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada keduanya . Satu usaha awal untuk membawa negeri PAKATAN Rakyat menjadi lebih baik daripada UMNO dan BN . Semoga usaha diteruskan dan dikembangkan dalam banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki dan jauhi sama sekali sebarang usaha yang hanya bersifat retorik .

3. UMNO dan BN pastinya kehabisan modal dan kini mereka terpaksa menggunakan peluru akhirnya untuk menyerang dengan mensasarkan peribadi pemimpin Pakatan Rakyat bukan lagi dasar perjuangan dan aktivitinya. Setelah teruk mereka membelasah Tuan Guru Hj. Hadi Awang sejurus selesai muktamar tempoh lalu , kemudian Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz pula diasak oleh mereka menjelang pilihanraya Manek Urai dan kini mereka mensasarkan Dato' Seri Anwar Ibrahim pula yang dilabel sebagai pengkhianat bangsa melayu .

4. Pertamanya saya mahu tegaskan bahawa UMNO dan BN sewajarnya mencontohi Pakatan Rakyat bukan memusuhinya. Wujud perselisihan faham namun bijak mengatasinya . Tercetus masaalah dalaman tetapi cepat menanganinya . Ada kelemahan tetapi konsisten untuk memperbaikinya . Timbul kritikan dan cemuhan namun teguh dan tegas mempertahankan prinsip perjuangan .

5. Kedua : Saya menggesa supaya UMNO dan BN ambil langkah serupa di negeri - negeri yang diperintah dan ditadbir oleh mereka seperti apa yang dilakukan oleh Selangor malah ianya telah lama dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan sebelum ini dalam mengawal penjualan arak khususnya di kawasan - kawasan majoriti muslim . Islam tidak campur tangan berkait kes arak dalam lingkaran non muslim yang agamanya membenarkan mereka meminum minuman beralkohol itu . Tetapi tegas agar ia tidak melewati sempadan masyarakat muslim justeru agama Islam mengharamkan penganutnya membeli , menjual , mempamer , memproses dan meminum arak .

6. Ketiga : Saya mendesak agar UMNO dan BN jangan hanya bising isu Arak dan isu penghinaan terhadap Islam [ tanpa saya menafikan ia juga satu isu yang besar ] tetapi juga mesti memandang kepada isu - isu yang lain di mana ia turut mencabar kesucian Islam dan menghiris perasaan ummat Islam sementara mereka adalah kerajaan yang memerintah negara ini . Sebagai contoh mudah , Utusan Malaysia menyiarkan isu penghinaan terhadap Islam di muka hadapannya tetapi memuatkan keputusan sport TOTO , Magnum dan Horoskop dibahagian belakangnya . Ini satu persendaan . Akhirnya orang kata UMNO mempersendakan Islam.

7 . Keempat : Hentikan segala serangan peribadi terhadap pemimpin Pakatan Rakyat . Apalagi serangan itu tidak berasas dan hanya bertolak dari sentimen perbedaan ideologi politik . Tindakan UMNO dan BN bukan hanya menampakkan mereka sangat terdesak tetapi juga jelas kehabisan idea dan tidak mempunyai kredebiliti yang hebat dalam menghadapi saingan politik . Serangan kepada peribadi hanya akan berkesan apabila ia benar - benar berdiri di atas bukti penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa yang kukuh .

8. Kelima : Sampai masanya UMNO dan BN merombak segala dasar perjuangannya yang jelas bertentangan dengan Islam dan akhirnya mengheret UMNO dan BN terus hanyut dalam aktiviti yang bertentangan dengan Islam . Apabila UMNO dan BN berada dalam satu frame yang salah bagaimana mereka mahu membetulkan orang lain sekalipun orang lain juga berkemungkinan melakukan kesalahan .

9. Saya mengharapkan kepada semua ummat Islam khasnya tokoh - tokoh agama menilai sokongan mereka terhadap UMNO dan BN dan melihat jauh ke hadapan bagaimana keupayaan UMNO dan BN mampu mempertahankan Islam dan ummatnya di masa depan atau hanya pandai buat bising bila isu timbul sekadar menangguk di air keruh seperti Khairy dan Ali Rustam dan kemudiannya lari menyembunyikan muka bila isu selesai untuk mengintai peluang menangguk buat kesekian kalinya.

10. Contoh mudah saya bawa : mereka pertikaikan PAS kononnya gadai prinsip , alat DAP dan 1001 tohmahan . Tetapi alhamdulillah , dalam tempoh 2 tahun kita menerajui negeri di bawah Pakatan Rakyat ternyata banyak isu kita boleh selesaikan dengan baik biarpun bermula dengan perselisihan faham dan sebagainya . Isu terkini ialah arak yang akhirnya menyaksikan UMNO dan BN terpaksa menjilat pasir setelah menyalak sekian lama apabila PAS tegas dengan prinsip dan kerajaan Pakatan Rakyat sedia mengambil langkah perubahan yang positif .

Persoalannya , 50 tahun UMNO dan BN memerintah sehingga tersergam utuh kilang arak di Selangor kenapa UMNO dan BN senyap diam membisu sejuta bahasa . Kelu lidah macam orang kena stroke . Bila Pakatan Rakyat memerintah baru 2 hari [ baca 2 tahun ] hampir terjelir lidah mereka melaung slogan kononnya mereka perihatin terhadap isu agama dan sensitif terhadap sentimen ummat Islam .

Saya percaya kalau PAS memerintah Selangor sejak awal merdeka dulu , insyaallah tidak akan terbangun kilang arak sebesar itu . Kalau mereka mahu minum arak , kilang itu boleh di bina di Australia , Taiwan , Singapore atau mana - mana negeri yang tidak majoriti muslim kemudian dibeli secara terhad oleh kelompok yang agamanya membenarkan mereka meminum arak . Tapi , itu semua hanya kalau .... kalau PAS memerintah Selangor dulu :)

Harapan saya satu masa nanti , negara ini akan dipimpin oleh Islam agar segala syariatnya dapat dilaksanakan dan kemudian ia akan memberi keadilan kepada semua kaum , bangsa dan agama . Islam adalah agama yang adil dan keadilan itu adalah untuk semua .


Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive