HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Thursday, February 24, 2011

Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia

Ucapan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
di Konvensyen Pakatan Rakyat pada 19 Disember 2010 di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang.

 Memerangi Rasuah dan Penyelewengan Kuasa Melalui Kaedah Kecekapan, Ketelusan dan Pertanggungjawaban Terhadap Mutu Pentadbiran Kerajaan dan Kewangan Negara. 

1.       Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009, kita amat kecewa apabila mendapati bagaimana pengurusan perbelanjaan mengurus negara bagi tempoh tahun 2005 hingga 2009 menunjukkan beberapa kementerian/jabatan kerajaan telah membuat sejumlah perbelanjaan tanpa peruntukan. Contohnya, pada tahun 2008, jumlahnya adalah sebanyak RM 0.52 juta sahaja tetapi pada tahun 2009 ia telah melonjak sehingga RM 45.49 juta.

Penemuan audit dan analisis tersebut mendapati sebanyak 118 kes perbelanjaan tanpa peruntukan dan perbelanjaan melebihi peruntukan. Antara kementerian yang terlibat adalah Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pertahanan, serta Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.[2]

2.       Meskipun hasil tinjauan Barometer Rasuah Global 2010 yang dikeluarkan baru-baru ini menunjukkan 48% daripada 1,008 responden percaya usaha kerajaan membanteras rasuah berkesan, namun pada tahun ini sahaja (Januari 2010 - Oktober 2010) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah telah menahan 719 orang awam berbanding 500 orang pada tahun 2009[3]. Isunya bukan tahap kepercayaan rakyat terhadap keberkesanan rasuah yang dilakukan oleh kerajaan mahupun SPRM semakin tinggi tetapi ia menunjukkan begitu ramai orang sudah biasa dengan budaya rasuah dan penyalahgunaan kuasa di negara kita.

Sebagai contoh, penemuan audit di beberapa pembinaan dan naik taraf Pusat Latihan Bina Negara seperti di Kuala Lumpur, Sarawak, Kedah, Pahang dan Selangor mendapati projek lewat disiapkan sehingga melebihi 2 tahun, kerja pembinaan yang tidak mengikut spesifikasi sehinggakan Kem Bina Negara di Langkawi tidak dapat beroperasi sehingga akhir tahun 2009 kerana Sijil Layak Menduduki tidak diluluskan oleh PBT berkenaan.

Selain itu, Jabatan Kastam telah membayar sejumlah RM 1.17 juta kepada kontraktor untuk menyelenggara mesin pengimbas di beberapa stesen pelabuhan di Selangor, Kelantan dan Johor, malangnya penyelenggaraan tersebut tidak dijalankan sepenuhnya atau sebahagiannya sahaja yang dapat dilakukan.

Ini menunjukkan bahawa ketidakcekapan dalam pengurusan boleh terjadi disebabkan masalah rasuah, salah guna kuasa, penipuan dan pengamalan kronisme yang melampau.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Pusat ingin menggagaskan beberapa tindakan daripada aspek pencegahan dan pendakwaan kes rasuah;

a.       Pemerkasaan penghayatan tadbir urus Islam di sektor kerajaan dan swasta

b.      Menyokong meletakkan pertanggungjawaban SPRM termasuk pelantikan pesuruhjaya dan pegawai-pegawai tertinggi di bawah institusi Parlimen

c.       Menubuhkan Mahkamah Khas Rasuah

d.      Membentuk satu Suruhanjaya Khas bagi memastikan syor-syor audit yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dilaksanakan dan diambil tindakan sewajarnya.

e.      Mengetatkan prosedur perolehan aset dan pembekalan kerajaan supaya perancangan, penyelenggaraan dan penggunaannya dilakukan secara pruden dan bijak

f.        Penggubalan subjek khas mengenai rasuah dan korupsi diperingkat sekolah menengah sebagai langkah pencegahan dan pendidikan kepada generasi muda.

Memulihkan Wibawa Sistem Kehakiman dan Institusi Mahkamah

Bagi mengelakkan pelantikan hakim yang tidak telus dan dipengaruhi daripada kuasa eksekutif, serta untuk menyelesaikan banyak kes yang tertangguh atau backlog of cases sehingga boleh mengakibatkan pelbagai masalah lain yang timbul, maka Dewan Pemuda PAS Pusat mencadangkan agar;

a.       Menstruktur kembali Suruhanjaya Pelantikan Hakim yang telah diluluskan di Dewan Rakyat pada tahun 2008/2009 supaya memberikan kuasa sepenuhnya kepada para hakim melantik hakim disemua peringkat dan meletakkan pertanggungjawaban suruhanjaya ini dibawah institusi Parlimen dan bukan di bawah kuasa Perdana Menteri

b.      Menyokong sepenuhnya sebarang usaha untuk mempercepatkan penyelesaian kes di Malaysia sepertimana yang pernah diumumkan sebelum ini contohnya pelaksanaan Case Management System (CMS), kaedah plea bargaining yang diperuntukkan mengikut Seksyen 172 Kanun Acara Jenayah (Pindaan) 2010 dan penetapan Key Performance Index.

Namun, ia harus dijalankan secara berperingkat agar kualiti perbicaraan dan proses pengadilan dapat dilakukan dengan penuh cermat dan adil.   

Dewan Pemuda PAS juga berhasrat agar Pakatan Rakyat dapat menimbangkan supaya institusi Mahkamah Syariah termasuk sistem perundang dan kehakiman dinaiktaraf dari aspek infrastrukturnya, tahap profesionalismenya dan juga meluaskan bidang kuasanya. Antara perkara yang perlu diberikan perhatian adalah,

a.       Mempertahan dan memperkasakan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan
b.      Meningkatkan taraf perjawatan, penggajian dan kedudukan Mahkamah Syariah agar setanding dengan Mahkamah Sivil
c.       Menyeragamkan sistem kehakiman dan perundangan Syariah di Malaysia
d.      Meluaskan bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti meminda Senarai 2, Jadual 9 Perlembagaan Persekutuan.

Memperkasakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)

Melihat kepada Penilaian Hak Sivil dan Politik 2010 yang didedahkan oleh Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) baru-baru ini menunjukkan tahap kebebasan dan demokrasi rakyat Malaysia sudah semakin gelap. Tiada apa yang boleh dibanggakan oleh rakyat dibawah pentadbiran BN apabila tahap kebebasan rakyat disekat, diancam dan ditindas.
Terakhir, apabila institusi Parlimen pada 15 dan 16 Disember 2010 juga dicengkam dengan kuasa kuku besi sehingga penyokong pemimpin Pakatan Rakyat yang berhimpun untuk berarak ke SUHAKAM juga telah diganggu dan ditahan.

Maka, pihak Dewan Pemuda PAS menegaskan bahawa pihak Pakatan Rakyat dapat meminda Akta Suhakam  dengan memberikan kuasa kepada mereka untuk membawa kes-kes yang melibatkan isu hak asasi manusia di Malaysia di bawa ke mahkamah. Perkara ini perlu dilakukan memandangkan tahap kesedaran masyarakat dan peningkatan aduan yang diterima oleh SUHAKAM semakin tinggi.[4]

Mereformasikan Institusi Parlimen Malaysia

Sepanjang 53 tahun pentadbiran BN, institusi Parlimen Malaysia belum mencapai tahap World Class samada daripada aspek infrastrukturnya mahupun prosedur, pengurusan dan minda ahli Parlimennya. Pakatan Rakyat perlu melakukan reformasi yang drastik supaya kepentingan rakyat yang disandarkan kepada kuasa legislatif ini dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan efektif.

Antara perkara yang perlu diberikan perhatian terhadap reformasi institusi Parlimen Malaysia adalah;

a.       Merakyatkan badan legislatif supaya seluruh rakyat dapat merasai kepentingan dan mengikuti perkembangan daily business dengan lebih mendalam. Rakyat perlu diberi peluang untuk bertemu dengan para penggubal dasar dengan lebih kerap. Begitu juga sistem penyiaran mesyuarat Parlimen perlu dilakukan secara langsung sekurang-kurangnya bagi sesi soal jawab lisan, dan sesi-sesi penting persidangan.

b.      Peruntukan perbelanjaan elaun/elaun khas juga mesti diberikan kepada pemimpin pembangkang supaya ia dapat digunakan untuk membantu rakyat dikawasannya meskipun berlainan parti.

c.       Meningkatkan mutu dan taraf Dewan Negara termasuk sistem perwakilan, bidang kuasa dan penghakupayaan supaya pandangan daripada Ahli Dewan Negara tidak dipandang enteng dan rendah.  


19 Disember 2010 di Dewan Millenium, Kepala Batas, Pulau Pinang

[2] Laporan Ketua Audit Negara 2009, muka surat 14

[3] Berita Harian dan Utusan Malaysia, 11 Disember 2010

[4] Berita Harian, 10 Disember 2010

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive