HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, March 29, 2011

Antara Qazaf dan Suruhanjaya

1. Sejurus tiba dari Makkah al Mukarramah, saya diajukan beberapa soalan oleh pelbagai pihak wartawan yang bertanya mengenai isu fitnah terbaru ke atas datuk Seri Anwar Ibrahim. Rupanya 2 artikel yang saya tulis dari Lembah Multazam untuk siaran media belum ada mana - mana media yang mahu siar kecuali saya temui di ruangan Fikrah dalam Harakah edisi terbaru. Artikel tersebut bertajuk : Fitnah: Senjata Tertua di Dunia dan Khutbah : Perangi Fitnah .

2. Sedang saya masih dalam "cuti rehat sehari" selepas pulang dari Umrah Tarbawi DPP Malaysia, sebelum saya memulakan tugas perjuangan ini seperti biasa pada hari ini, semalam saya masih diaju pelbagai soalan mengenai isu ini termasuk soal penubuhan suruhanjaya diRaja bagi menyiasat video tersebut.

3. Saya menjawab : " Saya baru balik dari Umrah, saya belum jelas betul duduk perkara ini. Insyaallah Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mengadakan mesyuarat khasnya pada malam esok [ malam ini ] dan saya akan buat kenyataan pada pagi esoknya iaitu pagi Rabu."

4. Namun pihak wartawan tersebut [ dari Utusan ] mendesak untuk mengetahui pandangan saya secara peribadi mengenai penubuhan Suruhanjaya tersebut, apakah saya setuju ? Saya jawab : Saya tidak mahu bercakap soal mekanisme [ kerana soal penubuhan Suruhanjaya adalah soal mekanisme ]. Apa yang saya mahu tegaskan ialah soal prinsip. Prinsipnya ialah, yang menuduh apalagi yang memfitnah mestilah mengemukakan bukti dan saksi yang jelas [ mengikut kehendak Islam, saksi zina mestilah 4 orang lelaki yang adil ]. Apa yang saya kesal ialah, tuduhan dan fitnah telah dibuat dan didedah merata - riti kepada umum kemudian baru bercakap soal nak siasat oleh pihak yang mendedahkannya.  ini tidak betul !"

5.  Saya jawab lagi : " Prinsipnya ialah keadilan. Jika tubuh suruhanjaya siasatan tetapi tidak ditegakkan prinsip keadilan tadi maka tiada ertinya. Siasat untuk membenarkan fitnah, siasat untuk membenarkan pengkhianatan tanpa berpaksikan prinsip keadilan atau mencari keadilan dengan amanah, jujur, telus adalah salah dan tidak boleh diterima. Setelah dibuat tuduhan dan fitnah sedemikian rupa dan pendedahan memalukan dibuat sedemikian rupa baru bercakap soal siasatan dan penubuhan suruhanjaya, saya bimbang suruhanjaya itu ditubuhkan hanya untuk membenarkan fitnah bukan mencari keadilan."

Wartawan tersebut menegaskan Tuan Hj Mohd Sabu buat kenyataan dalam Star bahawa perlu penglibatan pakar  dalam suruhajaya siasatan, bagaimana ?  Saya jawab : " saya telah tegaskan prinsip tadi iaitu keadilan. siasatan pun mesti berpaksi kepada keadilan dan pakar dalam satu - satu bidang siasatan seperti pakar forensik atau lainnya memang diperlukan dalam siasatan untuk mendapatkan keadilan selain dari matlamat dan objektif siasatan mestilah untuk menegakkan keadilan bukan untuk membenarkan fitnah."
 
6. Saya menegaskan demikian kerana tanpa keadilan atau tanpa mengambil kira ketetapan yang telah ditetapkan oleh Islam, bukan sahaja tindakan itu tidak islamik malah keadilan tidak akan tercapai dan apa yang paling besar ialah penuduhnya berdepan dengan hukuman Qazaf justeru menuduh tanpa mendatangkan saksi dan bukti yang jelas mengikut piawaian yang ditetapkan oleh syara'.

7. Kalaupun mereka dakwa, mereka memiliki bukti iaitu klip video aksi seks, Siapa saksinya sewaktu adegan seks itu berlaku ? cukupkah 4 orang saksi ? kalau cukup mana saksi - saksi itu ? Datuk T ? tu baru 3 orang . Itu pun, mereka saksikan berdepan atau hanya saksi melalui rakaman video ?  dan apa yang paling penting dalam isu ini ialah kenapa mereka tayang kepada wartawan terlebih dahulu ? kenapa tidak siasat dulu secara tertutup ? atau sengaja mahu memfitnah dan mengaibkan orang ? Mereka ni faham atau tidak apa ertinya Qazaf ? atau .. di perbuat daripada apakah kulit belakang mereka sehingga memandang rendah kepada qazaf ? apakah tiada hitungan dosa pahala dalam tindakan ? tidak terfikirkah pula azab seksa Allah ?

8. Saya setuju benar kenyataan yang dikeluarkan oleh sahabat saya Prof Madya Dr Asri Zainal Abidin mengenai isu ini [ boleh rujuk laman web beliau ]. Apakah iklim politik negara kita mahu diseret dalam kancah politik fitnah dan lucah sebegini ? Apakah sudah kehabisan strategi dan kelicikan berpolitik sehingga mengambil kaedah keji dan hina ini ?

9. Kita tidak takut pada siasatan. Malah saya yakin Datuk Seri Anwar tidak pernah takut pada siasatan malah kini beliau juga sedang berdepan dengan siasatan dan pembicaraan panjang di mahkamah mengenai isu liwat. Kini beliau berdepan pula isu fitnah zina. Cuma apa yang saya mahu tegaskan ialah, ikut panduan dan pedoman Islam. Menuduh mesti berbukti dan bersaksi menepati kehendak syara'. Siasatan dan Pembicaraan mesti adil. Jika dari mula plot dan dramanya adalah untuk mengaibkan dengan membuat pendedahan "separuh terbuka" supaya ia menjadi fitnah dan memalukan, saya bimbang siasatan yang dibuat hanyalah untuk membenarkan drama fitnah tersebut.

10. Semua pihak mesti kembali kepada Allah swt dengan penuh ketaqwaan. Bertindak berasaskan Iman. Yang menuduh dan dituduh semuanya tertakluk kepada hukum Allah. Bertindak jangan keluar dari garis dan landasan agama Allah swt.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan at tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive