HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Thursday, May 5, 2011

UMNO bersekongkol dengan MCA yang Anti Islam

1. Kata sindir dan sinis orang melayu seperti "kuman di seberang mereka nampak jelas namun malang gajah di hadapan  langsung mereka tidak nampak" adalah sangat tepat untuk dikirim secara terhormat kepada UMNO dan seluruh kepimpinannya. Ianya bertujuan untuk menginsafkan UMNO bahawa dulu dan kini [harap tidak selamanya] mereka bersekongkol dengan MCA sebuah parti cauvanis yang anti Islam.

2. Sebelum ini Presiden MCA Chua Soi Lek pernah menghina Islam secara terbuka dengan menganggap kononnya negara - negara Islam tidak progresif, mengamalkan rasuah, miskin dan mundur. Sementara UMNO dan pemimpinnya tidak berbuat apa - apa terhadap kenyataan yang sarat dengan penghinaan terhadap Islam dan ummatnya.

3. Sewaktu berkempen di DUN Tenang menghadapi pilihanraya kecilnya tempohari, Presiden MCA itu sekali lagi menunjuk sikap anti Islam apabila memperkecil dan mempersenda langkah calon PAS Cikgu Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki ajnabi sebagai kolot dan ketinggalan zaman. UMNO dan pemimpinnya bukan sahaja tidak memberi gambaran jelas mengenai Islam kepada MCA tetapi juga tidak pernah mengambil tindakan tegas untuk membendung perkara seumpama itu berulang.

4. Terbaru, saat Presiden UMNO dan Barisan Nasional Datuk Seri Najib menyelar PAS kononnya langkah yang diambil oleh PAS untuk bersama dengan DAP hanyalah akan merugikan Islam, disamping melemparkan tuduhan kononnya PAS telah menggadai prinsip perjuangan Islam dan memujuk supaya PAS menyertai Barisan Nasional, tiba - tiba lantang suara Presiden MCA memberi amaran kepada PAS agar tidak memperjuangkan Islam dan cita - cita menegakkan negara Islam jika mahu menyertai Barisan Nasional.

5. Terkedu dan bungkam sejuta bahasa Datuk Seri Najib dek penangan Chua Soi Lek. Amaran Chua Soi Lek itu tidak dilihat hanya kepada PAS tetapi lebih dekat ianya dihalakan kepada Presiden BN sendiri agar tidak mendekati PAS justeru PAS memperjuangkan Islam.

6. Usahlah UMNO risaukan PAS bersama Pakatan Rakyat. Tahulah bagaimana PAS yang berpedomankan Al Quran dan Sunnah pula dipimpin oleh para alim ulamak menjaga diri dan kesucian perjuangannya. UMNO wajar memberi tumpuan kepada MCA sebagai kompenan Barisan Nasional yang lantang menentang Islam. Rawatan segera mesti diberikan oleh UMNO kepada MCA yang kini sedang mengalami radang Islamophobia yang serius. Usah larikan diri dari realiti lalu melemparkan tuduhan pada pihak yang lain demi menyembunyikan kelemahan sendiri.

7. Bukan sahaja MCA yang sangat anti Islam, kelihatan UMNO sendiri tidak jelas fahaman dan sikapnya terhadap Islam. Lebih kurang 50 tahun UMNO bersama MCA, nyata UMNO masih gagal untuk memahamkan MCA mengenai Islam. Kalaupun mereka tidak menerima Islam, sekurang - kurangnya MCA tidak berlaku biadab dan kurang ajar terhadap Islam dengan mempersendakannya dikhalayak.

8. Malang apabila UMNO gagal dan culas untuk memberi contoh yang baik kepada mereka. Tiada langsung rasa hormat MCA terhadap Islam adalah ekoran sebahagian pemimpin UMNO sendiri yang tidak cakna agama dan menjadi tauladan kepada mereka dalam tempoh persahabatan mereka yang begitu lama. UMNO mesti ambil tanggungjawab ini.

9. Saya nasihatkan para pemimpin UMNO agar tidak lagi menyibukkan diri mereka dengan urusan rumahtangga orang lain dan tidak pula menyukarkan hidup mereka dengan mengatur rancangan jahat bagi mencerai beraikan rumahtanga orang. Ambillah masa yang berkualiti ini untuk memberi ilmu dan mendidik ahli keluarga [kompenan] sendiri dan apa yang paling penting ialah masa untuk diri sendiri dekat kepada Islam dan perjuangannya.

10.  Rakyat kini bijak menilai. Mereka nilai dengan siapa PAS berkawan dan dengan siapa pula UMNO berkawan ? Berapa lama UMNO berkawan dan bagaimana natijahnya dan berapa lama pula PAS berkawan dan bagaimana pula natijahnya ?  Begitulah juga dengan tindakan overkill yang dilakukan oleh UMNO akan kembalikan nilaian positif rakyat kepada PAS dan rakan - rakannya dalam Pakatan Rakyat. Sementara politik lucah, politik jijik, politik fitnah dan politik tohmah yang diasaskan oleh UMNO dan BN kini membosankan rakyat.  Generasi baru hari ini terutama "gen Y" sangat mendambakan politik tulus dan telus. Politik suci dan murni. Politik yang berteraskan akhlak dan fakta.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

4 comments:

Mokhtar bin Abd. Wahab said...

Salam,
Saya baca tulisan saudara. Saya tak mau komen apa yang saudara tulis. Tapi ini pandangan saya mengenai PAS dan UMNO.
Kedua dua pertubuhan ini sama sahaja. 2 x 5 dan 5 x 2.
Tidak ada yang memperjuangkan ISLAM. Cakap dimulut saja. Tapi tak diikuti dengan perbuatan. TALK ONLY NO ACTION.
Kedua dua pertubuhan ini PAS dan UMNO, masing masing ada agenda tersendiri. Ini sendiri lah mahu ingat. Apa yang tersirat dan apa yang tersurat.
Sebagai orang ISLAM, kita dilarang sama sekali bekerjasama dengan orang bukan ISLAM dengan meninggalkan saudara ISLAM. Saudara tentunya lebih maklum akan arahan ALLAH dalam Al-Quran.
Apa tah lagi, kalau kerjasama itu semata mata untuk menjatuhkan atau menjahanamkam orang ISLAM itu sendiri.Neraka tempat kembali mereka di akhirat kelak. Itu janji ALLAH.
Cuba kita kaji sejarah cara Nabi S.A.W berdakwah. Penuh dengan hikmah. Tidak ada caci mencaci, Hina menghina. Tak ada pengunaan kata kata kesat atau lucah.
Ini yang patut kita contohi. Jangka masa Nabi S.A.W berdakwah...23 thn. Baginda berjaya dalam dakwah. Meletakkan ISLAM ketempat yang terpuji dan disanjungi semua.
Setiap hari Baginda berdakwah. Siapa saja yang Baginda jumpai, didakwah olih Baginda dengan teguran dan kata kata manis lagi menawan hati.Baginda tak ada malakukan kerjasama untuk menjahanamkan orang orang ISLAM. Malah diusahakan dengan mencari jalan untuk mendamaikan saudara ISALAM yang bermusuhan.
Kita letakkan UMNO ketepi dulu. Sebabnya UMNO hanya parti politik.
Tapi PAS, parti ISLAM. Memperjuangkan ISLAM. 50 thn lebih telah berlalu sejak dari ditubuhan PAS, apa yang dapat PAS tunjukkan kepada semua akan kesan atau kebaikkan atau kebajikan atau pembangunan yang betul betul memberikan kesan mendalam kepada kita semua rakyat MALAYSIA. Terutama yang beragama ISLAM.
Cuba susunkan satu persatu untuk tatapan kita semua.
Kita (PAS) sepatutnya lebuh membanyakkan dakwah mengenai ISLAM. Megapa ISLAM?
Ini lah sepatutnya kerja kita (PAS).Memberikan penerangan kepada semua. Tak kira bangsa atau fahaman.
Bila kita dah berjaya dalam dakwah ini, yang lain akan datang dengan cara yang kita sendiri tak duga.Apa tah lagi kuasa pentadbiran negara.
Tapi, untuk dapatkan ini, kita kena mulai dari bawah. DAKWAH....DAKWAH....DAKWAH... dan banyakkan DAKWAH lagiii.
Al-Quran dan Sunnah panduan hidup kita. Kita kena yakin akan janji janji ALLAH. Kita kena amalkan setiap hari.
MCA dan DAP kita tolak ketepi. Mereka pun ada agenda tersendiri. Saudara tepok dada dan tanya lah diri sendiri. Saudara akan jumpa jawapan nya.
Kebanyakkan orang orang bukan ISLAM di dunia ini, tidak menyukai ISLAM. Mereka benci dengan ISLAM. Lihat lah sekeliling kita. Di negara negara ARAB, berapa banyak negara ISLAM kini hancur,bergaduh sama sendiri. Siapa punya angkara? Tak cukup dengan itu,sampai sanggup meminta bantuan dari negara kafir untuk menjahanamkan bangsa dan agama ISLAM sendiri. Orang orang kafir akan sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan bagi menjahanamkan ISLAM. Ini ALLAH dah ingatkan kita didalam AL-Quran.Apa yang ALLAH ingatkan kita dalam Al-Quran....SIAPA MUSUH MUSUH KITA....
Jadi, mari lah kita sama sama memperjuangkan ISLAM sebagaimana yang di lakukan olih Nabi S.A.W.
Penuh DENGAN HIKMAH.Paling mustahak, JANGAN AMBIL ORANG ORANG KAFIR SEBAGAI PEMIMPIN, KAWAN, TEMAN ATAU SAHABAT... dengan meninggalkan saudara ISLAM kita yang lain. Akibat nya tak tertanggung diakhirat kelak. Dibakar dalam api neraka.
Mari lah kita sama sama cari pendekatan dan titik pertemuan untuk menyatukan umat ISLAM di MALAYSIA.Kalau kita benar benar ikhlas dan jujur, insyaALLAH, akan ditunjukkan jalan. Buang jauh jauh kepentingan diri. Kepada ALLAH, mari lah kita memperhambakan diri.
Ameen.
Salam.

Anonymous said...

salam.
sebagai respon kpd saudara al mokhtar at tabligi atau al mokhtar at tahriri...
saya tidak mahu melayan spt bebudak yg sedang menangis... makin dilayan makin menangis...

ada pun isu yg dibangkitkan beliau menunjukkan beliau tak mengaji bab jinayat dan mungkin hanya lebih kepada ibadat dan fadhilat sahaja...

perlu disedari islam itu merangkumi semua aspek kehidupan bermula dari yg sekecil2nya hinggalah kpd yg sebesar2nya...
jgn mempersempit fahaman islam!

-Isam malizi

Mokhtar bin Abd. Wahab said...

salam,

jawapan kepada saudara Anonymous,
biasa le tu,bila kena batang hidung kita,kita melenting,kita merendahkan martabat orang lain, orang lain stupid, kita je yg pandai.

ALLAH ciptakan kita bermacam rupa dan kepandaian. Tidak ada yang pandai semua ILMU. ALLAH bagi sikit je.

Insaf le, ingat akan ALLAH banyak2, sebelum bercakap atau menulis, fikir dulu,

Al-Quran untuk semua. Panduan kita.
Sesuaikan kehidupan kita dengan Al-Quran, bukan sebaleknya.

Sepekara lagi, panggil seseorang dengan nama yang diberikan olih emak dan ayah nya. Jangan pandai nak bagi nama sesuka hati. BACA AL-QURAN, ada ALLAH terangkan.

Salam.

Anonymous said...

Dalam BN (UMNO-MCA-MIC), MCA dan MIC hanya pak turut. Dasar penting negara ditentukan UMNO. Maka, alhamdulillah, Islam berkembang selama UMNO memimpin negara. Biarpun ada kekurangan, identiti Malaysia sebagai negara umat Islam jelas kelihatan.

Dalam PR (DAP-PKR-PAS), umat Islam pecah dua kepada PKR dan PAS. Maka, yang memimpin adalah parti bukan Islam, DAP. Apa jaminan jika PR berkuasa, identiti Malaysia sebagai negara umat Islam kekal? Melihat kepada senario di P.Pinang dan Selangor, harapan melihat syiar Islam berkembang jika PR memerintah amat tipis. Ini tidak mustahil memandangkan parti yang paling berpengaruh dalam PR akan mempunyai suara dalam menentukan polisi penting negara.

Hari ini, Islam diinstitusikan dengan peruntukan yang besar daripada Perbendaharaan. Jika PR (baca: DAP) memerintah, adakah status ini akan kekal? atau Islam akan diletakkan setaraf dengan agama lain.

lets get back to basic; bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Pemuda PAS diharap dapat mencari jalan agar dalam kebencian PAS terhadap UMNO, penyelesaiannya tidak sampai melemahkan kedudukan Islam di negara majoriti umat Islam ini.

Pemuda PAS harus memperjuangkan isu muslim talent yang didiskriminasi oleh syarikat milik Cina. Janganlah hanya sibuk dengan isu ustaz sahaja. Golongan profesional semakin ramai dan sumbangan mereka kepada masyarakat amat besar jika dibandingkan dengan ustaz yang hanya bermodalkan air liur.

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive