HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, May 3, 2011

UMNO : Pungguk Rindukan Bulan

1. Politik tanahair kini menyaksikan UMNO dan BN terus mendendangkan irama lama yang kian sepi tidak dipeduli. Malah seninya kian pudar dan "tone"nya kehilangan sentuhan pitching yang tepat. Persembahan tidak seimbang dan penampilan tampak pincang. Apabila UMNO mengajak PAS sekali lagi menyertai Barisan Nasional dan jikalau PAS tidak mahu menyertai Barisan Nasional, keluar Pakatan Rakyat pun jadilah. Saya lihat UMNO kini seperti Pungguk Rindukan Bulan.

2. Mengatas nama bangsa dan agama, UMNO melalui Presidennya terus mendesak agar PAS menyertai BN atau sekurang - kurangnya keluar Pakatan Rakyat. Jelas agenda mereka hanya satu iaitu mengeluarkan PAS dari Pakatan Rakyat yang dilihat semakin utuh atau dalam erti kata lain ialah untuk meretakkan kesatuan dan keutuhan Pakatan Rakyat.

3. Demi bangsa dan agama ! begitulah tone lama yang pitchingnya sumbang. Kononnya PAS tidak boleh bersama DAP kerana DAP menentang perjuangan Islam yang didokong oleh PAS. Tiba - tiba MCA yang menjadi rakan kongsi UMNO di dalam BN bingkas memberi amaran, jika PAS menyertai BN pastikan PAS tidak memperjuangkan negara Islam. Inilah barangkali suatu contoh tindakan yang pernah disindir oleh Allahyarham P. Ramle sebagai Masuk Angin Keluar Asap.

4. Menariknya, UMNO seperti telah mengiktiraf bahawa perjuangan PAS adalah untuk Islam, justeru itu mereka sangat bimbang kalau - kalau perjuangan suci itu dihalang oleh DAP lantas menggesa PAS keluar dari Pakatan Rakyat kalaupun tidak mahu menyertai BN. Saya mahu ucapkan terima kasih diatas pengiktirafan secara tidak langsung itu setelah sekian lama sejak tahun 51, PAS diitentang serta dibelasah habis - habisan oleh UMNO dan BN lantaran mereka tidak pernah mengiktiraf perjuangan PAS untuk Islam sebelum ini.

5. Setelah saya kemukakan 4 perenggan di atas, isunya terhenti di atas dua point.

Pertama : Demi bangsa dan agama, PAS tidak boleh menyertai Barisan Nasional kerana kompenan kedua besar parti Barisan Nasional MCA telah memberi amaran agar PAS tidak memperjuangkan negara Islam. Sedang DAP melalui pengerusinya Karpal Singh di Konvensyen Pakatan Rakyat yang lalu telah memperlihatkan keterbukaan beliau terhadap dasar perjuangan PAS ini apabila Karpal Singh mengisyaratkan bahawa isu negara Islam boleh dibincang. Sedang DAP memberi isyarat bahawa isu negara Islam boleh dibincangkan, MCA pula membentak keras memberi amaran kepada PAS supaya jangan memperjuangkan negara Islam.

Kedua : Apabila UMNO telah mengiktiraf Islam yang diperjuangkan oleh PAS, lantaran itulah UMNO kelihatan malu malu sayang lalu menggesa supaya PAS keluar Pakatan Rakyat bimbang ianya dihalang oleh DAP. Maka saya berpandangan, amat wajarlah UMNO yang menyertai PAS demi masa depan bangsa dan agama  atau sekurang - kurangnya UMNO keluar Barisan Nasional kerana MCA jelas lantang menentang Islam dan penubuhan negara Islam sementara UMNO kini kelihatan sangat berminat dengan perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Untuk apa lagi UMNO menahan rasa dan membendung resah bersekongkol dengan MCA.

6. Saya meninjau pandangan umum dari kalangan rakyat awam yang mempunyai akses dengan maklumat ketiga dan rata - rata dalam kelompok yang saya temui mempercayai bahawa kini UMNO dan BN terdesak untuk kembali memulih potensi memiliki dua pertiga majoriti mereka di parlimen. Tiada link kedua melainkan UMNO mesti merencana sesuatu untuk memecahkan kesatuan Pakatan Rakyat ekoran inilah satu - satunya tembok penghalang untuk UMNO dan BN merealisasikan impian mereka.

7. Mengaibkan peribadi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyebarkan video lucah kepada umum, pula mendahului siasatan yang adil dan saksama adalah diyakini sebagai sebahagian usaha untuk melemahkan Pakatan Rakyat. Character assassination ini dilakukan dengan penuh teliti dan terancang. Merentasi kewajaran dan rasional masyarakat bertamadun. Berteraskan prinsip politik Mechavelli "matlamat menghalalkan cara", kini UMNO mencipta satu lagi sejarah hitam politik negara dengan memperkenalkan Politik Lucah yang jijik dan mual.

8. Sebahagian masyarakat pula cepat mengesan bahawa ini tidak lebih dari sandiwara UMNO dan BN apabila tangan kirinya menggapai PAS untuk menyertai mereka sementara tangan kanannya pula siap belati dan sabit bermata dua untuk menikam dan mencincang PAS. Realiti ini jelas diperhati umum, sebagai contoh pilihanraya peringkat negeri Sarawak tempohari, walaupun BN tahu PAS hanya bertanding di 5 kerusi, tetapi Presiden BN yang juga Presiden UMNO terus mengasak dan mengganyang PAS seolah - seolah PAS satu - satunya lawan mereka di Sarawak.

9. Saya tidak bermaksud malah tidak pernah berselera untuk UMNO dan BN menghulurkan simpati kepada PAS sehingga memberi laluan selesa kepada PAS untuk memenangi satu - satu edisi pilihanraya, tetapi apa yang tekankan ialah sikap. Pastinya adab kita mengundang, adab kita mahu berkawan dan sebagainya didahului dengan langkah berbuat baik, beramah mesra dan seumpamanya. Apa yang berlaku, UMNO dan BN terus menunjukkan sikap permusuhan dan dendam politiknya yang berterusan kemudian mengajak PAS menyertai mereka. Jika bukan sandiwara politik maka drama apakah ini ?

10. PAS tidak pernah menolak suatu yang diajar oleh Islam seperti perpaduan ummah dan kerjasama baik demi negara, bangsa dan agama selama mana ia benar - benar dibina di atas landasan Islam. Wajarnya UMNO pula menyertai PAS demi merealisasikan hasrat murni tersebut. Sementelah PAS pernah mempunyai pengalaman menyertai Perikatan suatu ketika dahulu, kini eloklah UMNO pula mengambil pengalaman tersebut. Jika UMNO enggan untuk menyertai PAS demi kerana bangsa dan agama maka bagaimanalah UMNO boleh fikir bahawa PAS mahu menyertai UMNO dan BN ?


Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua DPP Malaysia
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive