HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, May 9, 2011

Utusan Bermain Api

1. Gempar seluruh negara apabila akhbar Utusan Malaysia beberapa hari yang lalu seperti menyalakan api ketegangan antara agama ketika mencetus persoalan agama rasmi negara dengan spekulasi kononnya ada pihak tertentu yang berjuang untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi di negara ini.

2. Suatu fakta yang diketahui umum bahawa Perlembagaan negara telah memeteri Islam sebagai agama rasmi negara ini. Sementara ummat Islam pula masih menjadi golongan majoriti biarpun Malaysia adalah sebuah negara majmuk. Justeru itu, Islam tidak sewajarnya tergugat dan ummat Islam tidak selayaknya membenarkan Islam digugat.

3. PAS sebagai sebuah wadah perjuangan Islam di dalam negara ini pastinya tidak lebih rendah usahanya untuk memperjuang, mempertahan dan menegakkan Islam berbanding UMNO dan Barisan Nasional. Kegigihan serta kesungguhan PAS berjuang serta berkorban demi melihat Islam tegak dan berdaulat di dalam negara ini nyata tidak boleh dipertikai merentasi rekod dan sejarah perjuangannya.

4. Sungguhpun PAS menyertai "kerjasama politik" bersama parti - parti rakan kompenan Pakatan Rakyat [ PKR dan DAP ], namun PAS tidak pernah mengendurkan pedatinya untuk terus memacu perjuangan Islam, jauh sekali untuk berubah arah meninggalkan prinsip perjuangan yang didokong selama ini. Malah pacuan semakin kencang ke arah menguasai negeri bahkan negara agar bebas dari cengkaman pengaruh dan kuasa  UMNO juga Barisan Nasional yang menjadi punca Islam dilihat lemah serta terdedah kepada ancaman setelah lebih 50 tahun mereka memerintah, mengurus dan mentadbir negara.

5. Andainya Islam hari ini dilihat terancam dan penganutnya pula lemah pegangan agama adalah menjadi tanggungjawab semua melewati peranan dan tugas yang sayugianya dilaksanakan. Sementara kerajaan selaku pemegang amanah rakyat untuk menjaga agama, negara dan warganya mestilah mengambil tanggungjawab dengan penuh keinsafan melepasi jangkauan sempadan kepentingan politik dan parti.

6. Saya melihat spekulasi yang ditimbulkan oleh Utusan Malaysia kononnya terdapat pihak tertentu yang berusaha untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini adalah berpunca dari kelemahan dan kegagalan UMNO sebagai parti utama dalam Barisan Nasional menunaikan amanah yang digalaskan kepada mereka selaku pemerintah.

7. Lebih 50 tahun rakyat memberi kepercayaan dan mandat kepada UMNO mewakili Barisan Nasional untuk memimpin dan mentadbir negara khasnya untuk melindungi agama Islam dan kesejahteraan rakyat. Malang sungguh, malang seribu kali malang apabila Islam bukan sahaja tidak semakin kuat dan utuh tetapi dikesan umum bahawa ia semakin susut dan merosot.

8. Jika UMNO berjaya dan mampu menjaga agama Islam ini dengan baik dan menjadikan ianya semakin hari semakin kuat dan hebat, saya percaya dan yakin spekulasi untuk menjadikan kristian sebagai agama rasmi negara ini tidak akan timbul. Bahkan dalam masa yang sama, penganut - penganut agama selain Islam akan terasa aman dan selesa untuk mengamal serta menganut agama mereka.

9. Spekulasi yang dicetuskan oleh Utusan Malaysia ini bukan sahaja menampakkan kelemahan dan kegagalan ketara UMNO dan Barisan Nasional selaku pemerintah, ia juga berpotensi menyalakan api ketegangan antara agama. Pastinya situasi ini akan menggugat keamanan negara dan rakyat yang sepatutnya memperolehi hak hidup aman dan sejahtera.

10. Spekulasi itu sangat tidak bertanggungjawab. Selain dari potensi menggugat keamanan, spekulasi sedemikian juga dilihat umum sebagai usaha meraih perhatian politik murahan sekaligus percubaan nekad untuk menyembunyikan kelemahan dan ketidakupayaan mereka menjaga agama suci ini.

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

4 comments:

Anonymous said...

Salam...

Mohon komen Ustaz atas kenyataan di bawah:

Lubang Kubur Tok Guru Di Besarkan Untuk Kroni…
9 05 2011

… dan peniaga Melayu terus rasa diri mereka di tipu.

Peniaga kemboja dikelek dan disusukan, diberi pelbagai keutamaan, bagaimanapun peniaga Melayu Kelantan, yang dijanjikan ruang niaga hebat dua hari sebelum Pilihanraya Umum 2008 terus dipinggirkan.

Begitulah rintihan ahli-ahli Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB yang sudah tiada pilihan lain melainkan terpaksa berpindah juga ke Bazar Tok Guru dikini lebih terkenal dengan jolokan Lubang Kubur Tok Guru.

Pada 27hb April 2011, satu mesyuarat telah di adakan diantara Kerajaan PAS Kelantan dengan Wakil Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB bagi menyelesaikan kemelut perpindahan mereka ke Lubang Kubur Tok Guru. Kerajaan PAS Kelantan di wakili oleh YB Dato’ Timbalan Menteri Besar Kelantan, Haji Ahmad Yacob, YB Dato’ Anuar Tan dan YB Dato’ Takiyuddin Hassan. Bagaimanapun, wakil persatuan peniaga yang hadir sudah mula merasakan sesuatu yang tidak kena apabila majlis itu bermula dan berkesudahan bukan sebagai sebuah mesyuarat sebaliknya lebih kepada penjelasan segala yang telah diputuskan oleh Kerajaan PAS Kelantan.

Di dalam majlis tersebut Kerajaan PAS Kelantan memaklumkan bahawa pada 2hb Mei 2011, 300 ahli persatuan Pasar Lama MPKB akan dibenarkan memilih ruang tapak niaga pilihan mereka di Bazar Tok Guru.

Perbadanan Menteri Besar Kelantan yang memiliki Bazar Tok Guru itu juga dilaporkan akan memecahkan lebih 30 buah tapak gerai bagi memastikan Lubang Kubur Tok Guru yang mempunyai karektoristik ruang laluan ‘berlaga punggung’ akibat sempit menjadi lebih luas untuk keselesaan para peniaga dan pengunjung.

Akibat tiada pilihan lain dan setelah tawaran seorang ahli perniagaan untuk membeli balik Pasar Lama MPKB tempat ahli persatuan berniaga sekarang tidak dilayan, maka mereka merasakan terpaksa bersetuju untuk masa depan periuk nasi mereka.

Apa yang mengejutkan ialah bila pada 30hb April 2011, dua hari sebelum tarikh pembahagian tapak dijadualkan, telah ada pihak-pihak tertentu membahagi-bahagikan lebih 100 buah tapak gerai kepada orang-orang lain tanpa pengetahuan persatuan peniaga.

Anonymous said...

Sambungan...

Lebih menyedihkan bila persatuan peniaga mendapati, diantara yang diberi keistimewaan menempah tapak niaga lebih awal dari jadual itu ialah peniaga-peniaga kemboja yang didalangi oleh beberapa individu yang rapat dengan pimpinan PAS Kelantan.

Tapak-tapak gerai yang strategik telah habis diberikan kepada ‘golongan istimewa’ ini. Apa yang tinggal untuk pilihan peniaga ialah 250 tapak saki-baki yang tidak dianggap tapak niaga ‘strategik’ oleh ‘golongan istimewa’.

Individu-individu yang rapat dengan pimpinan PAS Kelantan ini juga didakwa menggunakan khidmat samseng bagi memastikan peniaga Melayu ini tidak membuat sebarang kekecohan kerana tidak berpuas hati.

Nampaknya budaya berjanji semata-mata untuk dimungkiri sudah menjadi resam dan identiti Kerajaan PAS Kelantan.

Pada 6hb Mac 2008, Tuan Guru Menteri Besar, Nik Abdul Aziz Nik Mat, berjanji kepada ahli-ahli Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB ruang niaga yang selesa di tingkat bawah Bazar Tok Guru yang akan dibina jika PAS kembali dipilih memerintah Kelantan. Bagaimanapun, setelah menang dan kekal menjadi MB, janji itu mula dimungkiri. Dari janji tingkat bawah, mereka diberikan tingkat satu dan dua oleh menantu Nik Aziz dan tingkat bawah diberi kepada pemaju projek itu.

Peniaga yang cuba berunding telah dihina dan ditekan oleh menantu Nik Aziz sehingga pendedahan dibuat di dalam blog ini. Kerajaan PAS Kelantan kemudian membuat keputusan membeli balik ruang niaga tingkat bawah dari pemaju dengan kos yang dianggarkan melebihi RM23 juta. Apabila Blog ini mendedahkan bagaimana angkara menantu Nik Aziz mengakibatkan kerugian melebihi RM50 juta, Nik Aziz mendakwa ianya disebabkan ‘kesilapan teknikal’ dan menantunya terpaksa mengundurkan diri.

Bagaimanapun kemelut yang dihadapi oleh peniaga terus menimpa-nimpa bila ruang niaga asal yang dijanjikan berukuran lebih 12 x 15 kaki bertukar ke saiz lubang kubur seluar 6 x 8 kaki sahaja. Kerajaan PAS Kelantan kemudian mengambil beberapa langkah yang tidak bertamadun termasuklah menggelarkan peniaga Melayu ini sebagai biawak pasir di dalam usaha memaksa mereka berpindah.

Hari ini, setelah ahli-ahli Persatuan Peniaga Pasar MPKB bersetuju mengalah dan berpindah, mereka seolah-olah ditipu pula.

Kerajaan PAS Kelantan harus telus dan menjelaskan sepenuhnya siapakah ‘golongan istimewa’ ini. Siapakah individu-individu disebalik ‘golongan istimewa’ ini dan mengapakah Bazar yang dijanjikan sebagai hadiah Nik Aziz kepada peniaga Melayu dua hari sebelum PRU 12 bertukar menjadi bahan sendaan kepada peniaga Melayu?

Saya cadangkan setiap exco yang terlibat dalam skandal Lubang Kubur Tok Guru ini, termasuklah Menteri Besarnya dan menantunya sekali mengambil ujian poligraf. Orang yang pertama perlu mengambil ujian yang boleh menentukan seseorang itu menipu ialah YB Dato’ Haji Husam Bin Musa.

Saya dan wakil-wakil persatuan peniaga yang terbabit bersedia untuk turut sama mengambil ujian ini.

Anonymous said...

tajuk yg dikupas oleh saudara tantawik ini menarik.... bagaimana kalau apa yang soal oleh akhbar utusan itu benar2 berlaku,, dan bagi aku kemungkinan besar hal ini berlaku... meletakkan kesalahan kepada sikit2 masalah kepada umno adalah dasar PAs dan tantawik walaupun dalam masalah parti pas pun seringkali umno dikambing hitamkan,, dan sewajarnya parti pas yg didokong oleh tantawik ini patut melahirkan kegusaran kalau benda ini berlaku dan jangan dipersalahkan kepada sesiapa,, tantawik kena akui pendokong pas pun ada yg lebih teruk akhlak berbanding dengan orang umno yg tantawik benci..untuk hal yg dibangkit oleh utusan sepatutnya tantawik turut menyiasat kebenarannya dahulu...tantawik kena akui orang kafir tidak akan duduk diam demi menghancurkan islam dan tidakkah tantawik sedar akan hal ini atau buat tak tahu sahaja...akhirnya kepada ustaz tantawik dengan serban besar dikepala jangan dok fikir jahat umno sahaja fikir jugak jahat kafir2 nak menjatuhkan islam..walau pun aku benci kepada puak kamu ni parti pas tapi dalam menjaga ugama islam aku paling benci puak kamu ni yg mempertahankan kafir dap dari org islam sendiri..kamu buangla serban besar kamu tu..

Abu Akram said...

Api...semasa kecil menjadi kawan, bila besar menjadi lawan... Utusan bermain dengan api yang akan memakan diri sendiri...akan hangus menjadi abu...

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive