HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Thursday, September 29, 2011

Hak PAS untuk Melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Tidak dinafikan


Hak PAS untuk Melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah Tidak dinafikan

1.     Semalam, hampir 4 jam Pakatan Rakyat telah membincangkan hasrat PAS mahu melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di negeri Kelantan dalam keadaan penuh harmoni dan semangat toleransi yang seimbang. Sungguhpun mewakili anutan ideology dan agama yang berbeza, namun disiplin muafakat dan keterbukaan sikap diserlahkan dalam setiap hujjah dan perbahasan bagi memastikan Pakatan Rakyat bukan sahaja berupaya merungkai masaalah yang sedang dihadapi tetapi juga terus mendada, mendepani segala cabaran dan halangan yang mahu menggagalkan Pakatan Rakyat membuka ibupejabat pentadbiran kerajaannya di Putrajaya.

2.    PAS menyatakan hasratnya yang murni dengan penuh tertib dan jelas membawa maksud mahu melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di Kelantan bersulamkan hujjah yang bernas pula dari saff kepimpinannya yang diketuai oleh Yb. Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Sementara rakan – rakan parti kompenan Pakatan Rakyat yang terdiri dari DAP dan PKR mengemukakan pandangan balas mereka, mengimbangi kepentingan semua pula melatari scenario politik semasa.

3.     Akhirnya, kata sepakat dicapai dengan semua parti kompenan Pakatan Rakyat mempertegaskan untuk saling kukuh mengukuh dalam perkara yang dipersetujui bersama seperti objektif, agenda, dasar dan prinsip yang terkandung di dalam Buku Jingga. Sementara dalam perkara yang berbeza seperti teras ideology dan prinsip agama yang dianut meletakkan semua parti kompenan Pakatan Rakyat untuk saling hormat – menghormati antara satu sama lain.

4.    Statement ini adalah suatu yang telah didirikan di atas semangat muafakat yang luar biasa pula menepati ajaran Islam yang suci. Bagaimana Rasulullah saw pernah bangun berdiri tatkala dibawa lalu di hadapannya jenazah non muslim, lantas baginda saw. ditegur ekoran tindakan baginda saw berdiri menghormati jenazah tersebut. Baginda saw menjawab, bukankah ia juga manusia, dihormati sewaktu hidupnya dan dihormati juga sewaktu matinya.

5.    Menghormati tidak bermakna bersetuju. Sebagaimana Islam tidak pernah dan tidak boleh bersetuju dengan agama yang mensyirikkan Allah swt. namun Islam mengajar kita menghormati hak mereka untuk menunaikan ajaran agama yang mereka anut malah mereka tidak boleh sekali – kali dipaksa menerima Islam justeru Islam hanya sah dianut dengan yakin, sedar dan insaf. Demikianlah sebaliknya, mereka juga wajar menghormati hak orang Islam untuk mengamal atau melaksanakan tuntutan ajaran Islam meskipun mereka tidak bersetuju dengan ajaran Islam tersebut kerana menghormati tidak bermakna bersetuju.

6.    Menghormati bermakna tidak menghalang. Sebagaimana Islam tidak boleh menghalang non muslim melaksanakan hak dan ajaran agama mereka justeru Islam dituntut menghormati mereka, demikianlah sebaliknya mereka juga tidak menghalang hak orang Islam untuk mengamal dan melaksanakan tuntutan ajaran Islam seperti undang – undang syariah Islam. Inilah semangat dan ruh hormat – menghormati dalam perkara yang berbeza antara muslim dan non muslim.

7.    Sangat jauh bezanya jika kita melihat bagaimana UMNO dan BN melayan hasrat PAS untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 di negeri Kelantan. Sejak awal dulu, pemimpin UMNO biarpun mengaku muslim sangat konsisten untuk menolak perlaksanaan syariat Islam ini. Sudahlah mereka menolak syariat itu, mereka juga bertindak lebih nekad dan biadab apabila turut menghalang PAS yang mahu melaksanakannya. UMNO gagal menjadi budak baik, apabila mereka tidak mampu melaksanakannya, dia halang dan marah pula orang lain yang mahu melaksanakannya.

8.    UMNO bukan sahaja gagal menjadi budak baik tetapi kelihatan sangat naïf dan gugup apabila tergesa – gesa Presidennya mengeluarkan komitmen enggan melaksanakan hukum Hudud yang menjadi sebahagian dari Syariat Allah swt sebaik sahaja disergah MCA yang mengancam mahu keluar dari BN jika UMNO melaksana hudud. Padahal MCA hanya acah – acah sahaja untuk meninggalkan BN kerana mereka terlebih awal tahu “perut pedal” UMNO sangat “istiqamah” menentang dan enggan melaksanakan hudud.

9.    PAS telah membuat pengisytiharan sejak 1993 [ sebelum wujudnya Pakatan Rakyat ] untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 apabila Enakmen itu telah diluluskan di DUN Kelantan yang dikuasai oleh PAS pada waktu itu. Kemudiannya diperkukuhkan pula pengisytiharan itu pada tahun 2003 apabila Enakmen Jenayah Syariah tersebut dilulus dan digazetkan pula oleh DUN Terengganu apabila PAS menguasai negeri itu secara demokrasi.

10.  Pengisytiharan dan hasrat tersebut tidak pernah dinasakhkan [ dihapuskan ] malah Kelantan terus membina semangat dan mendidik rakyatnya dengan menganjurkan siri wacana, diskusi, forum bagi menjelaskan hukum jenayah syariah [ hudud ] secara terperinci.

11.   Terbaru, YAB Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar sekali lagi mempertegaskan hasrat untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah 11 setelah sekian lama tertangguh kerana berhadapan dengan pelbagai kekangan. Saya melihat penegasan itu bukan retorik atau gimik menghadapi pilihanraya justeru itulah yang diulang saban tahun, samaada tahun pilihanraya atau tidak. Sebaliknya penegasan itu datang dari iman dan taqwa beliau selaku seorang muslim, pula berilmu dan memiliki kuasa memerintah kerajaan negeri.

12.  Saya mewakili rakan – rakan EXCO Dewan Pemuda PAS Malaysia dan seluruh warganya sebulat suara menyokong langkah tegas YAB Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz untuk terus meraih redha dan keampunan Allah buat pemerintahan negeri Kelantan dengan melaksanakan apa yang telah menjadi perintah Allah swt. dan kami juga menegaskan bahawa kami bukan sekadar menyokong sebaliknya terus berjuang untuk memastikan hukum Allah swt ini akhirnya berdaulat di atas muka bumi ini khasnya di Kelantan.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan pemuda PAS Malaysia



6 comments:

tungkaran hati.blogspot said...

Isu Hudud: Akhirnya kebenaran terpancar jua...!
Perjuangan PAS sememangnya tersasar jauh!
Keberanian PAS hancur dalam PR terutamanya bila berhadapan dengan DAP! Segala keputusan mesyuarah dalam PR mestilah mengikut kehendak DAP!
Mana wajah kepimpinan PAS? sedangkan penyokong dan pengundi PAS mahukan PAS yang gagah dan berani dan bukannya sebagai pengecut dalam gabungan PR.
Berjuanglah kerana Islam dan negaramu bukannya setakat slogan menawan Putrajaya sahaja...!

abu said...

sesungguhnya tak sabar untuk saya sebagai rakyat kelantan nak tengok tertegaknya Hukum Allah...biar kurang sikit jenayah di Kelantan dan kurangnya penyakit2 berbahaya seperti HIV di kalangan rakyat Kelantan yang mana antara yang tertinggi di Malaysia..Allahuakbar..

Anonymous said...

Ya.. saya juga bersama jamaah, menyokong seranan TGNA.

Anonymous said...

sokongan yang membawa rebah... setakat sokong tapi takut dengan DAP xyah citer banyak la...

Lebai Malang said...

..Enakmen Jenayah Syariah Kelantan tu telah diluluskan semenjak tahun 1993 oelh DUN Kelantan tapi digantung tidak bertali oleh Kerajaan PAS Kelantan hanya kerana sepucuk surat teguran oleh Tun M . Pada pandangan beliau enakmen itu tidak dibuat dengan teliti dan sekiranya dilaksanakan ditakuti akan berlaku ketidakadilan keatas tertuduh.

Sepatutnya pihak kerajaan PAS Kelantan berusaha memperbaiki sbarang kelemahan yg ada pada enakmen itu, dan bukannya simpan enakmen itu dalam kabinet besi berpalang. Kemudian menunding jari kepada UMNO kerana gagal untuk laksankan undang2 tersebut. Hanya dikeluarkan semula untuk jadi modal kempen setiap kali tiba musim PRU. Cuma pada musim PRU 12, modal Hudud dan Negara Islam tidak dijadikan modal kempen kerana takut ditegur oleh DSAI dan DAP. Nampaknya pemimpin PAS lebih takut kepada Tun M, DSAI dan DAP dari Allah.

Semenjak perlancaran Buku Jinggay dan selepas Muktamar PAS ke 57, semua pemimpin PAS termasuk Datuk Nik Aziz sendiri telah setuju buat U-Turn untuk berjuang bersama DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat untuk mendirikan Negara Berkebajikan dan tinggalkan perjuangan menegak Negara Islam/Hudud.

Tiba2 Datuk Nik Aziz sendirian buat U-Turn lagi nak laksana hudud pula di Kelantan..mengapa ??? Dia sebenarnya sudah tidak yakin PR akan tawan Putrajaya..tapi seboleh2nya akan guna senjata ampuh (hudud)ini untuk mempertahankan Kelantan yg sekian lama telah menjadi periok nasi kroni dan anak beranaknya.

Kini sudah jelas, bagi pemimpin PAS 'hudud' hanya sebagai alat yg hanya dijadikan modal permainan politik. Amat sedih bila melihat hukum Allah telah dipersendakan oleh mereka yg mendakwa sebagai 'pejuang Islam'.

UMNO memperalatkan politik untuk Islam, bukan memperalatkan Islam untuk politik.

Abu Huzaifah said...

Assalamualaikum

Sesungguhnya ana berdoa kepada Allah agar ana dan umat Islam diseluruh penjuru dunia agar dapat disatukan dengan kembali dengan tertegaknya Daulah Khilafah Islamiyyah, yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang diangkat dan dibai'at oleh kaum muslimin untuk didengar dan ditaati agar menjalankan pemerintahan berdasarkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya, serta mengembang risalah Islam ke seluruh penjuru dunia dengan dakwah dan jihad. (InsyaAllah jika ada hayat ana mungkin dapat melihatnya)

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive