HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, October 14, 2011

Budget One Off Melahirkan Masyarakat One Off

1. Prinsip sesebuah belanjawan negara ialah memastikan imbangan pengurusan ekonominya dalam keadaan stabil, mantap dan berkeupayaan memacu pertumbuhan yang  rancak sekaligus membebaskan negara dari kemelut inflasi dan kesan parah ekoran ketidaktentuan graf ekonomi dunia lantas membantu, memelihara dan menyelamatkan rakyat dari penderitaan atau kesengsaraan angkara penyelewengan dan kepincangan dalam pengurusan ekonomi. Termasuklah Memulangkan hak kepada mereka yang berhak memilikinya.

Abi Said Al Khudri  rha berkata bahawa Rasulullah saw bersabda :

من كان معه فضْلُ ظَهْرِ فَلْيَعُدْ بِهِ على مَن لا ظَهْرَ له و من كان له فَضْلٌ مِن زادٍ فَلٍيَعًُدْ به على مَن لا زادَ له فذَكَرَ مِن أصنافِ الْمالِ ما ذكَرَ حتى رأَيْنا أنَّه لا حَققَ لِأَحدٍ منَّا في فضْلٍ

"Sesiapa yang mempunyai lebihan tenaga, maka hendaklah ia memberikannya kepada orang yang tidak mempunyai tenaga dan sesiapa yang mempunyai lebihan bekalan, maka hendaklah ia memberikannya kepada orang yang tidak mempunyai bekalan. Selanjutnya beliau menyebutkan beberapa jenis harta sebagaimana yang tersebut, sehingga kami tidak menjumpai seorangpun antara kami yang mempunyai lebihan hak."

Riwayat Imam Muslim
Sabda Rasulullah saw juga :

                                              أَطْعِموا الْجَائِعَ و فُكُّوا الْعَانِى

"Berikanlah makan kepada orang yang lapar dan bebaskanlahorang dalam penderitaan"

Riwayat Imam al Bukhari

2. Belanjawan juga tidak hanya  bermaksud "belanja wang" semata - mata tetapi turut menggarap perancangan strategik membangunkan tamaddun yang hebat dan sumber manusia yang berkualiti tinggi dengan nilai akhlak ekonomi berpaksi kepada kehendak pembiaya utama ekonomi dunia iaitu Allah al Wahhab [ Tuhan Yang Maha Mengurniakan ] ar Razzaq [ Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki ]. Sebaliknya belanjawan mestilah bersifat memburu kekayaan dan mengaut keuntungan setelah segala tugas, amanah dan tanggungjawab kita kepada Allah diselesaikan sebagaimana yang diajar oleh Allah swt di dalam surah al Jumuah ayat  10 - 11:

فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ.   وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا قُلْ مَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ مِّنَ اللَّهْوِ وَمِنَ التِّجَارَةِ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

"Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari rezeki kurniaan Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).  Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar - berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad:" Pahala - balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki."

3. Belanjawan tidak boleh terhenti di atas "data agihan" atau "jana pendapatan" berdasarkan manhaj materialisme tetapi wajib [ tiada pilihan ] bertolak dari sebuah tanggungjawab rabbani dengan meletakkan asas Ekonomi Taqwa [tidak rasuah, tiris dan mungkar ],  Ekonomi Qanaah [tidak tamak dan membazir] serta Ekonomi Barakah [ kebajikan kepada rakyat dan ketaatan kepada Allah swt ] . Insafilah peringatan atau penegasan Allah swt di dalam surah al A'araaf ayat 96 :

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan rezeki) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

Firman Allah swt lagi di dalam surah At Tholaq ayat 2 -3 :

 وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجًا .   وَيَرْزُقْهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا

 "dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),  Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu. "

4. Belanjawan tidak boleh diperjudikan untuk meraih sokongan pilihanraya justeru belanjawan bukan manifesto parti politik yang bertanding dalam pilihanraya sebaliknya ia adalah manual pengurusan sumber negara berkait pendapatan dan agihan oleh kerajaan yang bertanggungjawab untuk seluruh rakyatnya tanpa mengira perbezaan bendera dan lambang parti, demikian juga perbezaan warna kulit dan gigi setta perbezaan bahasa lidah dan tangan.

5. Belanjawan yang bersifat manifesto pilihanraya akan menzalimi anggota parti yang menentangnya dan menafikan hak pengundi yang tidak menyokong mereka. Realiti ini ketara dalam amalan pembahagian wang one-off sebelum ini dan sebagai contoh apa yang berlaku di negeri Terengganu dalam pilihanraya umum yang lalu. Setelah royalti minyak Terengganu dirampas oleh kerajaan UMNO dan BN, mereka akhirnya memujuk rakyat dengan pemberian wang one - off sebelum ianya bertukar nama menjadi wang ihsan. Wang one-off ini telah diberi melalui Ketua UMNO Bahagian dan apa yang berlaku wang tersebut diagih secara tidak adil. Pengagihan yang tidak adil ini tentu sahaja kebanyakan hasilnya akan dinikmati oleh kroni dan penyokong sendiri.

6. Rakyat miskin yang kebetulan tidak menyokong mereka, bagi membolehkan mereka menerima habuan wang one - off tersebut, setengahnya terpaksa mengaku secara one - off pula, bahawa mereka juga akan sokong kerajaan UMNO selepas menerima wang tersebut. Apa yang penting ialah mereka menang dalam pilihanraya dan kekal memerintah sekalipun mereka sedar bahawa sokongan atau undi yang diberikan kepada mereka bukanlah undi yang genuin tetapi hanyalah undi one - off. Sama seperti kes PATI yang mendapat identity card dan dipercayai untuk didaftar pula sebagai pengundi. Jika itu benar berlaku, maka itu juga contoh undi one - off untuk menghargai penganugerahan ic one - off kepada mereka.

7. Belanjawan one-off tidak membangunkan negara apatah lagi rakyat. Sebaliknya belanjawan one-off ini akan menyumbang kepada "iklim ekonomi inflasi" apabila kuasa beli meningkat secara mendadak ekoran "durian runtuh" yang mereka terima dari belanjawan one-off tersebut. Teori praktikalnya, apabila kuasa beli sebahagian rakyat yang menerima wang one-off ini meningkat lantaran "wang besar" berada di dompet atau tas tangan mereka, harga barang keperluan akan meningkat kerana permintaan yang tinggi terhadap material yang terhad. 

8. Sungguhpun wang one-off itu dijanji agihannya pada January tahun depan, saya percaya apa yang ada dalam kepala para peniaga dari kalangan pembekal atau peruncit ialah perkiraan untuk  menaikkan harga barang menjelang December ini atau paling lewat kita akan menyaksikan kenaikan harga pada barang kawalan dan keperluan yang lain sejurus keputusan pilihanraya umum ke 13 diumumkan, kecuali keputusan tersebut tidak lagi berpihak kepada mereka. Apakah ini tidak menyumbang ke arah berlakunya inflasi dalam negara kita ? dan apa yang paling pasti ialah, rakyat marhaen yang tidak tersenarai pun dalam list penerima wang one - off, [tentu gaji mereka tidak naik, elaun mereka tidak naik, bonus mereka tidak dapat dan pendapatan mereka tidak bertambah] akan menjadi mangsa "one - off" negara.

9. Lazimnya pula, kerajaan akan bercakap soal janji mereka untuk memastikan harga barang keperluan tidak naik. Lalu pada tanggal 1 dan 2 January, Menteri akan turun secara one-off ke pasar, gerai dan kedai one stop center. Kemudiannya mereka serahkan pada beberapa orang yang dinamakan sebagai skuad pemantau untuk memantau seluruh pasar dan kedai si seluruh negara. Realiti yang berlaku ialah barang terus naik tanpa ada jaminan tarikh untuk ia turun kembali.

10. Saban tahun menjelang hari pembentangan belanjawan, saya perhatikan pelbagai pihak menanti - nanti habuan atau "durian runtuh" atau lebih tepat jika saya sebut wang one-off. Sejurus selesai pembentangan, mereka yang dapat akan senyum lebar sementara yang tidak dapat akan mengomel seribu bahasa yang dia sendiri tidak memahaminya. Saya melihat fenomena ini berlaku kerana mereka sekian lama terdidik dalam belanjawan yang bersifat one-off tersebut. Jelas one-off tidak membangun jiwa mandiri di kalangan rakyat justeru one-off itu sendiri sifatnya sementara maka ia tidak menghasilkan pembangunan jangka panjang.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

1 comments:

Anonymous said...

BUDGET ONE OFF ATAU ON OFF......ON DGN ONE PUN PAYAH BEZA?

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive