HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, October 17, 2011

HIMPUN : Hari Solidariti Ummat Islam

Muqaddimah.

1. Amanah terbesar ummat Islam ialah memelihara, mempertahan dan memperjuangkan agama Allah swt sehingga ianya tegak secara praktikal di dalam diri setiap individu yang mengaku beriman kepada Allah swt dan juga tegak berdaulat di atas tanahair mereka. Pantang mengalah sungguhpun terpaksa mendepani cabaran getir dan rintangan sengit terhadap perjalanan dan perkembangan Islam di negara ini.

2. Cabaran dan halangan yang dihadapi oleh Islam dan ummatnya di sepanjang sejarah dan tamaddunnya pula adalah merupakan sunnatullah. Justeru itu, ummat Islam digesa agar senantiasa berwaspada, bersedia, peka, sensitif dan responsif terhadap apa jua keadaan dan dimana jua berada agar pemikiran mereka tidak terpesong, keperibadian mereka tidak cela dan aqidah mereka tidak rosak.

3. Musuh pula tidak pernah lalai dan leka menunggu saat dan ketikanya ummat Islam alpa dan asyik dari amanah dan tanggungjawab mereka terhadap perintah Allah swt dan tuntutan agamaNya untuk merosakkan pemikiran, akhlak dan aqidah ummat Islam. Pelbagai ruang dan peluang akan digunakan oleh musuh - musuh Allah untuk melunas tujuan dan hasrat mereka tersebut tanpa jemu, bosan dan berputus asa.

4. Lima perkara yang sering menjadi perantara berkesan untuk membinasakan ummat Islam tanpa disedari, pula berurutan dengan kelemahan dan ketidakpedulian ummat Islam sendiri. Lima perkara yang saya maksudkan ialah "Jerat 5F":

a] Food : Makanan yang tidak halal dan memudaratkan
b] Fun : Hiburan dan keseronokan yang meleka dan melalaikan
c] Family : Keluarga yang runtuh dan berantakkan
d] Film : Filem yang membinasakan budaya, merosakkan minda
e] Fashion : Fesyen yang menjolok mata dan merangsang syahwat.

Ummat Islam Mesti Bangkit.

5. Perkembangan mutaakhir ummat Islam sangat tenat dan menyedihkan. Sukar saya mahu menyebutkan figure dan angka, lantaran perkembangannya terlalu pesat saban hari dan grafnya meningkat mendadak. Tiada siapa yang boleh menafikannya seperti kes rogol, zina, buang bayi, pelacuran, hiburan tanpa batas, pergaulan bebas, penceraian, penderaan, ragut, samun, rompak, bunuh, khurafat, riddah dan 1001 mala petaka sedang menimpa ummat Islam termasuklah fenomena menghina dan mempersenda agama Islam serta mempertikai dan menentang hukum Allah swt secara terbuka.

6. Ummat Islam selayaknya sedar dan segera bangkit untuk melakukan perubahan total dan mengembalikan semula izzah [ kemuliaan dan kehebatan ] mereka bersama Islam sebagai petunjuk dan agama yang benar. Mereka perlu lepas dari ikatan idealogi yang bertentangan dengan Islam dan budaya mungkar yang dimurkai oleh Allah swt. Ummat Islam jua mesti bebas dari pengaruh maksiat yang menjerumuskan dan perangkap riddah yang memalingkan mereka dari ajaran Islam yang suci lagi mulia.

7. Ummat Islam kini perlu dibimbing, dipimpin dan diberi motivasi agar mereka menyedari bahawa mereka adalah ummat terbaik dan mempunyai kekuatan serta kehebatan diri yang telah dikurniakan oleh Allah swt bersama agamaNya sebagai manhaj atau cara hidup yang mulia dan sempurna. Malah Ummat Islam juga mestilah menginsafi bahawa lemah dan hinanya mereka pada hari ini adalah kerana mereka meninggalkan Islam sebagai petunjuk, cara dan gaya untuk hidup. Mereka bukan lemah dan hina kerana melaksanakan ajaran dan hukum hakam Islam.

HIMPUN untuk kebangkitan dan solidariti ummah.

8. Tanggungjawab menyedarkan ummat Islam dari tidur mereka yang panjang sehingga mamai dan hilang daya sensitiviti adalah tanggungjawab semua, justeru Islam bukanlah milik ekslusif mana - mana pihak. Sebaliknya Islam adalah milik semua mereka yang melafazkan syahadatain iaitu penyaksian bersumpah bahawa tiada tuhan yang layak disembah selain Allah dan Muhammad itu adalah Rasulullah. Ertinya ummat Islam mesti bersatu dengan ikatan aqidah, menjulang panji syahadah dan komited dengan amal Islami.

9. Telah tiba masanya ummat Islam menghentikan polemik sesama sendiri, konflik yang merugikan masa depan mereka. Saling curiga mencurigai, fitnah memfitnah, tuduh menuduh, jatuh menjatuh dan khianat mengkhianati diantara satu sama lain adalah punca segala musibah yang menimpa ummah, sedang mereka mempunyai sebab yang sangat kuat untuk teguh bersatu iaitu Aqidah Islamiyyah.

10. Kalaupun ummat Islam sukar mencari titik pertemuan kerana perbedaan ideologi politik, latar belakang sosial, ekonomi, pendidikan dan sejarah silam, saya yakin ummat Islam masih berpeluang untuk bertemu dan bersatu demi kerana aqidah dan masa depan ummat Islam yang perlu kepada kebangkitan semula. Namun setiap ummat Islam mestilah ikhlas dan jujur demi untuk Islam, aqidah dan syariatnya. Bukan saling mengintai peluang untuk memerangkap dan mengenakan pihak lain.

11. Saya dan rakan - rakan dari Dewan Pemuda PAS Malaysia merakamkan setinggi - tinggi tahniah kepada Sekretariat HIMPUN yang dipengerusikan bersama oleh Tuan Hj Azmi Abd Hamid [ Teras Pengupayaan Melayu - TERAS ] dan Dr Yusri bin Mohamad [ Pertubuhan Pembela Islam - PEMBELA ] di atas penganjuran Himpunan Sejuta Ummah [ HIMPUN ] yang bakal berlangsung detik jam 2.00 - 6.00 pm pada 22 Oktober 2011 di Stadium Shah Alam Selangor Darul Ehsan.

12. Saya mengharapkan usaha murni tersebut disokong oleh seluruh ummat Islam dan saya menyeru agar ummat Islam turut hadir beramai - ramai khasnya anak - anak muda setelah saya mendapat komitmen daripada Sekretariat HIMPUN bahawa objektif Himpunan Sejuta Ummah boleh dirumus di atas 3 nokhtah :

a] Memotivasi ummah agar bangkit mempertahan & memperjuangkan aqidah .
b] Menghimpun dan menyatukan ummat Islam khasnya diatas isu aqidah
c] Sebagai satu penyataan sikap dan deklarasi ummah yang sedia berjuang

13. Himpunan hasil gabungan besar yang mencecah 1000 ngo muslim ini adalah julung kali dianjurkan dalam negara kita. Ia adalah himpunan awam yang bakal menyatukan pelbagai lapisan ummat Islam. Bermula dari tokoh - tokoh agama, pemimpin dan aktivis masyarakat, seleberiti dan mahasiswa dijangka akan membanjiri Stadium Shah Alam untuk menyatu suara dan tindakan ke arah memperjuangkan Islam serta mempertahankan aqidah ummah.

14. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil pendekatan serupa sewaktu menyokong gabungan lebih 6buah ngo BERSIH 2.0 yang berjuang menuntut pemulihan sistem demokrasi dan pengurusan pilihanraya negara kita. Pemuda PAS bersama dengan himpunan dan denyut nadi puluhan ribu rakyat pada 9 Julai yang lalu.

15. Insyaallah, Saya dan rakan - rakan Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil sikap yang sama terhadap Himpunan Sejuta Ummah pada 22 Oktober kelak . Semoga himpunan tersebut berjaya mencapai matlamat dan menepati objektif yang digariskan bersama berkat dan rahmat Allah swt. Sekali lagi saya ucapkan tahniah kepada semua ngo - ngo Islam yang terlibat. Kami pemuda PAS senantiasa bersama anda semua dalam meneruskan cita - cita perjuangan Islam dan mempertahankan aqidahnya di bumi bertuah ini. Selamat berHIMPUN daripada Dewan Pemuda PAS Malaysia buat semua dan hadirlah dengan niat yang ikhlas kerana Allah swt.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

11 comments:

Anak Nelayan Pontian said...

PAS Pusat katanya belum beri green light. DPP seperti mendahului. Syabas kerana DPP prihatin

zizoi said...

1.Pemuda PAS patut hadir dgn pakaian seragam tertentu.
2.Elok juga promosi Hukum Hudud dgn membawa kain rentang dgn cogankata yg dapat memikat audiens supaya menyokong Hudud/PAS dan menjauhi/berubah dpd menyokong BN/umno
3.Ketengahkan TGNAA & TGHA bercakap tentang isu murtad dan justifikasi perlunya hukum Hudud ditegakkan

Anonymous said...

Assalamualaikum ust ...

Mohon pencerahan, masih ramai lagi ahli/penyokong PAS yang agak kabur dengan pendirian PAS berkenaan dengan program ini tanpa dinafikan ianya adalah satu program yang memenuhi kehendak Islam dari sudut konsep iaitu untuk menguatkan ikatan ukhwah juga aqidah umat Islam. Tetapi melihat kepada paparan yang disiarkan di media dan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh individu/kumpulan melihat kepada adanya unsur ingin mewujudkan sentimen perkauman dan ingin mencetuskan perasaan tidak senang kepada penganut agama lain berkenaan dengan intipati program tersebut. Melihat kepada isu tersebut maka timbulnya keraguan di kalangan ahli/penyokong PAS sendiri terhadap program tersebut. Persoalannya, adakah arahan rasmi kepada pemuda PAS bagi menghadiri program ini? Bagaimana pula dengan pendirian PAS Pusat?

Jazakallah ...

Anonymous said...

Assalamualaikum Ustaz,
Salam perjuangan.

Dalam berHIMPUN itu nanti perlu difikirkan juga utk menangani adab2 berhimpun spt pergaulan bukan muhrim, perlaksanaan solat peserta2nya, ucapan2 yg berhikmah yg bakal memberikan kesan positif kepada aqidah ummat (bukan nnt menimbulkan kebencian dan permusuhan kepada penganut agama lain dalam konteks yg salah).

Semoga ia menjadi medan muhasabah dan peringatan dan bukannya medan tuduh-menuduh dan berburuk-sangka.

Adalah juga diharapkan nnt dapat melahirkan satu deklarasi kepada pemerintah ttg tanggungjawab mereka dalam memelihara kesucian akidah umat islam di negara kita ini. Semoga perjuangan ini diredhai Allah.Wallahualam.

Nik said...

Pres TGHH baru keluarkan statement berhubung HIMPUN.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/6053-himpun-pas-tidak-terlibat
so,DPPP masih tetap dgn pendirian bersama HIMPUN atau bagaimana?
Syukran ust.

alfindani said...
This comment has been removed by the author.
hurun een said...

Allahu Akbar! Ustaz, semoga Allah menguatkan Islam dengan barisan pemimpin yg ikhlas dan benar seperti ustaz. Kami NGO2 Islam akan sentiasa menyokong para pimpinan yg meletakkan neraca Islam pada tempatnya. semoga Allah rahmati!

Anonymous said...

saya menyokong apa yang di perkatakan oleh pihak tuan,,,..jadi jika ada kelapangan, saya akan pergi ke himpun'.di harap, ramai lagi orang macam tuan dimana, apa2 yang melibatkan islam kita kena dahulukan tak kira apa fahaman politik dan perbezaan pendapat..sepatutnya semua orang islam menyokong 'himpun' bukan mengadaikan sesuatu yang tak baik dan tidak kena pada 'himpun ini.sebab dijelaskan objektifnya mengenai akidah dan ummah orang islam amnya di malaysia.jadi tolonglah sama2 kita menyokong dengan jelas bukan berlapik untuk menjaga hati rakan dalam pakatan @ kerajaan yang orang bukan islam..dengan ini, kenyataan Tuan/Ustaz ini dapat kita semai sama2 untuk memperjuangkan akidah islam dan jangan menunding jari sepenuhnya pada orang lain tentang hal ini.TQ

Anonymous said...

Pendapat tuan saya sokong, walaubagaimanapun arahan TGHA perlu di ambil perhatian juga. beliau adalah pemimpin jamaah pada masa yang sama beliau juga seorang ulama', munkin pandangan beliau kasyaf.

Allahu a'lam.

muhammad said...

salam..
saya agak kecewa sebab ramai yang tidak datang ke himpun semalam.. ini menunjukkan islam di malaysia rapuh.. non-muslim(yang lebih galak memberi liputan mengenai himpun) mesti tergelak besar dan menunjukkan kemenangan hampir kepada mereka... seharusnya kita memberi sokongan demi islam bagi menunjukkan kita kuat.. beberapa orang yang saya kenal tidak mahu hadir termasuk org yang alim memberi alasan antaranya:

1. ada unsur kepartian(UMNO whatsoever)
- saya hadir semalam, jelas sekali tiada unsur kepartian, malahan pemimpin mereka sendiri tidak hadir.. tiada asas tuduhan ini..

2. usaha yang tidak relevan(sorak2 tapi end result hampeh)
- it's the effort that counts.. not the end result.. at the end, yaumul qiyamah, at least kita boleh kat Allah kita dah usaha..
- bersih yang end result masih samar kita boleh sokong, kenapa himpun demi islam tak boleh?

3. mengundang rasa tidak senang terhadap agama lain..
-penganjur sendiri berulang kali mengingatkan jangan ada provokasi yang melahirkan rasa benci terhadap agama lain..
- risalah yang diedarkan mengenai orang yang bertanggungjawab terhadap kejadian di DUMC dirampas bagi mengelakkan provokasi

ucapan dr. hassan ali sangat menyentuh perasaan.. beliau hadir atas kapasiti seorang muslim dan bukan dibawah parti.. beliau seorang yang amat kuat walaupun ditentang, kerana beliau yakin dengan apa yang beliau usahakan...


bangunlah umat islam ..

Anonymous said...

Saya nak tengok Ketua Pemuda bertanding PRU13. Biar sampai hilang deposit. Begitu juga Dr. Hassan Ali. Tamatkan riwayat politik kutu kutu pro Umno ni.

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive