HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, October 7, 2011

Nota Mudah Memahami Hukuman Hudud. - siri ketiga

Hukum Hudud di dalam Al Quran dan As Sunnah 

11. Sebelum saya belayar jauh untuk menjawab pelbagai persoalan yang timbul di benak pemikiran masyarakat mengenai hukum hudud, eloklah sementara saya masih di dermaga perbincangan terlebih dahulu saya paparkan bentuk dan jumlah hukum Hudud yang telah didraf, digazet dan dilaksanakan lebih 1400 tahun yang lalu melalui dokumen induknya Al Quranul Kareem dan As Sunnah an Nabawiyah.

12. Hukuman Hudud adalah suatu hukum yang tertakluk dengan 6 atau 7 jenis kesalahan dan jenayah. [ saya ringkaskan dari Kitab Mugni al Muhtaj karya Alimul Allamah Syeikh al Khatib asy Syarbaini rhm. dan Kitab Perlaksanaan Hukuman Hudud karya Sohibus Samahah Tuan Hj Said bin Hj Ibrahim mantan Mufti Negeri Sabah rhm. ]

a] Zina : iaitu persetubuhan tanpa nikah yang sah menurut syariat Islam dan hukumannya apabila sabit kes ialah sebat sebanyak 100 kali. Draf undang - undang mengenainya telah termaktub di dalam surah an Nuur ayat 2 :

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ

"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum ugama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman."

b] Qazaf : Tuduhan zina ke atas orang yang baik lagi suci atau menafikan keturunannya, dalam masa yang sama gagal membawa 4 orang saksi lelaki yang adil. Hukumannya apabila sabit kes ialah sebat sebanyak  80 kali sebatan. Firman Allah swt di dalam surah an Nuur ayat 4 :

وَالَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْبَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

"Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka delapan puluh kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik"

c] Syarbul Khamr : Minum arak atau minuman yang memabukkan. Samada ianya dalam jumlah yang sedikit ataupun banyak demikian juga mabuk ataupun tidak. Hukumannya apabila sabit kes ialah sebat tidak lebih  dari 80 kali dan tidak kurang dari 40 kali. Hukuman ini berasaskan dalil dari hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib Karramallahu Wajhah :

جلد رسول الله صلى الله عليه و سلم أربعين و أبو بكرٍ أربعين و عمرُ ثمانبن و كلٌّ سنَّةٌ و هذا أحبُّ  إليَّ

رواه مسلم
maksudnya :

"Rasulullah saw telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebatan Saidina Abu Bakar rha telah menyebat sebanyak 40 kali sebatan dan Saidina Umar al Khattab rha telah menyebat sebanyak 80 kali sebatan. Semuanya adalah sunnah Rasulullah saw dan inilah yang lebih aku sukai."

d] Mencuri : Mengambil atau memindah secara sembunyi harta alih dari jagaan atau milikan tuannya tanpa persetujuan tuannya dengan niat menghilangkan harta tersebut dari jagaan tuannya. Hukumannya apabila sabit kes ialah potong tangan pencuri tersebut. Nasnya di dalam surah al Maaidah ayat 38 :

وَالسَّارِقُ وَالسَّارِقَةُ فَاقْطَعُوا أَيْدِيَهُمَا جَزَاءً بِمَا كَسَبَا نَكَالًا مِّنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

"Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) sistem cegah dan kawah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

e] Murtad : Keluar dari agama Islam atau membatalkan aqidahnya dengan perbuatan, perkataan atau iktiqad [keyakinan]. Hukumannya apabila sabit kes dan ia enggan kembali kepada Islam dalam tempoh yang ditetapkan oleh syara' adalah bunuh. Hadis Rasulullah saw yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas rha.

                                                    من بدل دينه فاقتلوه.   

رواه البخاري

"Sesiapa yang menukar / meninggalkan agamanya maka bunuhlah ia."

f] Hirabah : Merompak samada secara individu atau secara berkumpulan dengan senjata untuk tujuan merampas harta atau membunuh atau menakut - nakutkan atau mengugut dengan kekerasan. Hukumannya apabila sabit kes adalah seperti berikut : 

€ : Hukuman mati : apabila perompak membunuh orang yang dirompak tanpa mengambil harta orang yang dirompaknya.

€ : Hukaman mati di kayu palang apabila perompak telah membunuh dan mengambil harta orang dirompaknya.

€ : Hukuman potong tangan kanan dan kaki kiri apabila perompak hanya mengambil harta orang yang dirompak tanpa membunuh dan mencederakan orang yang dirompaknya.

€: Hukuman buang negeri apabila perompak hanya menakut - nakut orang sahaja seumpama di kawasan laluan awam.

Bentuk hukuman ini telah dimuktamadkan oleh Allah swt di dalam surah al Maaidah ayat 33 - 34 :

إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم مِّنْ خِلَافٍ أَوْ يُنفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَٰلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ

"Hanyasanya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau dipalang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar."

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا مِن قَبْلِ أَن تَقْدِرُوا عَلَيْهِمْ فَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

"Kecuali orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat menangkapnya, (mereka terlepas dari hukuman itu). Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

g] Bughah : segolongan ummat Islam yang melawan dan menderhaka kepada pemerintah [ imam / ulil amri ] yang adil dan menjalankan hukum syariat Islam sebagaimana yang telah dinyatakan dalam al Quran dan Sunnah. Mereka tidak dianggap keluar dari ajaran Islam [ murtad ] tetapi mereka diperangi dengan kaedah  dan syarat tertentu. Firman Allah swt di dalam surah al Hujurat ayat 9 :

وَإِن طَائِفَتَانِ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ اقْتَتَلُوا فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا فَإِن بَغَتْ إِحْدَاهُمَا عَلَى الْأُخْرَىٰ فَقَاتِلُوا الَّتِي تَبْغِي حَتَّىٰ تَفِيءَ إِلَىٰ أَمْرِ اللَّهِ فَإِن فَاءَتْ فَأَصْلِحُوا بَيْنَهُمَا بِالْعَدْلِ وَأَقْسِطُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

"Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil."

Nota : Sebahagian ulama' tidak memasukkan hukum Bughah di dalam kategori hukuman Hudud kerana mempunyai perbahasan dan pendekatan hukum yang tersendiri serta tidak ditetapkan secara terperinci di dalam al Quran bentuk dan jumlah hukuman yang dikenakan ke atas bughah.

13. Ringkasan 6 jenis jenayah hukuman Hudud tambah satu dari jenayah bughah yang telah saya paparkan di atas adalah bersifat umum untuk memudahkan pembaca memahami terlebih dahulu skop jenayah yang disabitkan dibawah hukuman Hudud ini tanpa saya menafikan masih banyak ulasan tambahan, perbahasan dan khilaf berkait dengan kaedah penghukuman dan sebagainya.

14. Sebagai peringatan awal kepada pembaca, saya hanya membawa bentuk dan jumlah hukum Hudud yang telah dijelaskan oleh al Quran dan Sunnah. Di sana masih terdapat perbahasan penting oleh para alim ulama' bersumberkan dari nas tersebut yang perlu diketahui oleh kita iaitu bagaimana proses menyabitkan kes seperti pembuktian, pembicaraan, syarat sabit kes dan seumpamanya. Begitu juga kaedah perlaksanaan hukuman apabila ia telah disabitkan. Pendek kata, masih banyak perkara yang perlu dipelajari dan difahami mengenai hukum Hudud ini. 

[Insyaallah, ada kelapangan kita akan sampai kepada bab - bab tersebut. Semoga pembaca sabar mengikuti siri pemahaman hukum Hudud ini. ]

bersambung .........
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive