HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Thursday, November 3, 2011

JAIS : Jaga Agama Jangan Tangkap Pendakwah

1. Terkilan benar perasaan saya apabila terpampang wajah sdr Bob Lokman di dada akhbar sebagai orang yang dikehendaki oleh JAIS untuk ditangkap malah waran tangkap telah pun dikeluarkan, sebagaimana terkilannya saya apabila pihak Universiti Islam Antarabangsa menggantung tugas Prof Dr. Abd Aziz Bari baru - baru ini. Apakah telah hilang budi bicara sang penguasa dalam negara ini ? Asal sahaja kuasa di tangan, biarpun hanya sekelumit dan sementara maka rakusnya tak ubah seperti mereka berkuasa selamanya.

2. Saya tahu,  "dosa" Bob Lokman ialah kerana menyampaikan ceramah atau tazkirah tanpa tauliah. Begitulah peraturan yang ada. Mengajar tanpa tauliah itu salah menurut peraturan yang dikeluarkan oleh pihak JAIS. Saya tidak mahu mempersoalkan peraturan tersebut kerana asasnya peraturan itu dibuat adalah untuk mengawal penyebaran dan kesucian agama Islam.

3. Persoalan yang mahu saya tegaskan di sini ialah dimana budi bicara JAIS ? sebagaimana JAIS menggunakan budi bicaranya untuk tidak menyerbu masuk DUMC tempohari walaupun mereka bertindak dari maklumat yang dilaporkan dan saya menyokong langkah tersebut,  maka kemana pula perginya budi bicara itu terhadap Bob Lokman ?

4. Bob Lokman seorang artis dan seleberiti yang baru berhijrah, menjalani kehidupan barunya bersama jamaah Islam. Saban minggu Bob Lokman menyertai usrah dan majlis ilmu. Lebih menarik, sedikit ilmu yang beliau perolehi maka segera disebarkan melalui kemahirannya berkomunikasi dengan audien. Kini Bob Lokman berjaya menarik minat anak - anak muda kepada majlis ilmu dan berjuang bersama jamaah Islam.

5. Malangnya, semangat beliau untuk aktif menuntut dan menyampaikan ilmu terganggu ekoran tindakan JAIS. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Bob Lokman sendiri betapa beliau turut sedih kerana sepanjang beliau berada dalam dunia artis dan hiburan, beliau tidak pernah diancam dan rasa terancam oleh mana - mana pihak berkuasa khasnya pihak berkuasa agama. Tetapi, apabila beliau mula mahu berubah, menuntut ilmu dan menyampaikannya serba sedikit apa yang beliau tahu, kini beliau berdepan dengan ancaman JAIS yang telah pun memiliki waran untuk menangkap beliau.

6. Dosanya hanya kerana tidak mempunyai tauliah. Sebagaimana yang telah saya tegaskan tadi, apakah tiada budi bicara JAIS terhadap Bob Lokman untuk menyelesaikan perkara ini tanpa perlu memburu dan menangkapnya seperti penjenayah ?

7. Tujuan tauliah ialah untuk mengawal kesucian agama islam agar tiada pembawa ajaran sesat bebas menyampaikan ajarannya. Justeru itu, alangkah baik jika pihak JAIS memanggil atau menyiasat terlebih dahulu, apakah Bob Lokman terlibat dalam aktiviti ajaran sesat ? apakah penyampaian Bob Lokman bertentangan dengan ajaran Islam ? Jika tidak, maka kesalahan tidak memiliki tauliah itu bolehlah diselesaikan secara lebih baik dan harmoni tanpa perlu menangkapnya laksana seorang penjenayah.

8. Saya menggesa agar pihak JAIS lebih mesra pendakwah dan mencari jalan bagaimana mekanisme pemberian tauliah itu dapat dilakukan dengan baik dan berkesan . Jika mereka didapati salah dalam penyampaian dan tidak menepati peraturan yang ada, pihak JAIS boleh mendidik dan membimbing atau memberi nasihat dan tunjuk ajar. Saya menegaskan perkara ini kerana melihat kepada realiti yang dihadapi oleh ummat Islam hari ini yang sangat memerlukan pendakwah dan pembimbing untuk mengeluarkan mereka dari kepungan jahiliah moden yang semakin meruncing dan mengelirukan sehingga nilai akhlak, moral dan aqidah ummah kian luntur.

9. Bayangkanlah keadaan ummat Islam di negara kita sekarang ! Sudahlah mereka berdepan dengan pelbagai ancaman yang merosakkan nilai ilmu, agama dan iman mereka, kini mereka terus terasing dan semakin sulit untuk mendekati kehidupan beragama. Masjid sepi tanpa majlis ilmu sementara pendakwah ditangkap. Lebih malang pemburunya adalah Jabatan Agama sendiri. Bagaimanalah kita mahu melahirkan masyarakat yang solehah dengan rakyat yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt ?

10. JAIS selayaknya menjadi penaung kepada kegiatan ilmu dan agama, bukan pengancam dan pengugut sehingga menakutkan orang mahu menyampaikan Islam sedang Nabi saw mengajar kita semua menyampaikan ilmu Islam ini walaupun satu ayat ! Saya cadangkan agar JAIS mengambil tindakan segera lalu menganugerahkan tauliah secara menyeluruh kepada para pendakwah yang gigih dan benar ilmu mereka.

"Lebih merugikan kalau ada yang memiliki tauliah tetapi hanya diam di pejabat berhawa dingin. Segan dan malas untuk turun ke masjid surau bagi mendidik dan membimbing ummah. Lebih memilukan apabila pihak Jabatan Agama Islam hanya peka menghidu kegiatan pendakwah dan penceramah tanpa tauliah sekalipun nun di masjid hujung kampung sedang mereka gagal mengesan pelbagai kemaksiatan dan kemungkaran yang wajib dicegah sekalipun hanya di sebelah pejabat mereka."

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

3 comments:

Anonymous said...

Ustaz Nas

Say tak berniat nak menyebelahi siapa2.

Jais ada tanggung jawab yang dipikul, mereka dibayar upah untuk menguatkuasakan undang2. Tak buat kerja orang tuduh makan gaji buta, bawa balik duit haram bagi makan anak bini. Serba salah jadinya.

Bob Lokman. Kalau dah minat sangat nak menyampaikan dakwah melalui ceramah. Kenapa tak minta permit ? Dia pun tahu permit perlu ada jika nak jadi pendakwah. Saya rasa Jais tak akan tolak permohonan permit Bob Lokman selepas melihat kelayakan pengajian islam yang ada padanya. Isunya sekarang, adakah pernah Bob Lokman membuat permohonan permit itu ?

Beginilah ustaz. Satu orang tu memang cekap bawa motosikal, dah bertahun pun dia bawa motosikal pergi sana sini, tak pernah sekali pun terlibat dalam eksiden, tapi dia tak ada lesen memandu yang sah, sedangkan undang2 hendakan dia ada lesen sebelum dibenarkan bawa motosikal. Jadi tak kan lah bila dia kena tahan dengan polis dia nak kata nak buat apa saya ambil lesen sebab saya dah bawa motosikal hampir2 10 tahun dah dan lagi tak pernah sekali pun eksiden.

Kalau kita nak bagi sokongan kepada seseorang atau satu pihak hendaklah kita berlaku adil kepada pihak yang satu lagi. Hari ini ustaz tak ada kuasa lagi, bayangkan satu hari nanti bila parti ustaz menang dan ustaz jadi orang no. 1 dalam mana2 pihak berkuasa agama negeri. Sanggupkah ustaz makan gaji buta, dan bagi makan anak bini dengan duit haram kerana dapat upah tapi kerja tak buat.

Sekadar untuk renungan bersama.

Sulaiman said...

Assalamualaikum.

Ustaz, saya pernah berjumpa Ustaz semasa Ustaz beri kuliah Zohor di surau Bank Pembangunan, Bandar Wawasan lama dulu. Begitu juga saya biasa mendengar kuliah Zuhur Dato Hassan Ali semasa beliau belum bergelar Exco Agama S'ngor. Saya amat menyanjungi Dato Hassan Ali, tapi dengan berlaku perkara sebegini dan dengan kehadiran beliau ke Himpun, saya ingin bertanya, apa sudah jadi? Kenapa lemah sangat PAS dalam menasihati penguasa walaupun penguasa itu hanya di sebelah kita? Saya harapkan Marzuki Husin dapat mengubah persepsi saya kepada JAIS, tapi malang, sama jugak!

Anonymous said...

Ustaz Nas

Apa kelulusan agama yang Bob Lokman ada ya untuk melayakkan dia menjadi sorang pendakwah ?

Seorang pendakwah bukan setakat hanya tahu menyeru manusia buat baik dan tinggalkan yang mungkar saja. Dia juga mesti mampu menjawab dan menghuraikan kemuskilan agama yang dibangkitkan oleh audience. Menjawab kemuskilan agama bukan setakat bersandar kepada logik akal sahaja, ianya kena dihujah berserta dengan petikan hadis dan firman. Itu baru lah meyakinkan audience yang bertanya dan mendengar.

Mampukah Bob Lokman berbuat begitu ? Saya rasa itulah keadilan yang dimaksud oleh Tanpa Nama 3/11/11 - 1033 pg.

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive