HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, April 17, 2009

Sinar Perpaduan Kian Suram

Musim mesyuarat agung PAS kawasan dan dewan - dewan kini sedang berlangsung . Sementara awal June nanti akan berlangsung pula muktamar PAS di peringkat pusat .

Asasnya muktamar atau mesyuarat agung adalah medan untuk kita bermuhasabah , berbincang , mengatur strategi , membuat keputusan , memilih saf kepimpinan , menggaris hala tuju perjuangan dan memperkasakan gerakkerja amal Islami .

Seluruh anggota yang terdiri dari pemerhati , perwakilan dan saf kepimpinan parti selayaknya memberi kerjasama agar muktamar atau mesyuarat agung berlangsung di atas prinsipnya yang betul . Bermula dari jiwa yang ikhlas , muktamar sayugianya dimanafaatkan untuk membawa parti lebih mantap dan gah berdepan cabaran yang dihadapkan oleh musuh malah membawa parti untuk lebih bersedia menangani isu ummah .

Muktamar bukan gelanggang "taekwondo" untuk anggota parti saling membelasah antara satu sama lain , didorong oleh rasa aku ingin menang dan aku yang paling betul . Sebagaimana muktamar juga bukanlah majlis ampu mengampu atau kipas mengipas .

Sebaliknya muktamar mestilah benar - benar menjadi "bilik bedah" untuk menganalisis kesilapan dan kelemahan semalam demi membina kekuatan organisasi membelah arus deras jahiliyah modern di hari esok .

Muktamar juga merupakan bengkel khas buat seluruh anggota parti menggarap formula menyatukan saf dan merapatkan jurang di atas semangat ukhuwwah fillah malah memperkukuh benteng pertahanan parti daripada pencerobohan sebarang fikrah dan elemen asing .

Muktamar jua menepati perhimpunan anggota parti untuk membuat penyataan sikap yang sepakat antara ahli dan pimpinan terhadap apa jua isu besar yang melanda negara sekaligus membina wehdatul fikri [ kesatuan pemikiran ] dan wehdatul amal [ kesatuan tindakan ] .

Namun suatu yang sangat menyedihkan apabila saya menemui usaha - usaha untuk meretakkan lantai dan dinding parti malah ada yang cuba untuk mematahkan tiang serinya agar parti kesayangan ummah yang sarat dengan agenda perjuangan Islam ini berjaya diruntuhkan oleh mereka .

Tanpa rasa tanggungjawab , media dan blog digunakan sepenuhnya untuk menyempurnakan misi "salah" ini . Hanya kerana kepentingan diri dan merasakan diri dipihak yang benar dan perlu menang maka dilihat sahabat seperjuangan semuanya salah dan perlu disingkir. Lebih malang apabila ia dilagang dalam medan terbuka seperti dada akhbar dan media elektronik termasuk internet .

Hilang adab dalam berbeza [ feqhul khilaf ] , hilang maruah dalam berbicara , hilang harga dalam berhujjah dan hilang nilai dalam bertingkah .

Saya berkesempatan melayari blog dan web site kawan dan lawan . Akhir - akhir ini menjelang muktamar PAS pusat yang akan berlangsung pada awal June kelak , saya telah ketemui beberapa penulisan dan artikel malah wawancara yang merentas adab etika berjamaah yang ditulis sendiri oleh individu yang mengaku menjadi ahli parti .

Jika artikel dan penulisan itu datangnya dari lawan kita , tidaklah sukar untuk saya memahami kenapa mereka menulis begitu . Tetapi sedih dan kecewa apabila ia adalah hasil karya ahli parti yang kelihatan seoalah - olah mereka pula bangga kerana "berani" mendedahkan pertelingkahan mereka . Malah lebih nekad mereka tidak dibayangi rasa bersalah membongkar rahsia parti .

Minit mesyuarat dengan segala perbincangannya didedah dan dijadikan nota kaki untuk mengukuhkan fakta mereka tanpa mengambil kira disiplin berjamaah .

Saya percaya , masing - masing berhujjah bahawa tindakan mereka adalah bertolak dari rasa sayang kepada jamaah dan mahu menyelamatkan jamaah . Namun perlu saya tegaskan disini bahawa kita masih tertakluk kepada adab dan akhlak dalam melaksanakan operasi "sayang" dan "menyelamat" yang dimaksudkan . Jangan jadi seperti tikus yang cuba membaiki labu , makin dibaiki makin rosak .

Pengalaman saya berjamaah , saya dapati masih terlalu lebar dan banyak saluran untuk menyelesaikan "misi sayang dan menyelamat " serta masih luas terbentang ruang dan peluang untuk mengatasi masaalah dalaman yang dihadapi tanpa perlu mengheretnya ke lapangan terbuka untuk dibahas dan ditatap oleh masayarakat awam .

Trend membuat pendedahan kepada media berkait masaalah dalaman parti sewajarnya segera dihentikan . Jangan pula kita terperangkap dalam jerat perpecahan yang dipasang oleh musuh .

Kita boleh mendedahkan bahan fikir , wawasan dan gagasan kita kepada umum biarpun ianya berbeza dengan pihak yang lain , tetapi jangan sekali - kali kita mengaitkannya sebagai senjata untuk bermusuh dengan sesiapa dari anggota parti . Bawalah wawasan dan gagasan itu dengan penuh adab dan bertanggungjawab .

Janganlah pula menganggap siapa sahaja yang tidak bersetuju dengan wawasan dan gagasan kita sebagai musuh dan ianya perlu disingkir . Berbeza dan berhujjahlah , tapi biar dikawal oleh akhlak yang murni dan ketinggian aqal budi yang matang dan rasional . Malah terlebih wajar segalanya berpandukan petunjuk wahyu dan sunnah .

Sehari dua ni pun saya dapati pihak media akan melambung soalan - soalan "maut" kepada pemimpin dan ahli parti dan mereka pula telah bersiap sedia untuk membuat pukulan smash jika lambungan itu disambut .

Saya tidak pasti apa kontrak musuh dengan pihak media [ bukan semua media ] tetapi kita sebagai anggota parti mestilah berwaspada agar tidak menjadi mangsa jerangkap samar yang mampu mengucar kacirkan perpaduan dikalangan anggota jamaah kita .

Selamat berjuang dan selamat bermuktamar

10 comments:

Keylee Daud said...

hidup pas!

TokPakir said...

Saudara Tantawi,

Ini bukan pengalaman pertama mereka yang berilmu dan lebih takutkan Tuhan akan dikorbankan dalam politik kepartian yang dia terlibat secara sedar. Sila baca kembali sejarah PAS dan sejarah kemerdekaan Malaysia versi demokrasi. Pengalaman di Turki, Mesir, Algeria, Sudan dll.

Sungguh malang kerana mereka rela dikorbankan oleh permainan yang tak bermanfaat ini.

Jika tidak terkorban maka tuan-tuan telah memecahkan rekod sentiasa kalah tersebut.

Salam
TOKPAKIR

muslimat said...

salam ustaz,

Itu antara cabaran besar yang dihadapi oleh jemaah. Bukan saja asakan luaran malah kemelut dalaman juga boleh menjadi racun yang melemahkan jemaah.

Saya faham ini bukan perkara baru dan saya faham ia menjadi lebih dasyat di era maklumat tanpa sempadan. Segala-galanya boleh didedahkan termasuk yang paling sulit dan cuba disembunyikan.
Dalam suasana keahlian yang semakin bertambah, aliran pemikiran dan pandangan yang pelbagai, kemunculan golongan yang pandai bermain hujah... jemaah turut terancam dgn masalah kesatuan dan perpaduan.

Saya kira ini perkara yang perlu diberi perhatian. bagi pimpinan yang berpeluang mengadakan ceramah, menulis di media harakah, blog maupun majlis-majlis ilmu yang lain, selain dari bercerita tentang kepincangan pemerintahan UMNO...mereka juga perlu bercerita perkara-perkara yang boleh membina jati diri ahli gerakan Islam. Perlu diingatkan sentiasa kepentingan mereka untuk mantapkan fikrah, ibadah, akhlak serta keilmuan mereka. Kita segarkan cita-cita untuk memiliki ahli yang hebat kualiti bukannya hebat kuantiti.

Saya berdoa, jemaah ini dirahmati Allah, sentiasa dipimpin olehNya dan dilindungi dari percubaan untuk merosakkannya.

Abdul Hakim Bin Baharudin said...

Salam ustaz,
Ana rasa itu antara taktik golongan jim dan abim untuk menguasai PAS dan memburukkan kepimpinan sedia ada.
Kepimpinan harus lakukan sesuatu supaya parti kita tidak tergadai.

Dzuu Haniin said...

Hidup Islam..kami diperantauan sentiasa mendoakn kebangkitan Islam di tanah air dan dunia..iqbal dan idbar..sentiasa kita menjaga pasang surut perjuangan..

al-Balingi said...

Salam Ustaz,

Perkembangan mutakhir pemilihan saf kepimpinan PAS semakin getir.

Catatan ustaz tepat sekali, di samping pihak lawan mendedah dan membelitkan perkara yang tidak wujud, ahli PAS serta pimpinan turut bersekongkol untuk menjatuhkan reputasi PAS.

Kalu ustaz bersedih, kami turut berduka. Tatkala PAS di ambang kuasa, ada desus-desas yang ingin menyingkirkan golongan ulamak. Tuan Presiden tidak terkecuali. Mengapa ini perlu berlaku. Apakah logik hanya kerna isu 'muqabalah' golongan ulamak perlu diketepikan?

Paling mendukacitakan semakin lantang golongan tertentu mendakwa bahawa PAS kini di rasuki Islam Liberal setelah bersahabat dengan Anwar Ibrahim.
Apakah benar dakwaan itu?

Ya Allah selamatkan lah Jamaah ini.

Al Fakirah said...

Salam ustaz,

saya pun turut berdukacita dengan apa yang berlaku dalam jemaah. Saya juga membaca pelbagai komen dari blog tertentu cthnya MSO tentang pergolakan kepimpinan dalam PAS. Berita yang sgt menyedihkan apabila berlakunya perebutan jawatan dalam jemaah. Dalam utusan malaysia juga sudah ada rencana tentang perkara ini. Jika gejala ini berlaku, apalah bezanya PAS dengan UMNO yang kita tentang selama ini? Saya menyokong sekiranga PAS dipimpin oleh golongan ulama haraki agar tidak tersasar dari matlamat asal. Biarlah ulama ini menjadi penaung kepada golongan profesional. Golongan profesional boleh diketengahkan dalam pilihanraya. Hatta, mereka boleh dilantik jadi PM jika PAS menang walaupun mereka bukan presiden jemaah. yang penting kepimpinan jemaah ini menjadi penasihat agar perjuangan sentiada berdasarkan Quran dan sunnah. Moga pergolakan dalam PAS yang diberitakan dalam blog2 tertentu hanyalah cereta rekaan dan bukannya hakikat.

Anonymous said...

Ana cuma nak mintak jasa baik Ustz
tolong jgn bawa lagi isu yang boleh
kelirukan penyokong di akar umbi,dh
tahu ramai yang tak suka dengan ide unity gov tak payahlah dipaksa mereka untuk menerimanya,Ana rasa mesyuarat kawasan mesti bermasaalah
sekiranya isu ini dibahaskan,lebih elok tidak disentuh langsung sedng
kan umum sudah tahu isu ini cuba kn
bawa perpecahan dalam jemaah.Thniah
pada YDP2 Kawasan yang peka dengan sensitiviti perwakilan dngan tidak
sentuh langsung isu ini dalam ucap tama mereka semasa mesyuarat kwsan,
kalau tidak mesti bawa masaalah nt.
Bimbang ada agen2 UMNO dalam Pas yg
sengaja memainkan isu ini untuk jth
kan moral orang Pas terutamanya yg
terlampau mmbenci Umno dan Barisan.

Anonymous said...

kalau dah perkara ni selesai , bimbang timbul kekeliruan , kenapa awak timbulkan lagi . Tak cukup lagi dengan penjelasan Tok Guru Hj Hadi , kenapa dia menarik balik idea Unity Goverment itu .

Aku ingat ostaz tak payah layan lah . Dia ni nak provokasi jer ni . kalau Tok Guru Hj. hadi bawa , ooo itu satu kekeliruan , ahli tak faham , timbul fitnah bla bla bla

tapi kalau anwar ibrahim bawa 16 sept yang tak tahu hujung pangkal , ooo itu relevan , itu kebijakan berfikir , itu jelas tanpa syak ... semua mendokongnya ...

brother , aku ingat awak ni ada masaalah lah dalam hal ni . keliru tak keliru ni atas kepimpinan belakang yang support . Idea anwar jadi tak keliru walau bohong krn semua org support. korang marah kalau tak percayakan anwar .

tapi kalau tok guru cakap , semua senyap tak nak support . sabotaj plak tok guru pas tu cakap ini idea yg keliru . siapa keliru beb !

Nasrudin said...

Assalamualaikum

Sudahlah sahabatku . Sebetulnya perkara ini tidak selesai diperdebatkan jika tidak melalui perbincangan rapi dan duduk semeja dengar sendiri dari Tuan Guru Hj Abdul Hadi.

Tuan guru dengan merendah diri menarik balik idea bernasnya itu dengan harapan tidak lagi menjadi polemik dalam parti .Tidak puas hati lagi kah ? kalau Tuan Guru luahkan idea kita tidak puas hati dan kini Tuan Guru tarik balik idea itu pun masih tidak puas hati , sebetulnya apa kemahuan kita ?

Saya percaya ahli tidak keliru . Jika keliru ianya boleh diperjelaskan melalui program parti yang diberi ruang , tetapi seperti ada pihak yang cuba mengelirukan ahli .

Sikap dan tindakan Tuan Guru menarik balik idea itu kerana mahu menjernihkan keadaan dan memang tidak dilaksanakan jika orang tidak sedia memahami idea tersebut . tapi ... kalau sudah tarik balik pun masih tidak selesai dan masih ada yang cuba mengelelirukan keadaan . saya percaya ada sesuatu yang tidak kena dengan keadaan tersebut .

Allahu A'lam bissowab .

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive