Warkah Buat Ibu
1. Penghuni dunia yang bergelar manusia ini dilahirkan oleh insan
bergelar ibu kecuali Adam dan Hawa. Siapapun manusia itu dengan segala
derajat dan pangkat yang dimiliki adalah lahir dari rahim seorang ibu
yang telah berkorban separuh mati untuk mengandung dan melahirkannya.
Tidak ralat jika syurga ter"letak" di bawah telapak kaki ibu.
2. Apa yang telah ditanggung oleh ibu berkait perasaan dan segala elemen
kudratnya untuk mengandung, melahir dan membesarkan seorang insan bukan
suatu yang perlu dikenang dan dihargai tetapi ia adalah ibu yang wajib
ditaati, disayangi dan dijagai dengan segala ketundukan dan kepatuhan
kita kepada apa yang telah diperintah Allah swt. terhadap tanggungjawab
kita kepada insan bergelar ibu.
3. Tanpa ibu, dunia ini kosong dan hilang segala fungsi serta
strukturnya. Justeru itu, tidak keterlaluan jua ungkap kata bahawa
tangan yang menghayun buaian mampu menggegarkan dunia.
4. Cerdik pandai, gagah perkasa, cantik menawan, bijak bistari, kaya
raya, segak bergaya dan pangkat derajat semuanya bermula dari rahim ibu
sebelum dilepas besar dan panjang di muka alam buana ini. Begitulah pula
ibu yang menjadi madrasah pertama membekal ilmu hayat kepada kita semua
yang bergelar manusia. Sebagaimana ibu jualah yang pertama menitis susu
membekal kompenan sumber tenaga hayat.
5. Ibu ! sungguh istemewa kata nama itu. Tiada yang layak menyandang
status kata bernama ibu melainkan ia lah yang mengandung dan melahirkan
kita. Keupayaan tinggi yang dimiliki oleh ibu untuk bertahan 9 bulan
kandungan dan kemudiannya bersabung nyawa untuk melahirkan kita adalah
bergantung kepada nilai kasih dan sayang yang tiada tolok bandingnya.
6. Kasih dan sayang inilah pula menjadi nilai terpenting untuk manusia
meneruskan hidup di dunia yang penuh cabaran dan pancaroba ini. Tanpa
kasih dan sayang manusia terperangkap dalam persengketaan sengit tanpa
noktah. Keamanan ternoda dengan pertempuran dan peperangan yang kejam.
Kedamaian terancam dengan jenayah dan khianat yang tidak berhati perut.
Hubungan silaturrahim terputus angkara fitnah dan hasad. Iklim sosial
rosak dan binasa ekoran lupa daratan dan angkuh. Pentas politik menjadi
cemar dan kotor kerana benci dan marah. Segalanya berpunca dari
hilangnya kasih dan sayang.
7. Sempena Hari Ibu, saya mengutus warkah mewakili seluruh anak - anak
ibu yang menjadi warga Dewan Pemuda PAS Malaysia agar institusi ibu hari
ini menyemarakkan nilai kasih dan sayang ke setiap sendi dan nadi
manusia untuk membina semula sebahagian struktur dunia kini yang
mengalami kerosakan teruk akibat hakisnya sifat serta nilai kasih dan
sayang.
8. Tiada ibu yang mahu anaknya jahat. Tiada ibu yang mahu anaknya bodoh.
Tiada ibu yang mahu anaknya hina. Tiada ibu yang mahu anaknya bangsat.
Tiada ibu yang mahu anaknya diperalat sebagaimana tiada ibu di dunia ini
yang mahu anaknya digelar haram jadah. Maka ibulah harapan kami kini
untuk menyusun semula dan membina kembali tamadun atau peradaban manusia
sebelum ia rosak teruk dan musnah binasa.
9. Ibu lah yang mempunyai keupayaan untuk memastikan generasi ini
terdidik dengan kasih dan sayang. Menyelamatkan mereka dari terus
hanyut dalam arus budaya songsang tanpa tunjuk ajar ibu untuk mematuhi
suruhan agama dan pedoman tuhan yang Maha Mencipta. Membimbing mereka
untuk mencorak masa depan yang baik, bahagia dan berjaya.
10. Terima kasih ibu ! justeru air tangan ibulah menjadikan kami kenal
erti rindu, kasih dan sayang lalu memungkinkan kami berjuang untuk
mengembalikan semula izzah ummah yang bersendikan kasih sayang setelah
sebahagiannya rosak teruk angkara perlanggaran syariat yang ketara dan
pemujaan nafsu yang melampau. Tidak lupa juga buat semua ibu kepada anak
- anak kami yang tekun mendidik dan membesarkan mereka sebagai generasi
pewaris perjuangan yang kami dokong, meskipun mereka sering
ditinggalkan kerana urusan kami di medan juang mahu pun dilapangan
mencari rezeki.
Semoga semua insan bergelar ibu dirahmati dan diberkati Allah Jalla wa A'la Tuhan yang Maha Mencipta lagi Lagi Maha Memelihara.
Nasrudin bin Hassan at Tantawi
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum buat semua pengunjung yang budiman. Saya gembira dengan komentar para pengunjung blog kerdil ini meskipun dalam bentuk kritikan. Namun, biarlah kritikan tersebut membina, berakhlak dan beradab. Saya alu-alukan perbezaan pandangan mahupun pendapat tetapi saya kecewa dengan kebiadaban dan keceluparan. Maafkan saya jika saya tidak menyiarkan komentar yang tiada nilai etika. Selamat membaca dan berjuang demi agama Allah Taala!