Saturday, May 28, 2016

Dadah : Cegah Di Pintu Sempadan

RUU Agensi Antidadah Kebangsaan (Pindaan) 2016 yang dibahaskan di Dewan Rakyat pada hari ini adalah berkenaan dengan penambahbaikan pada bidang kuasa agensi dan pegawainya dalam mengendalikan kesalahan dadah. Secara umumnya ia sangat baik untuk maksud itu.
Namun, isu penyeludupan dan pengedaran serta penyalahgunaan dan penagihan adalah isu utama dadah di negara ini yang mesti diberikan perhatian serius oleh Kerajaan dan agensi-agensi penguatkuasa serta masyarakat.

Kejayaan sindiket-sindiket penyeludupan dadah menembusi sempadan negara ini menunjukkan bahawa sempadan negara tidak dikawal secara efektif serta merupakan suatu cabaran terhadap kredibiliti undang-undang negara ini khususnya yang berkaitan dengan kedaulatan (sovereignity) dan integriti sempadan (territorial integrity).

Kedudukan geografi Malaysia yang mempunyai jajaran pantai yang amat panjang serta dikelilingai oleh Selat Melaka dan Laut China Selatan yang merupakan perairan yang sangat penting di rantau ini, ditambah pula negara ini bersempadanan dengan banyak negara iaitu Singapura, Filipina, Indonesia dan Thailand menyebabkan Malaysia sangat terdedah kepada ancaman untuk dibolosi oleh sindiket-sindiket haram ini.

Oleh itu, PAS menggesa agar suatu audit yang menyeluruh dan konsisten dibuat ke atas semua agensi atau jabatan serta pegawai-pegawainya yang terlibat dalam menjaga keselamatan sempadan negara ini. Semua prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan kawalan keselamatan sempadan juga mesti disemak dan ditambahbaik.

No comments:

Post a Comment

Assalamualaikum buat semua pengunjung yang budiman. Saya gembira dengan komentar para pengunjung blog kerdil ini meskipun dalam bentuk kritikan. Namun, biarlah kritikan tersebut membina, berakhlak dan beradab. Saya alu-alukan perbezaan pandangan mahupun pendapat tetapi saya kecewa dengan kebiadaban dan keceluparan. Maafkan saya jika saya tidak menyiarkan komentar yang tiada nilai etika. Selamat membaca dan berjuang demi agama Allah Taala!