HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, August 27, 2013

Multaqa Ulama' 914 : Ulama' Haraki Benteng Izzah Islam


1. Saya sangat gembira melihat perkembangan ini. Jelasnya ulama' yang melibatkan diri dengan Gerakan Islam [PAS] ini mestilah aktif dan meletakkan diri mereka sebagai penggerak utama segala aktiviti Amal Islami ke arah mendaulatkan Islam dan menobatkan gerakan perjuangannya. Justeru inilah tanggungjawab dan amanah penting yang digalaskan oleh al Mustafa saw ke atas bahu ummatnya yang berilmu sebagai pewaris mutlak untuk meneruskan perjuangan Islam ini merentas zaman.

2. Amanah ilmu yang sedia terpikul dipundak mereka turut mewajibkan para alim ulama' ini berada di medan perjuangan, memimpin ummah mendepani cabaran dan ancaman musuh Allah swt. Ulama' sayugianya menjadi benteng kukuh mempertahankan kesucian Islam dan gerakan perjuangannya agar tidak tembus dan tiris dek serangan pelbagai anasir negatif yang mahu merosakkan jamaah dan meretakkan hubungan sesama pejuangnya.

3. Sifat ulama' yang diredhai oleh Allah swt. antaranya ialah Haraki. Sifat ini mengeluarkan mereka dari kelompok yang mengaku ulama' namun jumud dan beku. Sifat Haraki turut membebaskan para alim ulama' dari kumpulan mereka yang mengaku ulama' namun hidup dan aktiviti rutinnya tidak melandasi Manhaj Islam yang telah diwariskan oleh Nabi saw.

4. Ulama' Haraki inilah yang mahu kita lahirkan dalam PAS, guna menggerakkan bahtera perjuangan ini menepati hala tuju asas yang digariskan oleh Nabi saw ke arah mencapai keredhaan Allah swt. Ulama' Haraki ialah Ulama' yang bertolak dari kekuatan aqidah, ilmu dan peribadi justeru selayaknya mereka adalah :
  • Ulama' yang pantas menyahut seruan perjuangan tanpa lengah dan beralasan.
  • Ulama' yang tangkas menepis segala da'ayah yang merosakkan Islam dan jamaahnya.
  • Ulama' yang gagah meredah halangan mendepani cabaran luaran dan dalaman.
  • Ulama' yang peka menangani isu semasa dan menyelesaikannya dengan ilmu dan petunjuk Islam.
  • Ulama' yang berani menjuarai gerakkerja pembelaan aqidah, fikrah dan syakhsiyah.
  • Ulama' yang kental menghadapi fitnah lantas membersihkannya dengan tegas dan wibawa.
  • Ulama' yang cekal mengharungi karenah ummah lalu membimbing tangan mereka.
  • Ulama' yang mesra menjalani kehidupan bersama masyarakat dan bersifat inklusif.
  • Ulama' yang pro aktif dan sedia menguasai ruang terbuka selain markas, masjid dan surau.
  • Ulama' yang senantiasa memelihara kesolehan peribadi agar menjadi qudwah sepanjang masa.

5. Iklim politik tanahair kita hari ini kian kelam dan ditambah pula indeks sosial yang semakin parah ekoran suburnya aktiviti mungkar dalam negara kita. Pastinya ulama' tidak boleh berpada dengan kuliah maghrib dan khutbah jumaat semata - mata kerana itu menghadkan interaksi ulama' hanya dengan 'regular customers' sedang mereka yang terjebak dalam pelbagai kancah mungkar ini sebahagian besar mereka tidak pernah pun menjejak kaki ke tangga masjid dan surau, apa lagi markaz PAS..

6. Ulama' hari ini mesti mampu berdaya saing dalam mengurus dan mengatur tindakan menangani keperluan dan tuntutan zaman, agar ulama' dilihat pro aktif, kreatif, responsif dan agerasif dalam gerakkerja mereka dengan menepati sempadan dan batas akhlak serta manhaj an nabawi. Antara tuntutan dan keperluan zaman hari ini, ialah masyarakat mahu ulama' kita adalah ulama' kontemporary dan mudah didampingi sebagai konsultant am untuk menyelesaikan pelbagai masaalah yang dihadapi oleh mereka dalam kehidupan seharian.

7. Tegasnya, ulama' kita mesti bangkit ! inilah masanya bagi membuktikan bahawa ulama' bukan lagi kelompok belasahan yang boleh diherdik, dipertikai, dipersenda, dicatur, diperalat dan dipermainkan kewibawaan diri serta ilmu yang dimiliki. Ulama' mesti keluar dari zon selesa untuk melihat cabaran sebenar yang sedang dihadapi oleh ummat dan Gerakan Islam masa kini. Ulama' jua mestilah berpadu tenaga dan fikrah bagi mengembeling kekuatan untuk mempertahankan Islam dan gerakannya dari pelbagai anasir yang cuba untuk merobek dari segenap arah.

8. Sampai bila ulama' - ulama' kita mahu bersifat defensive berdepan dengan 1001 helah bermadah dari musuh - musuh Allah swt. ? Lihat bagaimana ulama' di Mesir kini telah bangkit menggerakkan kesedaran rakyat dan memimpin pergerakkan mereka menentang kudeta yang zalim dan kejam. Ambillah contoh dari keberanian mereka menongkah cabaran. Namun jangan terlewat untuk bangkit. Jangan tunggu tergadah baru nak menadah. Bangkit sekarang untuk mengembalikan izzah Islam, menerajui perjuangan bergandingan dengan tokoh - tokoh profesional yang komited dengan perjuangan Islam jua para aktivis yang mukhlisin bagi menempa kemenangan bergaya buat islam.

9. Saya mengharapkan Multaqa Ulama' yang akan berlangsung pada 14 September 2013 ini akan menjadi turning point untuk menyemarakkan kebangkitan ulama' - ulama' Islam yang haraki sifatnya guna mendokong amanah perjuangan. Seimbang dan sepadu dengan kemaraan tokoh - tokoh profesional yang tidak dinafikan peranan dan sumbangan besar mereka terhadap perjuangan Islam serta diperkaya pula dengan kehadiran aktivis yang sedia sejuk berhujan dan panas berjemur demi memikul bersama amanah Islam yang berat ini.

10. Sayugianya lah Multaqa Ulama' menjadi nilai tambah kepada kekuatan Gerakan Islam [PAS] dan sekaligus menggerunkan musuh Allah swt dengan bangkitnya para alim ulama' seiring sejalan dengan tokoh profesional dan aktivis yang komited dengan manhaj perjuangan Islam yang kita dokong bersama. Maka , tunggu apa lagi ? saya kira Multaqa Ulama' yang akan diadakan di Kompleks PAS Kedah Batu 9, Kota Sarang Semut itu perlu dihadiri oleh alim ulama' kita khasnya ulama' - ulama' muda. Saya menganggap ini adalah program lanjutan dari Xpresi Ulama' Muda Haraki yang pernah dianjurkan oleh DPPM sebelum ini.

[ Terdahulu Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menganjurkan Xpresi Hijau Anak Muda di seluruh negara dan ianya telah dihadiri oleh puluhan ribu anak muda dari seluruh negara dan sebahagian besar mereka ialah aktivis. Berikutan itu, DPP Malaysia menganjurkan 2 kali Himpunan Xpresi Profesional Muda yang turut dihadiri oleh tokoh - tokoh profesional muda dari pelbagai bidang kemahiran untuk mereka bergerak selangkah kaki dan sehayun tangan dengan para alim ulama dan aktivis parti. ]


[ Insyaallah pada 4, 5 dan 6 Oktober akan datang, DPPM pula akan menganjurkan salah satu aktiviti tahunannya iaitu IJTIMAK TARBAWI 3.0 di Pagoh Johor ]

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive