RUMAHKU SYURGAKU
Bicara Santai Selain Politik. 01
25 Rabiul Awwal 1439 / 15 Dec 2017
RUMAHKU SYURGAKU
Oleh : Pendekar Sakti
1. Sebahagian masalah hidup ialah serabut atau tidak tenteram. Peringkat awal “serabut kepala” dan boleh jadi lebih parah bila sampai ke tahap “serabut perut”.
2. Kata orang serabut kepala boleh tampak “koyok”, tapi kalau serabut tu dah sampai ke perut, maka sesiapa yang alami masalah begini memang sukar. Bahkan nak tidur malam pun payah lelap. Hilang ceria, selalu marah-marah dan membebel tidak tentu pasal. Semua orang disalahkan.
3. Sensitif dan mudah emosional. Perkara kecil selalu dibesar-besarkan. Air muka tidak manis. Membengis kebanyakkan waktu. Bahasa lidahnya, hilang kelunakan dan keindahan kata-kata. Cakapnya sinis dan “menyekit” perasaan orang. Panas baran.
4. Akhirnya masalah serabut ini boleh jadi makin parah. Boleh jadi hypertension atau boleh juga jadi kemurungan. Pendek kata, sebahagian besar kebahagian dan kedamaian hidup diragut oleh masalah serabut.
5.Mengatasinya, saya lihat ada dua faktor penting yang boleh kita beri perhatian.
Pertama : Cara hidup soleh (peribadi)
Kedua : Bina rumahtangga bahagia
6. Cara hidup soleh ini melalui pembentukan peribadi. Bermula dengan melahirkan spiritual yang murni kemudian meluruskan akhlak.
a) Mudahnya, pemurnian spiritual melalui aqidah yang betul dan amalan yang benar. Jangan sekali-kali tinggalkan amalan fadhu seperti solat, puasa dan lain-lain, lalu sempurnakan dengan amalan sunat seperti baca Al Quran, wirid zikir dan solat malam (qiamulail).
b) Luruskan akhlak dan hiaskan diri dengan attitude atau sikap yang positif, berbahasa pada lidah dan anggota dengan tertib dan cermat.
7. Sementara faktor penting yang boleh membekalkan “vaksin ketenangan” kepada hidup kita ialah ahli keluarga. Memiliki pasangan hidup dan anak-anak yang soleh dan solehah.
a) bentuk sebuah keluarga bahagia dengan kasih sayang tanpa curang, percaya mempercayai tanpa curiga dan kemesraan tanpa telingkah.
b) letakkan keluarga adalah segalanya. Ahli keluarga lah anggota meeting untuk bincang sesuatu yang dihadapi. Mereka juga anggota team kita untuk riadhah. Pendek kata “Keluarga didahulukan Kerjaya diutamakan.”
8. Insyaallah, jika kita dapat miliki 2 faktor ini iaitu pembentukan peribadi yang soleh dan pembinaan rumahtangga yang bahagia, maka kita bebas “serabut”.
9. Kesannya, kita akan ceria dan manis wajah. Segak pada paras dan luhur pada pekerti. Fikiran jadi positif dan bahasa lidah menjadi indah. Tentu sahaja kita bahagia dan orang pun gembira berinteraksi dengan kita.
10. Kesan luar yang boleh dirasai ialah tahap konfiden menghadapi cabaran hidup, kerjaya dapat diurus dengan cemerlang, perjuangan boleh dilangsungkan dengan yakin dan lebih karismatik dalam enggagement dengan pihak lain. Malah kepimpinannya juga, menyerlahkan wibawa dan energy yang mantap.
Lestari Kehidupan Positif
Sekian