HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Showing posts with label Media Penerangan. Show all posts
Showing posts with label Media Penerangan. Show all posts

Sunday, August 28, 2016

PAS Sedia Bersemuka

Datuk Seri Ong Ka Chuan Setiausaha Agung MCA telah menempelak tindakan sebuah NGO, iaitu Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak atau lebih dikenali sebagai Geng Ustaz yang telah mengadakan “report” polis kelmarin ke atas tindakan Persatuan Hokkien ekoran tindakan persatuan itu mengadakan kempen kutip tandatangan membantah pindaan Akta 355.
Saya melihat “report” polis yang diambil oleh NGO ini ialah kerana melihat tindakan mereka menghasut golongan bukan Islam supaya menolak pindaan Akta 355 yang menjadi urusan khusus ummat Islam tanpa terlebih dahulu mereka mendapatkan maklumat yang betul dan jelas mengenainya. Sedang tindakan itu boleh mencetus kebencian dan ketegangan sesama masyarakat negara kita yang melibatkan muslim dan non muslim.

Justeru itu, bagi pihak PAS in’sya-Allah kami  sedia bersemuka dan memberi penjelasan terhadap isu Pindaan Akta 355 ini kepada mana mana pihak termasuk Persatuan Hokkien. Ia penting bagi meredakan salah faham dan mengelak ketegangan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Inilah Penyelesaian Kita”

Friday, August 26, 2016

Perbadanan Tabung Waqaf Pendidikan Nasional (PTWPN) Alternatif Terbaik Ganti PTPTN

Mekanisma pemberian hutang kepada para pelajar menerusi PTPTN nyata bukan lagi kaedah terbaik bagi membiayai pendidikan tinggi negara. Perkara ini bukan sahaja melihat kepada aspek hutang, malah juga bebanan “tambahan” untuk membayar hutang yang terpaksa ditanggung oleh para graduan institusi pengajian tinggi di negara ini.
Dalam muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia pada Jun yang lalu mengusulkan agar sistem wakaf dijadikan teras kepada pembiayaan pendidikan tinggi negara dengan nama Perbadanan Tabung Waqaf Pendidikan Nasional (PTWPN) sebagai alternatif bagi menggantikan seribu satu masalah yang dihadapi PTPTN.

Sistem wakaf pendidikan tinggi telah diaplikasi semasa era pemerintahan Islam dahulu. Universiti Al-Qarawiyin di Fes, Morocco yang dibina pada tahun 245 Hijrah merupakan universiti pertama yang dibina berasaskan sistem wakaf diikuti Universiti Al-Azhar di Kaherah yang dibina pada tahun 359 Hijrah. Model pembangunan dana wakaf yang sama juga dijadikan ikutan di universiti-universiti terkemuka.

Sistem dana wakaf pendidikan tinggi bukan sahaja mengelakkan bebanan hutang yang ditanggung selepas tamat belajar, malah memberikan peluang seluas-luasnya kepada para pelajar bagi menyambung pelajaran mereka dan dalam masa yang sama melahirkan rasa tanggungjawab yang tinggi di kalangan semua pihak bagi membentuk modal insan yang signifikan kepada pembangunan negara.

Sistem wakaf PTWPN perlu diluncurkan ke tengah masyarakat dengan asas permuafakatan dan dijana oleh semua pihak atas prinsip “fastabiiqul-khairat”. Perkara ini selaras dengan gagasan melahirkan masyarakat yang bertamadun dan berilmu pada masa akan datang.

“Inilah Penyelesaian Kita”

Thursday, August 25, 2016

Hutang PTPTN : Teliti Semula Mekanisme Hutang Pendididkan Tinggi

Isu hutang pendidikan tinggi negara (PTPTN) merupakan isu yang seringkali mendapat perhatian rakyat terutamanya golongan muda yang ingin menyambung pelajaran mereka di IPTA dan IPTS. Status kegagalan para peminjam membayar semula hutang tersebut seharusnya dijadikan isu teras kepada perbincangan mekanisma pembiayaan dalam pendidikan tinggi negara.
Kenyataan Pengerusi PTPTN yang mengakui ketidakmampuan untuk memberikan pinjaman sepenuhnya kepada pelajar disebabkan kekurangan terhadap kadar kutipan balik pinjaman membuktikan mekanisma “hutang” bagi pembiayaan pendidikan tinggi negara memerlukan kepada transformasi yang lebih segar.

Saya berpandangan belenggu kegagalan melangsaikan hutang bukan sahaja melanda pada aspek pinjaman pendidikan, malah juga pada aspek pinjaman-pinjaman yang lain.

Jabatan Insolvensi Malaysia mengeluarkan laporan pada 2015 menunjukkan seramai 24,953 orang berusia 35 tahun ke bawah telah diisyhtiharkan muflis. Maka, tidak mustahil puluhan ribu yang lain berada dalam keadaan yang tidak menentu bagi melunaskan hutang mereka. Statistik ini perlu mendapat respon yang proaktif daripada pihak kerajaan dan PTPTN.

Kerajaan seharusnya meneliti semula mekanisma hutang dalam pembiayaan tinggi negara. Di sebalik tekanan yang diberikan pihak kerajaan supaya para peminjam membayar balik pinjaman, langkah yang wajar ketika ini juga adalah melihat kepada aspek yang lebih effektif dalam membiayai pendidikan tinggi negara iaitu menerusi sistem wakaf seperti yang menjadi amalan di beberapa institusi pengajian awam dalam dan luar negara.

Monday, August 22, 2016

Kutuk Serangan di Syria dan Gaza

Saya menggesa Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil kesempatan mengutuk tindakan kejam negara-negara tertentu yang mengakibatkan ribuan rakyat Syria dan Palestin yang terkorban sehingga ke hari ini.
Beliau akan mempengerusikan perbahasan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang bermula pada  22 hingga 26 Ogos di New York.

Gambar viral seorang kanak-kanak lelaki, Omran Daqneesh yang berlumuran darah dan berdebu kerana serangan bom di Aleppo sudah cukup menjustifikasikan tindakan regim ke atas orang awam yang tidak berdosa. Malah, menurut laporan Local Coordination Committee (LCC), lebih 500 rakyat Syria terbunuh dalam tempoh 7 hari minggu lalu. Kita harap TPM tegas dan berani menyuarakan kutukan atas nama kemanusiaan dan keadilan.

Hari ini, di Gaza juga sedang berlaku serangan jet tentera zionis Israel dan membedil kawasan-kawasan tertentu sehingga memusnahkan kediaman dan kematian orang awam. Ramai rakyat di negara ini telah mengambil inisiatif menghantar bantuan ke negara bergolak seperti Syria dan Palestin menerusi beberapa NGO.

Kini, rakyat Malaysia mahukan penegasan politik di atas satu platform yang berautoriti untuk mengutuk tindakan kejam regim Rusia dan Amerika Syarikat sepertimana yang telah dilaporkan oleh pihak media.

Selain itu, selayaknya  TPM terus menuntut keadilan di atas ruang antarabangsa yang lebih terbuka ke atas mangsa-mangsa pesawat MH17 yang terkorban pada bulan Julai 2014 yang lalu. Kita tidak mahu isu perbalahan Rusia-Ukraine menenggelamkan nasib mangsa yang terkorban.

Pra perbahasan UNSC beberapa hari lalu telah menyaksikan Rusia dan Ukraine bertikam lidah mengenai provokasi perang di wilayah Crimea, manakala laporan interim pasukan penyiasat antarabangsa MH17 yang diketuai oleh Belanda telah ditolak secara simplistik oleh Rusia.

Sunday, August 14, 2016

Gesa Kerajaan Lebih Fokus Selesai Isu FGV

Krisis yang melanda syarikat korporat Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGV) masih diperkatakan sehingga ke hari ini. Daripada konflik kepimpinan yang menerajuinya sehinggalah kepada prestasi pasaran semasa dan kedudukan saham FGV yang masih kekal di bawah RM2.00.
Ketiadaan fokus yang lebih jitu bagi menyelesaikan masalah yang semakin membengkak, FGV pula sebaliknya dilihat menyalurkan sejumlah besar wangnya bagi kempen melindungi beruang matahari di Terengganu.

Fokus kerajaan bagi memulihkan kedudukan saham FGV merupakan suatu perkara yang sangat mustahak. Jika jutaan ringgit dapat disalurkan bagi menyelamatkan kepupusan spesis haiwan tersebut, apakah suatu yang terlalu sukar bagi kerajaan memenuhi harapan 100,000  peneroka yang pernah dijanjikan dengan keuntungan berlipat kali ganda hasil pelaburan daripada FGV suatu ketika dahulu.

Namun, persoalan yang masih tinggal tanda tanya adalah apakah langkah strategik kerajaan bagi meningkatkan prestasi pasaran saham yang pernah mencapai nilai RM5.39 pada awal-awal hari saham tersebut diniagakan pada 2012 yang lalu?

Apakah faktor tersebut benar-benar berpunca daripada kejatuhan harga komoditi dunia atau sememangnya krisis kepimpinan Felda telah mengalami 'deficit-trust' yang menyumbang kepada kesan negatif terhadap keyakinan para pelabur. Rakyat khususnya peneroka Felda berhak mendapatkan jawapannya.

Peratus Tenaga Kerja Berkemahiran Tinggi Masih Rendah

Malaysia akan terperangkap dengan kelembapan peningkatan tenaga kerja berkemahiran tinggi sekiranya tiada inisiatif baru yang diambil menjelang tahun 2020. Secara tidak langsung, pertumbuhan ekonomi negara akan perlahan dan banyak bergantung kepada sumber luar. Malaysia mesti mencapai sekurang-kurangnya 45 peratus jumlah tenaga kerja mahir untuk meningkatkan produktiviti negara berbanding hanya sekadar 28 peratus sahaja pada tahun ini.
Saya bimbang kerana peningkatan jumlah siswazah tidak disokong dengan kewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi. Peratusan kategori ini semakin menurun daripada 27.6% pada tahun 2010 kepada 25.2% pada tahun 2014. Ini bermakna lambakan jumlah siswazah kebanyakannya mungkin memenuhi kategori tenaga kerja berkemahiran separuh mahir. Fakta menunjukkan peratusan tenaga kerja berkemahiran separuh mahir meningkat secara signifikan daripada 7.3% (2010) kepada 8.4% (2014).

Pada masa yang sama, keadaan ini bertambah buruk apabila pergantungan negara terhadap buruh asing semakin tinggi bagi mengisi tenaga kerja berkemahiran rendah. Pada tahun 2014 sahaja, jumlah pekerja asing yang berdaftar telah mencecah lebih 2 juta orang dan ia meningkat secara mendadak sebanyak 150% sejak dari tahun 2000. Hal ini bermakna, kadar pengangguran khususnya dalam kalangan belia tempatan mungkin akan melebar kerana tidak dapat memenuhi peluang pekerjaan yang ditawarkan.

Keadaan ‘mismatched’ dalam pasaran buruh akan menjejaskan rentak pertumbuhan ekonomi dan tidak mustahil ramai golongan berpendidikan tinggi akan mendapat pulangan yang tidak setimpal dengan tahap pendidikan mereka. Malah, lebih parah lagi jika mereka berhijrah ke negara-negara luar. Keadaan ini menunjukkan pasaran buruh di Malaysia semakin tidak kompetetif dan satu penggemblengan usaha mesti dilakukan dengan lebih segera.

Saturday, May 28, 2016

Dadah : Cegah Di Pintu Sempadan

RUU Agensi Antidadah Kebangsaan (Pindaan) 2016 yang dibahaskan di Dewan Rakyat pada hari ini adalah berkenaan dengan penambahbaikan pada bidang kuasa agensi dan pegawainya dalam mengendalikan kesalahan dadah. Secara umumnya ia sangat baik untuk maksud itu.
Namun, isu penyeludupan dan pengedaran serta penyalahgunaan dan penagihan adalah isu utama dadah di negara ini yang mesti diberikan perhatian serius oleh Kerajaan dan agensi-agensi penguatkuasa serta masyarakat.

Kejayaan sindiket-sindiket penyeludupan dadah menembusi sempadan negara ini menunjukkan bahawa sempadan negara tidak dikawal secara efektif serta merupakan suatu cabaran terhadap kredibiliti undang-undang negara ini khususnya yang berkaitan dengan kedaulatan (sovereignity) dan integriti sempadan (territorial integrity).

Kedudukan geografi Malaysia yang mempunyai jajaran pantai yang amat panjang serta dikelilingai oleh Selat Melaka dan Laut China Selatan yang merupakan perairan yang sangat penting di rantau ini, ditambah pula negara ini bersempadanan dengan banyak negara iaitu Singapura, Filipina, Indonesia dan Thailand menyebabkan Malaysia sangat terdedah kepada ancaman untuk dibolosi oleh sindiket-sindiket haram ini.

Oleh itu, PAS menggesa agar suatu audit yang menyeluruh dan konsisten dibuat ke atas semua agensi atau jabatan serta pegawai-pegawainya yang terlibat dalam menjaga keselamatan sempadan negara ini. Semua prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan kawalan keselamatan sempadan juga mesti disemak dan ditambahbaik.

Pengambilan Pekerja Asing, Rakyat Mesti Diutamakan

PAS masih khuatir dengan keputusan Kabinet untuk menarik balik arahan pembekuan pengambilan pekerja asing terhadap empat sektor iaitu pembinaan, perkilangan, perladangan dan pembuatan perabot seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan, Dato Seri Liow Tiong Lai.
Sekalipun wujud keperluan untuk mengambil 1.95 juta pekerja asing untuk sektor pembinaan menjelang 2020 seperti yang dianggarkan oleh Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) dan lebih-lebih lagi dalam keadaan 300 hingga 400 pekerja asing pulang ke negara masing-masing setiap bulan dalam tempoh suku pertama tahun ini berikutan kejatuhan nilai Ringgit seperti yang dinyatakan oleh Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), namun keupayaan Kerajaan untuk mengurus dan mengawal sejumlah 6.7 juta orang warga asing sedia ada di negara ini secara berkesan adalah sangat meragukan.

Sedangkan, telah diakui bahawa kemasukan dan keberadaan ramai warga asing di telah menjejaskan rakyat negara ini pada 3 aspek utama;
  1. Peluang pekerjaan
  2. Keselamatan, dan;
  3. Kesihatan
Kerajaan sepatutnya melihat kepentingan rakyat ini sebagai keutamaan dalam pengambilan pekerja asing disamping keperluan terhadap golongan ini bagi memajukan industri-industri tertentu di negara ini.

Kegagalan atau ketidakberkesanan program-program pemutihan seperti Program 6P dan Program Rehiring dalam mencapai objektifnya menjadi bukti yang jelas bahawa Kerajaan tidak berupaya untuk menyelia warga asing di negara ini. Pengambilan yang bakal dibuat nanti dikhuatiri akan lebih menjejaskan kepentingan rakyat di negara ini.

Kerajaan juga sepatutnya menetapkan nisbah antara pekerja asing dan pekerja tempatan dalam sesuatu sektor bagi mengelakkan monopoli pekerja asing di negara ini. Melalui penetapan nisbah seumpama ini akan memastikan majikan tidak hanya akan menggaji pekerja asing dan ia juga dapat meningkatkan keberkesanan pelaksanaan gaji minimum.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

Saturday, April 30, 2016

Salah Laku Penjawat Awam Memerlukan Kerajaan Mempraktiskan Amalan Pentadbiran Patuh Syariah

Isu salah laku di kalangan penjawat awam dilihat masih tidak berpenghujung. Terbaru adalah kes tuntutan palsu yang melibatkan nilai mencecah RM4.9 juta. Jika diteliti statistik yang dikeluarkan oleh SPRM, sehingga Februari tahun ini sahaja, 173 kes tangkapan telah dibuat dan daripada jumlah itu, 57 peratus iaitu 98 kes melibatkan penjawat awam. Malah, sepanjang tahun 2015 sahaja, 398 kes tangkapan telah dilakukan melibatkan penjawat awam daripada 841 jumlah keseluruhan kes.

PAS menggesa agar kerajaan termasuk agensi-agensi yang terlibat supaya meneliti aspek pencegahan dan hukuman terhadap salah laku dan jenayah rasuah yang seperti tidak dapat dibendung terutamanya melibatkan pemimpin negara dan penjawat awam.

Tambahan lagi, PAS juga mencadangkan agar kerajaan dan agensi-agensi yang terbabit meneliti semula serta memperkemaskan Pelan Pengurusan Risiko (PPR) dan Unit Integriti yang ditubuhkan dalam setiap kementerian dan agensi kerajaan bagi menangani salah laku. Ini kerana kedua-dua langkah strategik tersebut seharusnya memadai untuk mengurangkan risiko terhadap salah laku terutamanya dikalangan penjawat awam. Namun, jika dilihat kepada data kes, ia seolah-olah tidak memberikan impak yang diharapkan.

Ketiadaan suatu peraturan dan tindakan yang lebih tegas juga telah menyebabkan kes-kes salah laku tidak dapat dibanteras dengan baik. Maka, seharusnya penggubalan undang-undang berkaitan dengannya diambil perhatian secara serius oleh pihak berwajib bagi memastikan Malaysia menuju kepada sebuah negara yang berintegriti.
Suatu yang jauh lebih penting daripada itu ialah kerajaan mesti menunjukkan contoh pemerintahan dan pentadbiran yang baik serta patuh syariah sepenuhnya agar menjadi panduan dan contoh yang baik pula kepada semua penjawat awam dengan mempraktiskan kepimpinan melalui tauladan.
Kepatuhan kepada syariat dengan memulakan pendidikan amalan pentadbiran patuh syariat adalah langkah yang mesti terlebih dahulu diambil oleh kerajaan disamping mewujudkan satu undang-undang yang berkesan.

Bersatu Hanya Dengan Tali Allah

Seruan ke arah penyatuan ummah adalah seruan al-Quran al-Karim. Umat Islam dari manapun sudut bumi ia berada dan apapun bangsa yang ia wakili, mestilah bersatu atas manhaj Islam demi kekuatan dan kemuliaan umat Islam. Namun al-Quran telahpun menetap dan memuktamadkan bahawa penyatuan itu mestilah ditambat dengan “Tali Allah” iaitu al-Quran dan sebahagian ulama’ menafsirkannya sebagai “Islam” itu sendiri.
وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ وَاذْكُرُواْ نِعْمَةَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاء فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا وَكُنتُمْ عَلَىَ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ النَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا كَذَلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ لَكُمْ آيَاتِهِ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan lalu Allah menyatukan di antara hati kamu maka jadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara sedang kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (surah Aali-Imran: ayat 103)

Seruan pendakwah terkenal Dr. Zakir Naik supaya umat Islam termasuk PAS dan UMNO dengan menjadikan al-Quran sebagai asas penyatuan adalah satu pandangan yang menepati seruan Islam itu sendiri. Inilah juga apa yang telah diseru oleh PAS selama ini bahawa semua umat Islam mesti kembali kepada al-Quran dan Sunnah al-Nabawi. Umat Islam hanya boleh bersatu atas “Manhaj Islam” yang betul. Tidak boleh bersatu atas nama bangsa, warna kulit, wang ringgit, kuasa dan pengaruh politik.
Memahami realiti yang berlaku di Malaysia termasuk kedudukan UMNO hari ini, Majlis Syura Ulamak PAS telah memutus dengan tegas bahawa tiada gabungan antara dua parti ini iaitu PAS dan UMNO.
Saya melihat penegasan Majlis Syura Ulamak PAS tersebut adalah berasaskan nilaian semasa kedudukan UMNO sebagai sebuah parti yang menjadi kerajaan sekian lama tetapi masih bersalut dengan keruntuhan integriti seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sebagainya serta dasar perjuangannya yang tidak meletakkan Islam dan syariat sebagai manhaj hidup dan orientasi pemerintahan.

Namun begitu, demi kebaikan Islam dan seluruh rakyat di bumi Malaysia ini, pula membudayakan “Politik Matang dan Sejahtera”, PAS tetap berlapang dada untuk sedia bekerjasama dengan semua pihak, dalam apa jua situasi yang berasaskan kebajikan dan memulangkan kebaikan kepada negara dan rakyat serta taqwa kepada Allah dan sama sekali menolak kerjasama yang menumbuhkan dosa, maksiat dan mungkar serta  mencetuskan permusuhan. Sebagaimana yang diajar oleh Allah;
 وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan hendaklah kamu berkerjasama untuk melakukan kebajikan dan taqwa kepada Allah dan janganlah kamu berkerjasama pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (surah al-Maidah: ayat 2)

Inilah seruan Nabi Muhammad sallallahualaihi wasallam kepada semua pihak di sepanjang zaman termasuk parti politik iaitu “Aslim Taslam” ertinya, “Kamu terima dan kembali kepada Islam maka kamu akan selamat di dunia dan akhirat”.

Kenyataan rasmi PAS juga telah dikeluarkan oleh YB Dato’ Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan bagi memuktamadkan pendirian PAS dalam isu “kesatuan” yang sering timbul di sepanjang zaman.

Semua kepimpinan PAS dan ahlinya konsisten dengan pendirian ini dan ia adalah kebaikan buat semua iaitu agama, rakyat dan negara.  Semoga kedudukan PAS dalam situasi ini tidak disalah-erti dan di-“spin” oleh mana-mana pihak yang sentiasa menyimpan dendamnya kepada PAS. PAS berlepas diri dari apa jua bentuk salah faham dan percubaan untuk mengeksploitasi isu ini.

“Beristiqamah Hingga Kemenangan”

Tuesday, April 12, 2016

Tingkatkan Perkhidmatan Teksi, Kurangkan Bebanan Birokrasi

Kejadian mogok sekumpulan pemandu teksi di ibu negara memberikan gambaran terhadap kemuncak tekanan yang dihadapi golongan tersebut sejak sekian lama. Walaupun pada asasnya bantahan tersebut ditujukan kepada perkhidmatan “Grab Car” dan “Uber” yang seolah-olah mengganggu punca rezeki mereka, namun, bebanan yang ditanggung pemandu teksi merupakan suatu faktor yang tidak boleh dikesampingkan.
Antaranya adalah masalah permit teksi yang diberikan kepada syarikat-syarikat teksi yang lebih suka mengait keuntungan segera dan juga pembayaran wang cagaran atau sewa beli yang tinggi. Keadaan ini telah mendorong kepada bebanan tambahan yang gagal diuruskan dengan baik oleh pihak kerajaan.

Secara tidak langsung, ia memberi kesan kepada perkhidmatan teksi. Dalam masa yang sama, pendapatan pemandu teksi merosot kira-kira 50 peratus apabila Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan Darat (SPAD) pula memberikan peluang promosi terhadap perkhidmatan Grab Car dan Uber.

PAS menggesa Kerajaan agar meningkatkan perkhidmatan teksi dengan mengurangkan bebanan birokrasi seperti pemberian permit individu bagi individu yang telah lama berkhidmat, mengurangkan kebergantungan terhadap syarikat-syarikat teksi selain memperkasakan perkhidmatan kebajikan seperti caruman Perkeso, KWSP dan sebagainya.

Tambahan lagi, Kerajaan juga digesa mencari titik penyelesaian bagi menangani permasalahan berkenaan perkhidmatan Grab Car dan Uber. Sekurang-kurangnya mencari jalan penyelesaian dengan menyediakan “padang yang sama rata” supaya persaingan yang sihat dapat berlaku. Sebaiknya Grab Car dan Uber ini dmansuhkan dan dalam masa yang sama perkukuhkan institusi teksi. Malangnya, Grab Car dan Uber lebih selesa memberikan servis tanpa ada peraturan lain yang dikenakan tidak seperti perkhidmatan teksi hari ini.

Sunday, March 27, 2016

Rasuah Cemar Integriti Penjawat Awam

Kes rasuah RM 100 juta yang dibongkarkan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini telah mencemar integriti penjawat awam. Bagaimana jumlah yang terlalu besar terlepas daripada pemeriksaan pegawai audit kementerian dan Jabatan Audit Negara? Isu ini telah menimbulkan pelbagai persoalan terhadap keberkesanan perbelanjaan keseluruhan dana awam yang diperuntukkan kepada kerajaan setiap tahun.
Sebenarnya, isu tersebut adalah kemuncak kepada ketirisan dan penyelewengan dana awam di negara ini. Hampir setiap tahun Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) telah mendedahkan salah guna dana awam samada perbelanjaan yang tidak relevan (inflated price), ketidakpatuhan dalam prosedur perolehan dan perjalanan projek yang tidak mengikut spesifikasi. Namun, semua pembongkaran korupsi tersebut masih tidak mampu mengekang kezaliman yang berlaku.
Sebagai contoh, dalam LKAN 2012 telah merekodkan transaksi pembelian jam dinding yang bernilai RM 3810, walhal harganya hanya RM 100 di pasaran. Jumlah ketirisan secara keseluruhan yang dimaklumkan dalam LKAN 2012 berjumlah kira-kira RM 3.5 bilion. Begitu juga LKAN 2013 yang mendedahkan Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM telah membayar sejumlah RM 11.94 juta kepada 3,786 pesara tentera yang telah meninggal dunia. Menurut Menteri Kewangan Kedua, jumlah ketirisan dianggarkan berjumlah RM 1.5 bilion pada tahun 2013.

Adakah kita mahu ia terus berulang? Jika LKAN ini menjadi indikator terhadap parameter korupsi di sektor kerajaan, ia hanya meliputi 5 peratus daripada keseluruhan transaksi dan dibuat secara rawak. Oleh itu, bagaimana untuk memastikan ketirisan, penyelewengan, rasuah, korupsi dan kronisme tidak akan berlaku lagi? Rakyat menuntut agar satu reformasi dilakukan secara serius supaya kezaliman ini mesti dihentikan.

Jumlah ketirisan ini boleh menampung pembiayaan biasiswa yang disekat oleh kerajaan, mengurangkan kadar tol dan tambang pengangkutan awam, serta menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Rakyat tidak redha jika penyelewengan ini terus dilakukan dan pada masa yang lama lebih ramai rakyat yang menderita akibat tanggungan kos sara diri yang terlalu tinggi.

Monday, March 21, 2016

PAS - IKATAN Melestari Blok Ketiga

Pada  tanggal 16 Mac 2016 kita menyaksikan sejarah ditatah dengan mempersaudarakan PAS sebagai sebuah parti Islam di Malaysia dengan IKATAN yang merupakan sebuah parti multiracial pimpinan Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Kadir Hj Sheikh Fadzir.

Gandingan PAS - IKATAN telah membentuk satu sekretariat untuk melestarikan persaudaraan kedua parti dengan persefahaman politik, lantas menggerakkan agenda perubahan ke arah membina “Malaysia Sejahtera” berlandaskan politik yang matang.

Agenda utama yang diperjuangkan oleh PAS - IKATAN ialah memulihkan negara, pemimpin dan rakyat yang rosak dek kerana rasuah, salahguna kuasa dan perpecahan dikalangan rakyat ekoran perbedaan ideologi politik yang dianut. Ia adalah sebuah perjuangan yang turut menepati tuntutan Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.

Menariknya gandingan PAS - IKATAN ini akan membentuk blok ketiga dalam peta politik tanah air. Berperanan besar untuk menamatkan kebergantungan rakyat kepada satu pihak sehingga menjadikan pihak tersebut angkuh dengan dominasi mereka. Pada masa yang sama,  PAS - IKATAN pula akan memastikan sengketa dan perpecahan yang merugikan rakyat dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

PAS - IKATAN akan terus komited untuk : -
  1. Menghentikan politik perkauman, politik dendam, politik tindas dan politik pilih bulu.
  2. Menyuburkan politik hubung baik (politik enggagement), politik penyelesaian dan politik rundingan.
  3. Menolak ekstrimisme dan diktatorship dalam kepimpinan
Meskipun berbeza parti, ideologi dan dasar perjuangan, IKATAN sebagai sebuah parti multiracial tidak menolak dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Sebaliknya menghormati perjuangan PAS dan bersetuju isu perlaksanaan syariat Islam diurus menerusi saluran demokrasi sebagaimana yang telah diusahakan oleh PAS selama ini.
Tindakan setengah pihak dan media yang mula menggerakkan saraf mereka untuk melagakan PAS dan IKATAN pada hari pertama gandingan mereka dimeteraikan dengan memainkan isu hudud, adalah sangat tidak bertanggungjawab malah disifatkan sebagai tindakan tidak celik politik matang.
Hanya adu domba dan propaganda murahan yang suka mereka lakukan untuk melariskan media mereka, sedang tindakan itu hanyalah merosakan usaha baik yang mahu digerakkan oleh PAS - IKATAN dimata masyarakat awam yang banyak bergantung kepada laporan media.

Tan Sri Abdul Kadir Hj Sheik Fadzir selaku Presiden IKATAN telah menegaskan pada sidang media bersama YB Tuan Guru Datuk Seri Hj Abdul Hadi Awang Presiden PAS di Hotel Puteri Park tengahari tadi  bahawa IKATAN tidak pernah menolak undang-undang Islam yang diperjuangkan oleh PAS, sebaliknya menganggap kini beban adalah kembali kepada kerajaan yang memerintah sementara mereka memiliki majoriti di parlimen, setelah PAS telah pun melunaskan tanggungjawabnya dengan usaha memperkasa mahkamah syariah di parlimen.

PAS melihat isu hudud yang dijadikan peluru sepanjang zaman untuk menyerang dan merosakkan reputasi PAS tidak akan berkesan untuk digunakan bagi memisahkan gandingan  PAS - IKATAN yang baru sahaja memulakan kerjasama politiknya. PAS memperingatkan semua pihak khasnya “war lord” yang berada di belakang media tertentu agar tidak memecah belah dan melemparkan fitnah kepada PAS kononnya PAS kini meninggalkan prinsip perjuangan. Sebaliknya prinsip perjuangan PAS akan terus dijulang dan dihormati oleh semua rakan seperjuangan.

Himpunan Bantah “DLP” Pada 9 April 2016

Jawatan Kuasa Kongres Rakyat yang telah bermesyuarat pada 6 Mac 2016 yang lalu telah bersetuju untuk menganjurkan satu Himpunan Aman membantah perlaksanaan “Program Dwibahasa” atau “Dual Language Program” (DLP) di Dataran Merdeka pada 9 April 2016 akan datang bersama GMP (Gerakan Mansuhkan PPSMI) dan GIPK (Gerakan Isu-Isu Pendidikan Kebangsaan). Tentatif himpunan akan dimaklumkan kemudian.

Penganjuran ini akan melibatkan penyertaan bersama pejuang-pejuang bahasa, ngo-ngo yang aktif membantah perlaksanaan “Program Dwibahasa” ini.

Urusan permohonan guna lokasi dan kebenaran berhimpun akan diuruskan oleh pihak Sekretariat Kongres Rakyat dengan pihak berkuasa dalam masa terdekat. Kongres Rakyat mengharapkan kerjasama baik dari pihak berkuasa bagi menjayakan himpunan ini.
Objektif himpunan ini adalah bagi menyatakan sikap dan bantahan rakyat kepada kerajaan ekoran perlaksanaan DLP yang dilihat jelas merugikan negara dan anak bangsa sekaligus mengheret  sistem pendidikan negara terhumban jauh ke belakang.
Kongres Rakyat turut menyeru penyertaan semua pihak, khasnya penuang bahasa, ngo prihatin, individu, tokoh akademi yang memahami betapa DLP ini perlu dimansuhkan.

Membina Malaysia Sejahtera

“DLP” Bukan Penyelesaian Kelemahan Berbahasa Inggeris

Perlaksanaan “Dual Language Programme” (DLP) atau “Program Dwibahasa” bukan suatu jawapan kepada penyelesaian kepada kelemahan berbahasa Inggeris di kalangan graduan universiti hari ini. Ia sebaliknya akan mengundang kepada permasalahan lain yang lebih parah.

DLP adalah inisiatif gelombang kedua bagi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di bawah inisiatif Peningkatan Bahasa Inggeris dan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Ia adalah proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) bagi subjek Sains, Matematik dan Teknologi Maklumat melibatkan Tahun 1, 4 dan Tingkatan 1 yang menggunakan Bahasa Inggeris.

DLP tidak lain hanyalah jelmaan kepada dasar PPSMI yang telah dimansuhkan pada 2009. Kajian yang dijalankan terhadap para pelajar kesan dasar PPSMI menunjukkan hanya 10-12 peratus guru menggunakan Bahasa Inggeris dalam proses P&P subjek yang berkenaan. Selain itu, hanya 6.2 hingga 9.1 peratus murid Tahun 5 menyatakan keselesaan belajar dalam Bahasa Inggeris bagi subjek Matematik dan Sains.

Data ini menunjukkan kegagalan PPSMI bukan sahaja meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris dikalangan pelajar, malah, meninggalkan kesan negatif terhadap proses P&P bagi subjek Sains dan Matematik. DLP hanyalah bayangan kepada kegagalan PPSMI meskipun ia bersifat pilihan kepada sekolah.

Lebih membimbangkan adalah kesenjangan sosio ekonomi di antara sekolah bandar dan sekolah luar bandar dan pedalaman di samping akan memperlihatkan martabat Bahasa Melayu yang semakin rendah.

PAS konsisten menegaskan bahawa pembelajaran Sains dan Matematik mesti menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar. Ini juga ditekankan dalam forum-forum antarabangsa melibatkan UNESCO, Bank Dunia, World Declaration on Education for All (EFA), dan juga The UNO General Assembly’s Convention on the Child’s Right’ yang menekankan kepentingan penggunaan “mother tounge” sebagai bahasa pengantar dalam proses pembelajaran.

Sewajarnya perkara ini mendapat perhatian yang lebih serius oleh Kerajaan sebelum mengemukakan sebarang polisi terutamanya melibatkan pendidikan kepada rakyat. Namun, sikap terburu-buru Kerajaan seringkali mengundang rasa tidak senang para guru dan ibu bapa yang juga boleh mengundang kesan negatif terhadap pendidikan di negara kita.
PAS sama-sama mendokong hasrat Kongres Rakyat bersama Gerakan Mansuhkan PPSMI membantah perlaksanaan DLP dan PAS menyatakan penyertaan ke Himpunan Aman Bantah DLP yang dianjurkan oleh Kongres Rakyat, GMP dan GIPK di dataran merdeka pada 9 April 2016 kelak.

Bantah Formula Penyelesaian Dua Negara

Ucapan terima kasih kepada Indonesia kerana menganjurkan “The Fifth Extraordinary Summit on Palestine and al-Quds Al-Sharif”. Ia adalah satu usaha yang konsisten yang dimobilisasikan oleh negara-negara OIC untuk memperjuangkan nasib umat Islam dan kedaulatan negara Palestin.

Walau bagaimanapun, dengan merujuk kenyataan Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Sri Anifah Aman bertarikh 7 Mac 2016, pendekatan penyelesaian dua negara tegasnya ditolak sama sekali justeru ianya secara langsung mengiktiraf negara haram Israel di bumi Palestin. Penjajahan hampir 100 tahun (Deklarasi Balfour 1917) tidak boleh diakhiri dengan penyelesaian ini.

Kementerian Luar Negeri didesak untuk mengusulkan hasil Deklarasi Jakarta tersebut di Dewan Rakyat pada sesi mesyuarat kali ini. 
PAS akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana usaha membela rakyat Palestin, namun tidak sama sekali mengiktiraf penubuhan negara haram Israel.
Sehingga ke hari ini, kekejaman, penubuhan dan penindasan terhadap rakyat Palestin terus dilakukan oleh tentera Israel. Sejak bulan Oktober 2015, seramai 170 rakyat Palestin terbunuh, 116 orang tahanan diseksa dengan teruk Penjara Shikma, puluhan rumah dirobohkan, dan pesawat-pesawat Israel dengan rakus menyembur toksik ke atas tanaman-tanaman rakyat. Adakah kita mahu mendiamkan kezaliman ini?

Tuesday, March 8, 2016

Jangan Klasifikasi Laporan Audit 1MDB Di Bawah OSA

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tidak boleh menerima laporan akhir 1MDB yang dibuat oleh Jabatan Ketua Audit Negara diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972. Tindakan ini akan lebih merumitkan isu berkenaan, walhal rakyat berhak mengetahui hasil daripada laporan audit tersebut.

 Tindakan Ketua Audit Negara tidak disusuli dengan alasan yang konkrit untuk mengklasifikasikannya di bawah OSA. Selama ini, rakyat menunggu laporan penyiasatan yang dibuat oleh institusi yang berautoriti. Malangnya, hasil disiasatan dirahsiakan. Jadi, bagaimana rakyat mahu mengetahui kedudukan isu ini yang sebenar?
Isu 1MDB adalah satu isu yang besar. Ia bukan hanya ditimbulkan di peringkat nasional, malah ia telah disensasikan di peringkat internasional. 1MDB adalah salah satu isu yang telah menghakis kredibiliti politik dan ekonomi. Contohnya, isu ini juga mungkin mempengaruhi kejatuhan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (2015) juga amat mendukacitakan.
Oleh yang demikian, PAS mendesak agar laporan audit 1MDB tidak diklasifikasikan di bawah OSA agar ianya boleh dinilai oleh seluruh rakyat. Sekurang-kurangnya ia boleh menjawab pelbagai dakwaan yang telah ditimbulkan oleh pelbagai pihak sebelum ini. Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tidak memadai untuk menjelaskan kedudukan sebenar 1MDB.

Jalin Kerjasama Tangani Penyebaran Ideologi Militan

PAS terutama melalui Dewan Ulama’ PAS Pusat (DUPP) menyatakan kesediaannya untuk berkerjasama dengan pihak PDRM bagi melatih para penceramah dalam menangani penyebaran ideologi kumpulan Islamic State (IS) yang semakin mendapat perhatian di seluruh dunia ketika ini.

Ideologi militan IS ketika ini tersebar dengan begitu meluas dan terdapat bibit-bibit yang menunjukkan mereka mula menyasarkan negara-negara di belahan Asia Tenggara. Maka, langkah bersepadu daripada pelbagai pihak merupakan suatu usaha yang baik dan wajar disokong bagi mengekang penyebaran ideologi tersebut daripada menular ke negara kita.

Usaha dan kerjasama yang bersepadu daripada semua seperti JAKIM dan kumpulan-kumpulan NGO Islam yang lain seperti ABIM, ISMA dan sebagainya merupakan sesuatu yang begitu signifikan bagi menyampaikan ajaran Islam yang sebenar kepada masyarakat seterusnya menjadi suatu benteng daripada racun ideologi yang bertentangan dengan pendekatan Islam ini merebak.

PAS menyatakan keyakinan bahawa dengan kerjasama yang baik di antara DUPP, PDRM dan NGO-NGO Islam ini akan menjadi satu langkah yang begitu penting bagi menghadapi pertembungan ideologi ini. PAS juga mengulangi pendirian bahawasanya PAS kekal dengan pendekatan secara muwajah silmiyyah, iaitu pendekatan menyampaikan ajaran Islam melalui kaedah yang aman dengan penyertaan ke dalam pilihanraya dan institusi demokrasi di negara ini.

Monday, February 15, 2016

Warga Asing Populasi Kedua Terbesar di Malaysia

Segmen populasi masyarakat yang kedua terbesar selepas orang Melayu di Malaysia adalah warga asing. Menurut data yang dikemukakan oleh Menteri Sumber Manusia pada akhir tahun 2014, jumlah keseluruhan pekerja asing berjumlah 6.7 juta orang. Jumlah tersebut telah mengatasi populasi penduduk Cina yang berjumlah sekitar 6.52 juta berdasarkan Banci Penduduk Malaysia 2010.
Jika kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh tetap diteruskan, maka secara kasarnya jumlah warga asing di Malaysia telah melangkau 8 juta orang. Ternyata, jumlah ini sangat besar dan ia boleh mempengaruhi sosio-budaya masyarakat di Malaysia. Malah, keberadaan warga asing telah membentuk koloni-koloni mereka di lokasi tertentu terutamanya di Lembah Klang.
Contohnya dalam kes terbaru, jenayah tembak-menembak di Pasar Borong Selayang melibatkan warga Myanmar yang mendominasi kawasan tersebut. Begitu juga di sekitar kawasan Chow Kit, Kampung Pandan dan Kampung Baru juga dikenali sebagai Mini Jakarta. Adakah kerajaan mahu perkara ini terus berlaku sehingga menyebabkan rasa kurang senang penduduk tempatan?

Sebenarnya, keputusan kerajaan membenarkan kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh ke Malaysia bercanggah dengan polisi untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing. Hal ini juga akan terus menyumbang kepada masalah pengaliran wang keluar negara. Pada tahun 2012, jumlah pengaliran wang keluar mencatatkan jumlah sebanyak RM 21.7 bilion dan trend tersebut meningkat pada tahun 2013 dan 2014.

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak kerajaan untuk tidak terlalu simplistik membenarkan kemasukan pendatang asing ke Malaysia. Kerajaan harus meneroka inisiatif baru untuk mengurangkan pergantungan terhadap mereka dan dalam masa yang boleh terus merancakkan kelesuan ekonomi negara.

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive