HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Saturday, December 16, 2017

RUMAHKU SYURGAKU

Bicara Santai Selain Politik. 01
25 Rabiul Awwal 1439 / 15 Dec 2017

RUMAHKU SYURGAKU

Oleh : Pendekar Sakti

1. Sebahagian masalah hidup ialah serabut atau tidak tenteram. Peringkat awal “serabut kepala” dan boleh jadi lebih parah bila sampai ke tahap “serabut perut”.

2. Kata orang serabut kepala boleh tampak “koyok”, tapi kalau serabut tu dah sampai ke perut, maka sesiapa yang alami masalah begini memang sukar. Bahkan nak tidur malam pun payah lelap. Hilang ceria, selalu marah-marah dan membebel tidak tentu pasal. Semua orang disalahkan.

3. Sensitif dan mudah emosional. Perkara kecil selalu dibesar-besarkan. Air muka tidak manis. Membengis kebanyakkan waktu. Bahasa lidahnya, hilang kelunakan dan keindahan kata-kata. Cakapnya sinis dan “menyekit” perasaan orang. Panas baran.

4. Akhirnya masalah serabut ini boleh jadi makin parah. Boleh jadi hypertension atau boleh juga jadi kemurungan. Pendek kata, sebahagian besar kebahagian dan kedamaian hidup diragut oleh masalah serabut.

5.Mengatasinya, saya lihat ada dua faktor penting yang boleh kita beri perhatian.

Pertama : Cara hidup soleh (peribadi)
Kedua : Bina rumahtangga bahagia

6. Cara hidup soleh ini melalui pembentukan peribadi. Bermula dengan melahirkan spiritual yang murni kemudian meluruskan  akhlak.

a) Mudahnya, pemurnian spiritual melalui aqidah yang betul dan amalan yang benar. Jangan sekali-kali tinggalkan amalan fadhu seperti solat, puasa dan lain-lain, lalu sempurnakan dengan amalan sunat seperti baca Al Quran, wirid zikir dan solat malam (qiamulail).

b) Luruskan akhlak dan hiaskan diri dengan attitude atau sikap yang positif, berbahasa pada lidah dan anggota dengan tertib dan cermat.

7. Sementara faktor penting yang boleh membekalkan “vaksin ketenangan”  kepada hidup kita ialah ahli keluarga. Memiliki pasangan hidup dan anak-anak yang soleh dan solehah.

a) bentuk sebuah keluarga bahagia dengan kasih sayang tanpa curang, percaya mempercayai tanpa curiga dan kemesraan tanpa telingkah.

b) letakkan keluarga adalah segalanya. Ahli keluarga lah anggota meeting untuk bincang sesuatu yang dihadapi. Mereka juga anggota team kita untuk riadhah. Pendek kata “Keluarga didahulukan Kerjaya diutamakan.”

8. Insyaallah, jika kita dapat miliki 2 faktor ini iaitu pembentukan peribadi yang soleh dan pembinaan rumahtangga yang bahagia, maka kita bebas “serabut”.

9. Kesannya, kita akan ceria dan manis wajah. Segak pada paras dan luhur pada pekerti. Fikiran jadi positif dan bahasa lidah menjadi indah. Tentu sahaja kita bahagia dan orang pun gembira berinteraksi dengan kita.

10. Kesan luar yang boleh dirasai ialah tahap konfiden menghadapi cabaran hidup, kerjaya dapat diurus dengan cemerlang, perjuangan boleh dilangsungkan dengan yakin dan lebih karismatik dalam enggagement dengan pihak lain. Malah kepimpinannya juga, menyerlahkan wibawa dan energy yang mantap.

Lestari Kehidupan Positif

Sekian

Monday, March 13, 2017

Redha Allah swt. Matlamat Perjuangan PAS



Redha Allah swt. Matlamat Perjuangan PAS

Oleh : Nasrudin bin Hassan

1. Masih terdapat mereka yang keliru dalam menilai bagaimana cara PAS berjuang. Bagaimana PAS beraksi di pentas politik. Mereka hairan kenapa PAS menjadikan agama sebagai asas perjuangannya. Cemburu mereka bukan kepalang apabila PAS terus meraih sokongan ummah meskipun diselubungi fitnah dan tohmahan dari segenap sudut.

2. Mereka sangat terdesak melihat risalah perjuangan PAS kian diterima masyarakat dari pelbagai latar. Sebahagian mereka berusaha untuk menyingkirkan PAS dari saingan politik negara lalu menggesa supaya PAS menyertai Jamaah Tabligh. Secara tidak langsung mereka sebenarnya telah memberi penghormatan tinggi kepada PAS dengan gesaan tersebut justeru Jamaah Tabligh adalah sahabat PAS dipentas dakwah Islam.

3. Mereka jahil tentang perjuangan PAS. Mereka gagal memahami seni politik yang dibawa oleh PAS. Tidak tergapai dek aqal mereka bagaimana PAS berpencak di pentas politik guna melunaskan tanggungjawab perjuangan Islam. Mereka sangka, Islam tidak boleh diperjuangkan dipentas politik.

4. Secara peribadi, saya maafkan mereka justeru mereka perlu lebih masa untuk memahami seni politik matang dan sejahtera yang dilaksanakan oleh PAS dalam saingan politik negara masakini. Biarlah saya tegaskan kembali bahawa ;

i - Dasar perjuangan PAS adalah Islam. Penegasan ini boleh dirujuk pada Perlembagaan PAS Fasal ke 3. Islam ertinya tunduk dan patuh kepada Allah swt. Kepatuhan dan ketundukan itu adalah bermaksud untuk meraih Redha Allah swt.

ii - PAS pula ditubuhkan untuk memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum hakamnya menuju keredhaan Allah swt. Juga mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara. Objektif ini tercatat di dalam Perlembagaan PAS Fasal ke 5.

iii - Antara usaha PAS ialah menyeru ummat manusia kepada Syariat Allah swt dan Sunnah RasulNya saw melalui dakwah secara lisan, tulisan dan amalan. Memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara serta memperkenalkan nilasi-nilai keislaman dalam usaha menegakkan keadilan dan kemajuan di segenap bidang termasuk pemerintahan dan pentadbiran, ekonomi dan sosial serta pelajaran dan pendidikan. Perkara ini termaktub di dalam Perlembagaan PAS Fasal ke 6 dibawah tajuk usaha-usaha PAS.

5. Biarpun halangan sebesar gunung, PAS tidak pernah gentar mendepaninya demi melunaskan cita-cita perjuangan Islam. Perlembagaan PAS, Fasal ke 4 menegaskan bahawa Seruan PAS ialah Allahu Akbar (Allah Yang Maha Besar). Tiada yang lebih besar dan hebat selain Allah swt. Tiada siapa yang boleh menghalang dan menyekat perjuangan untuk menegakkan agama Allah swt.

Sekian

Sunday, August 28, 2016

PAS Sedia Bersemuka

Datuk Seri Ong Ka Chuan Setiausaha Agung MCA telah menempelak tindakan sebuah NGO, iaitu Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak atau lebih dikenali sebagai Geng Ustaz yang telah mengadakan “report” polis kelmarin ke atas tindakan Persatuan Hokkien ekoran tindakan persatuan itu mengadakan kempen kutip tandatangan membantah pindaan Akta 355.
Saya melihat “report” polis yang diambil oleh NGO ini ialah kerana melihat tindakan mereka menghasut golongan bukan Islam supaya menolak pindaan Akta 355 yang menjadi urusan khusus ummat Islam tanpa terlebih dahulu mereka mendapatkan maklumat yang betul dan jelas mengenainya. Sedang tindakan itu boleh mencetus kebencian dan ketegangan sesama masyarakat negara kita yang melibatkan muslim dan non muslim.

Justeru itu, bagi pihak PAS in’sya-Allah kami  sedia bersemuka dan memberi penjelasan terhadap isu Pindaan Akta 355 ini kepada mana mana pihak termasuk Persatuan Hokkien. Ia penting bagi meredakan salah faham dan mengelak ketegangan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Inilah Penyelesaian Kita”

Friday, August 26, 2016

Jual Saham Proton : Bisnes atau Politik?

Saya agak terkejut apabila berita penjualan keseluruhan saham Proton kepada pelabur luar diwar-warkan di media pada minggu lalu. Adakah ini sebahagian syarat yang terdapat dalam terma pembiayaan kerajaan kepada DRB-Hicom?
Adakah penjualan ini juga sebahagian daripada respon DRB-Hicom terhadap keengganan kerajaan mengambil alih Proton? Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan desas-desus ini juga berkaitan dengan sentimen politik kem Najib (kerajaan) dan kem Mahathir-Muhyiddin (DRB-Hicom).

DRB-Hicom telah cuba memohon pembiayaan mudah daripada kerajaan berjumlah RM 1.5 bilion sejak suku pertama tahun 2016. Namun, status pembiayaan tersebut masih belum jelas kerana kerajaan telah menetapkan pelbagai syarat untuk menstruktur semula perniagaan syarikat automotif negara termasuk membayar hutang kepada vendor-vendor Proton. Penjualan saham Proton juga boleh berlaku bagi mendapatkan rakan kongsi strategik untuk meningkatkan keupayaan Proton ke aras yang lebih baik.

Persoalannya, ke manakah hala tuju Proton? Adakah desas-desus ini disebabkan oleh sentimen politik-bisnes yang sedang berlaku dalam UMNO hari ini? DRB-Hicom sedang bergelut dengan komitmen kewangan yang tinggi akibat daripada prestasi jualan Proton yang semakin lemah disebabkan oleh faktor-faktor dalaman dan luaran. Disebabkan itu, tidak mustahil penjualan keseluruhan atau sebahagian besar saham Proton boleh berlaku dalam masa terdekat sekiranya DRB-Hicom gagal untuk meneruskan komitmen perniagaannya.

Adakah hasrat penjualan Proton kepada pelabur luar adalah jalan terbaik untuk memulihkan status kewangannya? 

Adakah Proton boleh diselamatkan atau ia akan mengulangi nasib seperti MAS?

Proton bukan sekadar syarikat automotif bahkan ia mempunyai nilai sentimen dan maruah rakyat serta negara. Saya berharap pelan pemulihan Proton mesti diagendakan supaya ia tidak lagi terus menanggung kerugian pada masa-masa akan datang.

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive