Jangan Bebankan Rakyat (Risalah Dakwah 2)
[1]. Rakyat adalah komuniti yang perlu dibela oleh pemimpin dan kerajaan yang memerintah. Malah pemimpin kelak akan dipersoal oleh Allah swt akan kepimpinannya. Nabi Muhammad s.a.w telah menegaskan perihal amanah dan tanggungjawab pemimpin ini dengan sabdanya :
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤول عَنْ رَعِيَّتِهِ
Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu dipertanggungjawabkan mengenai orang yang dipimpinnya. (Muttafaqun 'alaih)
[2]. Salah satu tanggungjawab pemimpin ialah tidak menindas dan membebankan mereka. Begitulah masyarakat memerlukan pemimpin dari kalangan mereka agar pengurusan dan pengendalian hidup mereka terancang dan ditadbir dengan baik. Malangnya hari ini rakyat terpaksa berdepan dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi ekoran tindakan kerajaan menaikkan harga keperluan asas mereka seperti minyak, elektrik, air, gula dan sebagainya sementara pendapatan mereka tidak berganjak.
[3]. Lebih sadis apabila rakyat marhain ini terpaksa menyaksikan pemimpin mereka bergelumang dengan kemewahan melampau bahkan mengatasi tahap pendapatan mereka yang sebenar. Sadis berganda apabila pemimpin itu pula menyeru rakyat supaya berjimat cermat, jangan makan gula banyak, kongsi kereta, jangan lalu jalan ber tol, menggunakan petrol ron rendah dan pelbagai saranan yang pilu lagi memilukan perasaan mereka.
[4]. Pilihan yang ada pada kerajaan ialah kembali berusaha meningkatkan perolehan negara dan menyuburkan pertumbuhan ekonomi serta merancakkan aktiviti takaaful dan ta'awun sebagai langkah seiring mewujudkan budaya jimat cermat yang selaras dan seimbang. Pada masa yang sama kerajaan juga wajib mengelak diri dari amalan membazir dalam pengendalian projek pembangunan. Dana awam jangan dibiarkan tiris dan mengalir keluar tanpa audit yang sah.
[5]. Negara akan makmur dan sejahtera dari aspek fizikal dan spiritual jika memiliki kerajaan yang adil dan rakyat yang taat. Namun adil dari kerajaan dan taat dari rakyat ini adalah satu spirit yang lazim melazimi antara satu sama lain. Kerajaan yang zalim, menindas dan membebankan tidak akan melahirkan rakyat yang taat sebagaimana rakyat tidak mungkin akan mentaati sebuah kerajaan yang hipokrit dan menindas. Justeru itu saya menyeru agar belalah rakyat terbanyak agar mereka bebas dari beban kos sara hidup yang dibimbangi antara punca tercetusnya pelbagai jenayah sosial dalam negara kita dewasa kini.
Nasrudin bin Hassan
Timbalan Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Pusat.
Mencorak Masa Depan
0 comments:
Post a Comment