HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Showing posts with label Metodologi Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Metodologi Dakwah. Show all posts

Sunday, August 16, 2009

Jom Sertai Usrah

1. Syabas saya ucapkan kepada Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang , meskipun tidak menang tangan menyelesaikan tugas dan amanah mendepani pilihanraya kecil N.11 Permatang Pasir , mereka masih sempat melancarkan projek Jom Sertai Usrah peringkat negeri Pulau Pinang .

2. Usrah sememangnya aktiviti asas bagi sebuah gerakan Islam seperti PAS . Ianya begitu popular pada pertengahan tahun 80an dan awal 90an . Malangnya kini agar suram dan perkembangan mengenai usrah agak pudar . Biarpun masih ada negeri , kawasan dan cawangan yang aktif berusrah , tetapi kebanyakkan peringkat telah mengabaikan usrah .

3. Langkah mempromosikan semula usrah agar ia kembali berfungsi secara berkesan sebagai medium asas mengkaderkan ahli dan pimpinan PAS adalah suatu yang mesti dilakukan secara serius dan dipandang penting oleh setiap peringkat pemimpin dan ahli khasnya pemuda .

4. Tidak perlu saya menjelaskan secara panjang lebar mengenai peri pentingnya usrah bagi sebuah gerakan Islam seperti PAS justeru ia boleh dirujuk kepada manhaj dan dasar pentarbiyyahan PAS yang diwarisi sejak lama dulu . Terlalu banyak buku - buku dan kertas kerja yang tersimpan rapi dalam arkib dan tangan individu pimpinan PAS terutamanya pimpinan veteran seperti sang Murabbi al Fadhil Ustaz Yahya Othman , al Fadhil Ustaz Harun Taib dan lain - lain [ sekadar membawa satu dua contoh ] .

5. Kini Usrah mengalami zaman suramnya. Entah kenapa ? saya pun tidak pasti secara tepat punca dan sebabnya , tetapi yang pasti usrah kini tidak lagi popular seperti dulu dan memerlukan satu langkah jitu untuk mengembalikan semula zaman kegemilangannya sebagai medium atau kilang yang melahirkan anggota PAS samaada ahli atau pimpinan yang benar - benar menepati piawaian sebagai anggota Gerakan Islam .

6. Hari ini , buku - buku yang dulunya sering menjadi teks perincangan khusus di dalam usrah [ seperti Al Istia'ab karya Fathi Yakan , Maaza Ya'ni intimaa'i lil Islam karya Fathi Yakan , Jundullah karya Said Hawwa , Ma'alim Fit Toriq karya Syed Qutb , Risaalatut Ta'alim karya Albanna , Asy Syabab wa Taghyiir karya Fathi Yakan , al Mabaadi' karya Abu A'la Al Maududi dan banyak lagi ] kini tidak lagi menjadi buku yang dicari dan dibaca berbanding dahulu , buku - buku tersebut adalah yang terlaris di pasaran .

7. Saya melihat , usrah antara perkara yang sangat urgent untuk kembali dinobatkan dalam PAS agar ia kembali menjadi satu mekanisme yang mendominasi gerakkerja pengkaderan dan pembinaan fikrah , aqidah serta syakhsiyyah yang mantap . Lajnah Tarbiyyah tidak lagi boleh memandang perkara ini dengan sebelah mata melainkan usrah kembali menjadi medium yang menyemarakkan semua ruh Amal Jamaei .

8. Harapan saya [ dan insyaallah saya akan benar - bnar berusaha untuk memastikan ] , khasnya kepada pemuda di semua peringkat agar menyemarakkan promosi Jom Sertai Usrah demi memartabatkan mekasnisme berkesan untuk melahirkan tenaga upaya mendokong cita - cita perjuangan Islam berasaskan Manhaj Rabbani dan Sirah an Nabawi .

9. Kepentingan kembali mengadakan usrah secara pro aktif ...... , justeru ia menepati keperluan zaman atau era ini . Aliran fikrah sesama anggota mula bergaris seribu menandakan 1000 pula alasan untuk mencetus pertembungan fikrah sesama anggota PAS . Lebih dahsyat apabila nilai ukhuwwah dikalangan ahli dan pimpinan PAS mula luntur dan lebih pilu apabila wehdatul fikr dan wehdatul amal sering gagal diterjemah bila berdepan saat getir dan memerlukan .

10. Bagaimana perlaksanaan berkesan , juga dengan mengambil kira situasi di semua tempat dan peringkat maka usrah adalah tertakluk kepada keperluan dan kewajaran di peringkat - peringkat tertentu . Tarbiyyah tidak bersifat statik cuma apa yang mesti ialah kesediaan seluruh ahli dan pimpinan PAS untuk melibatkan diri dengan usrah . Lajnah Tarbiyyah akan organize secara sistematik dan semua anggota PAS mohon beri kerjasama baik demi menjayakannya . Jom Sertai Usrah .



Saturday, July 4, 2009

Dakwah Fardiyyah . vol 2

Dakwah Fardiyyah :
Peringkat Kedua :
Menyedarkan Iman yang Leka
Serta Membina Aqidah


1. Asy Syeikh Abdul Halim al Kinani menyebut bahawa faktor utama kepada segala masaalah yang melanda ummat Islam bukannya kerana aspek kekurangan kuantiti [ bilangan ] penganut , harta benda , kekuatan material atau lain - lain aspek dan kemudahan .

2. Sebaliknya segala masaalah [ konflik dan krisis ] yang berlaku adalah disebabkan kelemahan yang menimpa jiwa dan penyakit al wahnu [ cinta dunia dan takutkan mati ] yang menguasai hati , disamping kelalaian [ dengan kemewahan dunia ] yang akhirnya melumpuhkan semangat serta mematikan kesungguhan dan keazaman mereka .

3. Ummat pada hari ini seperti yang pernah disebut oleh Rasulullah saw dengan sabdanya :

بل أنتم يومئذ كثير و لكنكم غثاء كغثاء السيل

bahkan pada masa itu bilangan kamu sebenarnya amat ramai tetapi kamu hanyalah seperti bebuih banjir .

4. Kelemahan ummat hari ini sebahagiannya tidak mampu menghadapi godaan dan syahwat dunia . Hati juga tidak mampu menjadikan jiwa terlepas dari dosa dan kehinaan . Inilah penyakit yang paling dahsyat menimpa ummah dewasa ini .

5. Ummat Islam tidak akan mampu menyelesaikan dan memadamkan gejala , kehinaan dan kebejadan yang dihadapi ini kecuali dengan melakukan perubahan total dalam peribadi seseorang muslim .

6. Perubahan yang dilakukan hendaklah perubahan dasar dan mendalam , bukan hanya perubahan luaran dan kulit semata - mata . Titik mula kepada perubahan ini ialah membangkitkan iman dan aqidah di dalam hati . Apabila makrifatullah mula menyelinap di dalam hati seseorang manusia , pasti sahaja ia akan berubah menjadi insan yang bertaqwa dan soleh .

7. Asy - syeikh Abdul Halim al Kinani turut menggariskan langkah - langkah teknikal untuk mencapai matlamat dakwah diperingkat ini .

. Pendakwah hendaklah menjadi ikutan yang baik , benar - benar komited dan terkesan dengan pengertian iman sebelum memindahkannya kepada sasaran dakwah .

. Perbincangan secara langsung dan dua hala berlaku antara pendakwah dan sasaran dakwah [ maduu ] . Ia bertujuan untuk memindahkan pengertian - pengertian dan cetusan - cetusan [ input ] iman ketika ziarah , pertemuan dan perbualan .

8. Memimpin sasaran dakwah [ madu'u ] secara praktikal :

. Mendorong dan menggalakkan supaya bertaubat dan menjelaskan kepentingan untuk segera bertaubat .

. Meninggalkan segala dosa , maksiat dan mungkar serta tidak lagi mengekalinya . Serentak itu merangsangnya untuk melakukan taat dan ibadat kepada Allah swt .

. Mendorong agar mengikat diri dengan al Quran dan sunnah . Mendengar , membaca , memahami , melaksana dan menghayatinya .

9. Memberikan peringatan [ inzaar ] dan galakan kepada madu'u [ sasaran dakwah ] .

. Memberi galakan dan ancaman agar tertanam rasa ingin mengabdikan diri kepada Allah swt dengan melaksanakan segala hukum hakam Allah swt dan dalam masa yang sama takut akan azab Allah swt akibat kecuaian dan kedegilan melaksanakan syariat Allah swt .

. Memberi amaran dan ingatan supaya mengharapkan rahmat dan keampunan Allah swt sebelum mati sedang mati itu datang secara tiba - tiba dan azab Allah swt itu sangatlah pediah .

و من أعرض عن ذكري فإن له معيشة ضنكا و نحشره يوم القيامة أعمى

dan sesiapa yang berpaling [ ingkar ] dari ingatan dan petunjukku , maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit dan kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta .

10. Islam adalah cara hidup yang mesti diterima oleh semua . Tiada siapa yang berhak menghalang Islam ini dikembangkan sebagaimana tiada siapa yang berhak menghalang dirinya sendiri dari menerima Islam , cara hidup yang diwahyukan Allah swt .

Friday, July 3, 2009

Dakwah Fardiyyah . vol 1

Dakwah Fardiyyah :
Marhalah yang Perlu dilalui
Oleh Para Pendakwah.


1. Hari ini saya berkesempatan membaca sebuah buku lama yang ditulis oleh Asy Syeikh Abdul Halim Al Kinani . Seorang pendakwah yang terkenal dengan keiltizamannya membawa Islam kepada ummah.

2. Syeikh Muhammad Abdullah al Khatib memuji karya Asy Syeikh Abdul Halim sebagai bingkisan yang kecil pada saiznya tetapi sangat besar pada nilai dan pengertiannya . Terutama apabila beliau menjelaskan marhalah dakwah .

3. Suka saya berkongsi bahan dan hasil baca ini demi sama - sama kita merealisasikan satu usaha murni dalam perjuangan kita untuk membawa Islam sampai kepada setiap insan dimana sampainya cahaya matahari . Tambahan pula jamaah kita ini adalah Jamaah Dakwah dan Tarbiyah disamping kita bersiasah .

4. Peringkat Pertama Dakwah Fardiyyah :
Mewujudkan Kasih sayang , kepercayaan dan saling mengenali .

5. Ianya merupakan peringkat [ marhalah ] pertama dan paling asas dalam dakwah . Ianya perlu dilaksanakan dengan baik justeru ia akan memainkan peranan yang besar untuk menjayakan malah menyempurnakan peringkat seterusnya . Terutama dalam usaha untuk meyakinkan dan mempengaruhi sasaran dakwah kita [ maduu ]

6. Peringkat pertama ini mempunyai beberapa nokhtah yang perlu diberi perhatian oleh kita khasnya pendakwah :

  • Percaya kepada pendakwah dari sudut keikhlasan amalan , dakwah , komitmen agama dan kebaikan yang diserunya .
  • Percaya kepada wibawa , pemahaman , pengalaman , kesesuaian pendakwah untuk diambil dan diterima segala nasihat dan pandangannya .
7. Kepercayaan ini tidak akan datang tanpa usaha atau secara spontan . Ia memerlukan pendakwah yang layak dipercayai . Sementara orang yang layak dipercayai ialah orang yang mempunyai akhlak dan adab - adab Islam serta komitmen yang tinggi terhadap hukum hakam Islam .

8. Mengenali sasaran dakwah [ madu'u ] secara mendalam dan jelas sehingga dia dapat mengenali personaliti dan kunci kepada peribadinya . Ini meletakkan pendakwah boleh menggunakan cara interaksi yang tepat dan berkesan dalam usaha mempengaruhi dan meyakinkannya .

9. Antara nokhtahpenting untuk mencapai objektif peringkat ini disebut oleh asy Syeikh Abdul Halim Al Kinani ialah :

  • Pendakwah mesti mengikhlaskan niatnya dan berdoa untuk sasaran dakwahnya semasa ketiadaannya agar Allah swt membuka pintunya kepada hidayah , melapangkan dadanya kepada dakwah dan menyelamatkannya dari neraka .
  • Memelihara adab - adab pergaulan dan berbicara dengannya .

  • Bersungguh - sungguh untuk melihat dan bertemunya secara berterusan serta bertanya khabarnya apabiala dia tiada .

  • Berwajah ceria ketika bertemu . Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda :

تبسمك في وجه أخيك لك صدقة

Senyummu dihadapan saudaramu itu adalah sedeqah

Sabda Rasulullah saw lagi yang bermaksud : " Kamu tidak mampu mengembirakan manusia dengan harta kamu tetapi kamu dapat lakukannya dengan muka berseri dan akhlak yang baik .

  • Mulakan dengan salam dan berjabat tangan .

Sabda Rasulullah saw :

ألا أدلكم على شئ إن فعلتموه تحاببتم أفشوا السلام بينكم

Adakah kamu suka aku tunjukkan kepada kamu satu amalan , jika kamu lakukan akan mengeratkan lagi kasih sayang antara kamu ? sampaikan salam antara kamu .

10. Asy Syeikh Abdul Halim al Kinani menyebut lagi bahawa pengukur kepada kejayaan pada peringkat ini ialah melihat kepada bagaimana jawapan kepada soalan - soalan berikut :

  • Adakah sasaran dakwah menganggap pendakwah sebagai rakan yang lebih istemewa dari rakan - rakannya yang lain ?

  • Adakah sasaran dakwah pernah bercakap dengan pendakwah menggunakan bahasa yang mesra dan biasa ataupun masih bersifat hipokrit atau waspada ?

  • Adakah sasaran dakwah merasa atau memperlihatkan rasa jauh diri atau tidak selesa terhadap beberapa sifat , cara interaksi dan percakapan pendakwah ?

  • Adakah sasaran dakwah merasa minat untuk menziarahi pendakwah ? Adakah dia pernah menjemput pendakwah untuk menziarahinya ?

  • Adakah pendakwah dapat merasakan sasaran dakwah memberi respons yang baik terhadapnya pada setiap kali pertemuan , salam , pergaulan , percakapan dan lain - lain ?

  • Adakah sasaran dakwah mula berbicara tentang perasaan , keperihatinan , keadaan dan segala apa yang bermain dimindanya ?

  • Adakah dia menemui pendakwah untuk menyelesaikan segala masaalah dan situasi yang menimpanya ?

  • Adakah dia merasakan bahawa pendakwah layak dan sesuai untuk ditanya dan diminta pandangan ?

  • Adakah dia diam untuk mendengar percakapan pendakwah dan menyertainya atau dia akan membantah , membidas atau langsung tidak ambil peduli .

  • Adakah wujud kesan yang jelas dari amalan bertukar - tukar hadiah antara pendakwah dan sasarannya ?

Dengan menjawab semua soalan - soalan ini pendakwah mampu mengukur sejauh mana kejayaannnya pada peringkat yang pertama ini dan sejauh mana ia mencapai matlamat yang diharapkan .

bersambung .....

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive