HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Showing posts with label Tinta Siasah. Show all posts
Showing posts with label Tinta Siasah. Show all posts

Wednesday, January 27, 2016

Mengapa TPPA Wajib Ditolak?

Firman Allah Azza wa Jalla di dalam al-Quran, surah al-Ruum ayat 41 telah menyatakan;
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
“Telah zahirlah keburukan di darat dan laut dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan manusia sendiri, supaya dirasakan kepada mereka sebahagian daripada perbuatan mereka, mudah-mudahan mereka kembali kepada kebenaran.”

Sebenarnya, pengertian Globalisasi (al-‘Awlamah) adalah hampir sama dengan nilai Kesejagatan (al-‘Alamiyyah) yang dibawa oleh Islam, sebagaimana disebutkan dengan jelas dalam al-Quran;
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلاَّ رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ
“Dan tiadalah Kami mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (surah al-Anbiya’ ayat 107)

Namun, globalisasi dalam gambaran yang sangat ketara pada hari ini bererti mem-baratkan dunia (Westernisation) atau meng-amerikakan dunia (Americanisation), dengan tujuan untuk menguasai dunia di bawah satu ungkapan yang lunak iaitu globalisasi bagi menjayakan agenda pemaksaan pengaruh Amerika dan Eropah ke seluruh dunia.

Kini dunia hanya mengenali dua pendekatan ideologi ekonomi, sama ada dalam satu negara atau antara negara, iaitu samada Liberal Kapitalisme atau Sosialisme. Abad yang lalu kita menyaksikan keruntuhan ideologi sosialisme, sehingga kuasa besar yang mendukungnya paling ekstrem seperti China dan Rusia serta negara ikutannya melakukan pembaharuan kepada ekonomi bebas yang didukung oleh Liberal Kapitalisme, sehingga yang dikatakan tabir besi dahulu sudah tidak ada lagi, kerana semuanya sudah bergerak kepasaran bebas dalam aspek ekonomi.

Kini kita menyaksikan tanda-tanda kegagalan Liberal Kapitalisme dengan krisis ekonomi dunia yang kita juga ikut menumpang dan terpalit. Maka diciptakan gagasan baru bernama TPPA, yang arkiteknya ialah Amerika, yang tidak boleh diberi keyakinan dapat menyelamatkan ekonomi dunia, bahkan menjadi salah satu punca masalah. Kalau kita menumpang bahtera ini kita akan bersama melakukan kesilapan yang sama dan tenggelam bersama.

Kita sama-sama mengikuti ucapan Presiden Obama ketika menjelaskan kepentingan TPPA kepada ekonomi Amerika. Jelasnya, TPPA akan menjadi penyelamat kepada ekonomi Amerika dengan menjadikan peraturan perdagangan yang mereka tulis sebagai terma yang dipaksakan ke atas Negara anggota blok TPPA bagi membantu Amerika berdepan dengan perkembangan mendadak ekonomi negara besar China.

Ini dapat dilihat berdasarkan negara anggota TPPA yang merentasi beberapa benua bermula dari lautan Hindi ke Pasifik dan turut melibatkan negara anggota Asean seperti Malaysia, Singapura dan Brunei. TPPA ingin mengukuhkan geopolitik dan pengaruh Amerika di Asia Pasifik dan Laut China Selatan. Lebih-lebih lagi, kedudukan Malaysia yang strategik amat penting untuk Amerika menguasai sebahagian Selat Melaka dan kawasan tertentu di Laut China Selatan.

TPPA adalah gagasan perdagangan berkonsepkan Liberal Kapitalisme yang diketuai oleh Barat yang pernah menjajah dengan gabungan kuasa ekonomi, politik dan ketenteraan yang pernah membawa penderitaan ke seluruh pelusuk dunia. TPPA adalah pembaharuan daripada Syarikat Hindia British dan Belanda yang pernah menakluk rantau ini, menjajah tanahair, memperhambakan rakyat, dan mengangkut hasil buminya.

Hujah ini dikuatkan apabila merujuk kepada artikel 25.7 Perjanjian TPP menyebut negara anggota TPPA perlu lebih telus dan bertukar-tukar maklumat negara. Kita kena sedar ini satu bahaya besar terhadap keselamatan negara dan membuka ruang kepada ancaman kuasa asing. Sejauh manakah Kerajaan Malaysia mampu mengawal maklumat negara dari diserahkan kepada negara luar secara ‘halal’ sedangkan negara anggota terpaksa akur dengan langkah perundangan? Benarlah TPPA akan membuka ruang kepada kuasa asing mencampuri urusan dalaman negara dan menjajah negara bermula dengan penguasaan ekonomi.

Ideologi Liberal Kapitalisme masih menjadi ideologi yang dianut, maka perjanjian yang dimeteraikan oleh gagasan ini tetap berkonsepkan ekonomi bebas yang tidak beriman dan budiman, kerana konsep ekonomi bebas walau pun berpakat, tetap berpandukan siapa cepat dia dapat, di atas nama menggalakkan kemajuan ekonomi.

Di samping itu, Langkah Perlindungan Sementara yang diperuntukkan hanya untuk tempoh maksima 3 tahun sahaja. Selepas tamat tempoh itu, tiada lagi perlindungan dibenarkan untuk melindungi industri tempatan dan pampasan mestilah dibayar kepada pihak yang terjejas. Kesan daripada Perjanjian TPP ini boleh membunuh industri tempatan.

Pakatan ini, kita yang diajak, serta dengan draf perjanjian yang disediakan, bermakna kita berpijak di atas asas landasan yang dibina oleh mereka yang mengajak, dengan syarat-syarat dan tawaran yang mungkin sangat menarik hasilnya pada zahir. Tetapi dalam perlumbaan berkonsepkan liberalisme ekonomi, sudah tentu lapangannya lebih berpihak kepada mereka, kita hanya sekadar menumpang kelajuan kenderaannya yang lebih besar dan canggih jenteranya, lebih laju perjalanannnya dan sudah pasti kita bukan pemandunya yang asasi, apabila aset mereka lebih besar, modal mereka lebih besar, pasaran mereka lebih besar.

Ini terbukti apabila tidak semena-mena, dalam tempoh dua tahun selepas perjanjian berat sebelah ini ditandatangani, kita terpaksa meminda tidak kurang daripada 26 akta dan beberapa pekeliling atau aturan kerajaan di peringkat Persekutuan dan Negeri, supaya mematuhi segala peraturan yang terkandung dalam TPPA (patuh-TPPA). Inilah satu bentuk penjajahan undang-undang dan ekonomi yang berselindung di balik tirai pemulihan demokrasi dan keterbukaan ekonomi, yang wajib kita selaku Ahli Dewan Rakyat mempertahankan kedaulatan negara tercinta ini.
Ya! Kita akan mendapat limpahan ekonomi yang kaya raya dengan sebab menumpang, tetapi percayalah bahawa kita laksana kolam kecil yang membekalkan air untuk kolam tasik yang besar melaut, akan menjadikan air kita surut kering, kalau disedut, atau apabila dibuka tanpa sempadan air pasang tasiknya boleh menggelamkan kita sehingga mati lemas.
Segala-galanya berlaku nampaknya mudah di atas kertas, kerana Amerika yang menjadi arkitek utama perjanjian ini menjanjikan gagasan ekonomi alaf baru, berbeza dengan yang berlaku selama ini, kerana dikatakan sangat membantu negara anggota. Pihak kita pula terus berkempen bahawa syarikat-syarikat tempatan akan menembusi pasaran antara bangsa. Kebenarannya, percayalah bahawa ia akan bergantung kepada kemampuan kita berlumba dan bertanding dengan syarikat-syarikat gergasi, kerana sifat perlumbaan adalah konsep ekonomi Liberal Kapitalisme, ditambah pula dengan tidak ada akhlak.

Malangnya lagi, Malaysia sudah tidak lagi boleh menentukan dasar cukai dan duti, walaupun untuk kepentingan sendiri. Merujuk kepada perjanjian TPP, hanya diperlukan dua negara asing untuk memohon supaya duti Malaysia dikurangkan dan Malaysia mesti akur dan patuh. Malaysia juga harus memberikan layanan kepada pelabur asing setara dengan layanan yang diberikan kepada pelabur rakyat Malaysia, sama rata dan tiada pilih kasih.

Malah, hasil analisa pihak Price Waterhouse Coopers (PWC), konsultan yang dilantik kerajaan bagi menjalankan kajian kos dan manfaat ekonomi terhadap Malaysia mendapati kesan TPPA kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia tidaklah terlalu signifikan – hanya menyumbang kenaikan 1.1% KDNK dan kenaikan 0.9% eksport negara pada 2027, satu lonjakan yang sangat rendah dan tidak signifikan kepada ekonomi negara yang perlu berkembang pada kadar 5%-7% setahun.

Di samping itu, kajian PWC mendapati tiga sektor yang bakal mendapat kesan negatif adalah industri yang menghadapi persaingan yang lebih sengit pasca-TPPA seperti minyak & gas, minyak sawit, dan pembinaan, di mana sektor ini merupakan penyumbang utama kepada ekonomi negara dan dikuasai syarikat Bumiputera.

Manakala, tiga sektor yang bakal mendapat manfaat pasaran terbuka di bawah TPPA kelak adalah perniagaan yang berorientasikan eksport seperti tekstil, komponen automotif, dan elektrikal & elektronik, di mana sektor ini kebanyakannya dikuasai firma Amerika Syarikat dan Eropah.

Semua syarat-syarat perjanjian adalah ditulis oleh mereka untuk mendapat persetujuan kita, walaupun kita boleh tidak bersetuju, tetapi tentu sahaja perundingan yang sebegitu besar jangkauannya itu mempunyai agenda tersembunyi oleh kuasa besar. Kerisauan ini adalah berasas apabila meneliti perjanjian TPP yang menyebut tentang satu entiti Penyelesaian Pertikaian Negara-Pelabur (ISDS) akan memberi kesan dan membuka lebih ruang untuk Kerajaan Malaysia disaman dengan alasan “keadilan dan kesamarataan”.

Langkah-langkah perundangan yang terpaksa diakur oleh kerajaan Malaysia apabila TPPA dilaksanakan juga adalah bercanggah dengan prinsip perundangan antarabangsa yang sepatutnya bersifat sukarela dan atas dasar kontrak moral. Ditambah pula, ianya nanti akan dikawal oleh undang-undang perdagangan antara bangsa dan mahkamahnya adalah laksana sarang labah-labah. Akhirnya hanya dapat menghukum syarikat syarikat kecil dari negara kecil seperti kita. Apakah jaminan negara besar yang menjadi anggota boleh mematuhinya dan bersedia diambil tindakkan undang-undang yang adil ?.

Adalah lebih berhikmah kita membina gagasan ‘Masyarakat Madani Global’ bersama negara serantau (Agenda 1-Asean) dan sesama negara Islam (Agenda 1-Ummah) dengan konsep kita yang adil dan saksama. Kita bina kekuatan sendiri terlebih dahulu dengan sumber kita, kemudian boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja di seluruh pelusuk dunia, Timur dan Barat, bukan sahaja terikat dengan pintu TPPA bahkan lebih banyak pintu yang boleh dimasuki dan dibuka tanpa ikatan dengan sesiapa.

Adalah lebih baik diperkenalkan konsep Islam kepada dunia, setelah kegagalan Sosialisme dan tanda kelemahan Liberal Kapitalisme. Di antaranya ialah penyakit muamalah riba, senjata zionis yang sedang meruntuhkan ekonomi Amerika sendiri. Inilah Firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اتَّقُواْ اللَّهَ وَذَرُواْ مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ. فَإِن لَّمْ تَفْعَلُواْ فَأْذَنُواْ بِحَرْبٍ مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُؤُوسُ أَمْوَالِكُمْ لاَ تَظْلِمُونَ وَلاَ تُظْلَمُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki riba, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.” (surah al-Baqarah ayat 278-279)

Inilah kerja Tabung Kewangan Antara Bangsa (IMF) yang dibayangi Zionis dan inilah juga urusan institusi kewangan yang memangkin TPPA bersama Amerika. Maka TPPA adalah ibarat menjadikan negara anggotanya laksana tongkat untuk berdepan dengan krisis ekonomi dan berdepan dengan gagasan kuasa besar ekonomi yang baru iaitu China, Rusia dan kumpulannya dalam gagasannya, bukan untuk berpakat secara saksama dan adil.

Sepatutnya kerajaan kita menunaikan yang wajib terlebih dahulu daripada sumber sendiri, iaitu mengolah hasil bumi kita dengan baik, dan bumiputera yang menjadi sumber manusia terbesar, tetapi masih terkebelakang kerana program pembangunan manusia yang salah, sehingga kaum bumiputera masih ketinggalan, walaupun sudah merdeka lebih daripada setengah abad.

TPPA tidak mampu menjadikan sumber kita untuk kemajuan kita sendiri, tetapi lebih menjadi khadam atau abdi sekali lagi kepada pihak yang lebih besar dalan konsep ekonomi liberal ini. Pembahagian kelas masyarakat dalam negara kapitalis juga menjadi acuan dalam masyarakat antara Negara. Mereka sudah membahagikan kepada Kumpulan Negara maju dan kumpulan yang dinamakan sedang membangun, dalam konsep kapitalis tetap meneruskan sumber kekayaan berpusing di kalangan yang kaya dan maju sahaja. Al-Quran menyebut;
كَيْ لا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الأَغْنِيَاء مِنكُمْ
“Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu.” (surah al-Hasyr ayat 7)

Sepatutnya negara bekas tanah jajahan ini sedar dan insaf, betapa peranan yang zalim daripada negara bekas penajah, sejak zaman mereka memerintah kita secara langsung, sehinggalah selepas dikatakan kita sudah merdeka dan diletakkan di dalam bakul bekas jajahan dengan berbagai nama yang disenaraikan dalam negara sedang membangun yang tidak diizinkan bangun sendiri.

Bersamalah kita selaku Ahli Dewan Rakyat yang bertanggungjawab ke atas kepentingan negara, menghalang sebarang bentuk campurtangan asing dalam menentukan urusan politik dan ekonomi tanahair, dengan menolak usul penyertaan Malaysia ke dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik ini, demi masa depan negara dan generasi akan datang.

Saya sangat yakin akan kemampuan kita untuk berdiri di atas kaki sendiri, dan begitu optimis terhadap kebolehan yang ada di kalangan generasi muda negara, untuk mencorak kejayaan di abad ini dan melakar kecemerlangan di masa akan datang, mengikut acuan dan kebijaksanaan kita sendiri.

Sunday, December 6, 2015

Apa Definisi Ponteng Sidang Parlimen?

Adakah ia bermakna, tidur berehat, goyang kaki di rumah sambil makan gaji buta seperti yang didakwa oleh mereka?

Sebagai contoh, seorang pensyarah universiti, ada masa kelas dibatalkan kerana dia perlu hadir ke kursus,seminar, pembentangan kertas kerja atas urusan rasmi, adakah Pensyarah itu ponteng kerja kerana tidak mengajar di bilik kuliah?

Contoh lain, Ahli Parlimen yang juga seorang Menteri Besar, adakah dia perlu berada di dalam Dewan setiap hari dari pagi sampai ke malam?

Adakah apabila dia tidak hadir ke Dewan kerana perlu mempengerusikan mesyuarat Exco, rasmi program, bertemu masyarakat, itu juga boleh dituduh ponteng?

Untuk rekod, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang yang merupakan Presiden PAS merangkap Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu, hadir ke Parlimen pada setiap kali sesi soaljawab lisan soalan beliau yang dijawab secara live oleh Menteri, beliau juga hadir ketika giliran membahaskan Bajet 2016.

Adapun ketidakhadiran beliau ketika sesi pengundian atas pertembungan dengan urusan lain yang disusun lebih awal.

Bagi yang tidak tahu, tidak ada dinyatakan dalam takwim Dewan, bilakah tarikh dan masa pengundian akan dibuat. Pernah ia dibuat pada waktu Maghrib, ada juga pukul 11 malam, dan sebenarnya lebih banyak keadaan undian dibuat secara suara majoriti sahaja.

Yang biasanya kekecohan di alam maya ini berlaku kerana maklumat yang disebar itu ketika pengundian belah-bahagi dibuat, iaitu setiap undi Ahli Parlimen direkod secara bertulis. Tidak kurang juga Ahli Parlimen yang hanya muncul ketika pengundian sedangkan waktu sesi perbahasan yang lama dan panjang itu, ghaib entah ke mana.

Setakat dalam pengetahuan saya, Tuan Guru Presiden PAS ini jadual tugasan kerja beliau padat, entah bila waktu rehatnya. Handphone yang dipakai juga jenis lama, tiada screen colour apatah lagi touch screen. Masa lapangnya diisi dengan menulis dan membaca bahan ilmiah.

Pengalaman peribadi saya pernah bersembang santai dengan beliau membuatkan diri ini rasa begitu kerdil dan jahil.

Dalam santai, segala kata-kata yang dilafazkan itu dengan fakta,dalil dan hujjah, sebab itu bagi sesiapa yang rajin menyalin apa ucapan yang disampaikan oleh Tuan Guru Presiden PAS, ia bagaikan menulis buku ilmiah.

Kepada yang begitu rajin menyerang, memperlekeh, memperli Tuan Guru Presiden PAS, moga suatu ketika hari nanti kamu akan tersedar bahawa segala caci-nista itu sedikit pun tidak melemahkan semangat juang beliau.

Menjelang minggu akhir sidang Parlimen, Tuan Guru Presiden PAS ke luar negara atas urusan kerja, bukannya bercuti suka-ria mahupun melancong sana-sini.

Beliau hadir atas jemputan menyampaikan ucapan di persidangan tahunan peringkat antarabangsa di Turki, beliau mengadakan pertemuan rasmi dengan Mufti Kerajaan Oman, dan kini menghadiri Mesyuarat Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Syeikh Yusof al-Qardhawi.

Adakah Ulama ini sedang ponteng makan angin?

Kepada Allah, kita berserah untuk menilai segala apa tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kepada Tuan Guru Presiden PAS.

SYED AHMAD FADHLI
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS

Monday, November 16, 2015

DAP : Politik Orang Gila

Satu persatu dilihat tindakan DAP makin menggila. Ibarat orang gila yang bercakap seorang, mengancam orang ramai bahkan dia akan beritahu bahawa dia bukan orang gila. Tidak ada orang gila yang mengaku dia gila bahkan dia akan kata orang lain gila. Begitu jugak orang jahat tidak akan mengaku dia jahat bahkan dia akan menunding jari kearah orang lain mengatakan jahat. Ini politik DAP.

Tuduhan DAP ibarat orang gila yang bercakap tiada asas dan tidak memandang realiti kehidupan akibat akal sudah menjadi tidak waras. Atas sikap apa DAP mengatakan Exco-Exco PAS dalam Kerajaan Selangor “berbuat jahat” apabila memperjuangkan hak-hak rakyat. DAP melalui Setiausaha Agungnya Lim Guang Eng mengeluarkan kenyataan demikian akibat “tidak puas hati” apabila desakan mereka untuk keluarkan PAS dari Kerajaan Selangor tidak berjaya. Hasilnya dengan tekanan demikian mereka menjadi umpama “orang gila”.

PAS mendokong usaha dan dasar yang dibuat oleh Kerajaan Selangor. Apatah lagi pembentangan bajet oleh YAB Dato Menteri Besar Selangor Tuan Mohamad Azmin Ali bertemakan “Membangun Smart Selangor Yang Peduli” amat menitik beratkan soal kebajikan rakyat. Justeru atas dasar inilah Exco-Exco dan seluruh ahli PAS akan mengembeleng tenaga bersama-sama menjayakan agenda Kerajaan Selangor ini.

Realitinya rakyat Selangor sendiri boleh melihat kesungguhan dan khidmat bakti yang dilakukan oleh Exco-Exco PAS bahkan khidmat bakti itu bukan sahaja dilakukan melalui saluran kerajaan semata-mata bahkan PAS di Selangor itu sendiri melalui ahli-ahlinya sentiasa menyantuni dan mendahului untuk gerak kerja memberi kebajikan kepada rakyat. Apatah lagi sikap “menggila” DAP itu juga mengaitkan dengan Kerajaan Kelantan yang sudah sememangnya dikenali sebagai Kerajaan yang bersih sejak zaman Almarhum Tuan Guru Nik Aziz sendiri. Tuduhan DAP mengatakan hendak menghalang PAS dari buat jahat sebenarnya memakan diri DAP sendiri kerana rakyat Selangor boleh menilainya dengan baik.

Dewan Pemuda PAS Selangor menasihat dan menegur agar DAP di Selangor mengambil sikap untuk sama-sama berusaha membangunkan Kerajaan Selangor. Peduli rakyat menjadi agenda utama bukan mengizinkan sikap prejudis sebahagian pimpinan DAP menggangu gerak kerja serta khidmat bakti untuk rakyat Selangor.

Syarhan Humaizi Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Selangor

Sunday, November 8, 2015

PAS Tetap Perjuangkan Islam!

“PAS Mahu Menyertai UMNO” adalah lafaz atau kalimah yang diratib sejak lebih 5 atau 6 tahun yang lalu. Ia terus diratib dengan agenda tersendiri oleh pihak desprado samaada luar PAS atau yang masih berada di tepian gelanggang.

Tiga kali muktamar berturut-turut Dato Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Presiden parti menafikan fitnah tersebut dan menegaskan betapa PAS tidak pernah berhasrat untuk menyertai UMNO selama mana UMNO masih berdiri di atas dasar nasionalisme mereka, malah memperteguhkan lagi bahawa PAS tetap dengan membawa prinsip dan dasar perjuangan Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah.

Mengambil kesempatan atas kemudahan media baru yang pantas mengalirkan racun fitnah, mereka terus meratib saban waktu bahawa PAS mahu menyertai UMNO. Sementelah mereka menyedari bahawa sebahagian rakyat di negara ini mudah terpedaya dengan fitnah yang disebar.

Tidak memadai penegasan Tuan Guru Presiden di beberapa siri muktamar tahunan, penafian demi penafian telah dibuat khasnya oleh Setiausaha Politik Presiden Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Namun fitnah serupa terus diratib. Saya yakin, mereka sudah kehabisan modal dan kekeringan idea untuk memburukkan PAS dan menjatuhkan reputasi Presiden PAS. Maka mereka terus mengulang sebut dan terus menabur fitnah yang serupa sementara mereka menyedari bahawa masih ada orang mahu mempercayai fitnah mereka.

Ironinya, setelah lebih 5 atau 6 tahun api fitnah ini ditiup dan dihidupkan, PAS masih kental dengan dasar dan prinsip perjuangannya untuk menegakkan Islam di bumi bertuah ini. Ternyata gabungan PAS dan UMNO itu tidak pernah menjadi kenyataan.

Justeru itu memadailah jika saya menyebut bahawa ia bukan sahaja tidak benar malah merupakan fitnah yang jahat. Kedudukan PAS hari ini yang terus istiqamah dengan dasar perjuangannya menjadi jawapan secara praktis betapa PAS tidak pernah menyertai UMNO dan BN.

Sementara perbincangan, pertemuan atau apa jua tindakan yang mungkin dilihat duduk bersama antara PAS dan UMNO seperti isu pembentukan Jawatankuasa Teknikal Perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah 2 Kelantan yang turut melibatkan mesyuarat bersama dengan pihak kerajaan pusat pimpinan UMNO dan BN adalah bermaksud tindakan “ta’awun a’lal birri wa taqwa” iaitu berkerjasama atas nama kebajikan dan taqwa demi kepentingan bersama ummat Islam. Lantaran inilah yang diajar oleh Islam.
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).” (surah al-Maaidah : 2)

Sebelum ini, atas nama membela ummat Islam Palestine, al-Marhum Tuan Guru Dato Hj Fadzil Mohd Nor pernah berucap sepentas dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Tindakan itu adalah bijak dan murni berasaskan “ta’awun a’lal birri wa taqwa”

Malah terlalu banyak lapangan dan ruang yang boleh membentuk “ta’awun a’lal birri wa taqwa” atau kerjasama berasaskan kebajikan dan taqwa kepada Allah swt antara PAS, UMNO dan parti-parti politik lain demi kepentingan agama Islam dan ummatnya. Selain isu pelaksanaan syariah dan membela ummat Islam Palestine, ruang ta’awun itu terus terbuka untuk menangani isu pengaruh dan kuasa ekonomi mahupun politik ummat Islam di negara tercinta ini agar tidak terus terhakis dan luntur.

Pasti sahaja kepentingan Islam itu melewati sempadan bangsa, warna kulit, bahasa lidah, parti politik, ngo, individu dan sebagainya. Justeru sempadan Islam ialah kalimah tauhid ((Laa iLaa ha iLLallah / لا إله إلا الله )). Kerananya, seluruh ummat Islam mesti bersatu mempertahankan kemurnian syariat dan kesucian syiarnya. Sekian.

Tuesday, May 12, 2015

Kita Berjuang Kerana Dasar Islam atau Dasar Pakatan?

Pakatan Rakyat bergoncang hebat dek kerana isu Perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Hudud-EKJS). DAP semakin lantang dan berani mempertikaikannya malah lebih nekad apabila mereka secara terbuka menentangnya di tengah-tengah laman kota Darul Naim.

Mereka begitu galak bagaikan mendapat peluang yang ditunggu-tunggu sekian lama. Lebih menarik apabila ada pihak yang sengaja mengundang dan memberi pentas terbuka kepada mereka, satu tindakan yang saya yakin tidak berani dilakukan sewaktu hayat hidup al-Marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz rahimahullah.

Secara zahirnya di hadapan kita terdapat dua pihak.
Pihak Pertama : Pihak yang terus berjuang kearah perlaksanaan EKJS khasnya di bumi Kelantan justeru ia adalah syariat yang mesti diperjuang dan ditegakkan. Firman Allah swt:
وَأَنِ احْكُم بَيْنَهُم بِمَا أَنزَلَ اللَّهُ وَلَا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَن يَفْتِنُوكَ عَن بَعْضِ مَا أَنزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِن تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَن يُصِيبَهُم بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِّنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
Dan hendaklah engkau menjalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari sesuatu hukum yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling (enggan menerima hukum Allah itu), maka ketahuilah, hanyasanya Allah mahu menyeksa mereka dengan sebab setengah dari dosa-dosa mereka; dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik. - al-Maidah : 49

Namun, dalam masa yang sama mengharapkan Pakatan Rakyat dapat mendokong cita-cita suci itu sebagai undang-undang alternatif kepada kegagalan undang-undang hari ini dalam menangani peningkatan jenayah dan mungkar. 

Kalaupun ada dari kalangan parti kompenan Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan perlaksanaan EKJS, sekurang-kurangnya mereka tidak menentang secara terbuka dan berpada dengan persefahaman yang telah dicapai iaitu agree to disagree - setuju untuk tidak bersetuju.
Pihak Kedua : Pihak yang kedua pula mengutamakan Pakatan Rakyat sebagai satu gabungan parti yang dilihat mampu menjatuhkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang. Mereka tidak mahu perlaksanaan EKJS ini menjadi penghalang kepada cita-cita itu. Pastikan menang terlebih dahulu, nescaya Islam boleh dilaksanakan kemudian.
Pilihan saya ialah meneruskan perjuangan Islam, menentang kezaliman, membela golongan tertindas, menabur bakti kebajikan, berdakwah tanpa rasa penat serta bosan dan mendaulatkan syariat Allah swt di bumi tercinta ini. Ia adalah perjuangan warisan daripada Baginda Rasulullah saw. Ia tidak akan dihentikan hanya semata-mata kerana mahu berkuasa, tetapi sebaliknya gigih berjuang mencari kuasa untuk melaksanakan warisan Rasulullah saw.

Inilah juga manifestasi dari salah satu bait lagu PAS yang selalu kita nyanyikan :

~Berjuanglah wahai Ansorullah
Dengan matlamat daulah islamiah
Berkorbanlah wahai yang beriman
Dengan harta dan segenap kepunyaan~

Saya mengharapkan pilihan saya juga adalah pilihan anda semua. Kita mahu Pakatan Rakyat yang utuh dan menghormati prinsip perjuangan kita, justeru apa yang kita perjuangkan ini adalah wahyu Tuhan yang Maha Mencipta. Tiada kompromi dan toleransi untuk menolaknya. Ia adalah muktamad dari Tuhan Yang Maha Adil lagi Maha Perkasa. 

Kita boleh kompromi dan toleransi ke arah melaksanakannya bukan menentang dan menolaknya. Maka berfikirlah 1001 jalan untuk menjayakan hasrat perlaksanaan EKJS tersebut, BUKAN mencari 1001 dalih untuk tidak melaksanakannya. Sekian.

Wednesday, March 25, 2015

DAP Mahu Presiden Yang Boleh Jadi Boneka Mereka

Setiausaha Agung DAP telah menukilkan keputusan DAP untuk kekal dalam Pakatan Rakyat bersama PAS tetapi mahu putuskan hubungan dengan Tuan Guru Hj Abdul Hadi selaku Presiden PAS. Langkah DAP itu serentak dengan penolakkan mereka terhadap:
  1. Enakmen Kanun Jenayah Syariah II  (1993) yang baru sahaja diluluskan Pindaannya di DUN Kelantan pada 19 Mac 2015 yang lalu.
  2. Pendirian Tuan Guru Hj Abdul Hadi yang mahu membentangkan Usul Persendirian (Private Members Bill) ke Parlimen bagi membolehkan pindaan ke atas bidang kuasa mahkamah syariah kearah meluruskan hasrat perlaksanaan Syariat khasnya di Kelantan.
Keputusan DAP kelihatan malu-malu kucing untuk menyatakan hasrat sebenar mereka. Tidak masuk akal untuk memutuskan hubungan dengan Presiden PAS (yang dipilih secara demokratik melalui Muktamar Agung PAS) tetapi masih mahu bersama dengan PAS dalam Pakatan Rakyat ini. Presiden PAS bukan lahir melalui pembedahan by pass juga bukan melalui pertabalan bawah pokok. Ia adalah Presiden yang didokong penuh oleh ahlinya yang telah melebihi sejuta.

Putuskan hubungan dengan Tuan Guru Hj Abdul Hadi selaku Presiden PAS yang diterima penuh oleh ahlinya adalah sama seperti putuskan hubungan dengan PAS itu sendiri. Realiti inilah yang DAP malu - malu kucing untuk berterus terang.

Lebih mudah dibaca rentak DAP dalam isu ini ialah mereka tidak boleh menerima Tuan Guru Hj Abdul Hadi sebagai pemimpin utama PAS, ekoran ketegasan Tuan Guru Hj Abdul Hadi mempertahankan prinsip perjuangan itu sangat sukar dilunturkan oleh mereka.

Bahasa mudah, mereka gagal tundukkan Tuan Guru Hj Abdul Hadi untuk mengikut rentak dan kehendak mereka. Dalam masa yang sama mereka yakin ada pimpinan PAS yang boleh menari seirama dengan lagu yang dipasang oleh mereka. Justeru itu, mereka masih menaruh harapan untuk terus bersama PAS dalam Pakatan Rakyat tetapi tidak mahu Tuan Guru Hj Abdul Hadi sebagai Presidennya.

Bahasa yang DAP guna ini hampir sama dengan bahasa yang digunakan oleh sebahagian suara yang saya dengar jauh - jauh dari pinggir sempadan parti sendiri apabila menghampiri Muktamar musim pemilihan kepimpinan PAS ini. Saya sendiri tidak pasti milik siapa suara tersebut namun tidak jauh sangat dengan tempat berdirinya saya. Sedang saya sendiri sedang asyik memerhati arah datang suara itu dan milik siapakah ianya, tetiba DAP umumkan sikap mereka terhadap PAS dan Presidennya sedang musim pemilihan kepimpinan parti tinggal tidak berapa lama sahaja lagi dan keputusan itu tidak jauh beza nada bahasanya dengan suara sayup yang sedang saya perhatikan itu.

Kesimpulan yang boleh saya rumuskan ialah, DAP tidak mahu pemimpin yang sukar mengikut rentak dan kehendak mereka seperti Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Sebaliknya DAP mahu pemimpin atau Presiden PAS yang boleh mengikut kemahuan dan telunjuk mereka. Tentu sahaja hasrat DAP itu tidak boleh ditunaikan sekarang, kerana Tuan Guru Hj Abdul Hadi masih memimpin PAS. Ertinya DAP mahukan Presiden PAS yang akan datang adalah Presiden yang boleh memenuhi citarasa DAP.

Tidak selayaknya DAP campuri urusan PAS dalam menentukan Presiden bagaimana yang diperlukan oleh PAS. Apabila ahli PAS memilih Tuan Guru Hj Abdul Hadi sebagai Presiden mereka ertinya itulah Presiden yang terbaik buat mereka. Apabila DAP terima PAS tapi tidak terima Presidennya, membuatkan umum melihat DAP sedang menaruh sesuatu terhadap pemilihan kepimpinan PAS akan datang dan saya rasa DAP seperti mengaharapkan kepimpinan PAS akan datang dibarisi oleh pemimpin yang mesra DAP dan mudah mengikut citarasa mereka. Mungkinkah apa yang saya rasa ini silap ?

Kini musuh Pakatan Rakyat seperti UMNO dan BN serta lainnya sangat gembira dengan serangan terbaru yang dilancarkan oleh DAP terhadap Presiden PAS. Pastinya serangan itu dilihat mampu meningkatkan suhu panas dan bahang retak hubungan PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Ia menjimatkan peluru musuh. Mereka hanya sedang menanti untuk mengusung mangsa.

Tuesday, September 2, 2014

Risalah Pemuda: Membugar Fikrah Menyebar Risalah

PAS adalah gerakan dakwah dan siyasah. Justeru, fikrah perjuangan PAS berkisar pada dua perkara yang saling melengkapi antara satu sama lain iaitu dakwah Islam dan kuasa pemerintahan Islam. Inilah perjuangan yang digarap oleh Nabi saw sepanjang hayat baginda saw.

Dakwah adalah kerja para Nabi. Ia menjadi misi para sahabat yang bersama Rasulullah saw. Matlamat dakwah kepada bukan Islam ialah agar manusia menerima Islam atau sekurang-kurang mesra Islam. Matlamat dakwah kepada muslim ialah agar mereka menjadi mukmin yang bertaqwa atau sekurangnya-kurangnya tidak menjadi kufur. Rasulullah saw bersabda kepada Ali ra ketika menyerahkan bendera mengepalai peperangan Khaibar:
ادْعُهُمْ إِلَى الْإِسْلَامِ وَأَخْبِرْهُمْ بِمَا يَجِبُ عَلَيْهِمْ فَوَاللَّهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ
Serulah mereka kepada Islam. Khabarkan kepada mereka apa yang wajib atas diri mereka. Maka demi Allah, hidayah yang diberikan oleh Allah kepada seorang lelaki menerusi kamu lebih baik daripada kamu mendapat unta merah. - Hadis Sahih Bukhari

Dakwah bermaksud mengajak manusia mengenali Islam. Nabi berdakwah di Mekah ketika belum berkuasa. Apabila berkuasa di Madinah dakwah menjadi tugasan utama negara. Kesannya Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

PAS membawa risalah perjuangan dakwah ini. Sebelum berkuasa pelbagai medium dimanfaatkan untuk memberi kesedaran Islam kepada masyarakat. Surau dan Masjid menjadi tapak yang subur untuk dakwah Islam yang dibawa oleh PAS. Para Ulamak tidak pernah jemu mengajar, mendidik, menerang dan menjelaskan Islam kepada umat. Maka tidak pelik apabila PAS dipacu perjuangan oleh para Ulamak kerana intipati kerja PAS ialah dakwah dan kerja dakwah adalah kerja utama para alim ulamak.

PAS subur terutamanya di pondok-pondok dan pusat pengajian Islam. PAS di bumi yang subur dengan ilmu seperti Kelantan kerana realiti misi PAS ialah dakwah Islam.

Apabila berkuasa PAS memanfaatkan kuasa untuk menyedarkan umat tentang Islam. Pelbagai aktiviti dakwah dan pendidikan dipergiatkan. Undang-undang digubal untuk manfaat dakwah Islam.

Selama 13 tahun Nabi saw berdakwah di Makkah untuk mengajak manusia mengenali Islam dan membina pemerintahan Islam. Perjuangan baginda berkisar pada memperhambakan diri kepada Allah dan menentang taghut. Orang-orang Mekah menolak. Akhirnya orang-orang Yathrib menerima dakwah Nabi saw lalu selepas 13 tahun berdakwah tertegaklah negara Islam yang dinamakan al-Madinah. Madinah ditadbir dengan Islam menerusi Nabi saw sebagai pemerintah seterusnya disambung oleh para Khulafa Rasyidun.

Legasi pemerintahan Islam setrusnya disambung oleh Khilafah Bani Umayyah berpusat di Dimasyq, setrusnya Khilafah Bani Abbas berpusat di Baghdad dan akhirnya Khilafah Uthmaniyyah berpusat di Turki. Sehingga 1924 umat Islam berpayung kepada kerajaan Islam yang besar ini.

Awal abad ke 20 menyaksikan kelemahan kerajaan Islam Uthmaniyyah. Di era kejatuhan Khilafah Uthmaniyah di Turki negara-negara umat Islam berhadapan dengan penjajahan kuffar yang dikepalai oleh Inggeris, Belanda, Itali, Perancis, Rusia dan Amerika di samping Portugis. Umat Islam bangkit menentang penjajahan. Bangkit gerakan-gerakan Islam di seluruh bumi umat Islam. Apabila negara-negara umat Islam menerima kemerdekaan daripada para penjajah pada pertengahan abad ke 20 negara mereka diwarisi pemerintahannya oleh muslim yang berfikiran dan berfikrah penjajah.

Di sinilah datang peranan gerakan Islam untuk mengembalikan Islam ke tampuk kuasa dan pemerintahan. Begitulah PAS berjuang sejak 1951 sebagai kesinambungan bagi gerakan Islam sebelumnya bagi mengembalikan kuasa Islam di Malaysia.

Ahli-ahli PAS tidak dapat memisahkan dirinya daripada kerja dakwah. Untuk itu mereka sendiri dipersiapkan untuk menjadi pen dakwah. Aqidah, Syariat dan Akhlak mereka dipersiapkan untuk menajdi pendakwah.

Untuk itu pelbagai program pembinaan sakhsiah dakwah disusun dan perlu diikuti oleh ahli-ahli PAS. Usrah dan Tamrin menjadi sebahagian agenda kehidupan peribadi ahli-ahli PAS. Kehidupan para Sahabat Nabi saw di awal Islam tak lari daripada pertemuan kecil-kecilan seumpama usrah. Fatimah adik kepada Umar bin al-Khattab bersama suaminya Sa'id bin Zaid dan Khabbab bin Arat. "berusrah" dengan membaca al-Quran di saat Umar bin Khattab yang belum lagi Islam datang menyerbu dengan kemarahan. Rumah al-Arqam bin Abil Arqam menjadi lokasi ber"tamrin" para Sahabat Nabi saw di Mekah.

Dakwah tidak boleh dipisahkan dengan ilmu. Maka ahli-ahli PAS mesti melazimi diri mereka dengan majlis ilmu. Bukanlah ahli PAS mereka yang tidak cintakan ilmu dan majlis ilmu.
إِذَا مَرَرْتُمْ بِرِيَاضِ الْجَنَّةِ فَارْتَعُوا " قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا رِيَاضُ الْجَنَّةِ قَالَ : مَجَالِسُ الْعِلْمِ
Apabila kamu melintasu taman-taman syurga maka meriahkanlah. Ditanya kepada baginda saw; apakah taman-taman syurga itu? Baginda saw menjelaskan; majlis-majlis ilmu. - Hadis riwayat Muslim

Mereka mendampingi para ulamak yang menyampaikan ilmu. Bukanlah ahli PAS mereka yang membenci dan bermusuh dengan para alim ulamak. Diriwayatkan Luqman al-Hakim menasihati anaknya:
يا بنى جالس العلماء، وزاحمهم بركبتيك، فإن الله يحيى القلوب بنور الحكمة، كما يحيى الأرض الميتة بوابل السماء
Wahai anakku; dampingilah alim-ulamak. Sesakkan mereka dengan kedua-dua lutu. Kerana sesungguhnya Allah menghidupkan hatihati dengan cshaya hikmah kebijaksanaan sebagaimana Allah menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat dari langit.

Surau dan masjid adalah agenda kehidupan seorang muslim. Apatah lagi ahli-ahli PAS yang membawa misi dakwah. 
أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتُ؟ قَالُوا : بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ : إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَذَلِكُمُ الرِّبَاطُ
Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang Allah haluskan dengan kesalahan dan Allah mengangkat darjat? Mereka menjawab bahkan ya Rasulullah. Jelas baginda saw; sempurnakan wuduk ketika sukar, banyakkan melangkah ke masjid-masjid dan menanti solat selepas berakhir solat. Itulah ribat (ikatan).

PAS sebagai gerakan politik terlibat dengan usaha mendapatkan kuasa dengan tujuan mewujudkan pemerintahan berdasarkan al-Quran dan Hadis. Fikrah perjuangannya ialah firman Allah;
إن الحكم إلا لله أمر ألا تعبدوا إلا إياه ذلك الدين القيم
Tiada hukum pemerintahan melainkan milik Allah. Dia memerintahkan agar kamu tidak menjadi hamba melainkan kepada-Nya. Itulah ad-Din yang lurus. - Surah Yusuf ayat 40.

Pemerintah yang sebenar adalah Allah. Nabi saw berfungsi memerintah dengan apa yang diperintahkan oleh Allah. Para Khulafa dan pemerintah selepas Nabi berfungsi
نيابة عن النبوة في إقامة الدين وسياسة الدنيا به
Penggantian bagi kenabian dalam menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama.

Justeru, pemerintahan dalam Islam adalah dengan matlamat menyebarkan Islam dan menegakkan hukum-hakam Islam serta mentadbir negara dengan dasar-dasar agama.

Dasar ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan, hal ehwal luar dan dalam negeri, keselamatan dalam negeri, keamanan negara dan hubungan antarabangsa mesti berlandaskan Islam.

PAS menolak sistem ekonomi berasaskan riba kerana ia diharamkan oleh Allah.

PAS menolak sistem cukai GST bukan kerana ia tidak sesuai dalam suasana kenaikan harga barang dan dan ekonomi negara pincang tetapi kerana sistemnya bercanggah dengan Islam.

PAS memperjuangkan undang-undang jenayah Islam kerana itulah perundangan terbaik yang terbukti sepanjang sejarah dunia berjaya mengekang jenayah ekonomi, kemasyarakatan, agama dan keluarga.

PAS memperjuangkan keadilan untuk semua dan bukan hak samarata untuk semua. Keadilan tidak bererti kesamarataan.

PAS menegaskan bahawa setiap orang berhak mendapatkan kekayaan dan menikmati kekayaannya tetapi mereka mempunyai kewajipan harta melibatkan golongan miskin.

Golongan pemodal yang kaya tidak boleh melakukan manipulasi dan monopoli hingga menjejaskan kitaran ekonomi masyarakat.

PAS menolak perjuangan hak asasi melampau sehingga menghalalkan hubungan seks songsang.

PAS mempertegaskan hak istimewa orang Melayu berasaskan keadilan sosial yang ditegaskan oleh Islam.

PAS mempertahankan sistem beraja Malaysia kerana ia menjadi pelindung kepada Islam dalam kerangka perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Perjuangan PAS bukan bermaksud menukar orang yang menjadi pemerintah tetapi menukar dasar pemerintahan. Hanya pemerintahan Islam yang menjamin sebenar-benar keadilan.

PAS menolak sekularisma dan sosialisme. Allah berfirman:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ ۚ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ
Dan sememangnya Kami telah bangkitkan pada setiao umat seorang Rasuk untuk menyeru; hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah dan hendaklah kamu menjauhi taghut-taghut. - surah al-Nahl: ayat 36.

Taghut adalah selain daripada Islam. Sebarang yang bercanggah dengan Islam adalah taghut. Perjuangan PAS ialah menghancurkan taghut dan menggantikan ditempatnya Islam. PAS tidak berjuang untuk menukar jahiliyah dan digantikan tempatnya jahiliyah juga.

PAS tidak beriman dengan pemikiran sekular dan sosialis dalam pentadbiran. Maka tidak berjuang untuk meruntuhkan sekukar dan digantikan dengan sekular lain atau sosialis baru.

Pemikiran sekular meletakkan agama sebagai picisan dan tidak menjadikan agama tonggak dan dasar rujukan pemerintahan.

Pemikiran sosialis yang mengagungkan kesamarataan sosial tidak semuanya selaras dengan Islam. Keadilan yang diperjuangkan oleh Islam tidak berarti memberi hak samarata kepada manusia

Malah PAS tidak beriman dengan sistem demokrasi dalam pemerintahan kerana demokrasi hanya bertuhankan keputusan majoriti semata-mata meskipun bercanggah dengan Islam. Tetapi menjadikan demokrasi sebagai alat semasa untuk mendapatkan kuasa dan menyebarkan Islam.

Ahli-ahli perlu menghayati fikrah perjuangan ini. Segala program dan aktiviti mestilah disusun selaras dan bermatlamatkan fikrah perjuangan PAS. Sebarang kecelaruan fikrah perlu dijernihkan. Segala kerosakan fikrah perlu dibuang dan dihapuskan. Kemenangan Islam adalah janji Allah untuk orang yang beriman dan beramal soleh.

Sekian.
Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

Saturday, June 23, 2012

Demokrasi Media Mendepani PRU-13

  • Berulangkali YAB Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Abd Razak melaungkan transformasi di era kepimpinannya. Asasnya ia adalah satu langkah yang baik untuk sebuah perubahan. Namun malangnya sehingga kini, transformasi itu belum menampakkan sebarang tanda bahawa parti - parti politik yang sah dan dibenarkan bertanding dalam pilihanraya mempunyai akses media yang seimbang dengan parti pemerintah.
  • Rakyat telah menghantar isyarat yang sangat jelas melalui  Bersih dan Bersih 2.0 tempohari, bahawa mereka mahu akses media yang lebih telus dan luas guna mewujudkan ruang dan peluang seimbang serta adil  kepada semua parti yang bertanding dalam pilihanraya.
  • Pilihanraya adalah platform untuk rakyat memilih pemimpin yang bakal membentuk kerajaan dan pentadbiran yang baik ke arah memacu negara bersaing seiring sejalan dengan pertumbuhan ekonomi global dan perkembangan sosial yang pesat serta menguasai iklim politik serantau mahupun antarabangsa.
  • Justeru itu, rakyat terlebih dahulu berhak untuk mendapatkan maklumat dari  parti yang bertanding berkait kewibawaan calon, polisi parti, tawaran dan janji untuk rakyat serta manifesto dan risalah perjuangan parti - parti yang bertanding.
  • Apa yang berlaku dalam negara kita hari ini, hanya parti pemerintah yang menguasai media samaada cetak atau elektronik. Sementara parti bukan pemerintah dipaksa berpada dengan media lidah rasmi parti yang terhad bilangan dan keluarannya untuk ahli sahaja.
  • Fenomena ini tidak sihat untuk sebuah sistem demokrasi yang baik dan subur. Rakyat kelak memilih pemimpin tanpa maklumat yang cukup dan masak sebaliknya lebih bergantung kepada maklumat sebelah pihak dan satu hala. Selayaknya akhbar parti dibenar terbit dan edar secara umum, pula diberi laluan serupa dan seimbang untuk membawa suara perjuangan parti  melalui chanel khas dalam media elektronik.
  • Jika kita berpolitik untuk memajukan negara dan membangunkan minda rakyat, selayaknya rakyat dididik membuat pilihan dan pendirian berasaskan maklumat yang seimbang dan masak. Inilah politik baru yang berkali saya tegaskan. Iaitu politik berteraskan hujjah dan fakta bukan lagi politik tekan, paksa, sogok dan ugut.
  • Ketidakadilan ini bakal mengundang risiko besar apabila rakyat tertekan dan rasa dinafikan hak mereka bersuara dan hak mereka untuk mendapatkan maklumat secara bebas dan telus. Ia boleh sahaja menjadi bom jangka yang mampu meledak pada bila - bila masa jika terus - terusan rakyat dikongkong. Satu peringkat mereka mungkin boleh dan masih bersabar namun bila tiba saat tertentu, negara terpaksa membayar harga yang tinggi untuk berdepan dengan kebangkitan rakyat.
  • Negara maju malah mengamalkan sistem demokrasi telah lama mendahului negara kita dalam pendemokrasian media dan maklumat. Malah sebagai sebuah negara yang meletakkan agama rasminya ialah  Islam, sewajarnya menggalakkan keseimbangan maklumat dan pertumbuhan sumber perbendaharaan ilmu dalam pelbagai bidang yang mampu membina minda dan daya fikir masyarakat kita.
  • Kesalnya saya, apa yang berlaku dalam negara kita hari ini, media untuk membina dan membentuk jalur pemikiran, resam budaya,  budi peribadi, skema politik dan ekonomi sangat terhad serta terbatas. Sebaliknya majalah picisan, novel separa porno dan akhbar hiburan tanpa kawal berlambak dipasaran dengan kelulusan KDN sedang ia sekali-kali tidak membangunkan harapan negara untuk melahirkan sebuah masyarakat yang bertamadun dan berkualiti. 

Nasrudin bin Hassan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Friday, February 10, 2012

PAS dituduh Sesat

PAS dituduh Sesat.

1. Dato' Ahmad Said Menteri Besar Terengganu telah membuat satu kesilapan besar apabila beliau bertindak menyambung lidah musuh - musuh Islam dan kuasa kuffar antarabangsa dengan melemparkan tuduhan kesat kepada PAS yang didakwa oleh beliau sebagai Parti Ajaran Sesat.

2. PAS sebagai sebuah Gerakan Islam di Malaysia kini mengalami nasib serupa dengan gerakan - gerakan Islam lain di seluruh dunia apabila dituduh dengan pelbagai tuduhan yang tidak masuk aqal seperti pengganas, komunis dan kini pembawa ajaran sesat.  Tidak hanya penjajah yang menuduh pejuang Islam dalam negara ini seperti Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong sebagai pemberontak dan pengganas, kini Dato' Ahmad Said pula melangsungkan peranan penjajah untuk melabelkan pejuang dan jamaah yang memperjuangkan Islam dengan label yang jahat.

3. Umum mengetahui bahawa PAS adalah sebuah pergerakan Islam, didokong pula oleh  para alim ulama' yang menyambung warisan perjuangan untuk mendaulatkan Islam di bumi bertuah ini. Menuduh PAS sebagai Parti Ajaran Sesat adalah percubaan jahat yang dilakukan oleh Dato' Ahmad Said untuk menyamatarafkan PAS [ sebagai sebuah parti yang sah dan perlembagaannya meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan ] dengan pergerakan sesat yang dibawa oleh Ayah Pin.

4. Perkataan Dato' Ahmad Said sungguh buruk dan hasratnya kelihatan sungguh busuk. Bankrap modal politik serta tandus isu membuatkan Dato' Ahmad Said bertindak jahat dan tidak waras. Beliau diberi masa selama 3 hari [ bermula hari ini ] untuk menarik balik semua tuduhan liar dan tidak berasas yang dilemparkan kepada kami khasnya rakyat Terengganu.

5. Kegagalan Dato' Ahmad Said untuk menarik balik dan memohon maaf kepada PAS secara rasminya dalam masa 3 hari ini, maka saya akan berbincang dengan pihak tertinggi parti untuk mengambil tindakkan tegas.

Abu Bakar Chik
AJK PAS Pusat

Friday, December 9, 2011

Apakah PAS Mampu Tegakkan Islam dalam PR ?

Maafkan saya teman kerana agak lembab menjawab beberapa soalan yang dikemukakan semasa forum Politik dan Mahasiswa di UIAM tempohari sedang saya telah berjanji untuk menjawabnya. Maklumlah, apabila sudah tidak berada dalam majlis, ada sahaja perkara yang melengahkan saya untuk menjawabnya. Kini ada satu lagi soalan yang masih belum terjawab. Soalan kelima !

Soalan tersebut ialah : Apakah PAS Mampu Tegakkan Islam dalam Pakatan Rakyat ?

1. Saudara , perjuangan PAS bukan lagi berusia setahun jagung. Malah PAS telah berpengalaman luas dalam Kerajaan Campuran di zaman Perikatan. Berpengalaman di zaman Angkatan Perpaduan Ummah juga di zaman Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat. Sepanjang tempoh itu, PAS tidak pernah lekang biarpun seketika cuma dari dasar perjuangan yang telah mendarah daging iaitu Islam.

2. Tinggal Islam maka hilanglah identiti PAS dan tersasarlah dari matlamat penubuhannya. PAS ditubuh untuk memperjuangkan Islam. Hakikat ini mesti diinsafi oleh semua. Malah PAS dibangunkan dengan segala sendi yang kukuh dan melalui proses pengkaderan yang berterusan. Aqidah Islam menjadi tunjang perjuangan, Fikrah Islam menjadi dahan perjuangan sementara Syakhsiyah Islam menjadi bunga perjuangan dan Kedaulatan Islam kelak menjadi buah perjuangannya.

3. PAS istiqamah berjuang menegakkan Islam biarpun di mana ia berada. Menyertai Pakatan Rakyat adalah pilihan dan ijtihad PAS yang telah dibincang dan dibahas lumat oleh para pimpinannya yang terdiri dari para alim ulama' termasuklah ianya diluluskan oleh Majlis Syura Ulama' PAS. Segala congakan atau perkiraan politik yang melibatkan untung rugi masa depan perjuangan telah dihitung nilai.

4. Malah Tahaaluf Siasi atau kerjasama politik yang diguna pakai lalu membawa PAS bersama membentuk Pakatan Rakyat adalah sebuah kerjasama politik yang sarat dengan terma dan syarat tersendiri malah menjamin kedudukan serta kesucian perjuangan Islam yang didokong oleh PAS.

5. Biarpun berbeza ideologi perjuangan, ianya tidak menghalang ketiga - tiga parti komponen Pakatan Rakyat mengadakan kerjasama politik berhadapan UMNO dan BN. Ia bukan kerjasama aqidah, tetapi kerjasama politik. Malah ia bukan perkara baru bagi Gerakan Islam mengadakan kerjasama politik dengan non muslim lantaran Bagunda Rasul saw juga pernah terlebih dahulu pernah menganjurkannya.

6. PAS bukan sahaja konsisten malah sangat komited untuk melaksanakan Islam terutama apabila rakyat telah bersedia memberikan mandat kepimpinan kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Insyaallah, Islam tetap terpelihara dan akan terus diperjuangkan atau ditegakkan oleh PAS bersama Pakatan Rakyat.

7. Ada orang bertanya saya, kenapa tidak bersama UMNO ? saya hanya menjawab : Ini pilihan PAS. Pilihan pemimpin dan ahli - ahli PAS malah penyokong PAS. Hati PAS berkenan kepada Pakatan Rakyat sementara UMNO dan BN tidak. Sungguhpun UMNO dan BN menggunakan pelbagai madah, sehingga kini mereka belum mendapat tempat di hati PAS. Kenapa PAS tidak berkenan ? nantilah saya bercerita kemudian dalam artikel yang lebih khusus. Cuma ringkasnya, Bukanlah UMNO tidak cantik, tapi ada yang jauh lebih cantik dari UMNO.

8. PAS tidak larut dan hilang identiti sebaliknya terus membawa suara Islam dengan segala warna hikmah yang ada. Kita akui, peringkat awal dulu kita mengalami beberapa kesulitan untuk mengeratkan jalinan kerjasama antara parti komponen gara - gara terlalu banyak fitnah dan adu domba.

9. Namun kesabaran dan kematangan yang bertolak dari pengalaman yang luas akhirnya perjuangan PAS untuk menegakkan syariat Islam dan akhlaknya semakin diterima. Paling tidak, bersetuju untuk tidak bersetuju. Ianya satu perkembangan positif malah jauh lebih positif berbanding sebelumnya.

10. Saya optimis Islam akan ditegakkan malah boleh dan mampu ditegakkan Insyaallah, justeru Islam adalah agama Allah swt Tuhan yang Maha Sempurna dari segala sifat kekurangan, bukan agama ciptaan manusia yang serba lemah. Selama PAS bersama Islam, PAS akan kuat dan mampu. Selagi Islam diperjuangkan oleh PAS maka PAS senantiasa relevan.

11. Seperkara lagi, ingin saya tegaskan di sini bahawa Islam tidak sekadar hudud sebaliknya hudud adalah sebahagian dari Islam yang wajib dilaksanakan. Masih terdapat banyak perkara yang perlu dilaksanakan. Antara yang menjadi fokus penting juga selain Perlaksanaan Qanun Jenayah Syariah 2, ialah pembentukan sebuah pemerintahan atau pentadbiran yang adil, telus dan berintegriti tinggi. Bebas rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana negara. Ianya menepati Islam yang diperjuangkan.

12. Memperjuangkan perkara - perkara ini sahaja pun sudah tidak menang tangan dalam Pakatan Rakyat yang semakin memaut kerjasama erat antara parti komponen berbanding hanya satu dua perkara yang menjadi asas perbedaan. Semua parti bekerjasama erat untuk membasmi ISA, menentang rasuah, menubuhkan Good Governence, mempertahankan bahasa kebangsaan, menolak AUKU, perjuangkan hak rakyat marhain, perjuangkan hak mahasiswa dan 1001 perkara lagi yang selari dengan kehendak Islam.

13. Bertolak dari nokhtah yang telah saya sebutkan ini juga sudah cukup bahawa PAS berpotensi besar untuk menegakkan Islam bersama Pakatan Rakyat. Membasmi ISA adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan, menentang rasuah adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan, membina negara yang telus, adil dan berintegriti adalah tuntutan Islam yang mesti ditegakkan. Agihan kekayaan negara dengan adil dan bijaksana, bebas dari amalan monopoli, juga merupakan tuntutan Islam yang mesti ditegakkan. Kini dakwah PAS berjalan rancak dan semakin pro aktif insyaallah.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS

Thursday, December 8, 2011

Kenapa PAS Tidak Bergabung Dengan UMNO

Soalan keempat dari mahasiswa yang tidak sempat dijawab sewaktu Forum di UIAM bersama Ust Fathul Bari Mat Jahya dan Dr. Roslan Mohd Nor tempohari. Soalan itu berbunyi : Kenapa PAS Tidak boleh bergabung dengan UMNO.

Jawapannya :
1. Penyatuan secara asasnya adalah suci malah dituntut. Tiada siapa yang mahu berpecah dan berpisah tanpa sebarang sebab atau alasan yang kukuh.
2. Namun .... sungguhpun Islam menggalakkan malah menyuruh supaya ummatnya bersatu padu, Islam meletakkan syarat serta garis panduan yang jelas bagaimana penyatuan itu wajar dilakukan atau sebaliknya. Antaranya Firman Allah:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ
وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Wahai orang - orang yang beriman, bertaqwalah kamu dengan sebenar - benar taqwa dan jangan kamu mati melainkan kamu tunduk menyerah diri kepada Allah swt. dan berpegang teguhlah kamu dengan Tali Allah dan jangan sekali - kali kamu berpecah belah dan ingatlah nikmat Allah ke atas kamu ketika dulunya kamu saling bermusuhan maka Allah telah menyatukan hati - hati kamu, lalu dengan nikmat Allah itu kamu bersaudara sedang kamu telah berada di jurang api neraka, lantas Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah dijelaskan oleh Allah kepada kamu ayat - ayatNya, mudah - mudahan kamu beroleh petunjuk.
Surah Aali Imran 103

3. Ayat di atas jelas meletakkan syarat utama untuk tidak berpecah belah ialah berpegang teguh dengan Tali Allah iaitu Al Quran atau Al Islam bukan bangsa atau warna kulit jauh sekali harta benda, pengaruh dan pangkat. Lantaran penyatuan manusia adalah melibatkan penyatuan hati dan hati tidak boleh dijinakkan dengan harta benda dunia. Firman Allah swt :

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ ۚ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِى ٱلْأَرْضِ جَمِيعًا مَّآ أَلَّفْتَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ ۚ إِنَّهُۥ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Dialah [Allah] yang telah menyatukan antara hati - hati mereka. sekiranya engkau membelanjakan keseluruhan apa yang ada di atas muka bumi ini, nescaya engkau tidak boleh menyatukan hati - hati mereka akan tetapi Allah swt telah menyatukan antara mereka sesungguhnya Ia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Surah al Anfaal 63

4. Islam adalah asas penyatuan. Tanpa Islam bagaimana mungkin penyatuan itu boleh direalisasikan. Sementara kebajikan dan taqwa pula menjadi objektif utama kepada penyatuan yang dianjurkan oleh syariah. Firman Allah swt :

 ۘ وَتَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْبِرِّ وَٱلتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا۟ عَلَى ٱلْإِثْمِ وَٱلْعُدْوَٰنِ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلْعِقَابِ

dan bertolong bantulah kamu dalam perkara yang membawa kepada kebajikan dan taqwa dan jangan kamu bertolong bantu dalam perkara yang mengundang dosa dan permusuhan. Bertaqwalah kepada Allah swt sesungguhnya balasan Allah sangat dahsyat.
Surah al Maaidah 2

5. Ayat di atas pula bukan sahaja menyuruh kita bertolong bantu, bekerja sama dan bersatu padu untuk melakukan amal kebajikan dan bertaqwa kepada Allah [ dengan melaksanakan apa yang diperintah oleh Allah swt dan meninggalkan apa jua yang telah dilarang oleh Allah swt.] tetapi nas di atas juga melarang sebarang kerjasama dan penyatuan yang menumbuhkan bibit dosa serta menyuburkan permusuhan sesama ummat manusia.

6. Demikian asas yang perlu difahami oleh semua mengenai konsep perpaduan. Apabila ditanya mengenai penggabungan antara PAS dan UMNO, maka saya harap semua dari kalangan kita merujuk kepada prinsip dan konsep yang telah saya jelaskan di atas dengan jujur dan adil.

7. ...... pun begitu, untuk aman, damai, sejahtera, harmoni dan sebagainya buat masa ini, jika UMNO mahu terus kekal dengan dasar partinya hari ini, maka  PAS dan UMNO terus menjadi parti yang berbeza lalu wujudkan suasana check and balance.

8. Keperluan utamanya ialah kematangan dalam berpolitik. Elakkan politik fitnah dan adu domba. Begitu juga dengan politik dedah aib dan politik caci maki. Sebaliknya amalkan politik yang diperkaya dengan akhlak. Politik berteraskan hujjah dan fakta. Politik yang matang dan berhikmah.

9. Saya mengharapkan generasi muda hari ini boleh memulakan politik jenis ini. Politik baru ke arah masa depan negara dan ummah yang lebih bertamadun. Hentikan persengketaan dengan menamatkan pencabulan dan penindasan. 

10. Sebagai satu contoh mudah, Kerajaan persekutuan yang ditulang belakangkan oleh UMNO mestilah mengembalikan semula royalti minyak yang menjadi hak rakyat Terengganu dan Kelantan kerana ini antara punca persengketaan antara UMNO dan PAS. Lebih klasik, persengketaan antara PAS dan UMNO ialah pada perbedaan dasar dan manhaj perjuangan. Maka janganlah UMNO mempersendakan hasrat PAS untuk melaksanakan syariat Islam khasnya di Kelantan.

Thursday, March 10, 2011

Kerjasama PAS dan DAP : Satu Penjelasan

1. Kelihatan UMNO dan BN 'all out' menggunakan isu PAS alat DAP, PAS kuda tunggangan DAP, PAS boneka DAP, PAS menggadai prinsip perjuangan dan 1001 tohmahan dilemparkan kepada PAS dan disogok kepada rakyat khasnya orang - orang melayu untuk menanam rasa benci dan curiga yang mendalam terhadap PAS.

2. UMNO dan BN melengkapkan adu dombanya untuk masyarakat melayu menolak perjuangan PAS secara konsisten dengan "sepanduk" mereka bahawa  "PAS berkawan dengan kafir DAP tetapi lawan melayu UMNO". Secara sentimennya, sebahagian masyarakat melayu yang hanya terdedah kepada maklumat sebelah pihak akan terpengaruh dengan dakyah ini.

3. Saya tidak menafikan kemungkinan sebahagian pengundi menolak untuk memberi sokongan kepada PAS atas faktor ini, namun ia bukanlah faktor besar dan sebenar justeru unjuran undi sokong yang diperolehi oleh PAS tidak menunjukkan aras menjunam sebaliknya menurun dengan peratus yang kecil sementelah pula ia diukur nilai dalam saingan pilihanraya kecil.

4. Saya sangat optimis, kiranya PAS diberi laluan serta kemudahan untuk akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana bagi menjelaskan segala kekeliruan yang tersimpul, PAS mampu memberi saingan sengit secara sihat kepada UMNO dan BN lalu memenangi pilihanraya secara gentleman. Malang demokrasi negara kita diurus secara pincang oleh UMNO dan BN selaku pemerintah, lalu memaksa kita bersaing tanpa peluang yang seimbang.

5. Insyaallah, jika UMNO dan BN masih gagal membuka peluang untuk PAS dan rakan - rakan Pakatan Rakyat akses dengan media elektronik dan cetak arus perdana menjelang 1 Mei akan datang, Himpunan 500K BERSIH 2 akan menjadi kenyataan pada bulan june akan datang.

6. Menjawab persoalan kenapa PAS sedia berhubung, berkawan dan bekerjasama dengan DAP, saya mulakan dengan mengajak seluruh rakyat khasnya ummat Islam untuk mengkaji kebijakan Baginda Rasul saw bertindak melalui seerah perjuangan Baginda demi menyelamatkan ummah sekaligus menyalakan obor menerangi kegelapan jahiliyyah. Baginda Rasul saw telah bertindak sebagai Rahmatan Lil A'lamin [ rahmat - naungan kasih buat seluruh alam ].

7. Antara tindakan bestari Baginda Rasul saw ialah Baginda telah mengadakan kerjasama sosial dan politik dengan golongan non muslim pada waktu itu untuk tujuan mempertahankan hak dan menentang kezaliman:
  • Hilful Mutaiyyibin : Nabi saw. pernah menjelaskan mengenai Tahaaluf ini . Sabda Baginda saw :
 شهدت حلف المطيبين و ما أحب أن أنكثه و أن لي حمر النعم

Aku telah menyaksikan berlakunya perjanjian ( tahaaluf ) al Mutayyibin dan aku tidak ingin memungkirinya walaupun diberi kepada aku unta berwarna merah yang terbaik sekali .

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad. al Musnad Jil 1. hlm 190 - 193

Perjanjian atau kerjasama [ tahaaluf ] ini wujud apabila timbul persengketaan dikalangan kabilah dalam merebut kuasa pengawasan Kaabah, hak penyediaan makanan dan ketenteraan serta pengurusan air zam - zam . Lalu mereka berkumpul dan mengadakan perjanjian atau kerjasama [ tahaaluf ] untuk tidak merampas hak masing - masing .
  • Hilful Fudhul : Urutan Perjanjian Mutayyibin , Perjanjian atau kerjasama Fudhul dimeteri untuk menghentikan kezaliman daripada berleluasa di Kota Makkah . Samaada Kezaliman itu ke atas penduduk asal Makkah , juga kepada orang - orang asing yang berurusan di Kota Makkah .  Mereka berkumpul di rumah Abdullah bin Jud'an lantaran beliau seorang yang sangat dihormati dan yang paling tua dikalangan mereka .
Sabda rasulullah saw : Aku telah menyaksikan di Rumah Abdullah bin Jud'an , adanya satu perjanjian atau kerjasama [Fudhul] yang aku tidak akan membatalkannya sekalipun aku diberikan seekor Unta Merah . Dan sekiranya perjanjian atau kerjasama itu diajak semula pada masa Islam , maka aku akan menyetujuinya .

Diriwayatkan oleh Ibn Ishak dari Muhammad bin Zaid bin Muhajir. Hadis ini bertaraf Mursal namun tidak terjejas kerana tadlis Ibn Ishaq . Ibnu Ishaq tidak melakukan kecurangan ( tadlis ) disini melainkan beliau telah menyebutkan sanadnya.

Al Imam Suhaili menyebut bahawa Hilful Fudhul adalah sebaik - baik perjanjian atau kerjasama yang pernah di dengar dan perjanjian yang paling mulia dikalangan bangsa Arab . Ianya tercetus apabila berlaku penindasan yang dilakukan oleh al- Ashi bin Wai'l , seorang yang kaya raya dan ternama di Kota Makkah membeli barang dagang seorang badwi tetapi enggan membayarnya .

8. Kedua, suka saya tarik perhatian semua kepada satu analogi :

Saya tinggal di kawasan taman perumahan. Suatu malam rumah saya dinaiki pencuri [ waliyazubillah - sbg contoh ]. Sejurus saya sedar, saya dapati wang saya hilang sebanyak RM 134.000. Pencurinya hanya seorang perempuan tapi lariannya agak licik dan pantas, lalu saya berteriak : Tolong ! Tolong ! perempuan itu curi wang saya ! Tiba - tiba jiran - jiran saya yang terdiri orang India beragama hindu namanya Balendran [sekadar contoh ] dan juga orang cina beragama kristian namanya Vincent [ sekadar contoh ], malah ramai lagi jiran saya turut keluar dan mereka terdiri dari pelbaga bangsa dan agama yang tidak serupa dengan saya.

Hasrat mereka mahu membantu saya untuk mengejar dan menangkap pencuri itu. Rupa - rupanya bulan lepas rumah mereka juga dinaiki pencuri yang sama. Ada yang lesap RM 100.000 satu malam begitulah juga yang lain dengan jumlah yang tidak sedikit. Mereka sama - sama nekad mahu menangkap pencuri itu. Mereka berkumpul dihadapan rumah saya di Jalan Raja Laut [ sekadar contoh ], lalu mereka melafaz ikrar untuk bekerjasama bagi mengejar dan menangkap pencuri tersebut demi memelihara keamanan dan kesejahteraan Taman perumahan kami.

Kendati pun saya seorang muslim dan mereka yang menghulur tangan untuk bekerjasama menangkap pencuri licik itu pula terdiri kalangan non muslim, Islam membenarkan saya memeteri perjanjian kerjasama untuk menangkap pencuri profesional itu. Bodohlah saya yang baru kehilangan RM 134.000 dek kerana pencuri perempuan itu, tiba - tiba saya menolak kerjasama yang dihulurkan oleh non muslim yang juga mahu menangkap pencuri yang sama, semata - mata kerana mereka berbangsa cina, india dan pula tidak Islam. Saya tidak akan belajar sampai ke Mesir untuk jadi sebodoh itu.

9. Kenapa UMNO dan BN marah sangat PAS bekerjasama dengan DAP ? bagaimana pula dengan UMNO sendiri yang berselimut toto dengan MCA dan MIC ? Bukankah MCA itu juga Cina dan MIC itu India ? atau ada yang lebih cina dari MCA dan terlebih India dari MIC ? Perangai UMNO ini tidak ubah sebagaimana kata pepatah arab :

ضربني و بكى شتمني واشتكى

Dia pukul aku dia yang menangis , dia fitnah aku dia yang mengadu .

Begitu juga orang tua - tua pernah bisik pada saya, UMNO ni macam paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih. Tapi lain pula kata orang muda pada saya mengenai UMNO ini. Kata mereka , paku sana paku sini, serpihnya balik atas dia juga.

10. Siapa sebenarnya menjadi alat dan boneka ? bukankah UMNO  menjadi alat dan kuda tunggangan dalam Barisan Nasinal  ? :
  • Sekian lama UMNO bertanding di kerusi Parlimen Raub akhirnya menyerahkan kerusi itu kepada MCA, demikian juga kerusi Parlimen Kuantan yang akhirnya UMNO terpaksa gadaikannya kepada MCA.
  • UMNO pernah menang besar dan memiliki majoriti kerusi berbanding parti Gerakan di Pulau Pinang semasa dahulu kala, tetapi malang UMNO menyerahkan kerusi Ketua Menteri kepada parti Gerakan.
  • Lebih dari 3 penggal pilihanraya, UMNO yang menjadi kerajaan tidak pernah menambah kerusi melayu di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis pada setiap kali persempadan semuala kawasan pilihanraya dilakukan, sebaliknya menambah kerusi di negeri - negeri lain yang akhirnya mengurangkan peratus majoriti dan penguasaan melayu di Parlimen. Bukankah UMNO menjadi alat dan boneka kepada pihak lain ?

rasa macam nak sambung siri penjelasan ini.... tengoklah macam mana ...

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Monday, November 1, 2010

Kemalangan : Penyelesaian Islam

1. Mutaakhir ini sungguh ketara berlakunya kemalangan maut dan ngeri dalam negara kita samaada di jalan negeri , persekutuan mahupun lebuh raya utara selatan dan timur barat.

2. Saya mendesak supaya satu Suruhanjaya Khas segera dibentuk oleh Kerajaan bagi menyiasat atau menyelidik fenomena ini untuk satu tindakan berkesan oleh semua pihak berwajib. 

3. Kita tidak diajar oleh agama untuk sekadar mengeluh dan kemudiannya menyerahkan kepada takdir apa lagi menyalahkannya .  Malah apa yang diajar oleh syariat Islam ialah mengambil langkah berkesan bagi membendung perkara ini dari terus berlaku dengan kaedah umum syara' ialah mencegah lebih baik dari merawat

4. Selain dari pakar dari pelbagai bidang yang berkaitan , saya juga mengesyorkan agar pakar syariah adalah salah seorang anggota Suruhanjaya Khas yang dibentuk untuk menangani peningkatan ketara indeks kemalangan jalanraya dalam negara kita . Syor ini saya kemukakan kerana syariat Islam mempunyai pandangan yang sangat fundamental untuk mengatasi atau menangani isu ini .

5. Sebahagian dari Maqasid Syariah ialah memelihara nyawa dan harta . Kemalangan jalanraya adalah sebahagian dari peristiwa yang akan mengorbankan harta dan nyawa . Terlalu panjang perbahasannya dalam feqh Islam mengenai kemalangan jalanraya ini termasuklah pemandu atau mereka yang menyebabkan kematian seseorang yang lain dijalanraya boleh disabitkan dengan membunuh secara tidak sengaja . [ perbincangan lanjut dalam perkara ini diperlukan oleh pakar syariah ]

6. Demikian juga Islam melalui lidah Rasulnya saw mengajar supaya membuang perkara - perkara yang mengganggu di jalanraya adalah perbuatan sedekah . [ ertinya ia menjadi tuntutan kepada ummat Islam ] . Di jalanraya dan lebuhraya dalam negara kita saya lihat terlalu banyak perkara yang mengganggu yang tidak sepatutnya dibiar berlaku . antaranya ialah :

iklan - iklan yang menjolok mata
tanda arah yang dirosakkan atau rosak lalu mengelirukan
tanda - tanda isyarat jalan yang dirosakkan atau rosak tapi dibiarkan
permukaan jalan yang merbahaya seperti licin , pumping , berlubang dsbnya.
pokok - pokok yang ditanam besar di bahu jalan

[ saya harap kerajaan haramkan iklan menjolok mata di simpang jalan , di tepi jalan mahu pun dimana sahaja terutama yang mem"buta"kan mata pemandu lalu mengganggu tumpuan mereka. ]

[ Kajian-kajian tentangnya telah dilakukan sejak 30 tahun lalu, malah bermula 1950 an. Dapatan kajian konsisten menunjukkan iklan-iklan ini banyak menggangu pemandu di lebuhraya dan jalanraya. Ia menyebabkan Highway Hypnosis (pemandu tidur walaupun matanya celik), satu istilah yang semakin popular dalam kajian tentang kemalangan jalanraya. Berikut dikemukakan satu link tentang artikel journal yang sangat menarik tentang isu ini: http://cogprints.org/3307/1/driverdistractionarticle.pdf. Bukankah perkara ini berkait rapat dengan hadith-hadith Rasulullah saw:  Seutama-utama iman ialah mengucap syahadah. Serendah-rendahnya ialah membuang gangguan di jalanan”. (Shaykhayn) ]

7. Saya menggesa supaya kerajaan atau pihak berwajib mengambil satu langkah serius untuk memastikan gangguan seperti ini tidak berlaku kerana jelas ia sangat mengundang bahaya dan maut kepada pengguna jalanraya sedang ia boleh dielak sedari awal melalui pemantauan dan tindakan segera pihak berwajib .

8. Saya ambil contoh mudah di atas kelekaan dan ketidakcaknaan pihak berwajib dalam bertindak ialah jalan di Taman Pelindung Perdana Beserah Kuantan . Telah berkali pihak penduduk kampung memohon agar di bina bonggol dari 2 arah bertentangan kerana jalan itu terlalu sibuk dan kenderaan bergerak laju justeru kedudukannya agak menurun bukit , sedang ia berada di kawasan yang padat penempatan . Sehinggalah kelmarin berlaku satu kemalangan yang hampir meragut nyawa seorang kanak - kanak dan juga pemandu kenderaan yang terbabas kerana mengelak kanak - kanak tersebut . Persoalannya , apakah kita selalu mengambil sikap "sudah berlaku kemalangan jiwa baru mahu bertindak ?" Islam mengajar bahawa mencegah itu jauh lebih baik dari merawat [ dan meratap - saya tambah ]

9. Begitu juga dengan sikap pengguna jalanraya yang perlu ditangani secara bijak dan islamik. Bermula dengan doa yang diajar oleh Islam untuk dibaca oleh pemandu dan penumpang sesebuah kenderaan , setiap perjalanan mestilah dilantik ketua rombongan [ justeru ia diajar oleh syara' apabila bermusafir hendaklah bertiga dilantik seorang amir \ ketua ] yang bertanggungjawab menjaga disiplin perjalanan dan penggunaan jalanraya agar tidak memudharat rombongan dan tidak mendatangkan mudharat kepada pengguna jalanraya yang lain .

10. Sebagai contoh mudah , Ketua rombongan ini [ dari kalangan penumpang ] bertanggungjawab memantau kebajikan rombongan dan juga kedudukan pemandu . Apakah pemandu memandu secara merbahaya , melanggar undang - undang atau mengantuk dll , ketua rombongan berhak mengarahkan pemandu tersebut berhenti . ]  

11. Jika di atas kapal terbang [ walau untuk perjalanan 45 minit ] kita begitu berdisiplin , lengkap pula dengan anak - anak kapal dan ketua pramugari yang bukan sahaja memberi khidmat kebajikan kepada penumpang tetapi turut memberi taklimat keselamatan yang lengkap setiap kali penerbangan tanpa jemu . Walau kita berpuluh kali naik kapal terbang , maka berpuluh kalilah kita di minta dengar dan patuh pada taklimat keselamatan itu . Penumpang muslim pula diajar berdoa kepada Allah memohon kesejahteraan dan keselamatan dalam perjalanan pergi dan balik .

12. Kenapa kita tidak boleh meletakkan peraturan dan disiplin sedemikian di darat ke atas pengusaha kenderaan awam samaada milik kerajaan mahupun swasta , sedang kemalangan di darat lebih kerap. Saya menegaskan sekali lagi bahawa perkara seperti ini juga mesti dilakukan pada kenderaan awam di darat seperti bas ekspres , persiaran , sekolah dan sebagainya .

13. Masih banyak faktor lain termasuklah faktor kenderaan itu sendiri supaya satu langkah berkesan turut diambil agar kenderaan berisiko tinggi tidak dipandu dijalanraya sibuk dan juga lebuhraya kerana ia memudharatkan pengguna jalanraya seperti bas terlalu buruk yang mengalami kerosakkan yang terlalu kerap .

14. Akhirnya dalam perbahasan hukum mengenai perkara ini pula, saya lampirkan sebahagian pandangan feqh Islam untuk dinilai dan diambil tindakan oleh pihak berwajib agar indeks kemalangan jalanraya ini sekurang - kurangnya dapat diminimakan .

15. [ Lampiran ]

-->
1. Jika kemalangan disebabkan kecuaian dan tidak melibatkan kecederaan dan kematian, maka hukumnya ta'zir ke atas pemandu.

2. Jika kemalangan disebabkan kecuaian dan  menyebabkan kecederaan atau kematian, maka hukumnya ialah diat yang wajib dibayar oleh pemandu yang cuai kepada mereka yang cedera atau keluarga si mati.

3. Jika kemalangan disebabkan oleh kecuaian pihak kerajaan, seperti lubang jalan yang tidak dibaiki (macam dekat rumah ana yang dah meragut 2 nyawa), atau seumpamanya, maka diyat perlu dibayar oleh kerajaan kepada keluarga mangsa jika melibatkan kematian, atau kepada mangsa jika melibatkan kecederaan.

4. Jika kemalangan tidak disebabkan oleh apa2 kecuaian, maka tidak ada apa2 diyat, tetapi ianya akan dicover oleh harta baitul mal secara optional, bukan compulsary. 

Contoh kes, jika seseorang langgar orang mati, maka ia kena bayar diyat kepada keluarga si mati. Namun dalam undang-undang hari ini, yang bersalah itu hanya kena bayar kompaun kepada kerajaan, tapi keluarga mangsa hanya menerima kematian dan kesedihan, bukan apa2 pembelaan atau apa2 pampasan.



Saturday, October 16, 2010

Gaji Minimum Menurut Perspektif Islam. Bil 2

-->
Upah dan Gaji

Pengertian Barat


Upah merupakan sesuatu yang berkait dengan pemberian imbalan kepada pekerja tidak tetap, atau tenaga buruh lepas, secara mudahnya konsep upah ini banyak diadaptasikan di dalam upah buruh lepas di dalam buruh pertanian, buruh binaan yang dibayar mingguan atau bahkan harian. 

Gaji menurut kaca mata Barat pula adalah sesuatu yang berkait dengan finansi ataupun transaksi wang yang diterima oleh pekerja tetap dan dibayarkan sebulan sekali. Tuntasnya, konsep upah dan gaji ini diklasifikasikan oleh Barat mengikut jenis pekerjaan itu samada tetap ataupun tidak dan juga cara pembayarannya samada secara bulanan ataupun harian/mingguan.

Pengertian Islam                

105. dan Katakanlah (Wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan Segala Yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang Yang beriman akan melihat apa Yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang mengetahui perkara-perkara Yang ghaib dan Yang nyata, kemudian ia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan".

Dr. Quraish Shihab menulis di dalam tafsirnya[1]


“Bekerjalah kamu kerana Allah semata dengan pelbagai amal yang soleh dan bermanfaat, baik untuk diri kamu mahupun untuk masyarakat umum, maka Allah akan melihat yakni menilai dan memberi ganjaran amal kamu itu”


Tafsir dari perkataan melihat dalam terjemahan ayat di atas adalah menilai dan memberi ganjaran terhadap amal-amal itu.  Kata erti bagi ganjaran di dalam Islam adalah imbalan atau upah atau pampasan.
 

97. sesiapa Yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka Sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia Dengan kehidupan Yang baik; dan Sesungguhnya Kami akan membalas mereka, Dengan memberikan pahala Yang lebih dari apa Yang mereka telah kerjakan.


Surah al-Nahl : 97


Tafsiran لنحزينهم adalah balasan di dunia dan di akhirat. Ayat ini menegaskan bahawa balasan atau imbalan buat mereka yang beramal soleh adalah imbalan (balasan) dunia dan juga di akhirat kelak.  Amalan Soleh yang didefinisikan oleh Syeikh Muhammad Abduh adalah sebagai segala perbuatan yang berguna untuk peribadi, keluarga, kelompok dan manusia secara keseluruhan. 

Sementara menurut Imam al-Zamakhsari, amal Soleh adalah segala perbuatan yang sesuai dengan dalil akal, al-Qur’an dan atau Sunnah Nabi Muhammad Saw. Menurut pendefinisian Sheikh Muhammad Abduh dan Imam al Zamakhsari diatas, maka seorang yang bekerja dalam satu-satu perusahaan, syarikat dapat dikategorikan sebagai amal saleh, dengan syarat perusahaannya tidak memproduksi/menjual atau mengusahakan barang-barang yang haram.  Dengan demikian, maka seorang pekerja yang bekerja dengan benar, akan menerima dua balasan, iaitu balasan di dunia dan balasan di akhirat.

Konklusinya, di dalam Islam sebutan “ Upah dan Gaji “ itu tidak dibezakan kerana kedua-duanya merupakan imbalan (balasan) dari kerja yang dihasilkan oleh pekerja.


Tahap gaji Minimum di dalam Islam


Etika kerja dalam Islam mengharuskan bahwasanya gaji dan bayaran serta spesifikasi dari sebuah pekerjaan yang akan dikerjakan hendaknya jelas disetujui pada saat mengadakan kesepakatan awal. Ini juga mengharuskan bahwa gaji yang telah ditentukan, dan juga bayaran-bayaran yang lain hendaknya dibayarkan pada saat pekerjaan itu telah selesai tanpa ada sedikit pun penundaan dan pengurangan. Al Quran mengakui adanya perbedaan di antara pekerja atas adar kualitas dan kuantitas kerja yang dilakukan . Ini memberikan bukti bahwa gaji yang didapat oleh para pekerja tidak harus sama dan rata seperti firman Allah swt di dalam surah al-Ahqaf ayat 19

19. dan bagi mereka masing-masing (dari puak jin dan manusia - Yang berbuat baik dan Yang berbuat jahat) disediakan berbagai peringkat (balasan) Yang sesuai Dengan apa Yang mereka telah kerjakan, dan (Ketetapan Yang demikian ialah) supaya Allah menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka, sedang mereka tidak dirugikan (sedikitpun).


Dalam hal ini al-Mubarak menyatakan bahwa pemberian gaji yang sama atas sebuah pekerjaan yang berbeda dan variatif adalah bentuk kezaliman. Islam telah menetapkan hukum untuk perlindungan hak-hak dan kewajiban mutualistik ( yang saling terikat ) antara para pekerja dan yang mempekerjakan.

Institusi Hisbah menunjukkan pada kita bahawa aturan-aturan hukum itu telah dipraktikkan dalam kata dan makna. Dimana tujuan hisbah itu sendiri adalah untuk membanteras kezaliman, eksploitas dan korupsi. Manakala kontrak kesepakatan yang berdasarkan suka sama suka antara orang yang mempekerjakan harus berlaku adil dan jujur dalam membayar gaji pekerja, sebagaimana para pekerja juga memiliki kewajiban untuk melakukan pekerjaannya dengan cara yang benar dan efisien.


Seseorang yang bekerja untuk orang lain, baik perusahaan ataupun institusi, telah Allah perintahkan untuk melakukan pekerjaannya dengan cara yang efisien dan sebaik mungkin. Pekerjaan yang diberikan seorang pada dirinya adalah sebagai amanah, penerimaan kerja itu hendaknya dilakukan dengan cara yang amanah dan kemudian dia harus memenuhi amanah itu dengan sebaik-baiknya.

Secara khususnya, Islam tidak membahaskan dengan terperinci mengenai tahap minimum bagi gaji atau upah seseorang pekerja oleh majikan mereka. Ini kerana matawang itu berubah mengikut peredaran zaman dan keperluan dan kehendak juga berubah mengikut zaman. Dasar kapitalis yang menjadi nadi utama dunia sekarang adalah bukti bahawa keperluan dan kehendak seseorang itu berubah nilainya dari semasa ke semasa.

Walaupun Islam tidak membahaskan perkara ini secara jelas, akan tetapi Islam cukup jelas menyatakan hukum-hakam yang berkaitan di antara manusia sesama manusia. Apatah lagi perkara yang melibatkan dengan transaksi wang di antara manusia sesama manusia. Sehinggakan Nabi saw pernah bersabda di dalam masalah yang berkait dengan gaji ini di dalam sabda Baginda saw yang bermaksud

Berikanlah gaji kepada pekerja sebelum kering keringatnya, dan beritahukan ketentuan gajinya, terhadap apa yang dikerjakan”

(Hadith riwayat Imam al-Baihaqi)

Berikutan ini, Islam mengajarkan kepada penganutnya untuk bersifat adil di dalam segala hal yang berkaitan dengan aqad terutama yang melibatkan transaksi di antara manusia sesama manusia yang lain. Allah swt meningatkan kepada umat Muhammad saw untuk melaksanakan kontrak perjanjian yang telah dimeterai. Hal ini Allah swt ingatkan di dalam Surah al-Maidah ayat 1

Wahai orang-orang Yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian.

Islam tidak membiarkan upah berada dibawah tingkat minimum yang ditetapkan berdasarkan keperluan asas kelompok pekerja yang tertentu, tetapi islam juga tidak membiarkan adanya kenaikan upah melebihi tingkat tertentu yang ditentukan berdasarkan sumbangannya terhadap produksi.

Kondisi ekonomi yang berubah mengakibatkan perubahan dalam hal penjualan dan tentunya akan mengakibatkan perubahan dalam hal pendapatan termasuk diantaranya pekerja. Secara sunnatullah setiap manusia memiliki keperluan asas yang mesti dipenuhi dan hal ini telah dijelaskan oleh Allah swt dalam Surah Al-Baqarah ayat 233

 “..dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma'ruf”.

Dalam ayat tesebut dikatakan bahwa kewajiban ayah adalah makan dan pakaian. Hal ini bukan berarti ayah tidak memiliki kewajiban lainnya, namun konteks tersebut mengacu pada hal yang minimal. Jika ayah adalah seorang pekerja yang mendapatkan upah/gaji, maka dapat disimpulkan bahwa upah/gaji tersebut haruslah memenuhi keperluan asas iaitu makan, minum dan pakaian, juga perumahan. Hal yang sama juga Allah swt tegaskan di dalam Surah An-Nisaa ayat 5.

5. dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang Yang belum sempurna akalnya akan harta (Mereka Yang ada Dalam jagaan) kamu, (harta) Yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka Dengan kata-kata Yang baik.

Berdasarkan ayat al-Quran di atas dan hadith sebelum ini, merupakan satu garis pandu dalam melaksanakan keadilan di dalam aqad itu adalah kejelasan aqad yang dimeterai. Lihat sahaja bagaimana nilai keadilan ini dinilai pentingkan oleh Allah swt tatkala mana Allah swt menjelaskan hukum berkaitan dengan hutang di dalam Surah al-Baqarah ayat 282

Jadi, imbalan antara pekerja dan pengusaha atau majikan sepatutnya disertai dengan satu kontrak / aqad yang jelas di antara dua pihak.

Sistem penetapan gaji di dalam Kerajaan Malaysia seharusnya mempunyai penetapan yang tertentu berdasarkan kerja dan gerak kerja berdasarkan kelulusan masing-masing. Hal ini  telah dilakukan dengan meletakkan satu garis pandu nilai minimum gaji melalui tahap persijilan yang ada pada pekerja. Jadi mengapa tidak had minimum garis pandu dikaji semula oleh Kerajaan kerana sebab-sebab utama yang telah disenaraikan di atas.

Islam tidak pernah mengabaikan kebajikan yang perlu diutamakan kepada pekerja-pekerja yang bekerja di bawah satu-satu pengusaha. Bahkan mereka-mereka ini sepatutnya di bawah jaminan majikan mereka dari sudut kebajikan dan sebagainya. Nabi saw pernah bersabda :

“Mereka (para budak dan pelayanmu) adalah saudaramu, Allah menempatkan mereka di bawah asuhanmu; sehingga barang siapa mempunyai saudara di bawah asuhannya maka harus diberinya makan seperti apa yang dimakannya (sendiri) dan memberi pakaian seperti apa yang dipakainya (sendiri); dan tidak membebankan pada mereka dengan tugas yang sangat berat, dan jika kamu membebankannya dengan tugas seperti itu, maka hendaklah membantu mereka (mengerjakannya).”[2]

Ini adalah jaminan Islam buat pekerja yang makan gaji di bawah seliaan majikan masing-masing. Perkara yang perlu diperhati oleh kerajaan sepatutnya adalah lebih besar mengenai pekerja-pekerja yang menerima upah atau gaji dari majikan mereka. Adapun tahap minimum bagi Tuntutan Minimum Gaji pekerja Malaysia ini adalah kerana bertujuan supaya kebajikan pekerja itu terjamin dengan kewangan (upah/gaji) yang boleh menampung pembiayaan keperluan mereka.
Pandangan saya , walaupun Islam tidak membahas secara jelas mengenai gaji minima atau had gaji minima ini, tetapi Islam tidaklah meninggalkan hak sepatutnya yang diberikan kepada pekerja-pekerja yang makan gaji ini. Contohnya melalui lisan Nabi saw di dalam al-Hadith

Siapa yang menjadi pekerja bagi kita,    hendaklah    ia   mencarikan    isteri (untuknya); seorang  pembantu  bila    tidak memilikinya, hendaklah ia mencarikannya untuk pembantunya. Bila ia tidak mempunyai tempat tinggal, hendaklah ia mencarikan tempat tinggal. Abu Bakar mengatakan: Diberitakan kepadaku bahwa Nabi Muhammad Saw. bersabda: “Siapa yang mengambil sikap selain itu, maka ia adalah seorang yang keterlaluan atau pencuri.” [3]
Jadi sekiranya pekerja yang diberi gaji walaupun dengan RM 900.00 dengan nilai pada tahun 2010 dan kebajikan seperti tempat tinggal dan segala keperluan hariannya ataupun keluarganya disediakan itu sebenarnya sudah mencukupi walaupun kadar tuntutan gaji minimum yang dibuat adalah dengan nilai RM 1200.00.

Kesimpulan saya, tuntutan terhadap gaji minima ini tiadalah hukum yang khusus mengatakan ianya wajib secara qoth’ie cumanya sememangnya yang ada dan menjadi kewajipan majikan adalah memastikan kebajikan pekerjanya dijamin dan paling tidak keperluan asasnya. 

Oleh itu, gaji yang diberi mestilah tidak kurang daripada had keperluan asasinya dan tidak pula melampaui kadar usaha terhadap produksi. Analoginya mudah apabila kini kerajaan mengisytiharkan rakyat yang berpendapatan kurang daripada RM 1000 berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan. 

Jadi majikan seharusnya meningkatkan gaji ke tahap yang paling minima iaitu pada tahap gaji yang membolehkan pekerjanya melansungkan survival hidup dengan kelayakannya. Maksima gaji juga perlu diletakkan supaya pembayaran gaji dilakukan mengikut bidang tugas dan kelayakkan masing-masing yang menyumbang kepada produksi syarikat.

Rasional tuntutan minima gaji pekerja pada pandangan saya adalah :

  • Memastikan kelansungan hidup pekerja terjamin dengan gaji minima mengikut kondusi ekonomi yang berlaku di Malaysia sekarang

  • Menyedarkan kepada majikan yang sikapnya “mahukan mutu kerja yang professional tetapi dengan bayaran seperti seorang jaga” untuk mengambil berat kehidupan dan kebajikan pekerja di bawahnya.     

  • Tuntutan gaji minima ini seharusnya dipandang positif kerana masih berlaku di Malaysia majikan yang memikirkan diri sendiri tanpa melihat kesusahan pekerjanya yang gigih memajukan syarikatnya. Akan tetapi, sebagai imbalan, pekerja tersebut hanya menerima sejumlah gaji yang tidak dapat menampung keperluan bulanan dia dan keluarganya.




[1]  Quraish Shihab, Tafsir Al-Misbah, Vol 5, hal 670.

[2] Hadith riwayat Imam Muslim di dalam Bab al-Aiman oleh Abu Dzar ra.

[3] Hadith riwayat Abu Daud di dalam Bab al-Kharaj oleh Mustawrid bin Syadad

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive