HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, August 26, 2016

Perbadanan Tabung Waqaf Pendidikan Nasional (PTWPN) Alternatif Terbaik Ganti PTPTN

Mekanisma pemberian hutang kepada para pelajar menerusi PTPTN nyata bukan lagi kaedah terbaik bagi membiayai pendidikan tinggi negara. Perkara ini bukan sahaja melihat kepada aspek hutang, malah juga bebanan “tambahan” untuk membayar hutang yang terpaksa ditanggung oleh para graduan institusi pengajian tinggi di negara ini.
Dalam muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia pada Jun yang lalu mengusulkan agar sistem wakaf dijadikan teras kepada pembiayaan pendidikan tinggi negara dengan nama Perbadanan Tabung Waqaf Pendidikan Nasional (PTWPN) sebagai alternatif bagi menggantikan seribu satu masalah yang dihadapi PTPTN.

Sistem wakaf pendidikan tinggi telah diaplikasi semasa era pemerintahan Islam dahulu. Universiti Al-Qarawiyin di Fes, Morocco yang dibina pada tahun 245 Hijrah merupakan universiti pertama yang dibina berasaskan sistem wakaf diikuti Universiti Al-Azhar di Kaherah yang dibina pada tahun 359 Hijrah. Model pembangunan dana wakaf yang sama juga dijadikan ikutan di universiti-universiti terkemuka.

Sistem dana wakaf pendidikan tinggi bukan sahaja mengelakkan bebanan hutang yang ditanggung selepas tamat belajar, malah memberikan peluang seluas-luasnya kepada para pelajar bagi menyambung pelajaran mereka dan dalam masa yang sama melahirkan rasa tanggungjawab yang tinggi di kalangan semua pihak bagi membentuk modal insan yang signifikan kepada pembangunan negara.

Sistem wakaf PTWPN perlu diluncurkan ke tengah masyarakat dengan asas permuafakatan dan dijana oleh semua pihak atas prinsip “fastabiiqul-khairat”. Perkara ini selaras dengan gagasan melahirkan masyarakat yang bertamadun dan berilmu pada masa akan datang.

“Inilah Penyelesaian Kita”

Thursday, August 25, 2016

Hutang PTPTN : Teliti Semula Mekanisme Hutang Pendididkan Tinggi

Isu hutang pendidikan tinggi negara (PTPTN) merupakan isu yang seringkali mendapat perhatian rakyat terutamanya golongan muda yang ingin menyambung pelajaran mereka di IPTA dan IPTS. Status kegagalan para peminjam membayar semula hutang tersebut seharusnya dijadikan isu teras kepada perbincangan mekanisma pembiayaan dalam pendidikan tinggi negara.
Kenyataan Pengerusi PTPTN yang mengakui ketidakmampuan untuk memberikan pinjaman sepenuhnya kepada pelajar disebabkan kekurangan terhadap kadar kutipan balik pinjaman membuktikan mekanisma “hutang” bagi pembiayaan pendidikan tinggi negara memerlukan kepada transformasi yang lebih segar.

Saya berpandangan belenggu kegagalan melangsaikan hutang bukan sahaja melanda pada aspek pinjaman pendidikan, malah juga pada aspek pinjaman-pinjaman yang lain.

Jabatan Insolvensi Malaysia mengeluarkan laporan pada 2015 menunjukkan seramai 24,953 orang berusia 35 tahun ke bawah telah diisyhtiharkan muflis. Maka, tidak mustahil puluhan ribu yang lain berada dalam keadaan yang tidak menentu bagi melunaskan hutang mereka. Statistik ini perlu mendapat respon yang proaktif daripada pihak kerajaan dan PTPTN.

Kerajaan seharusnya meneliti semula mekanisma hutang dalam pembiayaan tinggi negara. Di sebalik tekanan yang diberikan pihak kerajaan supaya para peminjam membayar balik pinjaman, langkah yang wajar ketika ini juga adalah melihat kepada aspek yang lebih effektif dalam membiayai pendidikan tinggi negara iaitu menerusi sistem wakaf seperti yang menjadi amalan di beberapa institusi pengajian awam dalam dan luar negara.

Monday, August 22, 2016

Kutuk Serangan di Syria dan Gaza

Saya menggesa Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengambil kesempatan mengutuk tindakan kejam negara-negara tertentu yang mengakibatkan ribuan rakyat Syria dan Palestin yang terkorban sehingga ke hari ini.
Beliau akan mempengerusikan perbahasan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang bermula pada  22 hingga 26 Ogos di New York.

Gambar viral seorang kanak-kanak lelaki, Omran Daqneesh yang berlumuran darah dan berdebu kerana serangan bom di Aleppo sudah cukup menjustifikasikan tindakan regim ke atas orang awam yang tidak berdosa. Malah, menurut laporan Local Coordination Committee (LCC), lebih 500 rakyat Syria terbunuh dalam tempoh 7 hari minggu lalu. Kita harap TPM tegas dan berani menyuarakan kutukan atas nama kemanusiaan dan keadilan.

Hari ini, di Gaza juga sedang berlaku serangan jet tentera zionis Israel dan membedil kawasan-kawasan tertentu sehingga memusnahkan kediaman dan kematian orang awam. Ramai rakyat di negara ini telah mengambil inisiatif menghantar bantuan ke negara bergolak seperti Syria dan Palestin menerusi beberapa NGO.

Kini, rakyat Malaysia mahukan penegasan politik di atas satu platform yang berautoriti untuk mengutuk tindakan kejam regim Rusia dan Amerika Syarikat sepertimana yang telah dilaporkan oleh pihak media.

Selain itu, selayaknya  TPM terus menuntut keadilan di atas ruang antarabangsa yang lebih terbuka ke atas mangsa-mangsa pesawat MH17 yang terkorban pada bulan Julai 2014 yang lalu. Kita tidak mahu isu perbalahan Rusia-Ukraine menenggelamkan nasib mangsa yang terkorban.

Pra perbahasan UNSC beberapa hari lalu telah menyaksikan Rusia dan Ukraine bertikam lidah mengenai provokasi perang di wilayah Crimea, manakala laporan interim pasukan penyiasat antarabangsa MH17 yang diketuai oleh Belanda telah ditolak secara simplistik oleh Rusia.

Sunday, August 14, 2016

Gesa Kerajaan Lebih Fokus Selesai Isu FGV

Krisis yang melanda syarikat korporat Felda Global Ventures Sdn Bhd (FGV) masih diperkatakan sehingga ke hari ini. Daripada konflik kepimpinan yang menerajuinya sehinggalah kepada prestasi pasaran semasa dan kedudukan saham FGV yang masih kekal di bawah RM2.00.
Ketiadaan fokus yang lebih jitu bagi menyelesaikan masalah yang semakin membengkak, FGV pula sebaliknya dilihat menyalurkan sejumlah besar wangnya bagi kempen melindungi beruang matahari di Terengganu.

Fokus kerajaan bagi memulihkan kedudukan saham FGV merupakan suatu perkara yang sangat mustahak. Jika jutaan ringgit dapat disalurkan bagi menyelamatkan kepupusan spesis haiwan tersebut, apakah suatu yang terlalu sukar bagi kerajaan memenuhi harapan 100,000  peneroka yang pernah dijanjikan dengan keuntungan berlipat kali ganda hasil pelaburan daripada FGV suatu ketika dahulu.

Namun, persoalan yang masih tinggal tanda tanya adalah apakah langkah strategik kerajaan bagi meningkatkan prestasi pasaran saham yang pernah mencapai nilai RM5.39 pada awal-awal hari saham tersebut diniagakan pada 2012 yang lalu?

Apakah faktor tersebut benar-benar berpunca daripada kejatuhan harga komoditi dunia atau sememangnya krisis kepimpinan Felda telah mengalami 'deficit-trust' yang menyumbang kepada kesan negatif terhadap keyakinan para pelabur. Rakyat khususnya peneroka Felda berhak mendapatkan jawapannya.

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive