HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, May 4, 2009

Perhebatkan Usaha Nahi Mungkar

Mutakhir ini kegiatan maksiat dan perlecehan akhlak atau moral semakin menjadi-jadi . Bermula dari gejala rempit yang tidak terkawal hinggalah kini penularan seks bebas yang tiada batas. Sudah jenuh para alim ulama’ memberi nasihat melewati kuliah, khutbah dan ceramah namun makin dinasihati makin menjadi-jadi. Larang seperti disuruh dan lebih malang ada pihak yang sengaja menyuburkan perkembangan maksiat dalam negara ini.

Melalui industri perfileman, iklan dan program hiburan tanpa had batas dan kawal oleh pihak berkuasa agama, baja ditabur bagi mempercepatkan lagi proses pembenihan dan penumbuhan amalan mungkar dan maksiat. Maksiat dan mungkar kini tidak lagi dianggap ancaman justeru ia sering berselindung disebalik hiburan yang digemari ramai. Malah para alim ulama’ yang menegur sering ditohmah sebagai tidak berhikmah dalam dakwah, melanggar hak asasi dan sebagainya .

Saya melihat tahap pertumbuhan maksiat dan mungkar ini tidak lagi boleh dipandang ringan oleh siapa sahaja terutamanya kerajaan Umno dan BN yang memerintah, termasuklah kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah dibeberapa buah negeri. Kemungkaran ini telah mencapai tahap merosakkan tamadun dan mengancam keselamatan rakyat. Lihat sahaja episod seorang yang suka hidup berpoya-poya di kelab malam ke kelab malam, melanggan pelacur dan terjebak dalam pengaruh alkohol serta dadah. Mereka hidup dalam memburu keseronokan yang palsu dan kepuasan yang buntu.

Akhirnya mereka menjadi abdi kepada nafsu lantas tanpa memikirkan implikasi ke atas diri, mereka terpaksa mencuri dan merompak bagi menyara diri dan mendapatkan suatu yang dianggap boleh memuaskan diri mereka. Bahkan mereka sanggup membunuh demi mendapatkan keperluan mereka dalam keadaan mereka separa sedar di bawah penguasaan atau pengaruh nafsu dan samsu.

Bagaimana kalau episod ini bukan dilalui oleh seorang tetapi puluhan ribu malah mungkin mencecah juta andai tidak dicegah segera. Negara kini terancam, namun apa yang sangat menyedihkan ialah apabila kerajaan terlalu ego untuk mengakui masaalah yang semakin serius ini atau sememangnya mereka tidak mempunyai sebarang kesedaran terhadap keperluan menjaga agama dan kesejahteraan ummah dari ternoda.

Sehari dua ini boleh kita saksikan sendiri bagaimana pihak polis terpaksa mengakui penguasaan mat rempit yang tidak lagi merasa bimbang dengan sekatan jalanraya sebaliknya mereka begitu teruja membelah sekatan jalanraya yang diadakan oleh pihak polis malah bertindak nekad dan berani merempuh kereta peronda polis.

Isu yang saya paparkan ini merentas sempadan politik dan ideologi yang dianut. Ia boleh melanda keluarga orang-orang yang sedia jahil agama dan ia boleh lolos masuk ke rumah tok-tok imam, demikian juga ia boleh melibatkan ahli Umno dan juga boleh berlaku dalam keluarga ahli PAS. Sebagaimana gejala maksiat dan mungkar ini boleh subur di negeri-negeri bawah pemerintahan Umno dan BN dan boleh wujud di dalam negeri Pakatan atau PAS seperti Kelantan.

Mahu atau tidak, satu tindakan bersepadu mesti diambil oleh semua pihak terutamanya kerajaan yang memerintah justeru tanggungjawab sedia terpangku di atas leher mereka disamping mereka memiliki kuasa dan kemudahan untuk bertindak. Memperkayakan aktiviti-aktiviti spiritual yang membina jiwa dan mendidik insaniah rakyat, dalam masa yang sama menguatkuasakan undang-undang dan program pencegahan yang berkesan.

Amat lucu apabila saya mendengar kebuntuan pihak polis untuk menangani mat rempit yang kini menguasai bandar-bandar diseluruh negara. Berlumba tanpa mempedulikan keselamatan orang lain sehingga mereka melibatkan diri dalam kegiatan sosial yang bebas tanpa nilai dosa dan pahala.

Bermula dari Kota Bharu hingga ke Johor Bharu dan dari Seremban ke Bukit Kayu Hitam, gejala lumba haram dan sosial yang memualkan ini dapat dilihat dengan mudah dan berleluasa. Kenapa polis gagal bertindak? kenapa kerajaan Umno dan BN membiarkan sebegitu lama gejala ini bertapak dan menular seperti muntahan lava yang turun dari gunung.
Saya tidak nampak polis tidak mampu untuk bertindak. Kalau mereka boleh belanja wang mencecah lebih 10 juta ringgit untuk mengerahkan pasukan polis bagi mengawal rakyat yang hanya mahu turun mengundi seperti di Kuala Terengganu, kenapa tidak mereka kerahkan pasuka polis dan FRU untuk turun melepaskan gas pemedih mata atau semburan air asid kepada mat rempit dan mereka yang berpeleseran di perkarangan kelab-kelab malam dalam keadaan mabuk di tengah ibu kota.
Kol. Jamil Khir dan Dr. Mashitah buat apa? Atau fatwa Mashitah dulu membuatkan kerajaan membiarkan sahaja gejala bohsia dan pelacuran bertambah?

Dulu ada juga harapan kepada Islam Hadhari mengenangkan slogannya masih berbau Islam biarpun salah, hari ni apa yang boleh disandarkan oleh rakyat kepada “One Malaysia”? Apa agenda islam dalam One Malaysia? Saya tunggu Kol. Jamil Khir dan Dr. Mashitah turun berduet menjelaskan konsep perlaksanaan atau penghayatan Islam melalui One Malaysia. Saya cabar dan saya tunggu!

4 comments:

Anonymous said...

Anihnya gejala maksiat kadar kejadian adalah tinggi berlaku ke atas orang melayu Islam.Jika dilihat di dalam jail/penjara orang melayu adalah paling ramai.Kadar perceraian,penagihan dadah,mat rempit,pondan..... dan lain-lain maka orang melayulah paling tinggi.Siapa harus dipersalahkan?UMNO atau MCA/MIC malah anak-anak orang PAS juga ada penyakit.

Anonymous said...

Tak nak nampak semua tu idop ler dalam gua aje

Anonymous said...

Anonymous yang pertama,itu disebabkan malaysia ni negara majoriti melayu..mcm dalam jail kat hong kong nun takkan melayu gak yg banyak masuk jail mestilah cina kan?sebab apa?...haiyaaa..akai tarak pakai ka?

Anonymous said...

KAMI INGINKAN NEGARA YANG BETUL BETUL DEMOKRASI!!BUKAN SETAKAT POLITIK TAPI SEMUA ASPEK!!MUSIK,PAKAIAN,AGAMA,KEPERCAYAAN DLL!!!JADI MAKSUDNYA DISINI KAMI INGINKAN SEBUAH KERAJAAN YANG SEKULAR!!!BERTINDAK ADIL BUKAN BERPANDUKAN DARI SATU JENIS AGAMA SAHAJA!!!!!!!!!!!!!!!DEMOKRASI DEMOKRASI DEMOKRASI!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive