HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, July 15, 2009

Risalah & Iktibar Dari Hunain . vol 2

Peristiwa Uhud , Hunain
dan Manek Urai

1. Bulan February yang lalu , saya pernah menulis satu posting yang bertajuk Risalah dan Iktibar dari Hunain [ klik di sini untuk membacanya kembali ] . kali ini saya masih menggunakan tajuk yang sama [ tetapi vol ke 2 ] untuk mengulas sedikit mengenai kemenangan tipis yang dicapai oleh PAS dalam pilihanraya kecil N41 Manek Urai

2. Majoriti kecil yang dicapai oleh PAS dalam pilihanraya kecil Manek Urai tentu sahaja mengundang pelbagai reaksi dan komentar . Bagi pihak UMNO dan BN tentu sahaja mereka gembira kerana berjaya mengurangkan majoriti undi PAS .

3. Bagi PAS tentu sahaja pimpinan tertinggi khasnya Jabatan Pilihanraya PAS Pusat dan Negeri akan mengadakan bedah siasat [ post mortem ] untuk melihat faktor sebenar penurunan ketara undi majoriti yang pernah diperolehi oleh PAS sebelum ini . Saya yakin ia akan dilakukan secara telus dan jujur untuk melihat senario yang benar dan tepat ekoran keputusan pilihanraya kecil manek urai yang sangat ajaib [ pinjam istilah Dr. Abu Hassan ]

4. Saya tidak berhak untuk mengganggu atau mendahului keputusan post mortem tersebut . Sama - sama lah kita tunggu dan lihat kelak apakah faktor sebenar yang membentuk keputusan Pilihanraya kecil Manek Urai tersebut . Cuma saya ingin menyentuh beberapa perkara sebagai iktibar umum kita bersama dan harapnya dibaca sekali dengan Risalah dan Iktibar dari Hunain yang dipostkan pada bulan february yang lalu .

5. Menang kalah dalam pertarungan dan perjuangan tentunya mempunyai iktibar yang perlu diteliti , demikian juga menang besar atau kecil skalanya mempunyai hikmah yang perlu dihayati . ianya menjadi proses muhasabah yang diajar oleh agama kepada kita . Namun jiwa mesti tenang , aqal wajarnya rasional dan niat layaknya tulus dalam mengamati iktibar dan menekuni hikmah . Jika tidak , segalanya berlalu tanpa nilai .

6. Marilah kita baca sekali lagi ayat dari surah at Taubah ini dan kalau boleh ambil sedikit masa untuk meneliti sejarah panjang dan cukup menginsafkan bagaimana perjalanan kisah Hunain daripada buku - buku atau kitab sirah lalu dipadankan dengan ayat ini :

لَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ فِي مَوَاطِنَ كَثِيرَةٍ وَيَوْمَ حُنَيْنٍ إِذْ أَعْجَبَتْكُمْ كَثْرَتُكُمْ
فَلَمْ تُغْنِ عَنْكُمْ شَيْئًا وَضَاقَتْ عَلَيْكُمُ الْأَرْضُ بِمَا رَحُبَتْ ثُمَّ وَلَّيْتُمْ مُدْبِرِينَ

Sesungguhnya Allah swt telah menolong kamu dalam banyak medan peperangan dan hari peperangan Hunain ketika kamu dijangkiti penyakit ujub [ kagum diri / rasa diri hebat ] dengan sebab ramainya jumlah bilangan bala tentera kamu , maka ia ia sebenarnya tidak boleh mendatangkan apa - apa faedah [ keistemewaan/kemenangan ] kepada kamu di medan perang itu sehingga bumi yang luas dirasakan sempit oleh kamu kemudian kamu berpaling undur melarikan diri .


ثُمَّ أَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَى رَسُولِهِ وَعَلَى الْمُؤْمِنِينَ وَأَنْزَلَ جُنُودًا لَمْ تَرَوْهَا
وَعَذَّبَ الَّذِينَ كَفَرُوا وَذَلِكَ جَزَاءُ الْكَافِرِينَ

Kemudian Allah swt menurunkan semangat ketenangan ke atas RasulNya dan ke atas orang - orang yang beriman dan Allah swt menurunkan bala tentera yang tidak dapat kamu melihatnya serta ia menyeksa orang - orang yang kufur dan demikian itulah balasan bagi orang - orang yang kufur .


ثُمَّ يَتُوبُ اللَّهُ مِنْ بَعْدِ ذَلِكَ عَلَى مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Kemudian Allah swt menerima taubat orang - orang yang Dia kehendaki [ memberi hidayah memeluk Islam ] sesudah itu dan Allah swt Maha pengampun lagi maha Penyayang .

Surah at Taubah : Ayat : 25 - 27

7. Ayat ini menceritakan kisah Hunain . Pada prinsipnya ciri - ciri yang terdapat pada Hunain sama dengan peperangan Uhud . Perbezaan antara keduanya ialah cara pendekatan salah yang dilakukan pada kedua - duanya . Peristiwa Uhud kerana terpengaruh dengan harta benda rampasan yang berselerak ditinggalkan oleh musuh di awal pertempuran . Akhirnya mereka tidak patuh perintah Rasulullah saw dan sedikit pertelagahan berlaku sesama tentera dan jentera . Adapun Peristiwa Hunain pula berpunca daripada bermegah dengan jumlah yang ramai dan kekuatan yang dimiliki .

8. Kedua - dua peristiwa tersebut memberi pengajaran yang pahit kepada generasi awal Islam . Sementara kita generasi mutaakhir ini sewajarnya mempelajari risalah dan menghayati iktibar dari pengalaman silam . Betapa harta dan kemenangan sering mendorong kita alpa dan teruja dengan pencapaian lalu meletakkan kita di awangan .

9. Setelah kita membaca pula Peristiwa Manek Urai , marilah kita segera insaf dan berdoa kepada Allah swt agar mengurniakan thabat [ teguh pendirian dalam perjuangan ] kepada kita sementara dibekalkan pula kekuatan dan pedoman untuk keluar dari belenggu kealpaan yang melilit tubuh dan menjerut leher kita .

10. Ya Allah ! kami yakin akan kebesaranMu sebagaimana kami juga yakin bahawa kemenangan adalah dari kurniaanMu . Keputusan MU [ Manek Urai ] turut menginsafkan kami bahawa kemenangan Islam bukan bergantung semata - mata kepada strategi kami tetapi jua dari pertolonganMu sebagaimana firman dari surah at taubah ayat 25 - 27 .

Ya Allah ! Kemenangan Islam bukan dari sesiapa dan bukan juga dari barakah atau karamah sesiapa , justeru itu Saiyidina Umar al Khattab rha. menamatkan tempoh perkhidmatan Khalid al Walid di medan perang selaku komander kerana mahu memastikan aqidah para sahabat benar dan sohih bahawa menang kerana pertolongan Allah swt bukan menang kerana kehebatan Khalid al Walid .

Ya Allah ! Kami yakin kemenangan Islam hanya berpaksi kepada keutuhan berjamaah dan keintiman berikhuwwah justeru firmanMu bahawa PertolonganMu turun bersama jamaah yang utuh dan mantap .

Ya Allah ! Kami juga yakin bahawa kemenangan dan pertolonganMu hanya berhak dimiliki oleh pejuang yang merendah diri , hampir mengabdi diri kepada mu , bebas dari pra sangka yang membusuk di dada , jauh pula dari sikap dendam kesumat yang membinasakan .

Ya Allah ! kami yakin bahawa kemenangan tegak di atas segala sifat mahmudah sebaliknya mazmumah akan merosakkan segalanya .

Ya Allah ! keputusan MU [ Manek Urai ] menunjukkan masih tersimpan rasa kasih dan sayangMu buat kami yang alpa . Semoga Engkau pulihkan semula keyakinan kami dan kembalikan kekuatan kami buat mendepani segala cabaran demi mendaulatkan agamaMu ya Allah !

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive