HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, January 5, 2010

Kalimah Allah dan Syariat Allah

1. Banyak pihak begitu marah dan tidak berpuashati dengan keputusan mahkamah tinggi baru - baru ini yang membenarkan sebuah akhbar [ Herald ] menggunakan nama Allah dalam penerbitan mereka .

2. Pendirian saya sendiri jelas dan tidak pernah berubah sehingga saat ini , bahawa kalimah Allah swt adalah Lafzul Jalaalah yang merujuk kepada keesaan Allah swt. Firman Allah swt :

قل هو الله أحد الله الصمد لم يلد و لم يولد و لم يكن له كفوا أحد

Katakanlah [ Wahai Muhammad ] Dialah Allah Tuhan Yang Maha Esa . Allah tempat bergantung dan meminta segala sesuatu . [ Allah ] tidak beranak dan tidak pula diperanakkan dan tidak ada sesuatu pun yang setara denganNya .

Surah al Ikhlas : 1-4

3. Sesiapa pun [ muslim atau non muslim ] yang mahu menggunakan kalimah Allah mestilah menggunakannya dengan betul iaitu Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa dan tiada sekutu baginya . Haram dan kufur jika kita membenarkan perbuatan , tindakan atau kenyataan yang menduakan [ mensyirikkan ] Allah swt . Seperti membenarkan perkataan orang yang berkata : " Allah itu ada anak " dan seumpamanya . Kerana perkataan itu salah dan bertentangan dengan keEsaan Allah swt. walau siapa [ non muslim atau muslim ] yang berkata demikian .

4. Allah swt sendiri murka terhadap mereka yang menggunakan kalimah Allah secara salah [ dengan berkata Allah mempunyai anak ] , maka bagaimana mungkin kita boleh bersetuju dan redha jika ada yang menggunakan kalimah Allah secara salah seperti mensyirikkan Allah swt [ menganggap Allah ada anak dan isteri atau menduakan Allah dengan tuhan yang lain ] Firman Allah swt :

و قالوا اتخذ الرحمن ولدا لقد جئتم شيئا إدا تكاد السموات يتفطرن منه و تنشق الأرض و تخر الجبال هدا أن دعوا للرحمن ولد

dan mereka berkata Allah Tuhan Yang Maha Pengasih mempunyai anak . Sungguh kamu telah membawa sesuatu yang sangat mungkar . Hampir saja langit pecah dan bumi terbelah dan gunung ganang runtuh kerana kenyataan [ ucapan ] itu . Kerana mereka menganggap Allah Tuhan Yang Maha Pengasih mempunyai anak .

Surah Maryam : 88 - 91

أئنكم لتشهدون أن مع الله ءالهة أخرى قل لا أشهد قل إنما هو اله واحد وإنني برئ مما تشركون

Dapatkah [ bolehkah ] kamu benar - benar bersaksi bahawa ada tuhan - tuhan lain selain Allah ? Katakanlah : Aku tidak dapat bersaksi . Katakanlah : Sesungguhnya Dialah [ Allah ] Tuhan Yang Maha Esa dan aku berlepas diri [ tidak boleh sokong/terima ] terhadap apa yang kamu sekutukan dengan Allah swt .

Surah Al An'am : 19

5. Manakala pengguna kalimah Allah swt secara benar dan tepat sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt itu sendiri yang telah mengisytiharkan zatNya tiada sekutu dan bandingan [ seperti yang termaktub di dalam surah al ikhlas ] , maka ia adalah pengguna yang bijak dan benar , malah dibenarkan sekalipun ia seorang non muslim . Inilah yang Allah swt sebut di dalam al Quran :

ولئن سألتهم من خلق السموات و الأرض و سخر الشمس و القمر ليقولن الله فأنى يؤفكون

dan jika engkau bertanya kepada mereka : " siapakah yang menjadikan langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan ?" nescaya mereka menjawab Allah ! maka , kenapa mereka masih boleh berpaling dari kebenaran .

Surah al Ankabut : 61

Sekitar pemafahaman dari ayat ini :

a ] Ayat ini secara jelas menunjukkan bagaimana Allah menegaskan bahawa sebahagian non muslim terutama ahli kitab mengakui bahawa Allah swt. adalah pencipta langit dan bumi [ begitulah jawapan jika ditanya kepada mereka .]

b ] Ayat ini juga bukanlah dalil mutlak untuk membenarkan golongan non muslim menggunakan kalimah Allah swt sewenang - wenangnya apatah lagi jika diguna secara salah . Sebaliknya ayat ini adalah penegasan Allah swt bahawa mereka mengakui Allah swt sebagai pencipta .

c ] Ia juga bukan dialog antara kuffar dengan Nabi saw. tetapi ia adalah ayat Allah untuk menjelaskan hakikat sanubari mereka , bahawa mereka tidak boleh menyembunyikan fakta ketuhanan Allah sebagai pencipta dan pemberi rezeki . Sebab itu ayat ini bermula dengan : [ Jika sekiranya kamu bertanya kepada mereka ..... ertinya ayat ini bersifat jika atau andainya .... ia bukan dialog sebenar ]

d ] Persoalan isu aqidah dalam ayat ini terhenti di atas perkataan terakhir dari ayat ini : " maka ... kenapalah mereka masih boleh berpaling dari kebenaran ? " ertinya : walau hati kecil mereka mengakui bahawa Allah swt adalah pencipta langit dan bumi , maka kenapa mereka masih berpaling dari kebenaran itu ? kenapa mereka masih mensyirikkan Allah swt ? kenapa mereka mengambil tuhan - tuhan yang lain selain daripada Allah swt ? kenapa mereka tidak menerima wahyu Allah swt yang melantik Muhammad saw sebagai rasul akhir zaman ? kenapa mereka berpaling dari kebenaran ? kenapa ?

e ] persoalan yang dicetus pada akhir ayat 61 surah al Ankabut ini jelas menunjukkan Allah swt membenarkan jika mereka mahu berkata [ menggunakan kalimah ] Allah sebagai tuhan yang mencipta langit dan bumi , tetapi jika mereka mahu mensyirikkan Allah swt atau mengambil tuhan yang lain selain Allah swt , maka ia dimurkai oleh Allah swt .

6. Tidak hanya menggunakan kalimah Allah swt secara salah [ seperti menduakan Allah swt ] sahaja yang mesti ditolak , tetapi juga termasuklah perbuatan mempersenda dan mengabaikan perlaksanaan syariat Allah swt. juga mesti ditentang dan ditolak .

7. Isu kalimah Allah ini baru timbul sehari dua dalam negara kita , tetapi pengabaian terhadap perlaksanaan syariat Allah swt telah berlaku sejak dulu . Hairannya , tiada pula orang nak marah . Malah mahkamah tinggi Malaysia pernah mengisytiharkan Malaysia bukan Negara Islam , tiada pula berlaku kebangkitan di kalangan ummat Islam untuk membantah keputusan tersebut . Kecuali sebahagian kecil ummat Islam yang konsisten berjuang untuk mendaulatkan syariat Allah swt . termasuk PAS .

8. Terlalu banyak aktiviti dalam negara kita yang bertentangan dengan syariat Allah . Mengalungkan bunga ke tugu kebangsaan sebagai contoh , telah jelas ada fatwa dari majlis fatwa kebangsaan , tetapi kerajaan masih mengamalkannya saban tahun . Tiada pula amukan dari PERKASA untuk membantah amalan itu . Sedang itu secara terang terangan menghina majlis fatwa dan menghina agama Allah . Apakah kerana ia dilakukan oleh orang yang mengaku muslim maka ia tidak diambil endah ?

9. Al Amru bil makruf dan an Nahyu anil Mungkar sebagai asas sebuah pemerintahan Islam tidak diamalkan dengan penuh tanggungjawab dalam negara kita . Terkadang seperti sengaja mereka mahu memperkecilkan ajaran Islam . Mereka buat tempat maksiat seperti kelab - kelab malam yang bercambah lalu mereka melantik pencegah maksiat supaya membuat operasi sesekali dihujung hujung bulan .

10. Bukankah ini satu persendaan ? mereka buat masjid mereka juga buat kelab malam . Mereka buat musabaqah al Quran mereka buat juga pertandingan ratu cantik . Mereka buat universiti Islam , mereka juga buat akademi fantasia . Mereka memberi sumbangan kepada fakir miskin , mereka juga melakukan rasuah dan membolot harta kekayaan negara. Mereka bukan buat amar makruf Nahi Mungkar tetapi Amar Makruf Amar Mungkar. Ini satu persendaan kepada syariat Allah swt . Ini juga mesti ditentang dan ditolak .

12 comments:

Anonymous said...

salam

apa yang saya mahu dengar adalah PAS menolak penggunaan ALLAH bagi orang kristian.

Bukan cakap selamat seperti orang arab kristian guna sejak dulu dan boleh guna tapi tak menyelewang..

TOLONG JANGAN BERDALIH. KELUAR STATEMENT KATAKAN TIDAK..

Dr Kamal Shah said...

http://lintauartstudio.blogspot.com/2010/01/my-comment-on-name-issue.html

Aku said...

SALAM

ustaz, boleh tak kita umat islam mulai hari ini berhenti daripada budaya menunding jari? jika ada perkara yang sama-sama boleh dibangunkan, teruskan usaha bersama. mungkin ini detik mulanya untuk umat islam mula mengorak selangkah demi selangkah ke arah mendaulatkan quran dan sunnah secara total tanpa berasaskan PETI UNDI!. tak bolehkah kalian bersabar dan bertolak ansur sesama islam sebagaimana kalian suka rela bertolak ansur dengan kafir seperti DAP dan sebagainya?Tolonglah, hentikan budaya tunding menunding ini. kalian boleh memuji perbuatan kafir yang kononnya mahu mengambil iktibar dari quran di atas pentas demokrasi sampai 'surah aura' diberi nama. walaupun mereka masih mengengkari Rasulullah dan Allah yang satu dan menolak al quran sebagai kitab mereka.kenapa pula sesama saudara Islam tidak diberi insiatif yang serupa untuk menaikkan semangat mereka mendaulatkan Islam apabila mereka sudah mula berdiri demi Islam walaupun untuk sekelumit?kenapa tidak boleh bersangka baik sesama saudara pula?Kenapa taktik yang sama tidak boleh digunakan ke atas sesama Islam supaya mereka kembali akhirnya kepada syariat Allah sepenuhnya??? Jika kalian melihat diri kalian Islam di atas jalan demokrasi yg pada hakikatnya terbukti banyak membaa kekufuran serta memecahbelahkan kebanyakan ummat islam di seluruh dunia , tolonglah sekurang-kurangnya berganding bahu sesama kami ummat Islam yang saban hari semakin berasa jelik dengan sandiwara demokrasi ciptaan manusia ini!


Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya( Surah Aali-Imran : 103 )


Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.( Surah Aali-Imran : 104 )

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam ugama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar. ( Surah Aali-Imran : 105 )

tolonglah, iya ustaz, saya pasti jika PAS kembali bersuara tegas untuk ALLAH RASUL DAN ISLAM tanpa mengira fahaman politik, ramai ummat Islam yang akan berbangga dengan kalian..

sembang haroki said...

tulisan anda untuk kali ini lebih kuat dari yang pertama dan lebih menghormati sensiviti ummah.
malangnya pas mengeluarkan kenyataan resmi melalui menyuarat lajnah politik bukan majlis syura ulama. Ini boleh menghakis keyakinan penyokong pas, menambah sokongan palsu bukan islam, tetapi semakin jauh bagi pas menjadi penjaga ummah ketika kehilangan daulah.almah

penyokong Pas baru said...

salam Ust. Din, betulkan saya jika silap,

setelah mendengar,mencari dan menelusuri setiap kenyataan yang pelbagai dari ramai pemimpin, bekas mufti, tokoh agama, maka dapatlah dibuat kesimpulan:-

1. semua penganut agama samawi boleh menggunakan perkataan Allah. cuma bagi orang islam Allah merujuk kepada tuhan yang satu, manakala "Allah" bagi Kristian ianya berbeza(konsep trinity).ini adalah asal hukumnya.betul tak ustaz???

2. dari segi konteks semasa (siasah syariaah),tepat atau tidak keputusan utk membenarkan kristian guna perkataaan Allah. part ini saya rasa cukup sukar???apa pandangan ustaz???

3. apa pendirian PAS usaha KDN untuk merayu keputusan mahkamah tinggi ini. setuju atau tidak. saya belum jumpa lagi kenyataan dari mana2 pemimpin PAS setakat ini berhubung perkara ini. harap ustaz dapat jelaskannya.

warisantmk said...

Ustaz Nasruddin,

Sebenarnya Ustaz tidak perlu berpanjang lebar dan bersimpang siur.

Isu sekarang ialah orang Kristian nak guna nama ALLAH sebagai TUHAN BAPA sebagaimana mereka dakwahkan umat Islam di Indonesia, Sabah dan Sarawak.

Mereka percaya ALLAH MAHA PENCIPTA, tetapi di masa yang sama mereka MENSYIRIKKAN ALLAH. Mereka kata Tuhan itu TRINITY, gabungan 3 unsur, iaitu TUHAN BAPA(ALLAH), TUHAN ANAK(JESUS) dan TUHAN HOLY SPIRIT.

Apakah aqidah pemimpin dan penyokong PAS sudah terbalik-kut sehingga sanggup bersekongkol dengan pihak yang akan MENGHINA Allah dengan perbuatan syirik?

Tak payahlah Ustaz nak cerita Syariat Islam, kalau hal AQIDAH Islam pun tak faham.

Anonymous said...

Di Selangor, Dr Hassan Ali cuba menegakkan Amar Maaruf Nahi Mungkar, PAS pula nak ambil tindakan disiplin.

Sekarang rumah urut, kelab malam, karaoke dan pusat-pusat maksiat tumbuh seperti cendawan. Mana gerakan Amar Maaruf Nahi mungkar Kerajaan Selangor yang mana PAS sebahagian darinya?

Dulu tuduh UMNO macam-macam. Sedarkah Ustaz yang PAS pegang portfolio agama di selangor, pegang kuasa terhadap JAIS. Tapi bila nak buat kerja Amar Maaruf Nahi Mungkar, PAS Pusat pula keluar KAD MERAH amaran.

Kesimpulan saya, PAS sudah tidak dapat membezakan antara HAK dan BATIL. PAS telah mendapat laknat dari Allah. Mata hati pemimpin PAS telah dibutakan oleh Allah swt.

gagasan_warisan said...

Salam tuan syeikh...

Saya ingin bertanya adakah tuan bersetuju atau tidak penggunaan Kalimah Allah ini.
Ya atau tidak ??? tak perlu pusing sana pusing sini...itu saja....

Abu Faiq said...

Assalaamu 'alaikum Sdr NHT & semua yang melayari blog ini,

1 Cantik sekali Anda 'berkisah'; atas nama Allah dan syariat-Nya pula. Memang semangat Anda harus dihargai.

2 Namun, penghargaan pasti sirna sebaik sahaja dilihat apa yang dizahirkan pada perilaku [yang dicerminkan oleh tingkah-laku parti Anda] bukan apa yang tersurat di dlm lisannya. Sungguh, apabila dijajarkan retorik Anda - bahkan juga oleh ramai, jika tidak semua, atasan Anda - dengan cara berpolitiknya parti Anda, dari penilaian seseorang Muslim yang ikhlas, tidak ada panggilan tepat yang lain untuknya; kemunafikan, hipokrasi. Dan tidak ada hipokrasi yang lebih dahsyat & paling fatal kecuali atas nama Allah, atas nama lslam. Allah sungguh sangat mengutuk perbuatan ini, sekalipun ada orang yang masih mahu & sedia menyanjung. Banyak ayat al-Quran tentang sifat rosak ini. Anda amat fasih tentangnya. Namun HENDAKLAH BERIMAN DENGANNYA.

3 Seruan saya seperti di bawah adalah sedikit bukti antara beberapa tersasarnya jalan berpolitik PAS dari jalan syariat:

a] Lepaskanlah diri dari ikatan muafakat dengan parti-parti kufur yang pasti tidak pernah berniat memenangkan lslam; jika tidak terkesan niat itu sekarang, pasti nyata kemudian. Rasulullah SAW meninggali kita analogi berupa peringatan betapa hinanya jika umat lslam disesat-masukkan ke dalam lubang biawak. Jangan PAS bawa dan hina saudara-saudara lslam lainnya sampai masuk ke lubang biawak itu. Anda pernah menyebutnya untuk memperingatkan orang lain. Saya sebutkan untuk peringatan Anda pula. Itu pun ajaran daripada syari'at. Tepatilah. Tidak pernah ada yang lslam & Rasulullah SAW cicirkan daripada syari'at. Baca & galilah, dan kaedah politik parti Anda pasti menjadi bijak. Jika Anda benar-benar yakin akan pertolongan Allah, masihkah mengharapkan pertolongan kufar. Di mana nilai keimanan kepada syari'at ketika masih mahu bergantung harap kepada pertolongan kufar?

b] Bijakkan minda politik. Jika fikrah lslam dijadikan tuntunan, ambil hanya tariqah berpolitiknya Rasulullah SAW jalan benar untuk merealisasaikan fikrah itu. Itupun ajaran daripada syari'at juga. Percayalah, secantik mana pun awalnya, mustahil akan cantik juga pada akhirnya jika jalannya terpesong, tersesat dan tersimpang-siur. PAS pada landasan itu sekarang. Hanya fikrah lslam dan menepati tariqah Nabi SAW berupaya membijakkan politik umat lslam. Parti Anda perlu memprgamatikkan syari'at sekarang, kerana telah bertekad mengambil jalan yang bukan jalan berpolitik Rasulullah SAW, para Khalifaur Rasyidin & para khalifah sesudah mereka. Walhal, yang Anda tinggalkan itu ajaran daripada syari'at juga.

c] Jauhi wajah sekular. Tiada niat mana-mana umat Muslim akan menjauhi PAS, kecuali jika PAS sudah tidak kisah akan syari'iat politik yang berjalan di atas rel politik kenabian, lalu menyama-wajahkan dirinya dengan mana-mana parti politik sekular umat Muslim lain yang ada.

Wallhu a'lam. Salam.

Anonymous said...

salam tuan...
maaf tuan, saya benar-benar kecewa dengan PAS kali ini...

kesal mereka yang Islam, menyokong umat kristian menggunakan perkataan Allah... sedarkah mereka.. tindakan menYOKONG tindakan kristian menggunakan Allah... tidak dapat tidak adalah bermakna mereka mengiktiraf ALLAH punyai ANAK!

Dan mereka yang kafir berkata: (Allah) Ar-Rahman, mempunyai anak. (88) Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan satu perkara yang besar salahnya! (89) Langit nyaris-nyaris pecah disebabkan (anggapan mereka) yang demikian dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, serta gunung-ganang pun nyaris-nyaris runtuh ranap. (90) Kerana mereka mendakwa mengatakan: (Allah) Ar-Rahman mempunyai anak. (91) (Surah Maryam)

Allah dah bagitau kata-kata mereka itu adalah salah... Langit, bumi dan gunung hampir hancur mendengarkan kata2 mereka… yang kaum muslim pulak redha dan sokong!… apaaaalah!

Pandangan TG Harun Din dan Taib Azzamuddin bagi saya adalah terlebih menyakinkan dan jelas..

Adakah mereka rela masjid dinamakan dengan RUMAH ALLAH seperti yang berlaku di Indonesia??

bahan2 bacaan yang berkenaan dengannya bertebaran dengan mengatakan ALLAH itu ada anak...

Saya lihat Tun Mahathir lebih bijak dalam hal ini... Seperti yang kita tahu bible diturunkan dalam bahasa hebrew (elohim, eloh, el, dan juga yahweh) kemudian berkembang dalam bahasa Greek (theos)

Jangan lah diserabutkan dengan isu-isu yang lain... dah sah-sah kita semua tahu UMNO pendusta agama.. tapi kali ini mereka lebih terkehadapan daripada PAS!! adakah PAS sengaja mencari escape?? demi mendapatkan sokongan rakyat bukan Islam kepada PAS?? kalau benar, sungguh jelek PAS sekarang..

kalau begini, tunggulah kejatuhan PAS pada PRU 13..

INGAT!!
Allah akan mengagalkan sesiapa sahaja yang mengagalkan-NYA...

Anonymous said...

Assalamualaikum ustaz...Izinkan saya bertanya ustaz....di Malaysia...jika Agama bukan islam dibenarkan menggunakan nama Allah di dalam kitab-kitab mereka....siapakah yang boleh MENJAMIN bahawa mereka TIDAK AKAN SALAHGUNAKAN untuk memesong akidah umat Islam secara halus atau terang-terangan????....jika mahkamah membenarkan...bermaksud mereka boleh menggunakan nama Allah mengikut kepercayaan mereka secara terbuka..... adakah kita bersetuju????

eden said...

tak kenal Allah tapi nak pakai nama Allah.. tulah masalahnya

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive