HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, January 28, 2014

Menuju Ekonomi Berkat

Saya amat tertarik dengan perkembangan di Turki. Di dalam ijtihad pemerintah, kadar faedah sebenar Turki diturunkan secara beransur-ansur sehingga ianya menjadi “kosong” manakala kadar faedah nominalnya mengikut kadar inflasi. Memandangkan inflasi adalah fenomena “semulajadi” maka terdapat kelonggaran mengikat kadar faedah kepada kadar inflasi. Para penganalisis dari pemodal kewangan antarabangsa sejak dari akhir 2010 menjangkakan nilai lira akan jatuh, defisit akan berkembang dan inflasi akan meningkat hasil dari pendekatan ini.

Namun sehingga ini, Turki masih merupakan antara pasaran menyinar di dalam ekonomi Eropah yang rata-ratanya merudum. Pengalaman Turki ini, saya percaya risiko-risiko yang dibangkitkan ada benarnya dan sebarang usaha untuk mewujudkan ekonomi tanpa kadar faedah perlu dilakukan dengan penuh berhati-hati, apatah lagi apabila komuniti kewangan antarabangsa mula berkonspirasi menyuntik keraguan di dalam pasaran. Begitu pun komitmen Perdana Menteri Turki yang mahu melihat orang-orang Turki “mendapat untung dengan berkerja, dan bukannya melalui kadar faedah” merupakan satu komitmen yang berani.

Visi pemerintah Turki ini membuka ruang ijtihad yang sepatutnya diteladani pemerintah Malaysia sekiranya kita benar-benar beriman kepada larangan Riba’.

Program Pengurusan Hutang Negara
Pembentangan Bajet 2014 saya kira kerajaan tidak mengumumkan langkah konkrit untuk menangani hutang negara selain dari meletakkan beban kelangsungan biaya kerajaan ke atas rakyat melalui program percukaian GST. Masalah ini ibarat gajah di dalam bilik yang tidak diendahkan.
Menurut Islam, hukum hutang adalah harus malah ulama’ menafsirkan memberi hutang itu lebih utama dari bersadaqah. Sekalipun hutang itu dibenarkan tetapi apabila ianya menjadi berlebihan dan bertransformasi pula menjadi suatu ketagihan, ianya akan menjadi punca ketidakstabilan, punca keresahan dan hilangnya keberkatan di dalam muamalah. Hakikatnya, inilah yang sedang berlaku di dalam negara kita ini dan ia menghalang keberkatan dalam muamalah kenegaraan dan bermasyarakat.

Buktinya, hutang fiskal kita terus meningkat, dan dalam kadar yang membimbangkan. Sepanjang tempoh 1970 hingga tahun 2000, hutang kita meningkat sehingga lebih sedikit dari 100 bilion ringgit. Dari tahun 2000 sehingga 2012, yakni tempoh 12 tahun sahaja, hutang kita meningkat mendadak dari 100 bilion sehingga 420 bilion ringgit. Perdana Menteri pernah berkata rakyat ketagih subsidi, tetapi nampaknya kerajaan sendiri pun ketagih berhutang.

Mengikut rekod sejak 1970, Malaysia mengamalkan bajet defisit setiap tahun kecuali untuk sebahagian kecil tahun-tahun 90-an. Tidak cukup setakat itu, saban tahun termasuklah untuk 2013, kerajaan memohon peruntukan tambahan secara puratanya dalam lingkungan 7 hingga 10 billion ringgit setahun. 

Bukankah ini satu bentuk ketagihan kepada hutang?

Peringatan Nabi sallallahu‘alaihi wasallam mengenai hutang adalah jelas;
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ، فَقَالَ قَائِلٌ؛ مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ مِنَ الْمَغْرَمِ، قَالَ؛ إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya; Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? Baginda Nabi menjawab; Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari.” (riwayat al-Bukhari, 1/214)

Bila membaca hadith ini, saya terimbau kembali kenyataan-kenyataan kerajaan mengenai hutang negara. Tahun 2009, Datuk Idris Jala yang bertanggungjawab terhadap program-program PEMANDU memeranjatkan negara dengan mengatakan Malaysia akan bangkrap. Tahun 2012, Datuk Idris Jala menegaskan program transformasi negara telah berjaya menjauhkan Malaysia dari kebangkrapan.

Perdana Menteri pun terus melukis gambar-gambar indah mengenai ekonomi negara biar pun hutang bertambah dan kos sara hidup meningkat. Hanya apabila Fitch Ratings menurun taraf piawai fiskal kita, barulah pemerintah tersentak. Kerajaan pun panik, memotong subsidi petrol biarpun harga petrokarbon global pada dasarnya stabil. Sudah terkena baru terngadah lalu rakyat dimangsakan. Maaf jika saya katakan, bukankah perilaku pemerintah ini satu pendustaan? 

Benarlah kata-kata Rasullulah sallallahu‘alaihi wasallam.

Terdapat satu hadith lain pula, Nabi Muhammad sallallahu‘alaihi wasallam diriwayatkan berkata;
أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الْكُفْرِ وَالدَّيْنِ، فَقَالَ رَجُلٌ؛ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَتَعْدِلُ الْكُفْرَ بِالدَّيْنِ. قَالَ؛ نَعَمْ
“Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang. Mendengar itu seseorang bertanya; Apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah sallallahu‘alaihi wasallam? Benar. jawab Rasulullah. (riwayat al-Nasaie, 2/316; Ahmad , 3/38; al-Hakim berkata Sahih dan disepakati oleh al-Zahabi; Menurut al-Albani: Dhaif)

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive