HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, September 2, 2014

Risalah Pemuda: Membugar Fikrah Menyebar Risalah

PAS adalah gerakan dakwah dan siyasah. Justeru, fikrah perjuangan PAS berkisar pada dua perkara yang saling melengkapi antara satu sama lain iaitu dakwah Islam dan kuasa pemerintahan Islam. Inilah perjuangan yang digarap oleh Nabi saw sepanjang hayat baginda saw.

Dakwah adalah kerja para Nabi. Ia menjadi misi para sahabat yang bersama Rasulullah saw. Matlamat dakwah kepada bukan Islam ialah agar manusia menerima Islam atau sekurang-kurang mesra Islam. Matlamat dakwah kepada muslim ialah agar mereka menjadi mukmin yang bertaqwa atau sekurangnya-kurangnya tidak menjadi kufur. Rasulullah saw bersabda kepada Ali ra ketika menyerahkan bendera mengepalai peperangan Khaibar:
ادْعُهُمْ إِلَى الْإِسْلَامِ وَأَخْبِرْهُمْ بِمَا يَجِبُ عَلَيْهِمْ فَوَاللَّهِ لَأَنْ يَهْدِيَ اللَّهُ بِكَ رَجُلًا خَيْرٌ لَكَ مِنْ أَنْ يَكُونَ لَكَ حُمْرُ النَّعَمِ
Serulah mereka kepada Islam. Khabarkan kepada mereka apa yang wajib atas diri mereka. Maka demi Allah, hidayah yang diberikan oleh Allah kepada seorang lelaki menerusi kamu lebih baik daripada kamu mendapat unta merah. - Hadis Sahih Bukhari

Dakwah bermaksud mengajak manusia mengenali Islam. Nabi berdakwah di Mekah ketika belum berkuasa. Apabila berkuasa di Madinah dakwah menjadi tugasan utama negara. Kesannya Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

PAS membawa risalah perjuangan dakwah ini. Sebelum berkuasa pelbagai medium dimanfaatkan untuk memberi kesedaran Islam kepada masyarakat. Surau dan Masjid menjadi tapak yang subur untuk dakwah Islam yang dibawa oleh PAS. Para Ulamak tidak pernah jemu mengajar, mendidik, menerang dan menjelaskan Islam kepada umat. Maka tidak pelik apabila PAS dipacu perjuangan oleh para Ulamak kerana intipati kerja PAS ialah dakwah dan kerja dakwah adalah kerja utama para alim ulamak.

PAS subur terutamanya di pondok-pondok dan pusat pengajian Islam. PAS di bumi yang subur dengan ilmu seperti Kelantan kerana realiti misi PAS ialah dakwah Islam.

Apabila berkuasa PAS memanfaatkan kuasa untuk menyedarkan umat tentang Islam. Pelbagai aktiviti dakwah dan pendidikan dipergiatkan. Undang-undang digubal untuk manfaat dakwah Islam.

Selama 13 tahun Nabi saw berdakwah di Makkah untuk mengajak manusia mengenali Islam dan membina pemerintahan Islam. Perjuangan baginda berkisar pada memperhambakan diri kepada Allah dan menentang taghut. Orang-orang Mekah menolak. Akhirnya orang-orang Yathrib menerima dakwah Nabi saw lalu selepas 13 tahun berdakwah tertegaklah negara Islam yang dinamakan al-Madinah. Madinah ditadbir dengan Islam menerusi Nabi saw sebagai pemerintah seterusnya disambung oleh para Khulafa Rasyidun.

Legasi pemerintahan Islam setrusnya disambung oleh Khilafah Bani Umayyah berpusat di Dimasyq, setrusnya Khilafah Bani Abbas berpusat di Baghdad dan akhirnya Khilafah Uthmaniyyah berpusat di Turki. Sehingga 1924 umat Islam berpayung kepada kerajaan Islam yang besar ini.

Awal abad ke 20 menyaksikan kelemahan kerajaan Islam Uthmaniyyah. Di era kejatuhan Khilafah Uthmaniyah di Turki negara-negara umat Islam berhadapan dengan penjajahan kuffar yang dikepalai oleh Inggeris, Belanda, Itali, Perancis, Rusia dan Amerika di samping Portugis. Umat Islam bangkit menentang penjajahan. Bangkit gerakan-gerakan Islam di seluruh bumi umat Islam. Apabila negara-negara umat Islam menerima kemerdekaan daripada para penjajah pada pertengahan abad ke 20 negara mereka diwarisi pemerintahannya oleh muslim yang berfikiran dan berfikrah penjajah.

Di sinilah datang peranan gerakan Islam untuk mengembalikan Islam ke tampuk kuasa dan pemerintahan. Begitulah PAS berjuang sejak 1951 sebagai kesinambungan bagi gerakan Islam sebelumnya bagi mengembalikan kuasa Islam di Malaysia.

Ahli-ahli PAS tidak dapat memisahkan dirinya daripada kerja dakwah. Untuk itu mereka sendiri dipersiapkan untuk menjadi pen dakwah. Aqidah, Syariat dan Akhlak mereka dipersiapkan untuk menajdi pendakwah.

Untuk itu pelbagai program pembinaan sakhsiah dakwah disusun dan perlu diikuti oleh ahli-ahli PAS. Usrah dan Tamrin menjadi sebahagian agenda kehidupan peribadi ahli-ahli PAS. Kehidupan para Sahabat Nabi saw di awal Islam tak lari daripada pertemuan kecil-kecilan seumpama usrah. Fatimah adik kepada Umar bin al-Khattab bersama suaminya Sa'id bin Zaid dan Khabbab bin Arat. "berusrah" dengan membaca al-Quran di saat Umar bin Khattab yang belum lagi Islam datang menyerbu dengan kemarahan. Rumah al-Arqam bin Abil Arqam menjadi lokasi ber"tamrin" para Sahabat Nabi saw di Mekah.

Dakwah tidak boleh dipisahkan dengan ilmu. Maka ahli-ahli PAS mesti melazimi diri mereka dengan majlis ilmu. Bukanlah ahli PAS mereka yang tidak cintakan ilmu dan majlis ilmu.
إِذَا مَرَرْتُمْ بِرِيَاضِ الْجَنَّةِ فَارْتَعُوا " قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا رِيَاضُ الْجَنَّةِ قَالَ : مَجَالِسُ الْعِلْمِ
Apabila kamu melintasu taman-taman syurga maka meriahkanlah. Ditanya kepada baginda saw; apakah taman-taman syurga itu? Baginda saw menjelaskan; majlis-majlis ilmu. - Hadis riwayat Muslim

Mereka mendampingi para ulamak yang menyampaikan ilmu. Bukanlah ahli PAS mereka yang membenci dan bermusuh dengan para alim ulamak. Diriwayatkan Luqman al-Hakim menasihati anaknya:
يا بنى جالس العلماء، وزاحمهم بركبتيك، فإن الله يحيى القلوب بنور الحكمة، كما يحيى الأرض الميتة بوابل السماء
Wahai anakku; dampingilah alim-ulamak. Sesakkan mereka dengan kedua-dua lutu. Kerana sesungguhnya Allah menghidupkan hatihati dengan cshaya hikmah kebijaksanaan sebagaimana Allah menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat dari langit.

Surau dan masjid adalah agenda kehidupan seorang muslim. Apatah lagi ahli-ahli PAS yang membawa misi dakwah. 
أَلَا أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتُ؟ قَالُوا : بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ : إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الصَّلَاةِ فَذَلِكُمُ الرِّبَاطُ
Mahukah kamu aku tunjukkan sesuatu yang Allah haluskan dengan kesalahan dan Allah mengangkat darjat? Mereka menjawab bahkan ya Rasulullah. Jelas baginda saw; sempurnakan wuduk ketika sukar, banyakkan melangkah ke masjid-masjid dan menanti solat selepas berakhir solat. Itulah ribat (ikatan).

PAS sebagai gerakan politik terlibat dengan usaha mendapatkan kuasa dengan tujuan mewujudkan pemerintahan berdasarkan al-Quran dan Hadis. Fikrah perjuangannya ialah firman Allah;
إن الحكم إلا لله أمر ألا تعبدوا إلا إياه ذلك الدين القيم
Tiada hukum pemerintahan melainkan milik Allah. Dia memerintahkan agar kamu tidak menjadi hamba melainkan kepada-Nya. Itulah ad-Din yang lurus. - Surah Yusuf ayat 40.

Pemerintah yang sebenar adalah Allah. Nabi saw berfungsi memerintah dengan apa yang diperintahkan oleh Allah. Para Khulafa dan pemerintah selepas Nabi berfungsi
نيابة عن النبوة في إقامة الدين وسياسة الدنيا به
Penggantian bagi kenabian dalam menegakkan agama dan mentadbir dunia dengan agama.

Justeru, pemerintahan dalam Islam adalah dengan matlamat menyebarkan Islam dan menegakkan hukum-hakam Islam serta mentadbir negara dengan dasar-dasar agama.

Dasar ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan, hal ehwal luar dan dalam negeri, keselamatan dalam negeri, keamanan negara dan hubungan antarabangsa mesti berlandaskan Islam.

PAS menolak sistem ekonomi berasaskan riba kerana ia diharamkan oleh Allah.

PAS menolak sistem cukai GST bukan kerana ia tidak sesuai dalam suasana kenaikan harga barang dan dan ekonomi negara pincang tetapi kerana sistemnya bercanggah dengan Islam.

PAS memperjuangkan undang-undang jenayah Islam kerana itulah perundangan terbaik yang terbukti sepanjang sejarah dunia berjaya mengekang jenayah ekonomi, kemasyarakatan, agama dan keluarga.

PAS memperjuangkan keadilan untuk semua dan bukan hak samarata untuk semua. Keadilan tidak bererti kesamarataan.

PAS menegaskan bahawa setiap orang berhak mendapatkan kekayaan dan menikmati kekayaannya tetapi mereka mempunyai kewajipan harta melibatkan golongan miskin.

Golongan pemodal yang kaya tidak boleh melakukan manipulasi dan monopoli hingga menjejaskan kitaran ekonomi masyarakat.

PAS menolak perjuangan hak asasi melampau sehingga menghalalkan hubungan seks songsang.

PAS mempertegaskan hak istimewa orang Melayu berasaskan keadilan sosial yang ditegaskan oleh Islam.

PAS mempertahankan sistem beraja Malaysia kerana ia menjadi pelindung kepada Islam dalam kerangka perlembagaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Perjuangan PAS bukan bermaksud menukar orang yang menjadi pemerintah tetapi menukar dasar pemerintahan. Hanya pemerintahan Islam yang menjamin sebenar-benar keadilan.

PAS menolak sekularisma dan sosialisme. Allah berfirman:
وَلَقَدْ بَعَثْنَا فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُولًا أَنِ اعْبُدُوا اللَّهَ وَاجْتَنِبُوا الطَّاغُوتَ ۖ فَمِنْهُمْ مَنْ هَدَى اللَّهُ وَمِنْهُمْ مَنْ حَقَّتْ عَلَيْهِ الضَّلَالَةُ ۚ فَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُكَذِّبِينَ
Dan sememangnya Kami telah bangkitkan pada setiao umat seorang Rasuk untuk menyeru; hendaklah kamu mengabdikan diri kepada Allah dan hendaklah kamu menjauhi taghut-taghut. - surah al-Nahl: ayat 36.

Taghut adalah selain daripada Islam. Sebarang yang bercanggah dengan Islam adalah taghut. Perjuangan PAS ialah menghancurkan taghut dan menggantikan ditempatnya Islam. PAS tidak berjuang untuk menukar jahiliyah dan digantikan tempatnya jahiliyah juga.

PAS tidak beriman dengan pemikiran sekular dan sosialis dalam pentadbiran. Maka tidak berjuang untuk meruntuhkan sekukar dan digantikan dengan sekular lain atau sosialis baru.

Pemikiran sekular meletakkan agama sebagai picisan dan tidak menjadikan agama tonggak dan dasar rujukan pemerintahan.

Pemikiran sosialis yang mengagungkan kesamarataan sosial tidak semuanya selaras dengan Islam. Keadilan yang diperjuangkan oleh Islam tidak berarti memberi hak samarata kepada manusia

Malah PAS tidak beriman dengan sistem demokrasi dalam pemerintahan kerana demokrasi hanya bertuhankan keputusan majoriti semata-mata meskipun bercanggah dengan Islam. Tetapi menjadikan demokrasi sebagai alat semasa untuk mendapatkan kuasa dan menyebarkan Islam.

Ahli-ahli perlu menghayati fikrah perjuangan ini. Segala program dan aktiviti mestilah disusun selaras dan bermatlamatkan fikrah perjuangan PAS. Sebarang kecelaruan fikrah perlu dijernihkan. Segala kerosakan fikrah perlu dibuang dan dihapuskan. Kemenangan Islam adalah janji Allah untuk orang yang beriman dan beramal soleh.

Sekian.
Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive