HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Sunday, May 31, 2009

Siri Fikrah Bina Pemuda . vol 6

PEMUDA :
MESIN PENJANA KEMENANGAN

Pemuda adalah mesin penggerak yang bertanggungjawab mengaktifkan seluruh organ parti agar tidak sekadar berfungsi tetapi mampu mencetus gerakkerja berkesan , menumbuh kesedaran ahli , meraih sokongan pengundi dan membawa pulang 'tropi' kemenangan .

Jentera pemuda menjadi sandaran parti dan harapan ummah yang mahukan agenda perubahan berjaya dilaksanakan dengan baik . Pendek kata , sebahagian dari faktor kemenangan parti dalam pilihanraya bergantung kepada sejauh mana keupayaan dan kemampuan jentera melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dengan amanah dan istiqamah .

Apa yang paling penting , ia turut bergantung kepada tahap prestasi diri setiap individu pemuda , apakah ia menepati piawaian jentera yang ikhlas , taqarrub Ilallah , soleh , benar dan sebagainya yang mampu meraih redha Allah swt. sehingga turun nusrah atau mau'nahNya .

Syarat Menang Mestilah Berjuang

Saya mengharapkan Jentera Pemuda dapat melaksanakan tanggungjawab ini [ berjuang dan menang ] dengan penuh dedikasi dan 'memberi' yang terbaik . Tampil dengan himmah yang tinggi , syaksiyyah yang solehah dan perwatakan yang meyakinkan sebagai duta parti .

Ingatlah , bahawa kita menyertai perjuangan ini bukan kerana tuntutan demokrasi jauh sekali untuk beriman dengan demokrasi , tetapi kita menyertainya justeru ia adalah amanah untuk membawa risalah perjuangan suci yang kita dokong selama ini dan mendaulatkannya iaitu syariat Islam dan seluruh syiarnya .

Ertinya kita mesti bekerja gigih dan tekun , serta teliti tanpa peduli apa halangan yang terpaksa kita hadapi sebagaimana kita bekerja keras dan rajin , serta tegas tanpa menghiraukan apakah keputusan yang akan kita perolehi , menang atau kalah .

Berkali telah saya tegaskan bahawa perjuangan kita tidak syarat menang , tetapi untuk mencapai kemenangan syaratnya mestilah kita berjuang .

Sekurang - kurang perkara yang perlu dilakukan oleh Pemuda ialah :

1. Spiritual Yang Akrab .

Maksudnya : Pemuda jangan turun beraksi [ berjuang ] tanpa mempersiapkan diri dengan kerohanian yang akrab atau erat hubungan dengan Allah swt. Turunlah dengan nama Allah swt. bersama iringan doa memohon restu Allah swt agar apa jua bidang tugasan yang kita lakukan beroleh kejayaan dan hasil yang gemilang .

Janganlah kerana tugas kononnya , kita abaikan tanggungjawab asas kita sebagai seorang hamba Allah swt dan menjarakkan hubungan kita denganNya . Sebagai contoh , mengabaikan solat 5 waktu dan meringan - ringan solat berjamaah atas alasan keletihan setelah berjaga malam dengan kerja dan tugasan yang banyak .

Konsisten dengan munajat dan solat hajat adalah suatu yang sentuhan terbaik jika dilakukan oleh jentera sendiri berbanding orang lain tanpa menafikan orang lain juga perlu terus bermunajat .

2. Akhlak Mahmudah.

Merujuk kepada syakhsiyyah atau peribadi yang terpuji . Bukan hanya terhenti kepada perilaku tetapi juga tutur bicara , penampilan , pakaian , interaksi dan segalanya mestilah lunak , berhemah dan menawan hati .

Saya percaya , pemuda antara orang yang paling letih dan penat sepanjang tempoh perjuangan ini. Kekadang mereka tidak sempat makan dan tidak cukup tidur demi memastikan segala urusan dan gerakkerja berjalan lancar mengikut jadual . Waktu - waktu beginilah emosi mudah terganggu dan kesabaran mudah tercabar .

Pemuda mesti tabah dan berjiwa besar . Bekerjalah dengan tenang dan senantiasa bertindak sambil mengorak senyuman yang menggamit damai setiap orang yang berurusan dengan jentera pemuda . Sabarlah menghadapi karenah orang ramai yang pastinya pelbagai ragam . Anggaplah segalanya adalah ujian dan kita tanganinya dengan hikmah dan sakinah .

Tambahan pula berdepan provokasi musuh , pemuda mestilah bijak mengawal keadaan dan awasi situasi agar tidak terperangkap .

3. Dengar dan Taat .

Suasana berjuang seringkali meletakkan pemuda berhadapan dengan arahan yang bersifat ad hoc atau tugasan diluar garis pandu dan bidang tugas yang telah diputuskan . Pemuda mesti sabar dan tabah menghadapi keadaan ini . Jangan merajuk apalagi menunjuk sikap protes terhadap pimpinan . Sekalipun pemuda tidak mampu melakukan arahan tersebut , maklumkanlah keuzuran dengan beradab dan baik .

Laksanakan tugas atau arahan sebaik mungkin dengan hati yang mengharapkan redha Allah swt dan mengharapkan keputusan yang positif serta hasil kerja yang terbaik . Jangan sekali - kali melaksanakan tugasan secara sambil lewa atau sekadar melepaskan batuk ditangga .

Bekerja dan berjuanglah dengan rasa bangga bukan rasa bersalah meskipun kita berhadapan dengan penguasaan musuh . Selesaikan tanggungjawab sebagaimana yang diharapkan semampu mungkin sekalipun kita terpaksa mengorbankan kepentingan diri seperti masa , wang ringgit , tenaga malah darah dan nyawa jika perlu .

4. Faham dan Ikhlas

Pemuda mestilah terlebih dahulu menguasai satu - satu bidang atau perkara yang diamanahkan kepadanya sebelum dilaksanakan agar menghasilkan keputusan yang baik . Jangan segan untuk bertanya dan jangan rasa rendah diri untuk menerima tunjuk ajar walau dari sesiapa . Apatah lagi menerima tunjuk ajar dari pimpinan atau mereka yang berpengalaman .

Pemuda mestilah faham matlamat dan objektif sesuatu tanggungjawab yang digalaskan kepadanya dan laksanakannya kerana Allah swt bukan kerana manusia atau lainnya. Setiap masaalah yang timbul mestilah segera dirujuk kepada pihak yang berhak membuat keputusan .

Lantaran ikhlas kita kepada Allah swt , maka kerja yang kita lakukan jangan mengharap imbuhan apalagi pujian manusia . Saya tidak nafi bahawa setiap kerja perlukan peruntukan kewangan , namun kita menyedari bahawa peruntukan tidak semesti cukup dan memadai . Kita memerlukan pengorbanan untuk berjaya dalam perjuangan ini .

5. Tindakan berasaskan Syura.

Elakan sikap bertindak sendirian , demikian juga keputusan sendiri mestilah dihindarkan sebaliknya merujuk kepada keputusan bersama yang diputuskan melalui mesyuarat samaada diperingkat jentera dalam bidang kuasa tertentu atau keputusan yang telah diambil oleh kepimpinan parti .

Mungkin sesuatu keputusan itu tidak menepati selera dan kemahuan kita . Maka kita mestilah bertanggungjawab dengan keputusan tersebut dan laksanakan amanah tanpa sebarang rasa ralat di dalam hati .

Contoh : Isu penetapan calon yang bertanding dalam pilihanraya . Besar kemungkinan calon yang diputuskan oleh pimpinan kelak bukanlah calon favourite kita , maka kita tidak perlu gundah jauh sekali berpaling tadah meninggalkan jamaah atau tutup pos sebagai protes .

Kita berjuang kerana Allah swt bukan kerana calon dan bukan kerana sesiapa . Keputusan syura insyaallah akan membawa kebaikan kepada kita , jamaah dan perjuangan Islam itu sendiri insyaallah .

Bagaimana Pemuda Menggerakkan Perjuangan Memburu Kemenangan

Sabda Rasulullah saw :

و من أبي عبد الله خباب بن الأرت رضى الله عنه قال شكونا إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم وهو متوسد بردة له في ظل الكعبة فقلنا : ألا تستنصرلنا ؟ ألا تدعولنا ؟ فقال : قد كان من قبلكم يؤخذ الرجال فيحفر له في الأرض فيجعل فيها ثم يؤتى بالمنشار فيوضع على رأسه فيجعل نصفين و يمشط بأمشاط الحديد ما دون لحمه و عظمه ما يصده ذلك عن دينه و الله ليتمن الله هذا الأمر حتى يسير الراكب من صنعاء إلى حضر موت لا يخاف إلا الله و الذئب على غنمه و لكنكم تستعجلون

Maksudnya : Dari Abi Abdullah Khabbab bin al Arat Rha. telah berkata : Kami telah mengadu kepada Rasulullah saw sedang Rasulullah saw pada waktu berbaring di bawah naungan Kaabah berbantalkan serban . Maka kami bertanya : Apakah Tuan tidak berdoa memohon kemenangan bagi pihak kita ? Adakah tidak Tuan berdoa bagi pihak kita ?

Maka berkata Rasulullah saw : Sesungguhnya orang - orang sebelum kamu , ditangkap seorang lelaki lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya , kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya , namun demikian itu tidak memalingkan ia dari agamanya.

Demi Allah . Nescaya Allah menyempurnakan urusan ini ( agama Islam ) sehinggalah musafir dari Sana'a ke Hadhra Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah , akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh .

Riwayat Imam Bukhari

Keghairahan untuk meraih kemenangan perlu ditenangkan seraya kita merujuk kepada manhaj perjuangan Nabi kita Muhammad saw bagaimana baginda saw. membina kemenangan .

Hadis yang saya bawa sebagai renungan kita pagi ini memaparkan bagaimana sikap Nabi saw disaat berhadapan dengan keadaan yang sangat kritikal , apabila para sahabat rhm. sering di siksa dengan dahsyat oleh kuffar musyrikin .

Antara mereka ialah Khabbab al Arat yang disalai oleh musyrikin di atas bara api dan dikelar jasadnya dengan besi panas sehingga masak dan luluh daging jasadnya . Kesan penyiksaan tersebut meninggalkan parut yang sangat hodoh pada diri Khabbab . Satu ketika Khabbab rha inilah yang pergi bertemu Nabi saw. yang sedang beristerehat di tepi Kaabah lantas bertanya : Apakah Tuan tidak berdoa kepada Allah agar kita menang ?

Sahabat Pemuda sekelian :

Yang bertanya ialah insan yang berjuang malah menghadapi penyiksaan dahsyat oleh musuh dengan begitu tabah sekali . Yang bertanya ialah sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk pertahankan prinsip dan pegangan agama . Insan yang bertanya ialah sahabat yang telah mewaqafkan dirinya untuk Islam dan perjuangan suci ini , tiba - tiba ..

Nabi saw. menjawab bahawa orang terdahulu lebih teruk menerima penyiksaan dari musuh - musuh Allah swt sehingga ada yang digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan jasadnya disikat dengan sikat besi sehingga bercerai daging dari tulangnya namun mereka tetap mempertahankan agamanya .

Maka kamu yang datang meminta - minta agar di doakan kemenangan , biarpun kamu sangat perit berhadapan dengan kezaliman musuh , kamu adalah golongan yang gopoh dan tidak sabar menanti kemenangan yang dijanjikan Allah swt .

Sifat Kemenangan .

Kemenangan adalah suatu yang dianugerah oleh Allah swt . Ianya ( kemenangan ) tidak boleh dicipta oleh kita dengan maksud tiada kemenangan buatan kita selain ia anugerah Allah swt dan tiada short cut untuk mencapai kemenangan . Demikianlah sunnatullah terhadap kemenangan atau nusrah yang dijanjikan buat mereka .

Pengertian lain yang senada dengan maksud perbahasan ini ialah betapa tidak sekali - kali tidak kita memetik buah yang belum masak .

Sebagai analogi yang boleh saya bentangkan sebagai renungan kita bersama ialah bagaimana situasi seekor anak ayam yang masih berada di dalam cengkeram telor sebelum ia dilahirkan ke bumi yang ganas ini .

Anak ayam di dalam cengkerang telor tersebut , mahu tidak mahu ia terpaksa menunggu satu tempoh matang ia menetas dan akhirnya hidup untuk membesar seperti ayam yang lain . Andai kata anak ayam ini tidak sabar untuk menetas demi melihat alam yang indah ini lalu ia cuba untuk memecahkan cengkerang telor dari dalam dengan paruhnya yang masih muda , nescaya usahanya itu gagal dan sia - sia .

Sikap tidak sabar ibunya juga boleh membawa padah kiranya tidak sabar ingin melihat anak kesayangannya lahir atau menetas lalu ia memecahkan cengkerang telor itu dengan paruhnya yang kuat , maka keluarlah anaknya tetapi tidak mampu bertahan lama kerana belum masanya yang matang bagi ia hidup . Anak ayam itu akan mati binasa angkara sikap gopoh ibunya.

Syarat Kemenangan

Saya kira demikianlah perihal perjuangan yang kita dokong ini . Walaupun kita ini bukanlah anak ayam yang masih lemah tetapi kita mesti sabar menanti detik kemenangan yang bakal di anugerahkan oleh Allah swt setelah kita berjaya mendatangkan syarat - syarat kemenangan dengan baik dan berkesan .

Kita mesti mengambil sunnatullah dalam perjuangan suci ini dengan kita

- gigih berjuang ,
- ikhtiar melepasi segala cabaran ,
- ikhlas dan istiqamah dalam mengenderai perjuangan ,
- tabah mendepani ujian serta halangan dan
- berkorban apa jua sebagai taruhan buat perjuangan mulia ini .

Jangan sekali - kali kita menerobos keluar dari landasan sunnatullah ini kerana tidak sabar hendak menang dengan hanya kita melihat riak - riak kemenangan yang tidak pasti tetapi sarat dengan janji - janji manis kemenangan kononnya.

Saya sudah menjangkakan , jika kita berfikir demikian pasti ada orang kata inilah golongan yang masih berminda pembangkang bukan minda pemerintah .

Kita bukan tidak mahu kemenangan , tetapi kita mestilah melihat kepada beberapa persoalan bersama jawapannya terlebih dahulu .

Pertama : Untuk apa kemenangan itu mahu dicapai ? apakah ia bermaksud memberi kemenangan kepada Islam ?

Kedua : Bersediakah kita dengan kemenangan ? apakah kemenangan itu kelak tidak menjadi fitnah kepada kita dan perjuangan yang didokong ini ?

Ketiga : Bagaimana kemenangan itu dicapai ? apakah ia tidak melanggar batas syara' dan prinsip amal islami ? kerana sudah tentu kaedah Islam ialah Matlamat tidak menghalakan cara .

Semua persoalan diatas mesti dijawab dengan hati yang jujur , jiwa yang tulus dan aqal yang ikhlas mengenai bagaimana situasi kita terhadap kemenangan yang ingin dicapai .

Tiada Short Cut dalam Mencapai Kemenangan .

Short cut bagi mengusahakan kemenangan buat perjuangan kita yang murni ini , ia mungkin boleh tercapai tetapi ia hanyalah sebuah kemenangan yang rapuh dan fragile .

Short cut hanya laluan yang sering digunakan oleh golongan musta'jilun ( gopoh ) yang mungkin berjuangnya tidaklah setara mana tetapi angin nak menang kelihatan berganda - ganda volumenya .

Pengalaman ditangkap , dipenjara , dimaki hamun , di ISA dan pelbagai penyiksaan tentu sahaja belum menyamai siksaan yang dialami oleh Khabbab al Arat yang telah dikelar jasadnya dengan besi panas . Bayangkanlah , betapa insan pejuang seperti Khabbab al Arat itu masih disifatkan oleh Nabi saw sebagai gopoh , maka apalah halnya kita hari ini yang masih tidak setahap mana pengorbanan untuk Islam .

Bukan bermakna kita tidak mahu menang dan selesa pula menjadi orang yang kalah , tetapi kita doakan agar kemenangan yang kita capai tidak menjadi fitnah kepada diri dan perjuangan Islam ini . Apa yang lebih jelas ialah kita berjuang dan berkorban sehabis daya dan upaya guna memastikan Islam berdaulat di atas tanahair kita dengan mengambil sunnatullah dalam perjuangan ini .

Antara sunnatullah dalam perjuangan ini :

Firman Allah swt :

لو كان عرضا قريبا و سفرا قاصدا لتبعوك و لكن بعدت عليهم الشقة

Jika sekiranya ( perjuangan ) ini suatu capaian hasil yang dekat dan perjalanan yang singkat nescaya mereka ( musyrikin ) akan mengikut engkau , akan tetapi ( perjuangan ) ini jauh perjalanannya dan dirasakan sukar ke atas mereka .

demikian juga Firman Allah swt :

و اذ يمكر بك الذين كفروا ليثبتوك أو يقتلوك أو يخرجوك و يمكرون و يمكر الله و الله خير الماكرين

dan ingatlah ketika orang - orang kafir merancang untuk memenjarakan kamu , membunuh kamu dan menghalau kamu keluar daerah , mereka merancang dan Allah swt juga merancang dan Allah swt sebaik - baik perancang .

Surah al Anfaal . Ayat : 30

- Jauh perjalanan ,
- sukar halangannya ,
- dipenjara ,
- dibunuh dan
- dihalau

adalah 5 item sunnatullah yang mesti ditempuh melengkap manhaj perjuangan ini.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive