Badar al Kubra : Izzah Perjuangan
1. Peristiwa besar yang diulang sebut saban Ramadhan ini adalah merupakan Daurah Tarbiyyah yang paling efektif dalam usaha melahirkan individu yang kental imannya dan kesatuan yang padu semangat jihadnya .
إنما المؤمنون الذين إذا ذكر الله و جلت قلوبهم و إذا تليت عليهم آياته
زادتهم إيمانا و على ربهم يتوكلون
Sesungguhnya orang - orang yang beriman ialah mereka yang gementar hati mereka apabila disebut nama Allah dan apabila dibacakan ayat - ayat Allah ke atas mereka maka bertambahlah iman mereka dan kepada tuhan mereka , mereka bertawakkal .
Surah al Anfaal : 2
2. Inilah peristiwa yang mengangkat martabat ummat setelah sekian lama ummat Islam dianjing kurap dan dituding bangsat oleh kuffar Musyrikin , kuasa besar dunia pada waktu itu . Tanggal 17 Ramadhan tahun ke 2 Hijrah , di bawah kepimpinan Musthafa saw . telah menjadi detik gemilang Islam sebagai Kuasa baru yang menghempas kebejadan musyrikin di muka dunia dengan tercetusnya Ghazwatul Badar .
و يريد الله أن يحق الحق بكلماته و يقطع دابر الكافرين
dan Allah swt mahu membenarkan kebenaran dengan ayat - ayatNya dan membinasakan orang - orang kafir hingga ke akar umbinya .
Surah al Anfaal : 7
3. Sejak dari tarikh bersejarah itu , Islam tidak lagi hanya sebagai prosedur peribadatan seperti yang difahami oleh mereka tetapi Islam yang mula menzahirkan cara hidup yang mengatasi sistem dan cara hidup ciptaan manusia .
ليظهره على الدين كله و كفى بالله شهيدا
Islam selepas Ghazwatul Badar adalah Islam yang tidak boleh dicabar dan dipermainkan . Samaada dicabar oleh musuh atau dipermainkan oleh penganut - penganutnya sendiri .
Islam selepas Ghazwatul Badar adalah Islam yang amat sensitif terhadap maruahnya . Mempertahankan Islam menjadi suatu kewajipan yang tiada pilihan lagi . Sikap teragak - agak dan penakut adalah 2 sikap yang asing dalam Islam .
Islam selepas Ghazwatul Badar adalah Islam yang mengenakan tindakan keras dan tegas kepada mereka yang tidak memperjuangkan Islam dan bersambil lewa .
[ Rujuk ayat 38 - 39 dari surah at Taubah dan perbahasannya ]
4. Demikianlah Ghazwatul Badar merubah situasi perjuangan setelah 13 tahun meredah sejarah pahit dan getir di tanah gersang Makkah al Mukarramah segersang aqidah penghuninya ketika itu . Peristiwa agong yang berlaku pada peringkat awal pembinaan daulah Islamiyyah ini adalah suatu peristiwa yang mengajar ketololan kuffar durjana , sehingga akhirnya musuh menjadi perit dan gerun terhadap Islam . Justeru itu , usahlah takut dan bimbang lagi kepada musuh tetapi takutlah kepada Allah swt .
اليوم يئس الذين كفروا من دينكم فلا تخشوهم و اخشون
Hari ini , orang - orang kafir telah berputus asa terhadap agama kamu maka janganlah kamu takut kepada mereka tetapi takutlah kepadaku .
5. Namun malangnya kita ditaqdirkan hidup dizaman ini . Suatu zaman berlakunya kecelaruan peradaban . Agama ditunggangterbalikkan , juhala' bermaharajalela dan ulama' bersandiwara . Agama digunakan hanya apabila perlu dan dibuang sekehendak laku mereka . Jihad dianggap out of date , mujahid dilabel ekstrim , prejudis dan fundamentalis . Sementara proses pemurtadan ummat melalui kebebasan media cetak dan elektronik kian memuncak .
6. Kita ditaqdir hidup dizaman ini . Di zaman tiada lagi ruh Ghazwatul Badar . manusia memburu harta dan perempuan dengan memperkudakan nafsu serakah . Persaudaraan ummat kian lebur dek bahana egoistik yang menular . Hukum hakam Islam dijadi bahan lelucon umum .
7. Kita ditaqdir hidup di zaman ini . Zaman ummat Islam kian lesu . Dhomir [ sanubari ] untuk mempertahan maruah Islam telah pudar . 1001 jenis alasan ummat kini untuk mengelak diri dari tugas jihad ini . Roh Ghazwatul Badar tiada lagi .
8. Akhirnya dunia menyaksikan penguasaan ummat Islam gugus berantakkan . Ummat menjadi hina di bumi sendiri , ummat dijajah dalam kerajaan sendiri dan ummat miskin dalam pemilikan hasil mahsul sendiri . Ummat islam lemah dalam jumlah mereka yang ramai berbanding jumlah tentera Badar hanyalah 313 ketika berdepan dengan kuffar Musyrikin yang memiliki lebih 1000 orang .
9. Kekuatan ummat terdahulu adalah kerana mereka banyak bergantung kepada kekuatan Allah swt dan pertolonganNya . [ boleh rujuk ayat 9 hingga 12 dari surah al Anfaal dan perbahasannya untuk mendapat penjelasan . ]
10. Ghazwatul Badar adalah sejarah yang memberitahu dunia bahawa Islam tidak sendirian tetapi memiliki Nusrah daripada Allah swt . namun soalnya sekarang , kenapa ummat ini lemah ? di manakah Nusrah itu ?
Nusrah [ pertolongan Allah ] diangkat kerana 6 perkara :
a. Tidak thabat dalam perjuangan
b. Tiada ketaatan kepada Allah dan RasulNya
c. Berlaku tanazu' [ perselisihan faham ] sesama sendiri
d. Tidak sabar
e. Angkuh dan Riya'
f. Halang orang lain berjuang sedang diri tidak mampu .
Rujuk ayat 45 - 46 surah al Anfaal
1 comments:
Allahu Akbar !!!
Allahu Akbar !!!
Allahu Akbar !!!
Salam Ustaz...
Mohon izin kebenaran, jika boleh menyalin entri yang sangat menggugah semangat perjuangan ini ke dalam blog saya, http://mhuzazi.blogspot.com
Post a Comment