HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Thursday, September 10, 2009

Kitab inikah UMNO tak jumpa ?

1. Malam ni agak sepi . Saya sendiri mula rasa sunyi apabila jauh dari program - program jamaah . Bukan tak nak hadhir , tetapi belum ada keupayaan untuk bertindak . Demam masih belum kebah sepenuhnya dan akibat batuk yang serius , kini saya alami radang dikerongkong dan membuatkan saya kehilangan suara untuk bercakap jauh sekali untuk berpidato .

2. Kesempatan ini saya nak minta maaf banyak - banyak dari sahabat seperjuangan kerana sepanjang Ramadhan ini , urutan keuzuran yang dialami , tidak banyak program yang boleh saya hadhir . Begitulah juga kepada penganjur - penganjur program yang terpaksa mencari ganti di saat akhir atau membatalkannya kerana kegagalan saya untuk hadhir . Insyaallah , sebaik sahaja saya sihat , saya akan ganti semua program yang tergendala dan terbengkalai . Semoga Allah swt memberikan keafiatan dan kesejahteraan buat diri ini untuk terus mewaqafkannya kepada perjuangan Islam yang suci ini .

3. Kesepian dan kesunyian memang amat menyulitkan jiwa ini yang telah terbiasa dengan keriuhan aktiviti dan gerakkerja jamaah . Namun saya bersyukur kerana peluang ini dapat dimanafaatkan untuk menelaah nota - nota lama dan juga kitab - kitab kuliah yang didhobit semasa menuntut di Tanta dulu .

4. Sebentar tadi , sedang membelek nota lama , saya terbaca satu ayat yang saya jadikan muqaddimah teks ucapan saya sekitar tahun 1993 ketika saya menjawab hujjah pihak PPMM [ Persatuan Pelajar Malaysia Mesir ] yang ditubuhkan oleh pihak Kedutaan Malaysia di Mesir bagi menyaingi PMRAM [ Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir .]

5. Masa tu , PPMM yang rata - rata ahlinya adalah UMNO juga mengajak lebih 6000 pelajar Malaysia di Mesir bernaung dan bersatu di bawah persatuan mereka dan sesekali pemimpin mereka seperti mengajak pemimpin PMRAM untuk berunding dengan mereka bagi menyelesaikan masaalah pelajar kononnya sedang PPMM adalah sebuah pertubuhan haram yang ditubuh untuk memecah belahkan pelajar yang sebelumnya tenang dan damai bernaung di bawah PMRAM sebagai sebuah pertubuhan yang berdaftar dengan Kerajaan Mesir bahkan kewujudannya sebelum wujudnya kedutaan Malaysia di Mesir .

6. Ayat yang saya maksudkan tadi ialah ayat :

واعتصموا بحبل الله جميعا و لا تفرقوا و اذكروا نعمة الله عليكم إذ كنتم أعداء فألف بين قلوبكم فأصبحتم بنعمته إخوانا و كنتم على شفا حفرة من النار فأنقذكم منها كذالك يبين الله لكمءاياته لعلكم تهتدون

Surah aali Imran : 103

Berpegang teguhlah olehmu kesemuanya dengan tali Allah swt dan jangan sekali - kali kamu berpecah belah dan ingatlah akan nikmat Allah swt ke atas kamu , ingat lah ketika mana kamu saling bermusuhan maka Allah satukan hati - hati kamu sehingga dengan nikmatNya ini kamu bersaudara dan ingat lah jua detik kamu berada di jurang api neraka lalu Allah swt menyelamatkan kamu dari disambar olehnya . Demikianlah keterangan ayat - ayat Allah swt kepada kamu , mudah - mudahan kamu mendapat petunjuk .

7. Saya jadikan ayat ini sebagai muqaddimah ucapan saya pada waktu itu [ 1993 ] kerana ayat yang sama digunakan oleh PPMM untuk kempen mereka mencari ahli baru . Samalah situasinya dengan UMNO dan BN hari ini yang kembali mendendangkan slogan rundingan dan mengajak PAS menyertainya .

8. Saya berpendirian bahawa seruan atau ajakan untuk bersatu , berunding , berbincang atau apa sahaja yang membawa maksud yang sama adalah suatu yang positif dan sangat bertepatan dengan saranan agama Islam yang suci . Tinggal lagi asas untuk bersatu , asas rundingan , asas perbincangan dan sebagainya mestilah بحبل الله [ tali Allah / kitab atau agama Allah ]

9. Bersatu untuk toghut adalah terlarang . Berunding untuk menyuburkan kemungkaran jua haram dan berbincang untuk lawan Islam adalah jenayah .

10. Justeru itu , kalau UMNO mahu mengajak orang bersatu dengannya , berbincang dan berunding dengan mereka , asasnya mestilah berpegang teguh dengan kitab Allah swt jangan sekali - kali memisahkannya . Apatah lagi yang diajak oleh UMNO ialah PAS sebagai sebuah Gerakan Islam maka terlebih layak UMNO dan BN menjadikan Islam dan Kitab sucinya sebagai tempat kembali jua sumber rujukan .

11. Dasar kebangsaan dan asas perkauman seperti yang diperjuangkan oleh UMNO dan BN tidak akan bawa ke mana . Kalau nak bincang juga , bukan PAS tak nak tetapi memang tidak boleh !

12. Mana boleh bincang bagaimana nak perkukuhkan semangat perkauman ! mana boleh runding macam mana nak lakukan rasuah ! Tidak boleh kita bersatu atas dasar kebangsaan dan perkauman .

13. Justeru itu , saya dengan segala kerendahan diri menyeru agar UMNO dan BN mengubah dasar perjuangannya dari Kebangsaan kepada Islam . Waktu dan peluang masih terbuka untuk UMNO dan seluruh anggotanya kembali ke pangkal jalan dan menerima Islam sepenuhnya lalu jadikan ia sebagai dasar hidup dan perjuangan .

14. Persengketaan PAS dengan UMNO bukanlah sukar untuk dilerai dan dirungkai , hanya menanti UMNO kembali kepada Islam dan mengambilnya sebagai asas perjuangan maka PAS bersedia menerima UMNO malah dikala itu , tiada lagi sebab kenapa mesti PAS dan UMNO bersengketa lagi . Waktu itu , hasrat UMNO mahu bersatu dengan PAS akan menjadikan kenyataan .

15. Islam adalah agama langit yang diturunkan oleh Allah swt bukan ciptaan manusia sebagaimana ideologi yang dianut oleh UMNO hari ini . Kenapa masih ragu terhadap Islam ? di manalah tidak benarnya Islam ? terima lah Islam nescaya UMNO akan selamat .

16. Tanpa Islam menjadikan UMNO terus angkuh dan hanyut dalam kemungkaran . Hidup dan perjuangan mereka bergelumang dengan dosa lantaran tiada konsep syurga neraka dan dosa pahala dalam perjuangan mereka .

17. Islam itu indah dan Islam menjadikan kita tenang dan bahagia di dunia bahkan di akhirat . UMNO tiada pilihan lain kecuali menerima Islam agama yang diwahyukan oleh Tuan empunya bumi ini . Terima Islam tidaklah menjadikan UMNO hilang apa - apa ! sebalik keadaan menjadi jauh lebih baik .

18. Sejurus UMNO menerima Islam sebagai dasar perjuangan maka kita bersaudara dan bersatu malah tiadalah lagi sebarang persengketaan dan permusuhan kecuali hanya ke atas orang - orang yang zalim .

19. Jika UMNO masih berkeras dan enggan menerima Islam sebaliknya terus bangga dengan dasar kebangsaannya , nescaya ia akan membawa kebinasaan kepada UMNO sendiri . Biarpun UMNO boleh mendabik dada kerana berkuasa lebih 50 tahun tetapi telah ada contoh bagaimana parti yang berkuasa selama 54 tahun seperti parti LDP di Jepun akhirnya tersungkur rebah dijatuhkan rakyat .

20 . Akhirnya saya seru sekali lagi agar UMNO kembali kepada Islam . Pemuda PAS sedia menjadi pembimbing untuk kita mencari keredhaan Allah swt. Seruan yang sama saya hulurkan bukan sahaja kepada UMNO tetapi juga kepada Sister In Islam , JAG dan mana - mana pertubuhan atau orang perorangan yang belum menjadikan Islam sebagai landasan perjuangan hidup mereka . Bahkan saya turut menawarkan Islam sebagai cara hidup kepada rakan - rakan dalam PAKATAN seperti PKR dan DAP .

Paling tidak .... jangan musuhi Islam yang diperjuangkan oleh PAS .

Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive