HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, March 23, 2011

Kelana di Lembah Multazam

1. Mencari redha Allah swt, memburu kasih sayang serta merebut kurniaanNya adalah satu perjuangan yang mesti dilakukan oleh setiap insan bergelar hamba. Meskipun terpaksa jauh berkelana, meredah samudera, membelah awan, merentasi sahara, menuruni curam, berselut lumpur, berlangir debu, berpenat lelah, bermandi peluh, bersengkang mata dan mengikat perut.

2. Insan bergelar hamba tentu sahaja tidak selesa menjalani kehidupan di alam buana ini tanpa restu Tuhan yang menciptanya. Justeru itu, mahu tidak mahu mereka terpaksa mencari jika belum ketemui, mereka terpaksa memburu jika masih jauh ketinggalan, mereka terpaksa merebut jika ruang dan peluang sangat tipis. Namun hitungan mereka sebagai seorang hamba ialah mendapatkan redha, kasih sayang dan kurniaan Allah swt.

3. Sayugianya buat hamba berstatus pejuang yang gigih menggalas tanggungjawab syariah dan amanah ummah. Mereka lebih berhak memiliki redha Allah berjanjikan pahala, berhak memiliki kasih sayang Allah berjanjikan kemenangan dan mereka juga berhak memiliki kurniaan Allah swt berjanjikan syurga Jannatu Naim.

4. Tentunyalah tidak semudah menatah bicara, melakar ungkapan dan melintas idea kerana sang pejuang mesti mencari, memburu malah merebutnya agar redha, kasih sayang dan kurniaan Allah menjadi hak milik kekal mereka bersama. Sementara musuh rakus mengepong, ghairah memfitnah, nekad menyerang dan licik memboloskan diri mereka, maka : 
  • pejuang mesti rapat dan akrab dengan Allah swt.
  • pejuang mesti ramah dan mesra dengan Allah swt.
  • pejuang mesti ingat dan cinta dengan Allah swt.
  • pejuang mesti baik dan asyik dengan Allah swt.
5. Pengalaman saya dan rakan - rakan anggota rombongan Umrah Tarbawi DPP Malaysia berada di dua Tanah Haram benar - benar menginsafkan. Bermula langkah kanan dari rumah beriringan azan yang dilaungkan, kami berkelana memasuki bumi Bangkok selama lapan jam, Cairo sepuluh jam sebelum sampai ke Jeddah, Madinah al Munawwarah dan Makkah al Mukarramah.

6. Sejurus tiba di Kota Madinah al Munawwarah, operasi mencari redha Allah, memburu kasih sayang dan merebut kurniaan Allah swt berjalan serentak. Kehidupan para tetamu Allah dan NabiNya saw berubah menjadi pantas segalanya. Kelihatan mereka mencari - cari . Mereka cari di mana pintu masuk Masjidin Nabawi. Mereka cari di mana Mihrab Nabi saw, mereka cari di mana Raudhah syurgawi, mereka cari di mana maqam Rasulullah dan para sahabat baginda saw. Mereka cari semuanya itu kerana mereka mahu mencari Redha Allah swt.

7. Kota Makkah al Mukarramah pula menyaksikan mereka mencari Babus Salam pintu masuk ke Masjidil Haram yang paling digemari oleh Rasulullah saw, mereka cari di mana letaknya kaabah al Musyarrafah, mereka cari di mana Maqam Ibrahim, mereka cari di mana Hijr Ismail, mereka cari di mana Multazam, mereka cari telaga zam - zam. Mereka cari segalanya kerana mereka mahu mencari Redha Allah swt.

8. Kedua Kota suci ini juga menjadi medan dan lapangan manusia memburu. Mereka buru waktu solat setelah mengintai jadual rutin hariannya. Mereka buru detik sesuai untuk meluru ke Raudhah, demikian juga ke arah Multazam, mereka buru miqat untuk memulakan ibadah umrah, mereka buru saf hadapan menghampiri maqam Rasulullah di Madinah dan menghampiri Kaabah di Masjidil Haram. mereka buru segalanya adalah kerana mereka mahu memburu kasih sayang Allah swt.

9. Seluas - luas bumi al Haram ini menjadi sempit disebabkan jutaan tetamu Allah swt. Situasi menjadi getir dan mencabar. Pergerakkan mereka seperti berebut - rebut. Sebenarnya mereka berebut peluang untuk minum air zam-zam, mereka rebut ruang untuk munajat di Raudhah Nabi saw, mereka rebut peluang untuk munajat di Multazam, mereka rebut peluang kucup Hajarul Aswad, mereka rebut segalanya adalah kerana mereka mahu merebut kurniaan Allah swt.

10. Rugi sungguh hamba yang malas dan pejuang yang pasif. Tidak mahu mencari, tidak mahu memburu dan tidak mahu merebut redha , kasih sayang dan kurniaan Allah swt. Sedang mereka sangat memerlukan redha, kasih sayang dan kurniaan Allah swt. Jika sejelas Kaabah, mereka malas nak cari, jika sedekat Raudhah, mereka malas nak buru, jika semudah Maqam Ibrahim, mereka malas nak rebut peluang sedang mereka mengaku pejuang, tolonglah sampaikan salam saya dan para tetamu Allah dari lembah Multazam buat mereka dengan lafaz, Assalamualaikum !

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive