HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, May 27, 2011

Nilai Sebuah Perubahan pada Jamaah Islam

1. Perubahan adalah suatu yang bersifat sunatullah. Namun perubahan mesti dipimpin agar menepati tuntutan Amal Islami, sementara jamaah atau parti ini memperjuangkan Islam. Malah perubahan mesti didokong oleh penggeraknya [Rijaalut taghyir] yang memahami matlamat dan objektif Jamaah Islam yang didokong ini.

2. Sifat positif pada sebuah perubahan yang digerakkan ialah untuk menganjak prestasi dan kualiti jamaah ke suatu tahap yang lebih baik dan cemerlang. Situasi ini agak subjektif dan memerlukan penelitian yang serius dan halus agar ia tidak diurus secara rambang dan boros tanpa mengambil kira hikmah [kebijaksanaan] dan himmah nya [kewibawaan]. Tentunya kita tidak mahu usaha merubah dan membaiki jamaah menjadi seumpama tikus membaiki labu.

3. Sebagaimana wujudnya sokong yang membawa rebah demikian juga gerakan perubahan yang tidak dipimpin dengan cahaya petunjuk Allah swt dan akhlak Islami akan membawa binasa. Pastinya kita tidak mahu ubah yang membawa rebah semata - mata kerana kegagalan mengurus perubahan dan memimpinnya dengan baik dan berkesan. Dalam erti kata lain, perubahan yang digerakkan mestilah menepati keperluan jamaah dan tuntutan ummah.

4. Jauhi elemen negatif yang bermaksud menggerak perubahan hanya pada mengalih posisi orang lain untuk menganjak posisi kita. Bahasa mudahnya ialah menjatuhkan kedudukan orang lain untuk memastikan survival pengaruh dan kedudukan kita di dalam parti yang kemudiannya dibina di atas nama gerakan perubahan kononnya. Perubahan ini tidak berlandaskan matlamat yang jelas selain memangku hasrat yang negatif [mazmumah].

5. Gerakan perubahan tidak boleh bertolak dari rasa tidak puas hati, sebaliknya ia mesti berpaksi di atas kesedaran dan keinsafan yang tinggi terhadap cita - cita perubahan tersebut serta memiliki matlamat dan objektif yang jelas, tepat dan benar. Justeru perubahan yang tidak mempunyai asas kukuh, pelan tindakan strategik dan hala tuju yang cerah lagi terang akan mencetus polemik yang merumitkan dan krisis yang menghakis kekuatan jamaah.

6. Manisnya perubahan itu digerakkan secara jamaei [kolektif] melalui keputusan bersama yang disepakati lantas digerakkan secara terancang berasaskan pelan tindakan yang diputuskan. Hindari perubahan yang dicetuskan oleh individu atau kumpulan dengan maksud ingin mempersada kumpulan mereka di atas tersadainya pihak lain. Perubahan begini akan menumbuhkan benih keretakan dan menajamkan perselisihan antara anggota jamaah tanpa menemui jalan sudahnya.

7. Sewajarnya setiap anggota jamaah mengalu - alukan gerakan Tajdid [pembaharuan], gerakan Islah [memperbaiki] dan gerakan Taghyir [perubahan] demi menempatkan jamaah pada kedudukan sesuai dengan keadaan dan zaman yang dihadapi. Malah mampu mendepani cabaran semasa dengan jaya dan berkesan. Sesuai pula dengan sifat Islam yang sangat mengalu - alukan ijtihad semasa [muaasirah] agar perlaksanaan Islam senantiasa segar dan pemafahamannya senantiasa jelas.

8. Membawa perubahan bukan untuk menyalahkan orang selain daripada kita atau menidakkan apa yang telah dilakukan oleh orang lain untuk jamaah. Perubahan juga tidak hanya terhenti pada menukar susuk tubuh pemimpin kepada pemimpin yang lain tetapi merangkumi perubahan pemikiran, budaya kerja, sikap dan sebagainya. Tiada keperluan membuat perubahan jika sekadar menukar kepada susuk tubuh pemimpin yang baru tetapi performance kerja dan tugas dengan jamaah sama atau lebih buruk dari yang sebelumnya.

9. Cerdasnya apabila perubahan yang cetuskan itu bermula dari pencetus dan penggeraknya.

Langkah pertama : tampil dengan performance atau komitmen kerja dan tugas yang baik agar kita tidak pula termasuk dari kalangan ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sebaliknya menjadi model perubahan secara praktikal. Justeru tiada erti kita gerakkan perubahan jika kita sendiri masih mengekalkan perkara yang serupa dengan yang sebelumnya.

Langkah kedua: sediakan frame perubahan secara jelas. Sekira - kira menjawab persoalan yang timbul seperti : apa yang mahu diubah ? nak ubah kemana? kenapa perlu ubah ? sasaran perubahan ? selain matlamat dan objektif perubahan itu mesti jelas, road mapnya juga mesti tidak berliku dan mengelirukan. Jangan hanya bercakap bahawa kita mahukan perubahan, kita mahukan perubahan, kita mahkan perubahan tetapi tiada persiapan dan persedian yang jitu untuk perubahan yang dimaksudkan.

Langkah ketiga : gerakkan perubahan ini mesti libatkan semua. Sekurang - kurangnya mewakili sebahagian besar anggota jamaah. Andai beberapa orang sahaja bercakap soal perubahan sedang sebahagian besar yang lain tidak menyertainya, maka agenda perubahan itu tidak berkesan malah tidakkan berhasil. Lebih malang apabila berlaku tindakan menuding jari kepada pihak lain kononnya pihak itu tidak mahu berubah dan tidak akan berjaya jika enggan berubah, apabila gerakan perubahan yang dibawa tidak mendapat sambutan.

10. Mengayuh roda perubahan mestilah cermat justeru yang mahu diubah ialah manusia yang miliki perasaan dan aqal. Berbeza untuk mengubah suatu yang bersifat jaamidat seperti kerusi meja di pejabat. Kita boleh ubah sesuka hati berapa kali dalam sehari. Tetapi untuk gerakan perubahan pada manusia dan organisasi yang didokong oleh manusia, penggerak perubahan mestilah sabar, tabah dan mempunyai hala tuju yang jelas serta mayakinkan. Saya tidak prejudis dengan gerakan perubahan namun sebagai peringatan kepada semua termasuk diri saya sendiri, jika gerakan perubahan itu hanya bermula dari rasa tidak puas hati dan pertelingkahan politik serta perselisihan pendapat, saya yakin gerakan perubahan itu hanya seperti angin pantai yang meniup secara bermusim, kadang sepoi kadang ribut namun tidak merubah apa - apa sekadar mencetus kelam kabut yang tidak berkesudahan mengganggu kedamaian di tepian pantai.

8 comments:

Anonymous said...

SALAM. masalahnya tuan, penyandang timbalan sekarang, presasi nya tidak menunjukkan perubahan.. peluang kita da bg.. so y not kita cube pula org lain. minta maaf bro, org2 muda mcm kami yg atas pagar ni suka dgn mat sabu. kwn2 yg non muslim pun suka. so Pas akan menjadi " segar bugar" kembali jika abg mat sabu jd timbalan. Presiden tok guru, d bantu org lasak mat sabu... pas betul2 dapat semangat baru..
abg mat orgnya lasak, tak takut , kena pukul, masuk penjara da lali. ini jati diri anak muda beb. semangat mcm ni buat Mesir berubah dan terjatuhnya pemimpin zalim. kita perlukannya.

tolong la tuan, kita cuba bg peluang pada dia. andai dia x perform, kita kasi ganti. saya berharap tuan dapat membantu demi perjuangan anak muda yg mau jatuhkan segera UMNO. ank muda mau abg mat sabu. dia boleh bantu bunag semua fitnah dan syak wa sangka ttg hubg PAS UMNO yg betul2 jd musibah .

Kita perlu cpt jthkan BN. Uda tak tahan da ni tuan, harga brg makin mahal, gaji rendah. jenayah tinggi. kos perkhidmatan kesihatan mahal.. adui... tolong la.

Anonymous said...

Calon yang bertanding semuanya ahli Pas, mereka ditarbiah dan pencalonan mereka disaring oleh Syura. Kita boleh berusaha untuk menukar posisi pemimpin dari calon yang disaring oleh Pas, bukan menukar dasar Pas. Perubahannya adalah taktikal menyusun panglima dihadapan untuk berlawan dengan sekular.

Ia bukan kerja menjatuhkan seseorang dari jawatannya, ia adalah memposisi (reshufling) untuk berlawan dengan UMNO. Bukan mahu tukar dasar!

Penyokong dan ahli PAS harus menunjukkan akhlak yang baik dalam menyokong dan berkempen bagi pihak calon-calon masing. Rakyat sedang memerhati kita. Kita tidak ada duit, kita tidak ada projek, kita tiada apa-apa, yang adanya adalah akhlak, jadi modal yang paling baik untuk kita adalah akhlak yang mulia.

hussin said...

Ini semua penyedap halwa telinga kepada pengikut2 yang kaku dan beku dalam lingkungan wala' yang salah dipersembahkan dan difahami.

Sekiranya wujud apa yang diutarakan, pas tidak celaru seperti hari ini. Pas akan mantap mempersiapsiagakan diri untuk menjadi parti melayu yang dominan. Apakah "pas ganti umno" yang dikemukakan itu bukan untuk mengganti umno dan kejayaan pas adalah dari keruntuhan umno? Jika itu bukan tujuan, buat apa bersusah payah mengumpulkan ribuan pemuda untuk "pas ganti umno"?

Bukankah "kerajaan perpaduan" sudah tidak bernafas lagi? Justeru kenapa begitu bimbang akan kedudukan jawatan timbalan presiden dirampas oleh bukan ulama? Perancangan siapa sehingga membuat tuan ibrahim berubah cita rasa?

Semasa mengumumkan nama2 pencalonan, pengerusi jk pemilihan memberi alasan tidak memberi jumlah pencalonan dibimbangi dilihat sebagi mengempen? Kenapa selepas itu beliau sebut pula nizar mendapat pencalonan yang memberangsangkan? Ini bukan kempenkah? Bukan saya menolak nizar, malah saya adalah di antara yang melihat potensi nizar dalam pas. Kenapa ini boleh berlaku? Sudah tentu ada motifnya!

Biarlah saya dicop sebagai pengkhianat atau anai2 dalam pas namun saya tidak akan membiarkan jemaah dikhianati. Pas bukan milik kalian dan ucapan2 yang mulok2 bukan tujuan kami memilih pas. Jangan anggap kami menolak ulama. Apa yang perlu pas sendiri mesti fahami dengan sebenar2nya maksud "kepimpinan ulama" dan bukan menjadikannya sebagai sempadan yang ahli2 tidak boleh persoal lagi. Kita kini berada di abad ke 21, dengan perubahan dunai telah berlaku dengan mendadak. Cuma yang dilihat hanya pas masih ditakuk lama. Pas bukan lagi parti tok lebai di tahun2 60an/70an! Lalu apa lagi kamu bercakap pasal proses perubahan perlu itu perlu ini? Langkah itu langkah ini?

Muktamar pas ke 58 nanti adalah "muktamar khas" yang pernah disarankan oleh tgna untuk membolehkan ahli2 pas sendiri menentukan hala tuju pas bukan terletak di tangan beberapa kerat pemimpin yang syok sendiri.

Wallahu'alam

Abu Akram said...

PEMIMPIN YANG HEBAT, BUKANLAH MEREKA YANG HEBAT DIZAMAN PEMERINTAHANNYA,NAMUN SELEPAS DIA BERUNDAR, MAKA ORGANISASINYA MEROSOT DAN LEMAH.... TETAPI, SEORANG PEMIMPIN YANG HEBAT ADALAH PEMIMPIN YANG HEBAT DI ZAMAN PEMERINTAHANYA, DAN DIA MAMPU MENYEDIAKAN PELAPIS YANG HEBAT BAGI MENERUSKAN KEHEBATAN KEPIMPINAN SETERUSNYA...SELAMAT BERJUANGAN USTAZ....

Anonymous said...

salam. kepinpinan minta kita jgn baca utusan. paper ni dah byk rosakkan minda umat islam. menyebar firnah. jgn baca apatah bg sokokngan dan muka dgn utusan. uda byk kejahatan dan fitnah utusan lempar pd PAS. nama ustaz tak paham2? apa kenjadahnya layan interview utusan tu? pelik la, pemimpin suruh kita boikot utusan, ustaz pula yg bg ruang ma utusan.. apa ni? ingat la awak ti ustaz. CAKAP BIAR SERUPA BIKIN. pegang title ustaz tp kalo ckp dan tindakan x serupa bikin, bikin tercalar imej islam. sila papar komen saya. hr tu saya komen tak approve napa? komen pasal anak muda mau mat sabu.

Anonymous said...

salam,
ustaz tuju kpd sapa nih?
nampak sangat terserlah ustaz anti perubahan..
saya ingin kepastian, adakah tuan mempunyai perasangka yang buruk terhadap orang2 yg bukan ustaz?
Ustaz Nasha pun ckp kepimpinan ulamak itu adalah institusi bukan org no1 & no2 mesti ustaz...

kenapa perlu melenting dgn perubahan (cth pencalonan Husam utk presiden)... terus buat kenyataan media, apa yg ditakutkan sgt...

hussin said...

terima kasih di atas keyakinan menyiarkan komen saya.

pembetulan. perwakilan perlu jadikan muktamar ke 57 sebagai muktamar khas yang pernah disarankan oleh tgna. perwakilan perlu tentukan sama ada pas ganti umno atau pas gabung umno.

Anonymous said...

Satu post yang panjang semata-mata untuk mendakwa bahawa hanya penulis mampu memimpin perubahan, walaupun bukti menunjukkan bahawa penulis telah gagal. Semua langkah yang dicadangkan gagal dibawa oleh penulis sendir yang lebih berbangga dengan imej kena gari. Sepatutnya apabila melepasi umur, lepas lah jawatan dan akui kegagalan. Bukan berselindung disebalik beberapa kalimah Arab semata-mata untuk menunjukkan bahawa dia seorang saja yang mampu dan orang lain semua tak boleh.

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive