HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, July 20, 2011

Dr. Lo' Lo' : Perjuanganmu akan diteruskan

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalung al Faatihah buat al Marhumah Yb. Dr Lo' Lo' Dato' Hj Ghazali yang telah kembali ke rahmatillah. Semoga ruhnya tergolong dari kalangan hamba Allah yang solehah. Jua takziah buat keluarga al Marhumah, mudah - mudahan tabah dan sabar menghadapi ujian ini. Sungguh, bukan hanya keluarga terdekat merasai kehilangan tetapi ia turut dirasai oleh ahli jamaah [PAS], rakan - rakan seperjuangan dari Pakatan Rakyat malah pemergiannya jua merupakan satu kehilangan besar bagi Parlimen Malaysia dan seluruh rakyat, khasnya yang diwakili beliau dari kawasan parlimen Titiwangsa.

2. Dr. Lo' Lo' adalah antara nama besar dipersada politik tanahair. Mewakili PAS membawa risalah perjuangan Islam guna membebaskan ummah dari belenggu kezaliman dan penindasan regim sang penguasa yang rakus di takhta. Lantang, berani dan tegas antara sifat beliau sepanjang beliau menggalas amanah perjuangan ini. Namun uniknya, sifat keibuan terus terserlah, membuatkan kehadhiran beliau ke tengah medan perjuangan ini sangat dirasai dan kini pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar dan sukar dicari ganti.

3. Saya mempunyai rekod peribadi yang sangat menarik sepanjang saya mengenali beliau di pentas perjuangan ini. Kesimpulan yang boleh saya rumuskan di sini ialah beliau seorang pejuang yang sungguh berdisiplin dan gigih serta  tegas dengan prinsip perjuangan. Perjuangannya mesti diteruskan dan ia menjadi teladan istemewa buat generasi muda menongkah arus jahiliah  moden hari ini.

4. Isu Kampung Baru yang gigih dan teguh diperjuangkan oleh beliau antara isu yang melonjak nama beliau ke peringkat nasional dan mula dihormati oleh masyarakat meskipun dari luar parti. Kesungguhan beliau bagaikan tiada tara dan sempadan. Bahkan saat bergelut dengan penyakit yang mengancam nyawanya, beliau tega menyembunyikan resah dan derita diri sendiri untuk terus menampilkan wajah ceria, berani dan serius memperjuangkan hak rakyat agar bebas dari belenggu penderitaan dan kesengsaraan akibat kerakusan sang tirani.

5. Biarpun berkerusi roda, biarpun beliau mengetahui perkelanaan beliau di bumi fana ini telah berada di perhentian akhir, beliau terus tabah dan menggagah diri untuk hadhir ke Muktamar PAS ke 57 baru - baru ini yang berlangsung di Dewan Hj Fadzil Mohd  Noor, KUIZM Taman Melewar. Ia melambangkan peribadi beliau sebagai seorang pejuang, seorang serikandi yang sukar untuk mengalah sekalipun berdepan dengan situasi yang sedemikian.

6. Perjuangan beliau mesti diteruskan. Kesungguhan beliau mesti diteladani. Kelantangan beliau mesti dicontohi. Keberanian beliau mesti diwarisi oleh anak - anak muda hari ini untuk mendepani cabaran dan halangan sebuah perjuangan. Al Faatihah buat al marhumah.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive