HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, August 8, 2011

Pemuda PAS Konsisten Pertahankan Aqidah Ummah

1. Setuju benar saya dengan pendekatan yang diambil oleh PAS Pusat untuk bertemu dengan JAIS dan pihak Gereja sebelum membuat keputusan muktamad dalam menangani isu sensitif seperti ini. Sewajarnya PAS melangkah dengan penuh waspada sebelum mengambil apa jua pendirian setelah dilihat isu ini cuba dimanipulasi oleh pihak tertentu bagi menangguk "political millage" dalam kekeruhan situasi yang dialami.

2. Saya melihat PAS seperti "round about" yang sekelilingnya bercapah jalan menuju ke arahnya. Semua pihak sedang memerhati apa langkah PAS berikutnya selepas meletus isu JAIS dan Gereja ini. Lalu timbul pula pelbagai tafsiran, tanggapan dan telahan dibuat kepada PAS. Saya boleh mengenal pasti beberapa kategori untuk saya tegaskan kali ini ekoran tercetusnya isu ini.

Pertama : isu Aqidah Ummat Islam
Kedua : isu JAIS dan tindakannya
Ketiga : isu Gereja dan kedudukannya
Keempat : isu keadaan Ummat Islam secara umumnya.

3. Kami Pemuda PAS bertegas dalam apa jua keadaan, dengan komitmen tenaga, wang ringgit, masa malah darah dan nyawa akan dipersembahkan demi mempertahankan aqidah ummah. Inilah yang telah dilakukan oleh pemuda PAS terdahulu apabila ada dari kalangan mereka terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana memperjuangkan aqidah ummah dan menentang sebarang usaha yang cuba untuk merosakkan aqidah, pemikiran dan keperibadian ummat Islam. Insyaallah, ketegasan itu akan diwarisi oleh saya dan seluruh warga pemuda PAS. Pemuda PAS senantiasa diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk menjadi benteng aqidah ummah.

4. Namun kita tidak boleh terburu - buru tanpa usul dalam memutuskan tindakan. Kita perlukan satu bukti kukuh dan meyakinkan untuk mengambil sebarang ketetapan. Saya telah mendengar penjelasan dari Yb. Dato" Dr Hassan Ali selaku AJK PAS Pusat dan juga Exco Kerajaan Negeri Selangor yang mempengerusikan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Saya memahami kedudukannya, menghormati pendiriannya, menerima keikhlasannya dan menyokong tindakannya dalam hal ini, demi melihat aqidah Islam dipertahan dan diperjuangkan.

5. Insyaallah, saya juga akan bertemu dengan pihak JAIS bagi meneliti perkara ini dengan lebih dekat. Biarpun JAIS pernah memburu saya dan cuba untuk menangkap saya seketika dulu atas kesalahan saya membaca kitab di sebuah surau di Damansara, biarpun saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka itu, namun saya sekali - kali tidak pernah bermusuh dengan institusi itu. Sebagaimana saya pernah ditahan, dipukul dan diherdik oleh PDRM kerana kesalahan saya mennyampai ceramah atas pentas PAS di Parit Sempadan Johor dan menyertai himpunan - himpunan aman, biarpun saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka tetapi saya juga tidak pernah memusuhi institusi itu. Saya sedar peranan institusi - institusi tersebut.

6. Justeru itu, saya perlu adil dalam menilai institusi atau jabatan - jabatan kerajaan. Ada masa tindakan mereka salah maka saya membantahnya dan ada masa tindakan mereka betul maka saya menyokongnya. Insyaallah, dalam menangani isu JAIS dan Gereja ini, saya menyokong penuh tindakan PAS Pusat untuk bertemu dengan JAIS dan pihak Gereja. PAS sebagai sebuah Gerakan Islam tidak memusuhi mana - mana pihak atau agama yang tidak memusuhi Islam malah menghormati hak - hak mereka. Justeru itu kita mengecam pencabulan hak walau berlaku ke atas siapa jua sebagaimana kita jua mengecam sekeras - kerasnya usaha untuk merosakkan aqidah, pemikiran dan akhlak ummat Islam.

7. Saya boleh kesan bagaimana isu ini cuba dieksploit oleh pihak tertentu yang mencari laba politik murahan dan mengalih isu sebenar yang menjadi punca kepada polemik ini. Ringkasnya saya tegaskan pendirian umum saya bersama pemuda - pemuda PAS bahawa :

a] kami konsisten berjuang untuk menegak dan memelihara aqidah Islamiyyah dan dalam masa yang sama, kami menghormati hak non muslim sebagaimana yang telah diajar oleh syariat islam itu sendiri.

b] kami menasihati dan memberi peringatan tegas kepada semua pihak agar aqidah ummat Islam, pemikiran dan akhlak mereka jangan diganggu dan dirosakkan dengan pelbagai dakyah, aktiviti dan gerakan samaada bersifat terbuka dalam aktiviti sosial  atau sembunyi di sebalik badan - badan bukan kerajaan.

c ] kami memberi peringatan tegas kepada kerajaan yang memerintah samaada kerajaan pusat dan negeri yang diitadbir oleh UMNO dan BN, juga kepada kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat agar mengambil pendekatan yang berkesan untuk membantu rakyat. Jangan kerana miskin, akhirnya mereka menjadi murtad kerana menagih simpati dan bergantung harap kepada pihak yang mengambil kesempatan untuk merosakkan pegangan agamanya.

8. Polisi PAS dan pemudanya jelas dalam perkara seperti ini. Masyarakat usah gundah, resah dan ragu terhadap PAS. jangan buka ruang kepada media untuk menghakis kepercayaan  rakyat terhadap kemampuan PAS memperjuangkan Islam dan isu - isu ummah. Insyaallah, Pemuda PAS akan terus bangkit dengan aktiviti dan gerakkerjanya untuk membentengi aqidah ummah sekaligus memerangi segala anasir yang cuba merosakkan agama Islam dan aqidah ummatnya.

9. Kerajaan yang memerintah mesti mengambil langkah yang lebih tegas untuk memastikan tiada aktiviti mungkar dan maksiat yang menghela ke arah rosaknya keperibadian ummat Islam dan lunturnya nilai keimanan mereka. Jaga kebajikan dan keperluan asas rakyat dengan meletakkan agensi - agensi tertentu seperti Pusat Pungutan Zakat dapat berorientasi dengan lebih berkesan. Bukan hanya memungut zakat tetapi cepat dan cekap mengagihkannya kepada asnaf yang berhak menerimanya. Begitulah Baitul Maal , Pusat Kebajikan Masyarakat dan lain - lain agensi yang berkaitan. Jangan ghairah membeli lampu kristal, carpet tebal dan khat hiasan dinding masjid yang mencecah ratusan ribu dan jutaan ringgit tetapi masih ada ummat Islam yang terpaksa menadah tangan di pintu gereja.

10. Tanggungjawab ini mesti dipikul oleh semua orang Islam dan pemimpinnya justeru ia melibatkan maslahah ummat Islam. Ummat Islam mesti bersatu di bawah payung aqidah ini dan memastikan tiada ruang retak dan bocor sebagai laluan dan peluang musuh Islam menyelinap masuk meruntuhkan struktur kekuatan ummat Islam dari dalam. Justeru harga aqidah ummat Islam tidak boleh dibayar dengan nilai sebuah atau lebih kerusi Parlimen mahu pun DUN, demikian juga tidak boleh ditebus dengan nilai jawatan bertaraf menteri atau wakil rakyat sebaliknya nilai aqidah, taruhannya ialah darah dan nyawa.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

16 comments:

Pelita Di Dalam Kaca said...

`Kami Pemuda PAS bertegas dalam apa jua keadaan, dengan komitmen tenaga, wang ringgit, masa malah darah dan nyawa akan dipersembahkan demi mempertahankan aqidah ummah'.
ALLAH HU AKHBAR!!
Inilah yang Pemuda UMNO perlu sahut bersama.Akan tetapi UMNO sendiri perlu terlebih dahulu jelas dan faham betul-betul soal akidah. Kalau UMNO jelas mengenai akidah, tahulah UMNO bahwa PASlah rakan sejati UMNO selama ini.UMNO perlu boleh membezakan konsep muslim dan mukmin kerana ini membabitkan kemungkinan perbezaan akidah - dan inilah sebenarnya yang membina jurang perbezaan PAS dengan UMNO - dan bila memahami ini, cita-cita perpaduan Islam dan Melayu akan selesai dengan terbentuknya gagasan negara BALDATUN THOIYYIBATUN Warabbun Ghafuur.

Ku ingat Taqwa said...

salam. mungkin kita perasan atau tidak setipa kali ada isu besar yang membabitkan rakyat, pasti ada isu agama yang berlaku selari dengannya. mungkin kebetulan ATAU perancangan daripada mereka yang memang jahat.

Mullah TTDI said...

Salam Ustaz

Dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, saya memuji Ustaz dan pendirian yang di ambil oleh Dewan Pemuda PAS Pusat dalam isu yang membabitkan JAIS baru-baru ini. Teruskan usaha Ustaz dan Dewan Pemuda PAS Pusat dalam membentengi Islam dan Aqidah Umat Islam yang sentiasa diserang oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Semoga ALLAH sentiasa merahmati dan melindungi Ustaz dan keluarga. Amin Ya Rabbul 'Alamien...

Jafni Muhammad said...

Alhamdulillah, sejuk jiwa saya ni bila ada suara -suara yang lantang dan berani sebegini dan sanggup melupakan perselisihan2 yg ada DEMI menjaga, menegakkan dan mempertahankan akidah umat islam di malaysia ini. Saya sentiasa menyokong perjuangan yang jelas lagi benar!

Anonymous said...

sokong ustaz

A.Fathi said...

Ust,
Tahniah atas keputusan Pemuda PAS dalam menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi dalam permasalahan Aqidah Ummat Islam.

Di bawah ada sedikit pandangan yang saya ingin utarakan. Moga Allah swt memberi kita hidayah dan 'inayah dalam apa jua tindak tanduk kita.

sejak PAS berjinak dengan DAP & PKR, telah banyak mengubah perjuangan PAS. Mungkin bagi mereka yang di dalam parti atau berkecimpung secara langsung tidak melihat isu.

Rata-rata beranggapan bahawa ini adalah satu taktik politik yang diguna pakai untuk meraih sokongan golongan bukan Islam, Liberal dan golongan-golongan yang jauh menyimpang daripada agama. Namun, bagi mereka yang menjadi saksi di luar beranggapan bahawa dasar perjuangan PAS amat jauh menyimpang.

Saranan saya, golongan muda dalam PAS wajar mengkaji isu ini agar PAS sentiasa berada dalam manhaj perjuangan yang murni dan bukan semata-mata kemenangan PRU atau menjatuhkan kerajaan yang ada.

Fungsi PAS sebagai satu parti Islam yang berperanan mengukuhkan Aqidah setiap ummat Islam(Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah dan bukan Syiah, Wahhabi, Pluralism dan Liberalism), memperkasakan pengetahuan Fiqh @ syariah dan membimbing rohani setiap ummat islam di Malaysia agar mereka lebih bertaqwa. Saya amat yakin, jika PAS melaksanakan tanggungjawab ini, kemenangan Politik@Dunia amat mudah dan jika sekalipun tidak menang, sesungguhnya kemenangan hakiki adalah di akhirat kelak.

Pepatah berkata:
1. Berkawan dengan penjual minyak wangi,bau wangi tersebut akan terkesan pada kita, berkawan dengan pengutip sampah, bau sampah akan terkesan pada kita.

2. Bersahabat dengan orang beriman akan memantapkan iman kita, bersahabat dengan orang kafir akan luntur iman kita.

A.Fathi

waksirbesut said...

Perjuangan asal PAS telah musnah akibat wujudnya kumpulan bukan ulamak berlakon ulamak dalam PAS. Apa yang berlaku di Gereja di PJ itu adalah akidah kumpulan ini yang menjadikan Anwar Ibrahim sebagai TUHAN..sedangkan yang mempertahankan tindakan JAIS adalah yang menjadikan Allah s.w.t sebagai TUHANnya. Itulah bezanya dan itulah virus yang ada dalam PAS sekarang akibat berbaik dengan Anwar dan Lim Kit Siang. Ikhlas dari WaksirBesut Terengganu.

kutaiislam said...

salam,

setuju benar saya dengan pandangan dan pendirian ustaz, untuk mempertahankan akan akidah ummat Islam di Malaysia, walau dengan apa cara sekali pun,

ini lah yang kita mahukan, semoga pemimpin kita yang di atas pun mempunyai pegangan dan pendirian seperti ustaz,

kita tak akan usik agama lain selagi mereka tidak usik kita ( Islam ),

kepada semua saudara Islam, JAGA LAH PERHUBUNGAN KITA DENGAN ALLAH, BUAT YANG DISURUH DAN TINGGALKAN YANG DI TEGAH,

salam

Anonymous said...

ana syorkan,.
ustaz ambil tindakan akhbar tersebut dengan menyaman.

kite xnak masyarakat luar bandar terpengaruh dengan berita tersebut..


tindakan saman tersebut untuk menjadikan pengajaran buat utusan,jgn biarkan fitnah berleluasa..

akhbar utusan haram dibaca..ustaz harun din

Anonymous said...

salam,


ana syorkan ustaz menyaman akhbar tersebut, bagi mengelakkan org luar bandar terpengaruh..org bandar senang access internet..

hal ini untuk elakkan bersaku salah faham terhadap PAS..

dan untuk elakkan berlakunya fitnah yang berleluasa..

akhbar utusan haram dibaca-ustaz harun din

Anonymous said...

Melihat kepada sikap berdolak-dalik kepimpinan tertinggi PAS di dalam menangani insiden yang amat jelas boleh menjejaskan AQIDAH sebahagian umat Islam, jelas sekali, PAS lebih berminat menjaga hati rakan-kongsi politik mereka, PKR dan DAP.

Sebagaimana sdra Nasruddin telah tegaskan, AQIDAH umat Islam perlu dipertahankan, walaupun dengan darah dan nyawa. Berbanding dengan darah dan nyawa, apakah ada pada sokongan pengundi Cina dan mereka beragama Christian??

Sudah sampai masanya sdra Nasruddin Hassan dan Dr Hassan Ali memikirkan untuk menubuhkan sebuah parti Islam alternatif kepada PAS.

Anonymous said...

Saya adalah orang yang akan menyokong PAS jika PAS tidak berada dalam PR. Dalam hal murtad ini, saya ingin menyatakan sokongan saya kepada ustaz. Terima kasih atas pendirian tegas ustaz dan semoga Islam berjaya!!!

Anonymous said...

“Harga akidah tidak boleh dibayar dengan nilai sebuah atau lebih kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), tidak boleh ditebus dengan jawatan bertaraf menteri atau wakil rakyat, sebaliknya nilai akidah, taruhannya ialah darah dan nyawa,”.
kami akan sentiasa dan tetap bersama orang2 yang benar2 berjuang untuk agama allah.. samada serangan dari luar mahupun dari dalam..!

ommar said...

alhamdulillah ustaz..anda seorang pejuang warisan nabi..yg masih tidak tercemar..fokuskan kpd perjuangan sebenar..insyallah perjuangan ini akan penuh berisi dan akan muncul sokongan2 ghaib dari kami2 yg betul2 yg sentiasa memerhati akan perjalanan perjuangan yg sebenar kapada ALLAH dan tidak sesekali mengadaikannya walau dg titisan darah..amin..
sesungguhnya sst yg terbaik itu amat sukar untu dicapai..akan byk rintangannya ..tp jk seketul daging itu tidak tercemar insyallah kita tidak akan merasa kecewa dan akan diberi kemenangan..

Mr Paktam said...

Tuan ,
apa yang pakatan cuba buat sebenarnya nih,baru ni MB selangor tak semena-mena minta maaf kat gareja sedangkan JAIS hanya menjalankan kewajipan dan bidang tugasnya,
terkini larangan bacaan ayat2 suci pada waktu subuh di penang pula..
diharap PAS dapat jadi tonggak dalam PAKATAN tapi sebaliknya pula...

SESTER said...

Kenapa 'stand' Pemuda PAS berbeza sangat dengan golongan veteran PAS yang lebih open? Kenapa tak 'fight' habis-habisan? Kenapa nak berunding-runding lagi?

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive