HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, January 13, 2012

Hukum Guna Wang Zakat. Lampiran Khas 2

Hukum Penggunaan Wang Zakat. Lampiran Khas 2

Amil Zakat

Amil zakat bermaksud orang yang dilantik oleh pemerintah untuk menguruskan harta zakat. Mereka merangkumi;

- al-Hasyir: yang mengumpul data pemilik harta yang bakal dikenakan zakat.
- al-'Arif; yang meninjau orang-orang yang layak menerima zakat.
- al-Hasib; yang menguruskan pengiraan harta zakat.
- al-Katib; juru tulis/pencatat bagi hal berkait pengurusan zakat.
- al-Jabi; yang menjalankan pungutan zakat.
- al-Qassam; yang menjalankan pengagihan harta zakat.
- Hafizul-Mal; yang menyimpan atau mengawasi simpanan harta zakat.

Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu'; diberikan kepada semua mereka di atas dari saham amil kerana semua mereka termasuk dalam pengertian amil-amil zakat, yakni mereka diberikan dari saham yang dinamakan saham amil iaitu 1/8 zakat. 

(al-Majmu', Kitab az-Zakah, bab Qism as-Sadaqaat, 6/175).

Jawatan yang berhak mendapat saham amil tersebut hanyalah yang ada kaitan secara langsung dengan tugas-tugas pentadbiran zakat. Kerana itu, Imam an-Nawawi menjelaskan lagi; Di sisi ashabuna (yakni fuqahak mazhab Syafiie); "Tiada hak dalam harta zakat untuk sultan/pemerintah, gabenor wilayah dan qadhi (hakim), akan tetapi gaji mereka -jika mereka tidak bertugas secara sukarela- hendaklah diambil dari Baitul-Mal (dari harta khumus yang diperuntukkan bagi maslahah-maslahah negara) kerana tugas/pekerjaan mereka umum bagi maslahah sekelian kaum muslimin, berbeza dengan amil zakat (yang bertugas khusus untuk harta zakat, maka layak diberikan upah dari harta zakat)" 

(al-Majmu', 6/175).

Menurut fuqahak; kadar zakat yang diberikan kepada amil-amil ialah yang bersesuaian dengan upah kerja/tugas mereka. Jika saham 1/8 yang diperuntukan untuk amil menyamai kos upah amil, diberikan semua saham itu kepada mereka. Jika saham itu melebihi kos upah tersebut, diberikan kepada mereka kos upah mereka dan yang selebihnya hendaklah dipulangkan kepada asnaf-asnaf yang lain. 

Jika saham 1/8 itu tidak cukup untuk menampung kos upah mereka, para ulamak berbeza pandangan;

1. Sebahagian berpandangan; diambil dari bahagian asnaf-asnaf yang lain.
2. Sebahagaian berpandangan; ditampung dengan wang dari Baitul-Mal.

Menurut mazhab Syafiie; jika imam (pemerintah) ingin menetapkan upah bagi pegawai-pegawai pengurusan zakat semuanya diambil dari Baitul-Mal (tanpa melibatkan harta/wang zakat), hukumnya harus. Jika ini dilakukan, semua harta zakat diagihkan kepada asnaf-asnaf yang lain. 

(al-Majmu', 6/175).

Merujuk kepada kes Dato Jamil Khir;

1. Menggunakan harta zakat untuk bayaran guaman bagi kes berkait dengan JAWI dan mengambilnya dari saham Amil adalah tidak tepat kerana kes itu tidak ada kaitan dengan tugas/peranan pengurusan zakat.

2. Kadar yang diberikan kepada amil bukanlah sewenang-wenangnya, tetapi bersesuaian dengan kadar upahnya sahaja iaitu dengan melihat kepada peranannya dalam pengurusan zakat. Dalam kes Jamil Khir, jumlah yang terbabit (bagi bayaran guaman itu) di luar logik jika hendak dianggap sebagai upah amil di samping ia tiada kaitan dengan pengurusan zakat sebagaimana disentuh tadi.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive