HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Tuesday, February 28, 2012

Baiah jadikan UMNO Gelisah ?

Baiah Menjadikan UMNO gelisah ?

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan isu bai’ah di dalam PAS benar-benar menjadi beban yang membuatkan UMNO resah dan gelisah. Lihat bagaimana kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada 25 Febuari yang lalu di Sinar Harian dan Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Himpunan Ulama Muda Malaysia pada 24 Febuari di Utusan Malaysia

2. Ustaz Fathul Bari melarang guna istilah syarak untuk tujuan politik. Ini satu perkara yang tidak masuk akal. Sekiranya istilah syarak yang membawa kepada pemahaman yang betul terhadap sesuatu syariat tidak boleh digunakan, bagaimana untuk kita mahu memahami dan membawa syariat yang sebenar dalam kehidupan kita termasuk berpolitik dan mentadbir negara ?

3. Contohnya politik, ia adalah proses dan cara membuat keputusan untuk sesuatu kumpulan. Walaupun ia biasanya digunakan bagi merujuk kepada kerajaan, tingkah laku politik juga boleh didapati dalam sektor korporat, akademik, agama, dan institusi lain.

4. Kefahaman awam mengenai politik berbeza dengan makna yang difahami dari sudut pandangan Islam, politik ialah menjaga urusan umat di dalam dan di luar negara dengan cara yang tidak menyalahi syariat Islam. Siasah syar’iyyah [politik berasaskan syara'] tidak hanya terhad kepada apa yang disebut oleh syara’, tetapi disyaratkan agar tidak menyalahi teks al-Quran, sunah, ijmak dan kaedah-kaedah syara’ serta dasar-dasar amnya.

5. Melihat kepada dua contoh ini, memahami politik dari sudut pandang Islam itu adalah sangat penting. Dewan Pemuda PAS Malaysia merasakan inilah politik yang sepatutnya diamalkan dan diperjuangkan oleh mereka yang mengaku muslim. Sekiranya kita tidak boleh menggunakan istilah politik yang menepati syara' atau istilah syara' dalam berpolitik, bagaimana kita mahu mentadbir bumi Allah ini sesuai dengan apa yang telah Allah sampaikan melalui rasulNya ?

6. Bagi kami selaku ahli PAS, istilah syara’ itu perlu digunakan untuk tujuan politik agar masyarakat dapat memahami konsep sebenar berpolitik di dalam Islam. Sekiranya Ustaz Fathul Bari menafi atau melarang ahli politik menggunakan istilah syara’ untuk berpolitik maka Dewan Pemuda PAS merasakan tidak perlunya wujud “Islam Wasthiyyah” yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib.

7. Selain daripada itu, beliau juga turut melemparkan tuduhan dengan mengatakan bai’ah di dalam PAS bersifat radikal sehingga dikatakan boleh mendatangkan kecelakaan dunia dan akhirat kepada sesiapa yang melanggarnya. Firman Allah di dalam surah al-Fath ayat 10 berbunyi :

إِنَّ الَّذِينَ يُبَايِعُونَكَ إِنَّمَا يُبَايِعُونَ اللَّهَ يَدُ اللَّهِ فَوْقَ أَيْدِيهِمْ فَمَنْ نَكَثَ فَإِنَّمَا يَنْكُثُ عَلَى نَفْسِهِ وَمَنْ أَوْفَى بِمَا عَاهَدَ عَلَيْهُ اللَّهَ فَسَيُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

“Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad - untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya sendiri dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala yang besar”.

8. Sebagai calon yang bertanding di atas tiket PAS, mereka perlulah menjalankan kewajipan dan amanah mereka setelah dipilih oleh rakyat. Sebagaimana rakyat telah memilih mereka yang mewakili parti, maka mereka perlu melaksanakan tanggungjawab setelah mereka dipilih. Justeru bai’ah ini adalah untuk memastikan bahawasanya setiap daripada calon PAS menjalankan semua amanah dan tidak mengkhianati kepercayaan rakyat yang telah memilihnya sebagai wakil mereka.

9. Tidak salah sekiranya PAS memperingatkan malah mengikat komitmen setiap calonnya untuk melaksanakan amanah Allah ini agar mereka tidak dicelakakan oleh Allah sama ada ketika di dunia mahupun di akhirat kelak. Bai’ah di dalam PAS adalah tertakluk dengan syarat sebagaimana firman Allah dalam surah al-Nisa' ayat 59 berbunyi :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنْكُمْ

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu…”

10. Memetik daripada kenyataan Dato Seri Jamil Khir yang mengatakan bai'ah memang ada dalam Islam, yang merupakan pertautan janji daripada kepimpinan untuk mematuhi amanah dan memikul tanggungjawab yang diberikan. Justeru, inilah yang dilakukan oleh PAS sebagaimana yang diungkapkan oleh Presidennya bahawasanya bai’ah di dalam PAS adalah untuk memastikan bahawasa setiap daripada calonnya tidak menyeleweng daripada dasar, cara dan matlamat Islam itu sendiri.

Akhirnya, tidak perlulah UMNO bersusah payah mengenai isu bai’ah yang dilakukan oleh PAS, kerana PAS mempunyai sokongan dasar dan asas yang kukuh daripada nas dan pendirian alim ulama' haraki dalam perkara ini.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive