HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, March 28, 2012

Belasungkawa buat Ayahanda

Belasungkawa buat AL Marhum Ayahanda Ustaz Hj. Wan Daud bin Wan Jusoh 

1. Saya mulakan coretan belasungkawa buat al Marhum Ayahanda Ustaz Hj. Wan Daud bin Wan Jusoh dengan mengajak semua pembaca terlebih dahulu menghadiahkan surah Al Faatihah buat al marhum agar ruhnya ditempatkan dari kalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

2. Saya adalah menantu al marhum apabila dijodohkan oleh Allah SWT pada 9 April 1994 yang lalu dengan salah seorang anak perempuan al marhum  [ Wan Hamidah ] dari 23 orang keseluruhan anaknya. Pada waktu itu saya masih menuntut di University Al Azhar cawangan Tanta Mesir. Malah sebelum saya menyertai keluarga besar ini, sewaktu saya menuntut di Madrasah Ad Diniah al Bakriah Pasir Tumboh sekitar tahun 87' , saya telah biasa mendengar pidato hebat dan bernas dari al marhum saat mudanya.

3. Al Marhum sememangnya seorang tokoh yang berjaya, sebaris dengan tokoh hebat yang lain sewaktu muda bersama dengan perjuangan Islam yang didokongnya. Memegang amanah sebagai Setiausaha  Penerangan PAS Kelantan selepas bangkit semula setelah jatuh pada tahun 1978 adalah antara tugasnya yang mencabar bersama parti yang menjadi platform perjuangannya sedari awal.

4. Masih segar dalam ingatan, bagaimana al marhum berulangkali memberitahu saya bahawa antara kebanggaan atau kepuasannya dalam menyumbang tenaga buat perjuangan ini ialah kejayaannya mengatur 1000 ceramah [ besar dan kecil ] dalam tempoh sebulan di seluruh negeri Kelantan selaku Setiausaha Penerangan PAS Negeri. Pencapaian ini pasti unik apabila melihat kepada tahap keupayaan alat bantu penganjuran ceramah yang tentunya jauh lebih rendah berbanding sekarang.

5.  Al Fadhil Yb.  Ustaz Hj. Wan Ismail bin Wan Jusoh  ADUN Melor [ adik al marhum ] pernah berkongsi cerita dengan saya mengenai pencapaian al marhum bersama PAS seketika dulu. Betapa al marhum turut memainkan peranan penting memenangkan Al marhum Abdullah Su di Hulu Kelantan [ sekarang Gua Musang ] dalam pilihanraya sedang al marhum pada waktu itu menyandang amanah sebagai Setiausaha PAS Kawasan Hulu Kelantan.

6. Beliau juga pernah diberi amanah sebagai Setiausaha PAS Kawasan Nilam Puri dan pernah bertanding dalam pilihanraya mewakili PAS menentang Dato' Wan Hashim Berjasa pada tahun 1978 dan menjadi calon PAS di DUN Peringat pada tahun 1982 menentang Annuar Musa. Sementara tahun 1986 beliau bertanding menentang Mohd Haji Ali bekas  Setiausaha Perhubungan UMNO Kelantan di Parlimen Nilam Puri. Beliau telah mengorbankan jawatannya sebagai guru agama kementerian untuk bertanding dalam pilihanraya dan berkecimpung sepenuh masa bersama PAS.

7. Al Marhum sangat tegas dengan prinsip perjuangannya. Tidak bersetuju kerjasama PAS dengan Semangat 46 yang dianggap bahawa PAS telah menggadai prinsip perjuangannya, membawa beliau tidak lagi aktif bersama PAS sehingga akhir hayatnya. Apa yang beliau mahu ialah keaslian PAS sebagaimana ia ditubuhkan pada tahun 1951 dikekalkan. Beliau menubuhkan Gerakan Islah atau dikenali sebagai PAS 51.

8. Beberapa kali beliau dipujuk oleh pemimpin UMNO dan BN termasuk Perdana Menteri Dr. Mahathir pada waktu itu, supaya al marhum meninggalkan PAS dan menyertai UMNO. Beliau tetap dengan prinsip perjuangan biarpun beberapa rakan - rakan beliau pada waktu itu, seorang demi seorang menyertai UMNO.

9. Sebagaimana sahabat karibnya al marhum Ustaz Wahab Perol ,  Ustaz Hj. Wan Daud [ al marhum ] yang dilahirkan pada 2 Nov 1941, turut menolak tawaran menyertai UMNO dan BN sehingga ke akhir hayatnya. Al marhum kembali ke rahmatillah tepat jam 1.30 am tanggal 24 Mac 2012, detik usia menjengah 72 tahun diiringi alunan ayat - ayat suci al Quranul karim yang dibaca secara berterusan tanpa henti oleh semua anak , menantu dan cucunya sepanjang al marhum terlantar tenat di pembaringan.

10. Semoga ruh al marhum dicucuri rahmat Allah SWT  dan digolong dalam kalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Sementara 23 orang anaknya, yang telah berjaya dalam hidup sebagai engineer, lawyer, timbalan  pendakwa  raya , pensyarah, guru agama, guru akademik, usahawan, arkitek, doktor, pegawai farmasi, hafiz al quran dan termasuklah yang masih menuntut di universiti terus memberi komitmen untuk menyambung perjuangan al marhum ayahanda mereka.

Al Faatihah .

Nasrudin bin Hassan
Menantu ke 3 kepada
al marhum Ustaz Hj. Wan Daud b. Wan Jusoh.

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive