HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Thursday, March 19, 2015

Sekali Serban di Lilit : siri 07

Sekali Serban di Lilit. Siri 07

Jangan Ugut PAS 

Oleh : Pendekar Sakti
www.perjuanganku.com

1. Saya tertarik dengan perjuangan PAS ini sejak saya berusia 14 tahun. Setahun kemudian, sejurus peristiwa Memali tanpa lengah saya menyertai PAS dengan penuh yakin dan semangat bersama para pemimpinnya untuk memperjuangkan Islam serta mendaulatkan Syariat Islam di bumi bertuah ini. Dasar dan prinsip perjuangan PAS lah yang menarik saya menyertainya.

2. Merentas pelbagai cabaran mahupun rintangan, PAS tidak pernah mengalah mencari ruang dan peluang untuk memastikan Islam dapat dilaksanakan. Gerakan Tarbiyah, Siasah dan Dakwah secara umum dan khusus dilangsungkan tanpa bosan dan jemu. Semua pemimpin dan anggota PAS  bangga dengan Islam yang didokong. Penat lelah dan perit getir dijadikan mehnah (tribulasi) dan ibtila' (ujian) yang memulangkan pahala kepada pejuang yang ikhlas menggalas amanah.

3. Menyusur belukar perjuangan di denai politik ini, PAS pernah ditinggalkan DAP diera Barisan Alternatif kerana tidak boleh menerima Syariat Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Walhal sebelum DAP menyertai Barisan Alternatif bersama PAS, mereka telah menyedari bahawa PAS adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam. Tidak lama kemudian DAP dan PAS bersama lagi dalam Pakatan Rakyat. Jua diketahui umum bahawa PAS tidak pernah menukar arah perjuangan jauh sekali memadamkan prinsip dan dasar perjuangannya meskipun melakukan beberapa pendekatan baru bagi memudahkan masyarakat memahami perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

4. Mutaakhir ini, DAP seperti mencari alasan bagaimana untuk mereka sekali lagi mengangkat kaki meninggalkan PAS. Ternyata isu perlaksanaan Syariat Islam dipilih untuk menjadi turning point bagi mewajarkan langkah yang mereka ambil. Kesalahan dan beban angkara cuba dihempas ke atas bahu PAS dan seluruh anggotanya. Seiring dengan situasi ini, mereka bersama juaknya telah kumandangkan irama berjudul "Hudud adalah Perangkap UMNO" sedang mereka tahu dari awal lagi bahawa PAS memperjuangkan Syariat Islam dan tidak mungkin meluruhkannya dipertengahan jalan. Bahkan sebelum wujudnya Pakatan Rakyat, Syariat Islam telah dikanunkan di Kelantan dan Terengganu tatkala PAS menerajui dua negeri tersebut.

5. Saya sarankan supaya DAP cari hujjah lain untuk dijadikan modal pusingan guna merasionalkan tindakan mereka. Jangan guna point Perlaksanaan Syariat Islam untuk ugut PAS kerana sebelum DAP menyertai Pakatan Rakyat bersama PAS, mereka telah sedia maklum bahawa Perlaksanaan Syariat Islam ini adalah nadi perjuangan PAS. Bagaimana hari ini mereka merencana untuk 'melafaz talak' kepada PAS hanya kerana PAS mahu melaksanakan Syariat Islam di Kelantan ? Demi Allah, untuk melaksanakan Syariat Islam ini, PAS tidak perlu merayu kepada DAP agar jangan meninggalkan PAS kerana PAS sudah biasa ditinggalkan oleh DAP. PAS sudah biasa mengurus 'hidupnya' tanpa DAP. Apatah lagi untuk melutut dihadapan DAP membujuk bodek agar PAS tidak ditinggalkan. PAS telah dewasa sebagaimana DAP juga telah dewasa dipentas politik Malaysia ini. Merayu, membodek dan membujuk hanya merenyokkan maruah dan izzah PAS serta kepimpinannya.

6. Agak menarik suasana di DUN Kelantan kelmarin. Wakil UMNO mengalirkan air mata sewaktu bahas menyokong Pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar. Sebagaimana saya tegaskan DAP jangan ugut PAS, maka demikian juga UMNO terlebih dahulu wajib buktikan "keikhlasan berairmata" itu agar Perlaksanaan Syariat Islam ini menjadi kenyataan di bumi Kelantan. Andai airmata mengalir namun langkah dan sikap UMNO tidak membantu Syariat Islam ini agar ianya dapat dilaksanakan di bumi Kelantan, pastinya 7 generasi akan mencela dan airmata itu hanyalah episod sebuah hipokrasi.

Sekian.
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive