HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, August 8, 2016

Ummat Islam Akan Bangkit!

Pahat sejarah mengukir nama YB Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang yang telah membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian untuk meminda Akta 355 berkait bidang kuasa mahkamah syariah di Parlimen pada 26 Mei 2016 bersamaan 19 Sya’ban 1437.
Ukiran sejarah ini bukanlah semata-mata merakamkan detik pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian Ahli Parlimen Marang tetapi apa yang lebih penting dan menakjubkan ialah detik ini turut menyaksikan bibit bibit kesedaran dan keberanian bersuara ummat Islam dari segenap lapisan masyarakat tanpa lagi menghirau sempadan parti politik dan bangsa.

Terutama apabila ummat Islam menyaksikan bagaimana “menggelijat”nya musuh-musuh Islam sebaik sahaja isu pindaan Akta 355 ini terpampang di semua dada akhbar dan media tanahair. Ada yang sampai tahap “menggelupur” bagai terkena “sawan tarik”. Mereka disampuk “histeria politik”. Terpekik terlolong tidak ketentuan hala dalam keadaan mereka sendiri tidak jelas betul duduk isu sebenar atau sengaja mereka mahu mempamerkan sikap anti Islam kepada umum.

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah, atas ketentuan dan kehendak-Nya jua, umat Islam mula celik mata dan mengenali satu-persatu siapakah yang tebal sikap permusuhan mereka terhadap Islam, siapa pula yang mengaku Muslim tapi bersekongkol dengan musuh Islam.

Manakan tidak, baru sahaja PAS mengusulkan pindaan Akta 355, ke arah memperkasakan Institusi Mahkamah Syariah yang hanya melibatkan urusan umat Islam, pula merealisasikan titah Yang Di Pertuan Agong agar Mahkamah Syariah negara ini diperkasakan, mereka tidak menunggu lama untuk terus membantah keras hasrat murni ini.

DAP, MCA, MIC dan sebahagian parti-parti lain yang menunjuk sikap anti Islam sama ada dari blok pembangkang mahupun pemerintah bersatu suara dan berpadu tenaga mahu menghalang usaha mempertingkatkan kedudukan Islam di bumi bertuah ini, sedang perlembagaan Malaysia telah menetapkan bahawa Islam sememangnya  Agama Persekutuan dan agama-agama lain bebas diamalkan.

Nampaknya apa yang berlaku, sementara agama lain bebas diamalkan, agama Islam pula terhalang dan cuba dihalang daripada mengambil kedudukan yang selayaknya sebagai agama yang tinggi dan tiada yang tinggi mengatasinya, sama ada di sisi perlembagaan negara apatah lagi di sisi Allah. Sabda Rasulullah:
الإسلامُ يَعْلُوْ و لا يُعْلَى عَلَيْهِ
“Islam adalah tinggi dan tiada yang lebih tinggi mengatasinya” (Riwayat al-Daruquthni dan al-Baihaqi)

Umat Islam selayaknya bersatu dalam mempertahan dan memperjuangkan Islam agar ia tegak di atas tanahair tercinta dan tidak lagi boleh dipersenda oleh musuh durjana. Inilah yang diperintah oleh Allah:
أَنْ أَقِيمُوا الدِّينَ وَلَا تَتَفَرَّقُوا فِيهِ
“Bahawa kamu berjuang menegakkan agama dan jangan sekali-kali kamu berpecah belah padanya” (surah al-Syura, ayat 13)

Detik ini adalah tika dan masa yang paling sesuai dan tepat untuk ummat Islam bangkit. Saat mereka bersatu dan berpadu menyerang Islam, tidak mungkin ummat Islam masih leka berpeluk tubuh. Mereka boleh bersatu untuk menghalang usaha Islam tanpa peduli sempadan parti, kenapa pula kita teragak-agak untuk bersatu hanya kerana pelbagai sempadan yang memisahkan kita? Sedang kita memiliki Tuhan yang satu, Kitab al-Quran yang satu, arah kiblat yang satu dan bersaksi syahadah yang sama iaitu لا إله إلا الله محمد رسول الله

Bangkitlah wahai Umat Islam! Kembali kepada Islam dan pertahankannya! Usah berpecah lagi!

0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive