Tranformasi Politik Versi Najib Melucukan
Mendengar ucapan Datuk Najib sewaktu merasmikan serentak Mesyuarat Agong Pergerakan Pemuda , Wanita dan Puteri UMNO semalam pasti sahaja ramai yang teruja dan mengkaguminya jika tidak benar - benar makrifat mengenainya .
Seperti juga mendengar buat pertama kali ucapan Abdullah Ahmad Badawi pada hari pertama berada di puncak kuasa .
Telinga dan mata terpukau menyaksi gaya penampilan dan mendengar bait - bait ucapan yang penuh emosi dan puitis , menggaris pelan - pelan bertindak serta mengungkap wawasan perjuangan .
Begitulah lagak wajarnya seorang pemimpin apabila berdepan ahli dan penyokongnya . Bukan sahaja Abdullah Badawi , tetapi Tun Dr. Mahathir dan juga pemimpin UMNO sebelumnya .
Namun segalanya terbongkar setelah kuasa berada ditangan dan pemerintahan di puncak mahligai . Terserlah segala pembohongan dan terdedah segala penyelewengan sang penguasa yang tamakkan pengaruh dan kuasa .
Kini Datuk Najib dengan nada yang agak angkuh diambang kuasa mengungkapkan kalimah demi kalimah , mengkagumkan sebahagian manusia tetapi TIDAK kepada mereka yang mengenali Najib dan UMNO . Kerana ini bukan kali pertama retorika ciptaan UMNO bahkan saya percaya selagi UMNO tidak menerima Islam sebagai dasar perjuangan atau berubah sikap menjadi insaf dan sedar akan kesilapan mereka , maka ini pula bukanlah retorika yang terakhir bagi UMNO .
Lagak seperti seorang Perdana Menteri , Datuk Najib berteriak agar diserahkan kepadanya sekumpulan pemimpin yang berintegriti , berdedikasi dan baik untuk bersamanya memimpin UMNO di masa akan datang . Ucapan beliau dituju kepada perwakilan Pergerakan Pemuda , Wanita dan Puteri UMNO yang seketika dulu telah dicadangkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO sendiri [ Tengku Ahmad Rithaudeen ] agar semuanya dibubarkan bagi menyelamatkan UMNO dari barah rasuah yang menjalar .
Agak melucukan apabila Datuk Najib meminta sekumpulan pemimpin berintegriti agar diserahkan kepadanya daripada kumpulan manusia yang tercalar teruk integriti mereka . Malah Datuk Najib sendiri mengalami krisis integiriti apabila beliau sehingga hari ini masih gagal menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh rakyat mengenai komisen kapal selam , eurocopter , kes pembunuhan altantuya dan lainnya .
Saya langsung tidak terperanjat melihat aksi Najib dan intonasi suara egonya , biarpun kuasa Perdana Menteri belum digemgam tetapi Najib terlebih awal telah menunjukkan aksi rakus tanpa sebarang simpati kepada lawannya dalam atau luar parti apabila mensabotaj dan mencantas semua calon dari kem Datuk Seri Abdullah , mengerahkan polis dan Fru membelasah rakyat dalam perhimpunan aman Gerakan Mansukh PPSMI baru - baru ini , mengepong dan membatalkan majlis ceramah PAKATAN dengan kekerasan menjelang pilihanraya kecil Bkt gantang dan Bkt Selambau , menggantung permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan .
Hari ini Datuk Najib melaungkan agenda perubahan kononnya UMNO baru akan dibentuk . Perkataan Integriti menjadi popular di Mesyuarat Agong UMNO kerana selama ini UMNO terbelenggu dengan masaalah politik wang yang parah .
Persoalannya , integriti bukan perkara baru diperkatakan dalam negara kita malah Kerajaan UMNO sejak dulu telah melancarkan Pelan Integriti Nasional [ PIN ] . Tetapi rasuah dan salah guna kuasa semakin parah . Bagaimanalah UMNO akan pulih apabila dipimpin oleh tokoh yang dipalit dengan pelbagai tuduhan jenayah dan salah guna kuasa seperti Datuk najib ?
Saya bukan prejudis dengan perubahan dan tidaklah mustahil untuk UMNO berubah malah saya sangat suka jika ada perubahan ketara dalam UMNO untuk menjadi parti yang baik tetapi ia memerlukan kesungguhan dan keazaman yang tinggi bermula dengan perubahan dasar dan sikap .
UMNO boleh berubah jika sedia merombak dasar parti mereka dengan meletakkan keutamaan kepada Islam dan melahirkan anggota parti yang bertaqwa melalui proses pentarbiyah dan pengkaderan yang serius . [ Pemuda PAS sedia menawarkan kepakaran untuk mentarbiyah dan mengkaderkan fikrah serta aqidah anggota UMNO jika diberi peluang ] .
Apabila tiada keutamaan diberikan kepada Islam , maka apalagi yang boleh mengawal manusia agar tidak melakukan rasuah , salah guna kuasa , penipuan , penyelewengan dan pelbagai skandal melibatkan perlecehan moral dan maruah . Mereka tidak kenal dosa dan pahala lantas sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai kepentingan politik dan pengaruh kuasa .
0 comments:
Post a Comment