Dua Tok Guru Kesayangan Ummah
Akhir-akhir ini agak keterlaluan sikap sesetengah dikalangan kita.
Melalui blog, kenyataan akhbar, ucapan di tempat awam, meeting tidak rasmi kedai kopi dan sebagainya jelas kedengaran mereka mengutuk salah seorang daripada dua orang Tok Guru kesayangan ummah ini, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kalau pihak musuh yang berbuat demikian, tidaklah menghairankan saya tetapi sangat malang dan cukup menyedihkan apabila ia dilakukan oleh mereka yang mendakwa kononnya mereka juga anggota Gerakan Islam.
Melalui blog, kenyataan akhbar, ucapan di tempat awam, meeting tidak rasmi kedai kopi dan sebagainya jelas kedengaran mereka mengutuk salah seorang daripada dua orang Tok Guru kesayangan ummah ini, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Kalau pihak musuh yang berbuat demikian, tidaklah menghairankan saya tetapi sangat malang dan cukup menyedihkan apabila ia dilakukan oleh mereka yang mendakwa kononnya mereka juga anggota Gerakan Islam.
Ucapan mereka biadab, tingkah laku mereka kurang ajar, tanggapan mereka jahat, lidah mereka lancang dan perbincangan mereka langsung tidak beradab, dengan hilai tawa mereka perlekehkan ulama kita. Saya sungguh sedih dengan perkembangan sebegini (bukanlah bermakna ulama itu tidak boleh dikritik, tetapi Islam adalah agama yang kaya dengan adab susila atau disiplin yang mesti dipatuhi).
Tetapi, apabila saya mengamati susur galur penglibatan mereka dengan Gerakan Islam ini ternyata mereka adalah seorang yang tidak komited dengan Amal Islami, mereka gagal mengambil sepenuhnya skema pentarbiyyahan daripada manhaj perjuangan parti ini.
Mungkin sebahagian mereka adalah pimpinan tetapi mereka memanjat tangga kepimpinan parti ini melalui populariti peribadi atau kelicikan politik, tidak melalui proses pentarbiyyahan fikrah dan spiritual yang mantap. Biasanya mereka ini sangat memandang jelek kepada aktiviti-aktiviti tarbiyah dan rimas untuk turut sama menyertai gerakkerja kerohanian parti.
Kesannya ialah kepada sikap dan akhlak mereka berjamaah. Mereka menyertai Gerakan Islam ini dalam keadaan separa sedar. Antara keinginan untuk berjuang dengan membawa masaalah atau beban kepada jamaah.
Mereka juga gagal memahami disiplin berjamaah dan adab ikhtilaf. Tidak hairanlah apabila berlaku perbezaan pandangan antara dua orang tok guru ini, mereka segera berpuak dan menganggapnya sebagai satu perbalahan. Walhal bagi mereka yang berilmu dan bertaqwa, khilaf adalah perkara yang telah berlaku sejak zaman para sahabat dan mereka tanganinya dengan disiplin yang sangat tinggi tanpa meretakkan rasa hormat mereka kepada siapa jua yang berkhilaf dengan mereka.
Jika kita selalu membaca kitab-kitab fekah mahupun kitab-kitab genre tayyarat fikriyah, kita akan dapati khilaf yang begitu banyak dikalangan ulama, tetapi mereka lalui pengalaman khilaf ini dengan aman berpaksi kepada nilai ilmiah yang bertanggungjawab dan amanah. Malah kita akan temui bagaimana antara satu sama lain mengungkap rasa kagum mereka terhadap ilmu dan taqwa orang yang berkhilaf dengan mereka.
Tiada cemuhan dan celaan melampau kecuali dalam sempadan akhlak dan disiplin yang dibenarkan seperti perbahasan dalam ilmu tajrih wa ta‘dil.
Kejahilan turut menyumbang kepada fenomena ini. Biarpun mereka adalah anggota Gerakan Islam, tetapi matlamat mereka adalah kemenangan politik semata-mata. Kejahilan ini akan mengheret mereka terjerumus dalam kancah perlecehan akhlak dan sikap sedemikian. Justeru, kejahilan dalam apa jua keadaan sekalipun mestilah dibasmi. Kita tidak boleh menerima pemimpin dan anggota Gerakan Islam dibiarkan kekal dalam kejahilan. Pada saya kejahilanlah ibu kepada segala masalah yang timbul.
Tuan Guru Nik Aziz Yang Saya Kenali
Apa pun isu yang timbul, sepatutnya kita bersabar dan tidak segera menari dengan paluan gendang musuh untuk melaga-laga antara kita terutama dua orang Tok Guru kesayangan ummah ini.
Dua orang Tok Guru ini adalah permata yang tiada tara nilainya kepada ummah. Sewajarnya kita menyokong perjuangan mereka, bukan melaga-laga dan menjatuhkan mereka. Sebelum ini saya telah menceritakan sepintas lalu pengalaman juang bersama Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang yang cukup padu bagi memperlihatkan kepada kita betapa sikap sebagai anggota Gerakan Islam ini, mestilah jangan terburu-buru atau berprasangka terhadapnya.
Tiada bezanya nilai yang dimiliki oleh Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sejak awal sewaktu menuntut di Madrasah Ad Diniah Al Bakriah Pasir Tumboh, saya selalu ke kelas Tok Guru Nik Aziz atau lebih mesra dengan panggilan Ayah Ziq di Pulau Melaka dan juga di Dewan Zul (Pejabat PAS), Kota Bharu.
Saya membesar dengan didikan dan curahan ilmu Ayah Ziq selain guru-guru kesayangan saya yang lain seperti al-Marhum Tuan Guru Atiqullah, Tok Guru Ayah Shim, Ustaz Bakar dan Ustaz Rahim di pondok.
Ayah Ziq memang seorang sangat genius dan istemewa. Hujjah dan ilmunya cukup menarik dalam setiap ulasan dan kupasan yang dipersembahkan kepada murid-muridnya. Selain dari hidupnya diabadikan kepada kepada ilmu Ayah Ziq juga mewaqafkan diri kepada perjuangan Islam dan kukuh keiltizamannya sehingga kini.
Pernah sewaktu saya mengunjungi rumah Ayah Ziq seketika dahulu, Ayah Ziq menceritakan pengalamannya sebagai ahli parlimen, seorang diri memandu jauh ke Kuala Lumpur dan seorang diri pula mewakili PAS dalam parlimen ketika itu. Ayah Ziq menghadapi segala fitnah dan tohmahan Barisan Nasional berseorangan di parlimen berbanding hari ini lebih 80 ahli parlimen yang siap menggempur UMNO dan BN.
Ayah Ziq kata, kadang-kadang ana menangis seorang diri ketika memandu mengenangkan penatnya badan dan letihnya jasad mengharungi perjuangan yang sukar dan getir ini. Sampai di rumah lewat-lewat malam atau awal pagi selepas memenuhi undangan ceramah di serata negara.
Dulu pastinya tidak seperti sekarang. Apabila kita sampai ke tempat ceramah, kita akan disambut meriah bagai hero atau wira serta laungan takbir. Dulu kata Ayah Ziq, terkadang orang tak jamu nasi pun, lepas ceramah balik sampai ke rumah lewat malam, isteri pun sudah tidur, masuk ke dapur tidak ada makanan lalu tidur dengan perut lapar dan mengalir air mata sementara ia belum lelap.
Begitulah antara cebisan cerita Ayah Ziq kepada saya yang masih segar dan mekar dalam ingatan, iaitu semasa saya mengunjungi Ayah Ziq di rumahnya lebih 18 tahun yang lalu.
Saya cukup menghayati kisah itu kerana saya yang dhaif ini pun cuba meletakkan diri di landasan perjuangan seperti Ayah Ziq dan saya mula aktif bersama PAS malah mula berceramah sejak usia saya 18 tahun.
Ayah Ziq seorang pejuang yang warak dan zuhud pula sangat menekuni ibadah. Memandang wajahnya dalam-dalam, membuatkan jiwa kita hidup dan segera insaf atas kealpaan diri. Betapa kalau Ayah Ziq mengungkap kata-kata. Cukup indah dan tinggi nilai hikmahnya. Peribadi Ayah Ziq membuatkan UMNO dan BN lumpuh khas di Kelantan.
Ayah Ziq juga suka menyantuni tok-tok guru yang lain termasuk Ayah Chik yang dianggap tok guru sezaman dengannya. Ayah Ziq pernah menempelak mereka yang memperkecilkan Ayah Chik. Ayah Chik disebut sebagai seorang ulama besar , lidahnya fasih dan ilmunya tinggi, nak cari seorang sepertinya di Malaysia hari ini tak akan kita temui. Demikianlah kata Ayah Ziq yang masih saya ingat.
Saya percaya, dua orang Tok Guru ini sangat ikhlas dalam perjuangan mereka bahkan antara mereka berdua sangat rapat dan saling memahami manhaj perjuangan yang didokong. Tidak mungkin mereka boleh bertelagah dan berpatah arang. Khilaf mereka dalam pendapat yang bertunjangkan hujjah. Mereka bukan berkelahi atau bergaduh seperti sesetengah orang kita yang bertembung sampai tidak tahu batas akhlak dan hilang nilai persahabatan atau ukhuwah Islamiyah.
Khilaf ilmi dan hujjah menjadi satu keajaiban para ulama yang tidak mungkin difahami oleh orang yang jahil. Khilaf menjadi cambahan ilmu yang positif bagi ulama tetapi sering dibaca pergaduhan dan perbalahan oleh sang juhalak. Akhirnya timbullah para munafik yang akan mengapi-apikan suasana untuk memanaskan lagi suasana dan kekeliruan bagi masyarakat.
Akhirnya dalam ruang yang terhad ini, suka saya pesan agar jangan sekali-kali kita memberi ruang kepada para juhalak ini membuat onar dalam jamaah. Sebolehnya kita bimbing mereka, jika tidak berkesan, tindakan disiplin perlu dikenakan kepada mereka yang sering menghuru harakan jamaah dengan tindakan mereka yang tidak thiqah kepada pimpinan jauh sekali untuk beradab dengan para ulama.
6 comments:
banyak antara kita sudah lupa bahawa 'ulama merupakan pewaris anbiya'.kerana merekalah kita tahu adanya gejala dosa pahala, tahu adanya azab dan nikmat dalam kubur, adanya balasan syurga dan siksa neraka. tanpa mereka yang menghabiskan sisa-sisa usia untuk menyambung perjuangan para anbiya ini, entah di manaa posisi dan kondisi diri kita. biarpun mereka jua manusia terdedah pada salah dan silap, tapi posisi mereka sebagai orang yang pertama menyambung perjuangan para rasul jauh lebih hebat dari sedikit khilaf yang mungkin mereka terbuat.
Biasanya golongan opotunis ni akan sentiasa mengintai peluang untuk menjahanamkan perjuangan Islam.
Golongan ini akan meresap kedalam jamaah dan cuba meracuni pemikiran ahli jamaah dengan fahaman liberal mereka yang kotor.
Sikap ahli jamaah kita yang terlalu taksub dengan penyokong juga memudahkan kerja golongan opotunis ini untuk merosakkan wala' kepada pimpinan.
Bila bersembang dikedai kopi,ahli-ahli kadang-kadang lupa adab dan kerahsiaan didalam berjamaah,sehingga perkara-perkara yang sensitif malah kadang-kadang fitnah ini disembang secara terbuka didalam khalayak.
Asal sahaja ada orang yang bercakap menyokong kita maka kita telah menganggap mereka adalah sebahagian dari ahli atau penyokong jamaah,sedangkan hakikatnya mereka adalah opotunis yang hanya berhasrat untuk menghancurkan jamaah.
Memang tidak dapat dinafikan sikap dan keterbukaan ahli kita menyebabkan golongan opotunis ini senang meresap kedalam jamaah hatta memegang jawatan yang agak penting didalam jamaah.
Asal bercakap berdegar-degar mengutuk kerajaan je maka kita terus cop mereka sebagai penyokong kita,terus dipilih atau dilantik sebagai ajk PAS cawangan.
Kita kadang-kadang lupa untuk menyiasat latar belakang mereka dan sememangnya ini tidak menjadi amalan didalam jamaah kita.
Semuga jamaah yang kita sayangi ini akan terpelihara dari golongan opotunis dan makhluk perosak ini insyaALlah.
Itulah lumrah org yg berotak kecil, menyangkakan dirinya sudah bijak hingga memperkecil2kan kedua2 tokoh ulama ini.
Tak silap ada istilah english "small brain always critisize big brain" ataupun org kurang cerdik selalu/sering mengkritik org cerdik pandai.
Mudah-mudahan Allah menyedarkan golongan yg melaga-lagakan 2 orang tok guru yg x pernah pun berlaga.
Setiap isu yg kelihatan mengundang kekhilafan di antara mereka akhirnya diselesaikan dengan perbincangan, rupanya khilaf itu hanyalah kerana silap faham.
Sehingga hari ini, hubungan mereka kekal baik. Cuma ada mereka yg busuk hati cuba untuk melaga-lagakan 2 tokoh ini.
Hati-hati wahai manusia! Daging ulama beracun!
Salam
Kalau ada orang cuba melagakan 2 TOk Guru, kenapa tidak dibawak ke pihak pengaduan displin parti.
Buat tuduhan ke atas si polan tu dan habis cerita.
Bukti sekadar persepsi/firasat dalam dunia la boleh, boleh jalan ma.
Keadaan ini nampaknya bukan membaiki keadaan tapi sebaliknya.
PAS perlukan KPI jugak nampaknya.
WOTR
saya baru berusia 27 thn ,bg sy kedua-dua tokoh ulama ini adalah simbol kepimpinan islam yg patut dicontohi di negara ini,sbg anak muda sy amat mengagumi kedua-dua permata ini..bg sy gabungan kedua-dua tok guru ini amat manthop dalam meneruskan usaha PAS dalam wadah perjuangan gerakan islam di malaysia ,amat malang sekali apabila ada berbagai tohmahan dan cubaan utk melaga-lagakan kedua-dua tokoh ini..walau bagaimanapun saya yakin kedua-dua tokoh ini akan dapat bertahan dalam memacu parti ini kerana ketokohan dan keikhlasan mereka amat tinggi dalam perjuangan ..sy juga banyak mengikuti buku2 tentang kedua tokoh ini dan bagi sy inilah permata yg diciptakan allah dikalangan rakyat malaysia untuk memimpin bg merealisasikan tertegaknya islam di malaysia ini..
Post a Comment