HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, April 8, 2009

Diriku : Sekeping Nota


Latar Kelahiranku


Lari dari kepenatan yang masih dirasai setelah berulang alik ke Perak dengan mengikuti perkembangan politik urutan pilihanraya kecil yang diadakan di situ , saya mengambil kesempatan mencoret sekeping nota taaruf sempena ulangtahun Perkahwinan saya yang ke 15 atas permintaan sahabat - sahabat pengunjung Episode Sebuah Perjuangan yang masih belum mengenali saya dari dekat .

Tiada apalah yang istemewa pada diri ini melainkan hanya insan biasa yang meletakkan diri dalam perjuangan islam demi sebuah kehidupan yang bakal diharungi di akhirat kelak .

Namun kata orang , tak kenal maka tiadalah nilai persahabatan . Lalu saya mengambil ruang ini untuk mentaarufkan diri saya buat semua pengunjung Episode Sebuah Perjuangan ini agar erti persahabatan lebih membawa makna dan semangat perjuangan dalam gandingan dan saingan kita semakin marak .

Saya Nasrudin bin Hassan dilahirkan pada 24 November 1970 , sementara ayah saya Hassan bin Mohamad dan ibu Siti Mariah binti Derani . Tempat kelahiran saya ialah kampung Batu 13 Bukit Payung Besut Terengganu . Kini kampung itu lebih dikenali sebagai Kampung Ayah Pin apabila tersebar berita "Kerajaan Langit" yang berpusat di kampung tersebut .

Sejak awal 70an , ayah dan ibu berniaga di pasar Pasir Mas secara kecil kecilan untuk menyara kehidupan kami sekeluarga . Seusia 1 - 3 tahun , saya membesar di celah - celah hiruk pikuk pasar Pasir Mas Kelantan , begitulah cerita ibu .

Sekitar tahun 74 , ayah dan ibu mengembara ke Pahang dan menumpang di rumah abangnya buat seketika waktu di Felda Padang Piol Jerantut sebelum kami sekeluarga menyewa sebuah rumah di kawasan kedai MARA Felda Padang Piol .

Latar Pengajianku

Saya mula bersekolah di situ bermula peringkat pra persekolahan [ Tadika ] pada tahun 75-76 dan Sekolah Rendah Kebangsaan Felda Padang Piol Jerantut pada 77 - 79 . Selama itu saya , adik [ Nazri - 1974 ] dan ibu sering berpisah dengan ayah kerana pada waktu itu ayah bekerja sebagai buruh binaan di Singapura .

Alhamdulillah , 1979 menjadi detik bersejarah buat kami sekeluarga apabila ayah diterima masuk menjadi peneroka felda untuk memiliki tanah rancangan felda tersebut di Felda Keratong 5 .

1980 -1982 saya menghabiskan tempoh Sekolah Rendah Kebangsaan di Felda Keratong 4 & 5 sebelum saya ke Peringkat Menengah di Sek. Men. Dato' Mahmud Mat Tanah Putih Pekan pada tahun 1983 - 1985 . Sejurus tamat menduduki SRP [ sekarang PMR ] saya menyambung pelajaran ke Sek Men Dato' Abdul Samad Tanjung Ipoh Kuala Pilah di tingkatan 4.

Sebelah petangnya saya mengambil pengajian alternatif di Maktab Ittiba' as Sunnah di Kuala Pilah . Inilah detik mula peralihan chanel pengajian saya ke bidang agama . Saya mempelajari kaedah terjemahan al quran secara harfiah yang diasaskan oleh al marhum Ustaz Hashim Abd Ghani . Kebetulan masa tu , turut sama mempelajari kaedah yang sama ialah Tuan Hj. Mohd Sabu yang berada dalam tahanan daerah di Kuala Pilah [ 1986 ] .

Untuk mendalami ilmu pengajian Islam ini saya mohon pindah sekolah ke Sek Men Marang Terengganu dan menyewa di Kg. Rusila . Saya cuba mendaftar di Maahad Darul Quran Rusila sementara sebelah siangnya saya masih seperti biasa belajar di Sek Men Kebangsaan Marang . Namun sistem pengajian di Rusila tidak mengizinkan pengajian secara part time sementara umur saya juga telah melebihi had kelayakan mendaftar pada masa itu .

Akhir 1986 tanpa menamatkan pengajian di peringkat menengah , saya ke negeri Kelantan untuk mendaftar di Madrasah Ad Diniah Al Bakriah [ Pondok Pasir Tumboh ] Kota Bharu Kelantan .

Setelah 3 tahun saya di Pondok Pasir Tumboh , saya mengembara ke Damsyik Syria dan diterima belajar di Maahad Fathul Islami Damascus . Setelah 4 tahun di Maahad Fath saya mengembara pula ke Jordan dan kemudian ke Sudan untuk mencari tempat pengajian . Namun malang , oleh kerana kos dan taraf hidup yang tinggi di Jordan tidak memungkin saya belajar disana sementara Sudan pula pendaftaran saya ditolak atas alasan telah tamat tempoh pendaftaran .

Masih saya ingat , dimana saya terpaksa menjual semua kitab dan pakaian yang menjadi milik saya untuk mendapatkan tambang flight [ masa tu 125 USD ] ke Mesir . Sebelumnya atas jasa baik sahabat - sahabat di Jordan seperti al Fadhil ustaz Zulkifli Yusuf [ sekarang Dr. ] , Ustaz Asri Zainal Abidin [ sekarang Dr. ] dan rakan - rakan yang lain , saya dibiayai oleh mereka untuk berlepas ke Sudan .

Saya tiba di Mesir akhir 1992 dengan sehelai sepinggang dan menumpang di rumah Keluarga Penuntut Terengganu [ KPT ] sebelum saya diterima belajar di University Al Azhar atas bantuan al Marhum al Fadhil Ustaz Alwi Abd Hamid . Beberapa bulan kemudian , saya diterima belajar untuk kemasukan sessi 92' - 93' dan menjadi generasi pertama ditauzi'kan ke al Azhar Tanta .

Saya menamatkan pengajian saya di Al Azhar pada sessi pengajian 98' - 99' dengan ijazah pertama dan saya pulang ke tanahair setelah 10 tahun menghabiskan masa dengan pengajian di luar negara untuk berkecimpung sepenuh masa dengan perjuangan Islam . Saya memilih Parti Islam Se Malaysia [ PAS ] sebagai wadah perjuangan dan saya telah menyertai PAS sejak berusia 15 tahun .

Latar Perjuanganku


Biarpun mendapat tawaran bekerja dengan gaji yang lumayan , jiwa saya tidak bersedia untuk menerimanya . ia bermula dengan sikap tidak mahu terikat dengan mana - mana pihak kerana ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada perjuangan Islam .

Saya mula diperingkat kawasan dengan memegang amanahkan sebagai ketua Dewan Pemuda PAS Rompin , kemudiannya EXCO DPP Negeri Pahang pada tahun 1999 . Saya juga pernah diamanahkan sebagai Timbalan Yang di Pertua PAS Kawasan Rompin selama 2 sessi . Ekoran pertukaran tempat kerja al fadhil ustaz Yusof Embong ke Sabah , saya pula diamanahkan untuk memangku Ketua DPP Negeri Pahang dan tahun berikutnya saya diamanahkan menjawat tanggungjawab sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang selama 3 penggal .

Sejak sessi tahun 2000 - 2001 , saya telah dilantik sebagai EXCO DPP Pusat di bawah kepimpinan Yb. Dato' Hj. Mahfuz Omar sehingga sekarang diamanahkan sebagai Timbalan Ketua DPP Pusat di bawah kepimpinan Yb. Tuan Hj. Salahudin Ayub .

Potfolio saya dalam DPPP bermula sebagai Setiausaha Lajnah Tarbiah di zaman al fadhil Ustaz Idris Ahmad selaku Pengerusinya . Kemudian diamanahkan pula sebagai Pengerusi Lajnah Tarbiyah dan kini telah diambil alih oleh al fadhil ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz sementara saya diminta untuk mempengerusikan Akademi Kepimpinan Pemuda [ AKP ] .

Latar keluargaku .

Saya mendirikan rumahtangga semasa menuntut di [ tahun 2 ] al Azhar Tanta pada 6 April 1994 dengan orang Kelate Ustazah Wan Hamidah binti Wan Daud [ tahun akhir ] . Alhamdulillah jodoh bertemu tanpa disangka dan tidak pula di dahului oleh alam percintaan . Kami bercinta selepas diijab qabul . Alhamdulillah perkongsian hidup kami dikurniakan 6 cahaya mata . [ 3 lelaki dan 3 perempuan ] .

Kini kami menetap di Balok Kuantan Pahang . Cuma anak sulong kami Iffatul Hannan kini beliau menetap di Peringat Kota Bharu kelantan kerana menuntut di Maahad Muhammadi [ P ] Kota Bharu . Adapun 3 adiknya , sedang menuntut di Sek Ren Islam al Irsyad Balok Kuantan [ Iffatul Munirah , Afif Syairazi , Afif Syaibani ] . Iffatul Widad dan Afif Syaikhani di pra Persekolahan Islam Affan Beserah Kuantan .

Saya sendiri mempunyai 4 adik . 2 daripadanya telah mendirikan rumahtangga . [ Nazri pernah belajar di Syria dan Mesir kini menetap di Keratong 5 bersama pasangannya Ina . Sementara Nordiani pernah belajar di Iskandariah Mesir kini menetap di Inderapura bersama pasangannya Ustaz Fadhil Noor al Yamani ]

NoorFadzilah masih menuntut di Iskandariah Mesir dan Mohd Zaki menuntut di Maahad Tahfiz Beserah Kuantan .

Latar Tambahan mengenai diriku

Saya mempunyai minat yang tinggi dalam bidang penulisan . Peringkat awal saya mengasah bakat menulis dengan menghasilkan kertas - kertas kerja yang berorientasikan pembentukan fikrah dan tarbiyah Islami .

Alhamdulillah kini saya telah menghasilkan 7 buah buku [ Analisis Cinta di Penyata Wahyu , Laailahaillallah vs Toghut , Tribulasi dan Reformasi , Arkanul Baiah Asas Keiltizaman berjamaah , Negara Islam vs Wawasan 2020 , Pra Syarat Kemenangan Kita , Jihad Fi Sabillillah ] . Insyaallah beberapa bulan lagi akan menyusul karya ke 8 .

Saya juga menulis di dalam web blog yang telah saya asaskan sejak Mac 2005 dalam pelbagai topik . dulu di http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com , namun kini saya telah berpindah ke http://episodeperjuangan.blogspot.com . Saya bercita - cita menghasilkan 100 buah buku insyaallah . Cuma keterikatan dengan amanah atau jawatan dalam organisasi ini menyebabkan masa dan waktu saya sangat terbatas untuk menulis . Saya harap satu masa kelak , saya mempunyai waktu seluasnya untuk mencapai cita - cita saya . Insyaallah .
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive