Warnai Perjuangan dengan Biah Islami

العلماء ورثة الأنبياء
Inilah perjuangan yang kita warisi . Perjuangan untuk mendaulatkan Islam dan syariatnya .
Perjuangan untuk menyebarkan Islam dan menyeru manusia agar kembali kepada cara hidup yang diredhai oleh Allah swt .
Perjuangan membasmi segala maksiat dan mungkar yang mengheret ummat ke dalam kancah jenayah , gejala sosial dan krisis nilai yang membinasakan tamadun kemanusiaan . Perjuangan ini juga adalah untuk memartabatkan nilai - nilai murni sehingga membentuk sebuah negara yang aman , sejahtera , maju , membangun dan mendapat keampunan daripada Allah swt .
Justeru itu , intima' [ penglibatan ] kita dengan perjuangan ini tidaklah untuk memburu kepentingan peribadi dan tidak sekadar untuk berpolitik mencari kuasa dan pengaruh .
Memahami dan menginsafi betul duduk perkara ini bahawa perjuangan kita adalah perjuangan Islam dan jamaah ini adalah gerakan untuk memobilisasi ummah agar bangkit berjuang , maka marilah kita membina biah [ suasana ] islami dalam perjuangan yang kita dokong ini .
Suasana Islam yang saya maksudkan ialah satu keadaan persekitaran jamaah yang membawa kita merasai pengabdian diri kepada Allah swt . dalam setiap detik kita bersama jamaah .
Kita tidak mahu suasana Islam itu hanya wujud sewaktu kita berusrah , bertamrin , berkuliah dan seumpamanya . Sementara keadaan dan waktu yang lain , tidak jelas suasana Islam yang kita perjuangkan , sebaliknya sarat dengan fitnah , umpat mengumpat , kutuk mengutuk , salah sangka , kebencian dan 1001 keadaan yang menambah dosa dan menumbuhkan noda .
Inilah yang selalu saya sebut , bagaimana kita berjuang , semakin lama dan semakin kuat kita berjuang semakin banyak dan semakin bertambah dosa kita . Sedang kita berjuang malah melibatkan diri dengan jamaah islam ini adalah untuk kita menghampirkan diri [ taqarrub ] kepada Allah swt .
Ingatlah , kita berjuang bukan untuk berpolitik . Kita berjuang bukan untuk berkuasa . Kita berjuang bukan untuk mencari pengaruh . Sebaliknya kita berjuang untuk mendaulatkan Islam sementara politik , kuasa dan pengaruh hanya alat untuk mencapai matlamat yang kita perjuangkan itu .
Warnailah perjuangan ini dengan warna - warna Islam yang tentunya indah melalui akhlak , fikrah dan aqidah perjuangan yang berasaskan manhaj an Nabawi .
disambung [ 2.00 pm - isnin ]
Terus terang saya sebutkan di sini bahawa kini beberapa elemen amal Islami kian terhakis dan terpinggir . Barangkali ianya menjadi mangsa arus deras perubahan modern atau modernisasi yang melanda parti . Tidaklah salah memodernkan parti malah ianya sangat perlu demi mendepani cabaran semasa yang semakin meningkat , namun tidaklah wajar mengikis elemen amal Islami yang menjadi trade mark PAS sebagai sebuah Gerakan Islam sejak dulu .
Saya menyebut satu contoh dari banyak contoh yang boleh kita ambil . Contoh yang saya maksudkan ialah Tamrin . Tamrin adalah satu mekanisme untuk membina dan mengkaderkan fikrah , syakhsiyah dan aqidah anggota parti .
Biasanya kita keluar dari kawasan perumahan kita untuk bermalam di markas atau mana - mana kawasan yang agak berasingan untuk memberi fokus kepada semua agenda dan aktiviti pembinaan dan ianya dipimpin oleh pimpinan PAS dari pelbagai peringkat yang diundang sebagai murabbi .
2 atau 3 malam berkampung dalam markas atau berkhemah di mana - mana adalah perkara biasa dalam tamrin malah ada yang mengambil masa yang lebih lama . Siapa yang pernah melaluinya , makin lama berkampung dalam satu - satu tamrin , makin mantap dan erat hubungan ukhuwwah dan kefahaman Islam antara kita .
Malang hari ini , tamrin semakin hilang . Tidak banyak kawasan atau cawangan yang melaksanakannya lagi . Malah , sebaik berbincang pasal tamrin pasti ada yang mencadang agar masa dipendekkan kepada satu hari tanpa bermalam kerana bimbang tiada penyertaan . Secara umumnya dengan pelbagai alasan kini tamrin tidak lagi popular dalam parti kecuali hanya beberapa kawasan yang masih mengekalkan tradisi ini .
Tamrin bukanlah satu nama yang mesti dikekalkan , tetapi sistem pembinaan serupa itu dengan pelbagai adjustment untuk menyesuaikan dengan keadaan adalah suatu yang masih diperlukan .
Tanpa pembinaan fikrah , syaksiyah dan aqidah yang mantap maka lahirlah ahli atau anggota yang gagal memahami konsep wala' , as samu'u wa taah , ukhuwwah fillah dan sebagainya . Implikasinya kedudukan parti sering bergoncang , kepimpinan sering teruji dengan karenah ahli , rahsia parti selalu sahaja terdedah dan krisis senentiasa tercetus dikalangan ahli dan pimpinan .
Marilah kita berjuang dengan segala keikhlasan dan ketaqwaan kita kepada Allah swt. Katakankan TIDAK kepada pergeseran dan pertelingkahan . Tamatkan segala krisis dengan lapang dada serta memaafkan sesama kita . Utamakan agenda perjuangan dengan memacunya tanpa banyak menoleh ke belakang , mengenang perselisihan silam sedang kita berdepan dengan cabaran mendatang yang memerlukan komitmen tinggi dari kita semua .
Semua kita berperanan dan diperlukan oleh parti asal sahaja kita masih dalam lingkaran peribadi , fikrah dan aqidah tulen bersama perjuangan ini . Tiada siapa yang perlu dicantas dan dicurigai andai membawa niat yang ikhlas dan memperjuangkan matlamat parti [ Tegakkan Islam bukan pengaruh peribadi ] tanpa sebarang prejudis .
0 comments:
Post a Comment