HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, April 20, 2009

Islamisasi , Islam Hadhari & 1 Malaysia



Rakyat Malaysia kini seperti diperbodoh oleh pemimpin negara . Zaman Tun Dr. Mahathir , beliau mengumandangkan slogan Islamisasi atau penerapan nilai - nilai Islam .

Slogan ini berjaya menarik minat beberapa tokoh dan aktivis dari luar UMNO untuk menyertai UMNO dengan sangkaan slogan ini adalah pintu masuk untuk mereka perjuangkan Islam dan memulihkan imej UMNO yang tercalar teruk dengan pelbagai skandal dan anutan ideologi yang bercanggah dengan Islam .

PAS sebagai sebuah Gerakan Islam sedikit sebanyak menghadapi cabaran sengit dari UMNO justeru melayu muslim di negara ini turut menaruh kepercayaan kepada UMNO dengan slogan Islamisasi tersebut kononnya UMNO juga mahukan Islam .

Setelah lebih 20 tahun , penerapan nilai - nilai Islam tidak berjaya mewujudkan masyarakat yang berteraskan sistem nilai Islam yang sebenar , jauh sekali kedaulatan syariat . Sebaliknya masyarakat dan negara terus terhimpit dalam masaalah korupsi ynag menjejaskan kestabilan ekonomi dan politiknya.

Tun Dr. Mahathir mula dilihat sebagai pemimpin yang perlu bertanggungjawab dalam meletakkan negara terus tenat menghidap barah rasuah dan penyalahgunaan kuasa . Akhirnya satu pelan peralihan kuasa terpaksa dimeterai setelah menyaksikan kebangkitan rakyat benar - benar mempamerkan kebencian mereka terhadap UMNO dan kepimpinannya .

Sejak itu , Kepimpinan UMNO dan negara diambil alih oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi . Pilihanraya umum 2004 UMNO kembali mencapai kejayaan gemilang bersama slogan baru yang diketengahkan oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi iaitu Islam Hadhari .

Bukan sahaja menenggelamkan slogan lapuk Islamisasi yang ditinggalkan oleh Tun Dr. Mahathir tetapi Tun Abdullah menggerakkan seluruh agensi kerajaan dan jabatan - jabatan swasta untuk melagang Islam Hadhari sehinggalah tertubuhnya JASA yang bertanggungjawab langsung bagi memastikan Islam Hadhari benar - benar dianut oleh rakyat dan apa yang paling penting ialah memperkukuhkan kedudukan Tun Abdullah dan UMNO itu sendiri .

Berbekalkan pengalaman silam berdepan dengan projek Islamisasi , rakyat ternyata cepat menghidu kepalsuan Islam Hadhari tersebut . Biarpun ramai kawan - kawan seperguruan saya [ maaf - sedih mengenangnya ] turut terperangkap dalam jerat Islam Hadhari sehingga sanggup menjadi penceramah Islam Hadhari malah melobinya ke serata negara . Kononnya ini adalah pendekatan terbaik untuk perlaksanaan islam dinegara ini .

Satu persatu helah bermadah Islam Hadhari ini didedah . Al fadhil Tuan Guru Hj. Abdul Hadi sempat mengarang sebuah kitab yang berjudul Hadharah Islamiyyah bukan Islam Hadhari untuk mendidik rakyat betapa Islam Hadhari adalah satu mazhab yang salah bah sesat lagi menyesatkan .

Kegagalan Tun Abdullah dalam memimpin negara dengan baik tambah mempercepatkan lagi proses penolakkan rakyat terhadap Islam Hadhari dan sajak keramatnya yang bertajuk Mencari Damai Abadi . Biarpun JASA dan JQAF berperanan besar untuk menyemarak aliran Islam Hadhari ke tengah masyarakat , ternyata ianya tidak berkesan kerana kini mereka berdepan dengan rakyat yang telah didik dan sangat berhati - hati dengan penipuan UMNO .

2008 menyaksikan rakyat bangkit semula dari kekalahan 2004 melalui referundum yang dipungut melalui peti undi dalam pilihanraya umum ke 12 . Kejatuhan 5 buah negeri ke tangan parti bukan UMNO dan BN sangat membuatkan mereka terduduk dan termenung panjang , sukar menerima realiti dan payah mencari alasan kenapa jadi begitu ?

Islam Hadhari gagal berfungsi sebagai vaksin yang boleh menyelamatkan UMNO dan BN dari wabak rasuah yang kian menular dalam segenap urat saraf dan sendi tulang UMNO dan BN . Kali ini giliran Tun Abdullah terpaksa merelakan dirinya dikambing hitamkan atas kekalahan memalukan UMNO dan BN itu .

UMNO bukan sahaja masih termangu mencari alasan kenapa mereka ditolak dengan begitu drastik oleh rakyat , bahkan mereka berdepan pula dengan krisis dikalangan pemimpin mereka . Saling salah menyalah dan saling tuding menuding antara mereka . Masing - masing enggan mengalah dan mengaku kalah .

Maka sekali lagi pelan peralihan kuasa dimeterai sebagai formula menyelamatkan UMNO dan BN dari terus dipasung oleh rakyat . Harapan mereka dengan kepimpinan baru kelak , rakyat sekali lagi memberi ruang mereka bernafas biarpun hanya seketika untuk mereka mencari idea menyelamatkan UMNO dan BN.

Saya sedari awal telah menjangkakan satu lagi slogan baru akan menggantikan Islamisasi dan Islam Hadhari sekaligus memuziumkan legasi Tun Mahathir dan Tun Abdullah .

Sebagaimana pelan diatur , Dato' Seri Najib menaiki takhta dengan megah dan bergaya sungguhpun beberapa aspek yang agak misteri . namun tiada apa yang dihairankan kerana kehidupan Dato' Najib sendiri sejak menjejak belakang Pak Lah sehingga ia menaiki takhta penuh dengan episode misteri .

Tidak sampai seminggu pun beliau menjadi Perdana Menteri , maka terhamburlah slogan yang saya nanti - nantikan . Tapi kali ini agak lucu dan saya gagal menahan ketawa sebaik mendengar slogan itu diungkapkan oleh Dato Najib , One Malaysia ia ... One Malaysia .

Memang saya ketawa besar dengar slogan ini . Spontan saya bertanya balas kepada pembaca berita di TV yang melaporkan biarpun dia tidak mendengar pertanyaan saya ..... apa ? one apa ? Formula One ...:) ... :) . Adusss , Najib ... Najib ...

Pertama : Tiada perkataan Islam langsung dalam slogan ini . maka saya berteka - teki , agaknya angle mana Kol. Jamil Khir dan partnernya Dr. Mashitah akan ambil untuk mempromosikan One Malaysia ini . Begitu juga para mufti dan imam - imam mereka . Mungkin mereka kena pergi tengok Formula One dulu baru dapat formula . Dr. Mashitah yang dulunya menjadi wira Islam Hadhari tentu kena buka kitab baru . Sebab sangat jauh beza makhraj Islam Hadhari dengan One Malaysia tersebut !

Kedua : Apakah JASA dan JQAF akan dilenyapkan ? atau mungkin juga ditukar fungsi kepada agenda merangka F1M [ Formula One Malaysia ] . Berapa juta pula mereka nak habiskan wang nanti ? Barangkali ini membuatkan Dato' Najib teragak - agak untuk meletak calun di DUN Penanti kelak .

Ketiga : Telah menjadi kelaziman pemimpin politik seperti mereka . Tergesa - gesa melontar slogan , selepas itu barulah mereka kalut mencari tokoh dan figure yang boleh mengemukakan draf dan sekaligus mempromosikannya kepada masyarakat . Selepas ini berapa banyak seminar dan siri penerangan yang akan dianjurkan untuk menjelaskan apa bendanya One Malaysia .

Masih terlalu awal untuk meramal dan saya bukan tok nujum untuk menyebut apa pula nasib One Malaysia seterusnya . Namun saya yakin , satu lagi muzium akan dibuka selepas ini .

Rakyat jelas lebih berwaspada dengan sogokan dan momokan slogan seperti ini . Sambil mereka menanti penuh sabar dan debar , rakyat juga sedia menghukum sebarang penipuan dan kepalsuan slogan yang hanya untuk mengulit dan mengalpakan mereka . Kini saya yakin rakyat telah matang berpolitik dan tidak lagi terpedaya dengan pukauan UMNO yang menjadikan rakyat khayal tanpa sedar menganggap kononnya hanya UMNO yang layak memerintah negara dan UMNO sekali - kali tidak boleh dikalahkan .

Anda bagaimana ? setuju dengan saya ? :)
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive