HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, May 25, 2009

3 Tungku PAS

Ulamak , profesional dan aktivis adalah 3 tungku PAS yang mempunyai peranan dan tanggungjawab tersendiri dalam usaha menegakkan wadah perjuangan Islam terbesar tanahair ini [PAS] .

Tanpa satu daripadanya , PAS tidak akan mampu gah berdiri pada tahap yang ada pada hari ini .

Sesuai dengan istilah tungku yang saya gunakan , ianya membawa maksud setiap satu dari tungku tersebut diperlukan bagi mengimbang kekuatan parti mendepani cabaran , melengkapkan keperluan parti dan memenuhi tuntutan massa [ummah] .

Tidak mungkin salah satu daripadanya [ 3 tungku ] terpinggir atau dipinggir dan terabai atau diabaikan justeru ia akan melemahkan parti . Sebaliknya setiap satu dengan yang lainnya saling kuat menguat dan kukuh memperkukuhkan antara satu sama lain .

Menyedari kekuatan inilah , musuh kelihatan sangat cemburu dan gigih berusaha untuk melumpuhkannya . Media digunakan sepenuhnya untuk merungkai keserasian 3 tungku utama PAS ini dengan menimbulkan konflik dan mencetuskan pergeseran . Sedang PAS telah selesa sejak awal ia diasaskan , bergerak dan memacu perjuangan dengan kombinasi jitu 3 tungkunya iaitu ulamak , profesional dan aktivis .

Semangat yang diambil dari seminar khas sempena sambutan jubli perak Kepimpinan Ulamak baru - baru ini jelas memperakui peranan 3 tungku utama parti yang menjadi tonggak mendokong Kepimpinan Ulamak .

Kepimpinan ulamak tidak seharusnya dibaca semua pemimpin parti mestilah ulamak sebagaimana tidak juga wajar dibaca kepimpinan ulamak sebagai dominasi ulamak disemua peringkat kepimpinan parti .

Kepimpinan ulamak ialah satu konsep kepimpinan parti yang dasar dan arah tujunya dipandu dan dipimpin oleh ulamak al a'milin al mujahidin .

1982 menyaksikan Konsep Kepimpinan Ulamak ini diperkenal dan diamalkan dalam kepimpinan parti dan akhirnya membawa kepada penubuhan majlis Syura Ulamak yang kemudiannya didokumenkan dalam daftar perlembagaan parti . Penubuhan Majlis Syura Ulamak menjadi penafsiran bertulis bagi melaksanakan konsep Kepimpinan Ulamak yang telah dipersetujui dan didokong bersama .

Semangat dari konsep Kepimpinan Ulamak ini pula , biarpun tidak tertulis di dalam perlembagaan , parti melalui perwakilannya ke muktamar telah meletakkan Presiden dan Timbalan Presidennya dikalangan ulamak untuk memimpin sebuah jawatan kuasa yang besar diperingkat eksekutif parti .

Ianya berlaku sejak konsep Kepimpinan Ulamak ini digagaskan . [ di zaman al marhum Yusuf Rawa sebagai Yang Di Pertua PAS Pusat , Al Marhum Ustaz Fadzil Noor sebagai timbalannya . Sementara zaman al Marhum Ustaz Fadzil Noor sebagai Presiden PAS , Tuan Guru Hj Abd Hadi sebagai timbalannya , demikian di zaman Tuan Guru Hj. Abd Hadi sebagai Presiden PAS , al fadhil Ustaz Hassan Shukri sebagai timbalan dan kemudiannya diganti oleh Al Fadhil ustaz Nasharudin Mat Isa sebagai timbalannya .]

Sejak Kepimpinan Ulamak [1982] diamal dan dilaksanakan konsep kepimpinannya , ulamak terus diberi kepercayaan untuk memimpin parti bersama dengan gandingan mantap dari kalangan profesional dan aktivis . Justeru PAS tetap melaksanakan kaedah kepimpinan kolektif dengan prinsip amal jamaei [ kerja berpasukan ] yang utuh .

Tungku Aktivis PAS

Tungku ini sangat besar pengorbanan mereka kepada perjuangan Islam yang didokong oleh PAS . Mereka barangkali tiada STAM atau tiada STU , jauh sekali untuk dapat Ir dan Dr pada pangkal nama mereka . Rata - rata mereka adalah ahli biasa parti dan hanya menjadi pemimpin peringkat bawah seperti cawangan dan MTD [ Majlis Tindakan DUN ] .

Namun mereka tidak teragak - agak mewaqafkan tanah mereka untuk didirikan markaz , menjual keperluan asas mereka bagi membiayai perjuangan yang didokong malah menggadai barang kemas mereka demi menampung keperluan jamaah . Mereka mungkin juga tidak dikenali di bumi namun keikhlasan mereka sangat dikenali di langit dan pastinya doa mereka didengari [ diterima ] oleh Allah swt.

Mereka sangat sayang kepada perjuangan Islam yang didokong dan mereka jua sangat komited mendokong para ulamak yang memimpin dan membimbing mereka . Mereka faham Islam dan tergerak dihati penuh insaf dan sedar untuk berjuang , bermula dari ilmu dan bimbingan para ulamak .

Saya melihat latar belakang kategori ini , tidak mungkin mereka menolak kepimpinan ulamak dan siapa yang kata mereka tolak kepimpinan ulamak ? Golongan aktivis parti tetap akan mendokong cita - cita perjuangan dan bersama kepimpinan ulamak seperti yang telah ditunjukkan oleh al marhum Tuan Guru Yusuf Rawa , al Marhum Tuan Guru Hj Fadzil Noor , Tuan Guru al Mursyidul Am Dato' Nik Abdul Aziz dan Tuan Guru Dato' Seri Hj Abdul Hadi .

Tungku Profesional PAS

Kategori ini juga wujud di dalam PAS sejak hari jadi PAS yang pertama lagi seperti Prof Dr. Burhanudin al Helmi , Dr. Abbas , Prof Dr. Ahmad Ibrahim dan ramai lagi tenaga - tenaga pakar dalam bidang - bidang tertentu yang membantu pemimpin PAS dari belakang tabir .

Sangat membanggakan di era kepimpinan ulamak , melalui didikan dan bimbingan ilmu serta sentuhan spiritual perjuangan Islam oleh para ulamak , golongan profesional mula berhijrah beramai - ramai secara terang - terangan menyertai PAS malah mengambil posisi besar dan tinggi dalam PAS untuk membantu kepimpinan ulamak mengangkat parti menjadi gah dan hebat .

Pengorbanan mereka juga sangat besar . Sebahagian mereka sanggup meninggalkan gaji lumayan justeru menyedari bahawa Islam dan perjuangannya adalah lebih bernilai dari segala material yang ada . Mereka menginsafi bahawa akhirat adalah taruhan sebenar sementara dunia adalah tempat mereka mencurah bakti kepada perjuangan Islam . Kesedaran mereka dibina dan bentuk oleh para ulamak dan akhirnya mereka terpaut kepada perjuangan suci ini .

Sejurus mereka menyertai PAS , segala kepakaran dan kemahiran dicurahkan untuk membangunkan PAS dan memperkasanya . Organisasi dimantapkan , pengurusan dikemaskinikan , perancangan dan strategi disistematikkan . PAS kini berdiri sama tinggi bahkan lebih tinggi berbanding parti - parti politik yang lain .

Saya melihat , golongan profesional juga sangat menghormati ulamak justeru mereka memahami Islam dan perjuangannya ini melalui sentuhan ilmu dan didikan para ulamak . Tidak ada orang yang faham Islam dengan sendiri begitu sahaja tanpa melalui ilmu sedang ilmu itu dari dada para ulamak yang membimbing mereka . Berasaskan realiti ini juga , saya yakin profesional juga mendokong kepimpinan ulamak . Sekali - kali mereka tidak akan meminggirkan ulamak dan siapa yang kata mereka akan pinggirkan ulamak ?

Tungku Ulamak PAS

Tiada siapa yang dapat menafikan bahawa perjuangan Islam ini diasaskan oleh Nabi saw dan kemudiannya disambung oleh para sahabat rhm sehinggalah akhirnya diteruskan oleh para pewaris baginda saw iaitu ulamak .

Bukan sahaja menubuhkan PAS malah yang mula menggerakkan kebangkitan ummah menentang penjajah bagi membebaskan negara dari penjajahan dan perhambaan sesama hamba ialah ulamak . Tidak sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia . Pahlawan dan para pendekar yang bangkit menentang kuffar yang menjajah tanahair dan merampas hasil bumi mereka ialah terdiri dari kalangan ulamak atau tok - tok alim dari pondok - pondok dan juga madrasah - madrasah .

Pengorbanan mereka tidak terhenti setakat tenaga , wang ringgit dan masa tetapi darah dan nyawa . Berbekal kekuatan ilmu dan kefahaman mereka yang mendalam mengenai Islam , mereka berjuang memburu syahid dan berdakwah tanpa memperduli sebarang implikasi .

Mereka turun meredah sempadan dari satu daerah ke satu daerah , dari satu negeri ke satu negeri untuk menyampaikan ilmu Islam kepada masyarakat . Sebahagiannya dicemuh dan dimaki malah ada yang diseret ke mahkamah seperti al marhum Tuan Guru Hj Mustafa Pondok pasir Tumboh dan ramai lagi .

Ulamak tidak sahaja penuh ilmu di dada tetapi juga terhias peribadi mereka dengan taqwa dan amal yang soleh , menjadikan diri mereka tawadhu' dan zuhud . Mereka memimpin parti dan ahlinya dengan keikhlasan dan ketaqwaan disaat orang belum mengenali strategi planning , analisis swot dan sebagainya . Pun begitu mereka berjaya membangunkan insan dan jiwa berjuang bangkit menentang boneka penjajah yang memerintah negara .

Kehadhiran aktivis PAS dibawah kepimpinan mereka mengukuhkan akar umbi parti dan kemunculan golongan profesional menambah nilai dan meningkat upaya kepimpinan ulamak dengan membesarkan lagi skala kemampuan parti mendepani segala cabaran moden yang dihadapi pada hari ini .

Fenomena ini [ kehadhiran aktivis dan kemunculan profesional ] adalah sangat membanggakan malah mengembirakan semua pihak termasuk para ulamak justeru mereka menjadikan PAS lebih lengkap dan semakin sempurna berbanding sebelumnya .

Saya melihat realiti ini tidak memungkin ulamak meminggirkan golongan aktivis dan profesional lantaran mereka sangat diperlukan oleh ulamak untuk terus membangunkan satu - satu wadah besar perjuangan Islam yang mampu bersaing dengan kuasa toghut dalam negara ini . Saya tidak nampak para ulamak mengabaikan dua tenaga penting [ aktivis dan profesional ] dalam kepimpinan ulamak , atau siapa yang kata ulamak tolak aktivis dan profesional ?

Musuh Dalam Selimut

Saya melihat musuh Islam sangat cemburu dengan tiga kombinasi tungku PAS ini . Mereka akan lakukan apa sahaja untuk mengalih salah satu dari tungku ini dari posisinya agar PAS tumbang atau paling tidak senget dan tidak seimbang .

Siapa mereka ini agak sukar kita kesan . Zahirnya UMNO dan BN memang telah menjadi musuh tradisi kepada PAS . Tidak mustahil dan ini telah berlaku sejak zaman nabi saw sehingga hari ini dan ianya juga berlaku kepada semua gerakan Islam di seluruh dunia termasuk Ikhwan Muslimin , di mana musuh dihantar masuk ke dalam parti untuk merosakkannya dari dalam .

Mungkin inilah yang kita sebut sebagai musuh dalam selimut . Samaada musuh yang dihantar masuk dalam parti atau anggota parti yang khianat lalu menjual diri dan maklumat parti kepada musuh , ini juga musuh dalam selimut .

Perkara ini perlu hazar [ waspada ] oleh seluruh saff pimpinan dan anggota parti . Islam sememangnya mengajar kita demikian . خذوا حزركم ambillah [ tumpukan ] kewaspadaan kamu terhadap perkara - perkara seperti ini .

Insyaallah selama mana 3 tungku ini tidak dipisahkan sebalik terus berada diposisi asalnya , saya percaya PAS akan terus utuh dan tidak mungkin mudah rosak dan binasa kerana angkara anai - anai ini . Kalau anai - anai ini hanya seekor dua , tidak mengapalah , tapi kalau banyak dan berjujut masuk dalam bangunan PAS ini terpaksalah PAS menghubungi pest control !


15 comments:

muryadi said...

Terima kasih Ustaz kerana disebut-sebut juga peranan aktivis Pas ni.

Saya yg bukan profesional takda pendidikan tinggi dan segulung ijazah apatah lagi bukan ulamak sangatlah rasa terharu.

Sebal said...

waaa waaa mau nagis gue baca post utz yang ni...dah sedarpun..yang tungku pas ada 3...kesian uts terlambat memahaminye...PAS ni..d dokong oleh semua golongan yang cintakan islam,,,jadi bukan golongan ulama aje tau..jadilah diri utz tu payung utk ahli pas dari segenap golongan and juga lampu utk yang belum islam....bukan jadi katak bawa kitab....jangan org seperti utz yang berpotensi jadi pewaris kepimpinan...menjadi alat musuh..utk buat geng A atau geng B..

Sy amat tak setuju dgn pendapat utz and saranan utz pasal golongan erdogan...Jadi semoga utz jadi celek fikiran...belajarlah politik dari org lama dlm politik....sebab..celek politik ni bukan kepunyaan golongan utz aje..org macam gue yang atas pagar nipunn..celek juga...cuma celek cara guelah..klo buat usrah and tarbiayah..jangan hafal aje...tapi kena ada subject macamana mau apply islam tu utk PAS for ALL..Maaf ajelah sebab cubit sikit..klo tak betul tu..wajarlah sebab gue bukan utz..cuma sebal sikit and gatal tangan mau menaip..maasalam

Sebal said...

waaa..mau tambah sikit lagi..kesian juga gue dgn para utz dlm PAS ni..lebih-lebih lagi yang bakal jadi pemimpin PAS PUSAT baik pemuda atau DUPP..setelah 25 tahun kepimpinan Ulama...baru kelmarin depa sedar,,,yang PAS NI perlu ada dan d sokong olih semua golongan..barulah d namakan GERAKAN ISLAM...walaupun begitu tahniah ajelah semoga utk kedepan ni..lebih baik dari kelmarin..gue masih ingat bila uts Hassan Sukri and pad daeng menang Naib Presiden PAS dulu...almarhum Utz Fazdil kata,,dia amat bershukur kerana ahli PAS bijak semuanye..dgn pilih peminpin PAS dari berbagai golongan..ada BUGIS(PAK DAENG) ada Banjar (Utz Hassan)Yang Melayu utz Hadi, yang cina kamal koh..professional Khalid Samad, Syed Ibrahim, wan mutalib embong,

Kan Cantik tu..jadi janganlah d main kan lagi issue ulama and professional ni...terutama dari blog utz ni..

Samudera Tinta said...

Saya lebih tertarik dengan saranan Dr Hamzah Jaafar yang mecadangkan Kepimpinan Ulama ditukar kepada kepimpinan Islam.

Jika kita menyebut kepimpinan ulama, maka kita mempertahankan golongan tertentu sedankan jika kita menyebut Kepimpinan Islam, kita jelas mempertahankan Islam.

Ulama adalah manusia yang tidak lalai dari kesilapan sedangkan Islam adalah syumul kerana ianya ari Pencipta.

Jika Kepimpinan Islam diperkenalkan, kita tidak perlu sibuk bertempur Profesional Vs Ulama setiap kali tiba musim muktamar.

Sekian, terima kasih.

Panas Hati said...

http://percayaker.blogspot.com

tipu !!

sebenarnya profesional dalam pas diketepikan.

bukti profesional diketepikan. bila ada profesional nak tanding. mesti ada ustaz-ustaz bising. termasuk tonto.

kalau profesional tidak diketepikan. kenapa bising bila profesional lawan jawatan tinggi PAS??

sah tonto nak tipu. nak selamatkan diri.

achoksabah said...

Agak menarik tajuk 3 tungku dalam pas..semua org tahu 3 golongan ini merupakan golongan yg cukup penting didalam pas..dan ketiga-tiga golongan inilah yg telah sedaya upaya menyambung dan mewarisi kerja nabi saw, dan kerja nabi saw bukan diwariskan hanya kepada satu golongan sahaja..

Apa yg saya nak tekankan adalah cubaan-cubaan golongan2 tertentu yg sakit hati apabila melihat kerjasama 3 golongan dalam pas ini dengan meninggi-ninggikan satu pihak sahaja sedangkan satu pihak lagi direndah-rendahkan..golongan ini kerap muncul pada muktamar untuk mendapatkan keuntungan peribadi mahupun kelompok…cuba kita bayangkan apabila satu daripada tungku ditinggi-tinggikan manakala tungku lain dibiarkan pendek,sudah pasti akan menghasilkan keadaan yg tidak stabil pada atas tungku,

achoksabah said...

salam

ust din,,sy nak tanya satu soalan cepumas..ust rasa,ust ni ulamak ke???

ada kwn saya tanya..

Anonymous said...

KEMPEN DALAM PAS
1. Hapuskan Jawatan Timbalan Presiden PAS. tambah jawatan naib presiden

2. Perkasakan Majlis Syura Ulama. MSU dipilih oleh sidang Muktamar, Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Kemudian MSU melantik Presiden dan AJK Pusat. MSU berkuasa membatalkan keputusan AJK Pusat atau Dewan Harian Pusat.

3. Wujudkan Dewan Ulama dan Intelektual. jangan jadikan Dewan Ulama sarang orang tua dan pencen. Ulama perlu ke depan memimpin umat.

RajaMuhammad Suffian Ibnu Rahman said...

slm,mohon muhasabah diri dan keikhlasan dalam memperjuangan Islam,sama-sama kita lengkap melengkapi antara satu sama lain.kekalkan ukhwah islammiyyah kita.jg akhlak antara sahabat2 kita.sama2 memberi kefahaman Islam

Unknown said...

Salam.

Apa2 organisasi sekalipun, tidak boleh satu pihak saja mendabik dada bahawa mereka merupakan faktor kejayaan.

Pengurus tidak akan cemerlang tanpa penyelia yg gemilang.

Bahkan kadang2 pengurus wajib mengambil tanggungjawab apabila penyelia atau org bawahannya melakukan kesilapan.

Aktivis dalam PAs merupakan nadi penggerak. Mereka membuat kerja tanpa penat dan tidak mengejar pangkat.

Aktivis tidak tahu label-melabel. Malah mereka merasa bosan bila ini berlaku dalam parti. Kerana yg mereka inginkan hanyalah redha Allah. Dan dari segi politiknya mereka amat ingin MENERAJANG UMNO. TIADA KOMPROMI!!!

Umno adalah musuh tradisi PAs. Mereka bukan sahaja menentang PAs malah pernah memperdaya PAs. Bak kata TGNA, parut lukanya masih berdarah.

Adat berperang, mesti tahu kekuatan dan kelemahan lawan.

Umno tahu dia akan tewas jika bertarung secara berdepan dgn PAs. Kerana Umno adalah musuh yg nyata. Nampak bayang pun org PAs kenal itu bayang umno!!!

Lalu umno 'mencipta' musuh dlm selimut. Sekali lagi teknik ini hampir berjaya. Malah apa yg dinafi pd awalnya secara bersungguh-sungguh adalah benar2 berlaku. Jampi perdaya apa yg umno gunakan tidaklah diketahui. Yg terperangkap pula bukannya sebarangan org. Mereka bukan aktivis jalanan!!!

Selepas itu timbul gelora. Label-melabel. Pentas usrah dan kuliah menjadi medan kempen yg amat dahsyat. Seolah-olah kepala lebih besar dari serban. Penuh bersemangat. Tanpa disedari bahawa yg dicela itu adalah jamaah kita atau sahabat kita. Yang selama ini kita berjuang bersama-sama. Musuh Umno sudah makin kabur.

Seperti yg dikatakan pd awal td, umno tidak akan berperang secara berdepan dgn PAs. Teknik 'menanam agent' umno dlm PAs pun sudah lapuk. Musuh dlm selimut yg sebenar ialah pejuang tegar PAs sendiri!!! Ini lebih bahaya.

Mereka TANPA SEDAR menjadi pejuang Umno secara tak rasmi bila membelasah jamaah sendiri dan sahabat yg sudah kita berjanji setia. Antara membelasah dengan nasihat, sangat terang bezanya. Istilah lunak apa yg digunakan pun, semua org faham maksud sebenar.

Inilah yg berlaku yg menjadi kegusaran aktivis PAs. Mungkin 'orang atas' tak perasan.

Musuh dalam selimut bukannya datang dari luar bilik tidur. Musuh dalam selimut adalah memang sentiasa berada dalam selimut.

Mungkin mereka sudah rimas berkipas, mahu merasa dingin air-cond pula.

Ingatlah. TGNA lebih arif tentang segala senjata sulit dan buah silat yg umno gunakan. Sebab itu Kelantan mampu bertahan selama hampir 20 tahun tanpa wujud label ulama, professional, erdogan atau pro-muzakarah. Yang ada cuma PAS!!!

Jangan kita bikin tak serupa cakap. Slogan 'PAS FOR ALL' jangan hanya tinggal retorik.

Pastikan ianya benar2 PAS FOR ALL, bukannya milik eksklusif mana2 pihak.

Walaupun rasanya agak terlambat, setelah beberapa artikel lalu yg mengeruhkan suasana tapi saya ingin mengucapkan syabas kepada ustaz din kerana akhirnya menulis artikel ini yg dapat menyuntik semangat dan menjernihkan keadaan.

PAS FOR ALL......

muslimat said...

Tak susah memahami tulisan ustaz ini dan tak susah juga memahami tulisan ustaz yang lepas-lepas.

terima kasih kerana menyampaikan suatu pengajaran yang baik bagi kami yg ingin memahami.

saya bersyukur kerana serangan terhadap tulisan ustaz menjadikan kami lebih teruja untuk mengkaji dan lebih bersemangat utk cuba memahami.

Laksana batu-bata pada suatu binaan, kita saling kukuh mengukuhkan. Keterlibatan dalam jemaah bukan untuk melihat atas 'title' apa kita berada di sana tetapi untuk bersungguh-sungguh mencari ruang,di sudut mana kita boleh mewakafkan tenaga.

Cumanya sebagai sebuah pertubuhan/parti yang menjadikan Islam sebagai dasarnya, kita selesa mendapat pimpinan dari ulama' yang kita fahami mempunyai keilmuan tinggi dalam hal agama , supaya dgnnya nanti segala keputusan dan kerja buat kita akan sentiasa terpandu di atas landasan agama juga.Selama kita dihidangkan dgn konsep kepimpinan ulama, kita cukup jelas bahawa ia bukanlah membawa erti menafikan kepentingan 'kepakaran' lain utk bersama meperteguhkan perjuangan kita...bahkan sebelum ini kita faham betol bahawa gabungan pelbagai kepakaran dan golongan dlm jemaah telah menjadikan kita ampuh dan terus gagah mengatasi lawan.Pastinya sekarang kita tidak wajar utk merasa bimbang dan ragu kerana ternyata kita telah mencipta banyak kejayaan kerana sifat ikhlas dan taqwa yg kita bawa.Bukankah Allah memberitahu kita bahawa tiada yg membezakan antara kita kecuali taqwa ?

Kita hentikan keraguan dan sengketa.Kita hampiri kejernihan berbanding kekeruhan.Kita kurangkan percakapan dan tumpukan pada amal kerja kita. Jalan masih panjang untuk kita berlengah-lengah dengan 'kemuncup' di jalanan.

harapan kami pada ustaz dan barisan kepimpinan jemaah khususnya barisan pemuda,Teruskan agenda tarbiyyah utk pemuda. cabaran masa depan tentulah lebih besar dan lebih beragam.10 pemuda yang mantap fikrahnya, tinggi wala' dan ikhlas dalam gerak kerjanya tentulah jauh lebih baik dari 1000 pemuda yang tidak faham bahawa dakwah bukanlah sesuatu yg untuk memuaskan hati dan pandangan pribadi, tapi dakwah adalah jalan keimanan kepada Ilahi.Ia bergerak di atas paksi mencari redha dari Allah.

Kita mendambakan pemuda yang menggabungkan diri dgn harakah utk menjunjung prinsip-prinsip Islam yg benar dan menjadikan seruan dakwah bertambah kuat. kekuatan ini bukan semata-mata kerana bilangan mujahid yg bertambah tetapi kerana suburnya dorongan jihad yang ada dalam jiwa mereka. Ini kerana keupayaan mereka melihat kebenaran dalam dakwah dan mengenali dgn jelas makna keihklasan serta faedah yang diperolehi dari kerja-kerja dakwah mereka.Mereka adalah golongan yang mewah dgn keredhaan Allah, miskin dgn pujian orang, serta kaya dgn cercaan manusia.

Semoga Allah membuka tutupan dari hati para pejuang yang ikhlas bersama kita (pas), menghilangkan kabus tamak serta hasad dengki dari nurani mereka supaya dgnnya mereka akan mengetahui bahawa sesuatu yang disisi Allah itu jauh lebih baik dan lebih kekal.

salam perjuangan utk semua.

al-aman said...

Tulisan yg menyenangkan semua pihak, insya Allah. Kadang2 tulisan kita menyenangkan setengah pihak...tetapi menyinggung setengah pihak yg lain.

Benarlah, "Redha manusia ialah matlamat yg tidak akan dicapai."

Walaubagaimanapun, Islam for All! Bersatu kerana ALLAH!

Unknown said...

kita banyak belajar sir dan hazar dalam usrah peringkat anak-anak, belajar banyak kaedah dan applikasi sir dan hazar di peringkat anak-anak...
kerana tapisan ahli di peringkat anak-anak adalah lebih mudah, semuanya mudah diurustadbirkan.

apabila di peringkat bapa-bapa,semua yang berlabel dan tidak berlabel boleh bersama-sama...keterbukaan kita sehinggakan musuh ketat pun boleh diterima.

'musuh' semasa peringkat anak-anak tidak lagi menjadi 'musuh' di peringkat bapa-bapa, kerana dilihat berkongsi matlamat yang sama.
'musuh' diperingkat anak-anak sedia diterima kerana kita sedia bersangka baik yang mereka telah pun ber'taubat'.

dan ada mereka yang betul-betul bertaubat..
namun, adakah ada juga 'musuh' di peringkat anak-anak ini yang bermanis muka bertaubat, tetapi masih menyelit agenda lama.

sukarnya mengenali 'musuh' ini dan kepada Allah sahajalah kita bertawakal.

Ibnu Abas said...

Salam... takziah ustaz atas tgjwb yang diamanahkan.. semoga Allah memberi taufik dan hidayah untuk ustaz memimpin Pemuda PAS! Allah hu Akbar!

Unknown said...

Ustaz, tahniah dan tersukan usaha ustaz.

Saya kira ramai di luar sana terutama pro-anwar dan PKR yang cemburukan kekuatan jentera aktivis PAS.

Sebab itulah mereka amat-amat mengharapkan PAS menjadi liberal.

Mereka membenci orang-orang seperti ustaz kerana ia akan menjadi batu penghalang kepada kemaraan Anwar untuk menjadi PM.

++++
Peristiwa Nizar dilantik MB adalah pertolongan Allah kepada PAS hasil doa ulama dan usaha profesional di dalam PAS.

Selepas kemenangan BA di Perak, Sultan meminta setiap parti BA menghantar nama calon MB.

Dan PKR turut mencalonkan nama, dan nama bekas posmen itulah yang menjadi calon pilihan Anwar.

Ia telah berlaku dan menjadi sejarah.

Selepas Nizar terpilih, Adun PKR itu amat-amat cemburu.

Kemuncak itu, dia melompat parti dengan bangganya.

Adakah ini calon MB daripada Anwar?

Saya kira, jika Adun PAS yang berlaku sedemikian, nescaya hentaman hebat terhadap Hj Hadi.

====
Di sinilah letaknya akhlak para pemimpin PAS, lansung tidak menghentam atas isu Perak, walhal sudah terang-terangan ia timbul daripada PKR yang tidak pandai membuat saringan memilih calon.

PKR hanya pandai hendak bertanding tetapi tidak pandai memilih calon yang bertanding.

Calon yang ada adalah tangkap muat; bekas posmen, perakam video, blogger dan sebagainya.

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive