Memacu Kebangkitan
Ucaptama
Pemangku Ketua
Dewan Pemuda PAS N. Pahang
[ Al Fadhil Us. Suhaimi Md Saad ]
Memacu Kebangkitan
Menjana Kemenangan
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan pada Allah di atas taufiq dan hidayahnya, yg meletakkan kita berada dalam perjuangan agamanya. Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad, saiyyidul anbiaya’
Bagi pihak Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, saya mengalu-alukan kesudian Dato Hj Mahfuz Omar, Ketua Penerangan PAS Pusat untuk merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang. Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang juga mengalu-alukan tetamu-tetamu kehormat, para perwakilan dan pemerhati yg hadir untuk memeriahkan muktamar pada pagi ini.
Firman Allah
Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal soleh, sambil berkata sesungguhnya aku adalah dari orang Islam (yang berserah bulat pada Allah)
Fusilat : 33
Sidang muktamar sekalian,
Muktamar merupakan persidangan penting untuk mengukur pencapaian dewan setahun yang lalu dan untuk mengukuh gerak kerja mendatang.
Kita bermuktamar pada kali ini dalam situasi perubahan rakyat yang menolak Barisan Nasional dan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Bermula dari Tsunami politik dalam pilihanraya Umum ke 12 diikuti dengan siri-siri pertempuran pilihanraya kecil yang menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya melakar kejayaan yang cemerlang. Walaupun seluruh media dan jentera mengasak kita sehingga rapat ke dinding, namun kita berjaya meloloskan diri dan memberi pukulan KO kepada UMNO/BN.
Walaupun 1001 tohmahan di lemparkan pada PAS dan Pakatan Rakyat, sedikitpun tidak meruntuhkan keyakinan rakyat malah sokongan kita semakin bertambah. PAS telah melalui perjuangan ini sejak 1951 sehinggalah sekarang. Inilah kedudukan terbaik yang pernah dicapai oleh PAS sepanjang sejarah.
Sepanjang sejarah perjuangan ini menyaksikan pempinan PAS keluar masuk penjara, diugut malah ada yang dibunuh secara zalim. Seharusnya pemuda tidak lupa pada pengorbanan ini. Kita mengecapi kejayaan atas pengorbanan pejuang pejuang Islam yang sanggup memerah keringat, menabur harta dan mengorbankan nyawa mereka untuk meletakkan Islam di tempatnya.
Mereka merintis jalan perjuangan ini disaat manusia menolaknya, berceramah di saat tiada pendengarnya, menyampaikan dakwah disaat masyarakat memulau dan menganggap sesat. Semangat kental yang mereka tunjukkan seharusnya menjadi contah buat kita pemuda melayarkan bahtera perjuangan ini.
Benarlah apa yang di nyatakan oleh Allahyarham Dato Fadzil Noor. Dalam satu ucapan dasarnya. Almarhum menyebut;
”Pengalaman pahit manis perjuangan yang dilalui PAS telah menguatkan daya juang, daya sabar, daya fikir dan daya ujinya. PAS terus membaiki kelemahannya, menyusun kebangkitannya dengan memperbaharui tekad, meroboh semua tembok yang mengepung kegiatan dan kehadirannya ke ceruk, teluk, kubang, permatang, tanjung, kuala, bukit, gunung, kota dan seterusnya. Kini PAS sudah tidak lagi dilihat sebagai sebuah parti kenegerian atau kedaerahan tetapi ia adalah sebuah parti nasional yang bersedia memikul amanah dan tanggungjawab, memimpin negara dan memandu rakyat berbagai kaum, agama dan kebudayaan menikmati kehidupan, kesejahteraan dan keadilan di bawah payung langit yang terbuka ini.”
Jika nabi Ibrahim berjuang untuk meninggalkan agama ini kepada anak cucu dan umat dizamannya, Nabi Muhammad berjihad menentang jahiliyyah, para sahabat terus membawa obor Islam setelah nabi wafat, disambung oleh para ulama’ dan pejuang Islam dizaman mereka. Mereka semua menunaikan amanah dan peranan mereka, untuk melihat Islam diwariskan dalam keadaan sempurna kepada generasi selepas mereka. Hari ini kita mesti bertanya, apakah pula yang kita nak wariskan kepada generasi selepas kita.
Memacu Politik baru
Sidang muktamar sekalian,
Malaysia kini melalui era politik baru, dimana dominasi Umno/BN sejak merdeka kini telah berjaya dipecahkan. Rakyat yang mahukan perubahan, ianya tidak dapat disekat atau dibendung, kerana sesungguhnya suara rakyat adalah suara keramat
Gelombang Pertama Kebangkitan Rakyat 1999 (PRU 10). Impaknya bukan kepalang sehingga kerajaan Umno/BN kehilangan 42 kerusi di Parlimen dan 2 buah negeri. Kali kedua gelombang ini berulang lebih hebat dalam PRU ke-12 pada 8 Mac, 2008 yang lalu. Kerajaan Umno/BN kehilangan 5 buah negeri, 82 kerusi parlimen sekaligus ternafi 2/3 majoriti di Dewan Rakyat. BN hilang kebanyakan negeri-negeri yang kaya dan bandar-bandar yang menjadi ibu negeri di semenanjung. Bandar bandar pantai timur kini adalah milik Pakatan Rakyat. Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Kuantan.
Walaupun rakyat disekat dari mendapat maklumat, diperbodohkan saban malam, kebebasan bersuara dikongkong, kawasan pembangkang dinafikan pembangunan, namun rakyat kini dilihat sudah hilang takut malah kebal untuk berhadapan dengan kedurjanaan ini. Inilah budaya politik baru.
Politik Baru membebaskan serta mendaulat kuasa rakyat sementara Politik Lama membelenggu serta memperbodoh rakyat untuk kesekian lamanya. Politik baru adalah politik ilmu. Politik lama sarat dengan bebal dan menolak intelektual. Budaya politik baru inilah yang akan melahirkan warga negara kelas pertama, manakala kebebalan mempertahankan politik lama adalah gambaran standard pemikiran kelas tiga.
Politik baru ini ini berjaya menenggelam politik lapuk turun temurun Umno/BN yang jelas ditolak mentah-mentah oleh rakyat kini.
Contoh terburuk politik Lama yang mengongkong dan membelenggu rakyatnya disebut dalam Al-Quran. Fir’aun dalam urus-tadbir menzalimi kaumnya bagi mempastikan rakyatnya terus taat dan mengikut sahaja perintahnya.
Firman Allah SWT dalam Surah Az-Zukhruf:25
Maka Firaun menakut-nakutkan rakyatnya, lalu mereka mengikutnya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yg fasik . Secara ringkasnya
1. Politik baru juga menolak pemahaman bahawa Tafsiran agama yang hanya berlegar ibadat khusus yang menolak peranan agama dalam politik dan pentadbiran.
2. Politik baru bermakna kita anak anak muda sudah bersedia untuk meninggalkan Politik pekauman dan perpecahan dan di gantikan dengan konsep perpaduan rakyat dan muafakat sesama rakyat Malaysia sesuai dengan slogan kita PAS for All
3. Politik baru bermakna kita anak anak muda juga menolak pemimpin yang terus menerus mengumpulkan kekayaan demi kepentingan keluarga dan kroni sehingga rakyat tertindas dan digantikan dengan pemimpin yang benar-benar ikhlas memperjuangkan hak rakyat dan berpegang teguh pada Perintah Allah S.W.T dalam menjalankan amanah kepimpinan
4. Politik baru yang anak muda mahukan ialah tidak adanya rasuah dan salah guna kuasa di kalangan pemimpin Negara sehingga menyebabkan rakyat yang terpaksa menanggung beban kerugian yang dilakukan pemimpin tersebut golongan ini perlu digantikan dengan pemimpin yang berintegriti tinggi, adil dan telus dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin rakyat.
5. Anak anak muda juga bersedia membuang politik lama pemimpin yang tidak reti menghormati Undang-undang dan perlembagaan dan golongan ini wajib digantikan dengan pemimpin yang patuh terhadap undang-undang dan perlembagaan Negara yang mereka sendiri terlibat menggubalnya bagi memastikan rakyat hidup dalam keaadaan aman dan tenteram, dengan menghormati perlembagaan dan undang-undang Negara (yang mana tidak bertentangan dengan Islam).
6. Politik baru yang kita mahukan ialah akta-akta zalim perlu dihapuskan seperti ISA, AUKU, OSA, AKTA Mesin Cetak dan Penerbitan, akta-akta inilah yang selama ini telah menyekat kebebasan bersuara Rakyat dan Merencatkan demokrasi Malaysia.
7. Politik Baru yang dimahukan ialah memastikan Institusi-institusi kerajaan seperti PDRM, SPRM, SPR, Kehakiman dan lain-lain tidak diperkuda untuk pengekalan kuasa kerajaan yang memerintah. Badan ini perlu bebas dalam melaksanakan tugas mereka bagi memastikan semua rakyat Malaysia dapat menikmati keadilan dan keamanan
Walaupun Negeri Pahang tidak mencapai keputusan yang membanggakan, namun kemenangan sahabat-sahabat kita cukup untuk memberi satu semangat dan keyakinan, untuk kita terus bekerja bagi memenangkan Islam di bumi Tok Gajah ini. Sesuai dengan slogan kita Pas for All ayuh marilah kita memacu politik baru ini.
Seharusnya ia menjadi isyarat pada kita, UMNO/ BN hanya akan tumbang apabila Pakatan rakyat dapat bersatu dalam satu kekuatan. Sejarah rejim zalim di dunia ini mencatatkan pada saat regim itu lemah, pembangkang berjaya membina kesepakatan maka rejim itu akan tumbang. Namun walaupun rejim itu lemah tetapi pembangkang gagal berpakat, rejim itu masih di lihat kuat kerana seluruh jentera kerajaan akan digunakan sebagai tongkat sokongan.
Dewan pemuda PAS negeri Pahang menyokong usaha pemperkukuhkan Pakatan Rakyat dalam usaha menjahanamkan Barisan Nasional. Malah Dewan pemuda PAS Negeri Pahang akan berusaha mengerakkan gelombang kebangkitan melalui kerjasama yang erat dengan Pemuda komponen Pakatan Rakyat, Kelab Penyokong Muda PAS negeri Pahang dan NGO-NGO.
Perjuangan atas nama Melayu tidak konsisten
Sidang muktamar sekalian,
Apabila penguasaan UMNO/BN semakin terhakis maka semangat perkauman sempit ditiup ke telinga rakyat. Apa sahaja yang dirasakan dapat membangkitkan sentimen perkauman sempit akan dimanipulasikan. Mereka bangkit kononnya sebagai hero melayu. Realitynya merekalah sebenarnya pengkhinat melayu.
Atas nama Melayu, harta rakyat di punggah, atas nama melayu Tanah rizab melayu tergadai, atas nama melayu, bahasa dilacurkan dalam perlaksanaan PPSMI. Atas nama melayu biasiswa anak-anak Melayu dileburkan. Atas nama Melayu, orang melayu di halau dari Kg Berembang, Kg Plentong, dan sebagainya.
Hipokritnya UMNO dapat kita lihat, satu ketika dahulu Gagasan Melayu raya yang dicadangkan oleh Dr Burhanuddin Al Helmi ditentang oleh UMNO/perikatan dan meyaksikan Dr Burhanuddin merengkok dalam tahanan ISA.
Semangat perkauman yang sempit dihidangkan kepada orang orang melayu. Pada saat bukan melayu memberi sokongan kepada UMNO/ BN, mana mana parti politik yang menyuarakan kepentingan Melayu, mereka dianggap parti perkauman. Kini pada Saat bukan melayu memberi sokongan pada Pakatan Rakyat , sentimen Melayu ditiupkan. PAS konsisten dengan slogan Islam untuk semua.
Memacu kepimpinan pelapis
Sidang muktamar sekalian,
Pemimpin bukanlah satu profesyen biasa yang boleh ditangani secara mudah. Tanpa persediaan yang cukup, akan lahir pemimpin-pemimpin “instant” yang tidak tahan godaan dan tidak mampu menangani cabaran terkini. Kualiti pemimpin tidak sama dengan makanan segera yang sifatnya “cepat dimasak, sedap dimakan…” Kemudian.. cepat pula dibuang
Untuk menjadi pemimpin di kalangan generasi muda mestilah diimbangi oleh ilmu kepimpinan khususnya memahami erti kepimpinan sebenar. Yang paling penting sebelum memimpin orang lain, mereka harus belajar memimpin diri sendiri dahulu. Dengan memahami definasi kepimpinan terutama yang berkaitan dengan elemen-elemen asasnya, seorang bakal pemimpin akan tahu apakah persiapan yang perlu dibuat dari segi mental, spiritual dan fizikal untuk memikul tanggungjawab kepimpinan. Untuk mendapat ilmu kita perlu belajar dan untuk belajar kita mesti menjadi pengikut. Oleh itu, tidak salah kalau kita belajar menjadi pengikut yang baik terlebih dahulu sebelum menjadi pemimpin yang baik.
Firman Allah
Wahai orang- orang yang beriman bertakwalah kamu pada Allah dan carilah jalan yang mendekatkan kamu padanya dan berjihadlah pada jalannya supaya kamu mendapat keuntungan : (Al-Maidah:35)
Pemimpin mesti boleh berperanan dengan baik. Malangnya, jangan hendaknya pemimpin muda ini, fokusnya bukan peranan tetapi ganjaran. Jika kita hanya berfikir tentang ganjaran, maka ini akan menyebabkan kita mengabaikan peranan.
Mutakhir ini sudah ada gelaran ‘ulama sampul’. Hanya memilih tempat untuk menyampaikan dakwah, pantas hadir ditempat yang memberi sampul tebal. Budaya ini diharap jangan menjangkiti Pemuda hendaknya.
Untuk menjalankan peranannya, para pemimpin (seperti mana yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w.) mestilah menjadi khadam (hamba) kepada pengikutnya.
Di satu hadis yang lain Rasulullah menegaskan para pemimpin ialah “gembala” kepadanya pengikutnya. Ertinya, tugas kepemimpinan adalah amanah bukan anugerah. Ia akan dihisab dipertanggungjawabkan (ditanggung dan akan disoal) tentang kepimpinannya bukan sahaja bertanggung jawab kepada parti dan ketua parti tetapi bertanggung jawab pada Allah.
Sesi yang lalu menyaksikan Negeri Pahang Amnya agak tandus dengan kepimpinan, sama ada peringkat PAS negeri, kawasan dan dewan-dewan. Exco DPPNP sessi yang lalu terpaksa memikul jawatan besar dalam pemuda negeri dan kawasan mereka.
Setiausaha DPPNP dalam masa yang sama adalah setiausaha PAS kawasan, Bendahari DPPNP juga adalah setiausaha PAS kawasan, malah sebahagian Exco memegang jawatan penting bertaraf Dewan Harian di kawasan. Dalam sejarah DPPNP yang lalu kita pernah melepaskan setiausaha DPPNP untuk berkhidmat sepenuh masa dengan PAS kawasan.
Dari satu sisi situasi ini adalah perkembangan positif kerana pemuda diberi pendedahan di peringkat kawasan, dari sisi yang lain ia dilihat merencatkan kelincahan pergerakkan DPPNP. Senario yang saya gambarkan ini membuktikan kita masih belum cukup kepimpinan. Urusan mencetak kepimpinan adalah tanggungjawab Dewan Pemuda PAS. Dewan Pemuda PAS semua peringkat mesti serius menagani persoalan ini.
Maka dengan itu Semua peringkat Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang mestilah mengambil langkah yang pro aktif untuk melahirkan generasi pelapis.
Memacu Tarbiyyah
Sidang muktamar sekalian,
Tarbiyyah memainkan peranan penting dalam parti. Saban tahun inilah persoalan yang berbangkit. Sepatutnya tarbiyyah bukan sekadar bermain dibibir semata-mata. Ia mesti diaplikasikan dengan baik dan berkesan.
Tarbiyyah jangan hanya dilihat sekadar usrah, tamrin, Muqayyam, Ijtimak, qiam dan majlis ilmu sahaja, malah sehingga ke demonstrasi juga mesti dilihat sebagai medium tarbiyyah. Apa sahaja program dan pendekatan yang melatih jiwa JIHAD dan PENGORBANAN adalah tarbiyyah.
Di sana juga mungkin ada orang yang berpendapat, dalam sirah Rasulullah s.a.w., Baginda membina tarbiyah dalaman jiwa terlebih dahulu selama 12 tahun dalam tempoh Makkah kemudian barulah diturunkan perintah jihad ketika di Madinah.
Oleh itu, kata mereka, sebelum bertempur dengan musuh, kita kena bina jiwa anggota semantap-mantapnya terlebih dahulu. Kita boleh bersetuju dengan pendapat tersebut dari sudut – anggota mesti di bina jiwa mereka semantap-mantapnya.
Tetapi kita tidak bersetuju jika proses pembinaan tersebut menjadikan kita menangguh tuntutan jihad dan gerak kerja mendepani halangan dan musuh di jalan dakwah. Sirah tidak wajar di lihat secara rigid dan beku. Sekiranya kita berhujjahkan dengan hujjah tersebut, bagaimana dengan sahabat yang memeluk Islam ketika jihad telah disyariatkan?
Adakah sirah menunjukkan bahawa apabila datangnya perintah jihad maka Nabi s.a.w hanya mengarahkan sahabat yang telah dibina selama 12 tahun di Makkah sahaja yang perlu keluar berperang sementara sahabat yang baru tidak perlu?
Bukankah ke semua sahabat diperintahkan dan digalakkan berjihad tidak kira lama mahu pun baru memeluk Islam? Adakah kita ingin berhujjah dengan menggunakan sirah secara rigid bagi membenarkan orang Islam boleh tidak solat selama 10 tahun kerana mesti dibina jiwa dan keimanannya terlebih dahulu dalam tempoh tersebut?
Medan tarbiyah dan tazkiyah ada berbentuk teori dan ada berbentuk amali. Kedua-duanya perlu digerakkan secara seimbang . Semua pemuda PAS negeri Pahang mesti mendokong program tarbiyyah dan apa sahaja pendekatan yang mampu melatih jiwa untuk mempertingkatkan JIHAD dan PENGORBANAN.
Kita mahu Pemuda PAS Pahang melengkapkan diri mereka dengan kemahiran dakwah Fardiyyah. Bukan sekadar kita turun menghulurkan risalah, malah kita menyapa anak anak muda menyelami perasaan mereka sesuai dengan slogan yang kita laungkan Duta penyelamat dan kasih sayang.
Akhlak Pemilihan Parti
Sidang muktamar sekalian,
Sesi ini adalah musim pemilihan di semua peringkat. Pemilihan kepemimpinan PAS bukan seperti proses merebut jawatan seperti dalam Umno yang dipenuhi lobi dan rasuah politik. Ia lebih didorong oleh semangat berlumba-lumba menawarkan khidmat untuk memperteguhkan jamaah
Jawatan merupakan medan untuk memberi khidmat terbaik pada parti. Oleh itu kepada yang menang jangan bangga diri sehingga menganggap yang kalah musuh yang perlu di perangi. Yang kalah jangan merendah diri sehingga menarik diri dari perjuangan ini.
Kita tidak menafikan atas nama berlumba-lumba membuat kebajikan kita boleh menawarkan diri untuk bertanding, namun biarlah pertandingan itu dalam gelanggang akhlak. Kita bimbang atas semangat yang meluap luap untuk mendapatkan jawatan nilai akhlak dikesampingkan.
Hari ini kita sudah suara-suara dakwaan kononnya musim pemilihan parti, surat layang bukan sahaja dihantar ke cawangan-cawangan malah diedar di pasar malam. Kita bimbang yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan dalam parti di masa depan akan melobi rumah ke rumah perwakilan untuk menagih undi. Bukan sekadar menagih undi, wang akan digunakan untuk membayar budi. Hotel akan menjadi tempat jual beli.
Kita juga bimbang suatu hari nanti bukan sahaja individu menawar diri untuk bertanding, malah jentera parti yang individu itu pimpin akan digunakan sebagai jentera kempen untuk kemenangan peribadi.
Jangan ajar budaya buruk ini kepada Pemuda. Dewan Pemuda PAS Pahang rasa kecewa dan malu jika sekiranya pemimpin-pemimpin dewasa yang boleh dianggap abang dan bapa ini masih beramal dengan politik jahiliyah dan politik purba untuk mendapatkan kuasa.
Pemuda tak akan mengizinkan eleman ini menyusup dalam parti dan Kita minta mereka menghentikan budaya buruk ini. Kita akan mempertahankan ketulenan parti ini dari dirobek oleh musang-musang yang rakus ini. Dewan Pemuda PAS negeri dan kawasan bertekad akan mempamerkan pertandingan atas semangat ukhuwwah. Kita seharusnya menunjukkan pertandingan tak seharusnya memecah belahkan jamaah.
Profesional dan ulama
Sidang muktamar sekalian,
Dato Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam wawancaranyanya mahukan PAS tetap mengekalkan kepemimpinan golongan ulama dan profesional dalam parti. kedua-dua golongan itu yang membarisi kepemimpinan PAS bukan hanya berlaku pada era sekarang, bahkan sudah dipraktikkan sejak PAS ditubuhkan pada 1951
Jangan pula menganggap kita menentang kepimpinan ulama semata-mata kerana mencalonkan golongan yang bukan ulama. Jangan juga ada yang menganggap, kita menentang profesional semata mata bila mencalonkan ulama.
YB Ketua Dewan Pemuda PAS pusat pernah menyentuh persoalan ini dalam Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke 46 di Kota Bharu. Sebarang percubaan mengadu dumba dan membangkitkan isu dikotomi Ulama- Profesional adalah perangai jahiliyyah.
Sebenarnya PAS tampak menarik dengan variasi ini. Uniknya PAS, golongan ulama dan profesional duduk dalam satu-satunya wadah parti Islam iaitu PAS.
Kita tidak seperti Indonesia yang memiliki puluhan parti Islam mengikut aliran masing masing. Kita juga tidak seperti di Turki apabila golongan yang mengekalkan aliran tradisi berada dalam satu parti manakala golongan pembaharuan berada dalam satu Parti yang lain. Antara parti yang wujud ini masing masing mendakwa mereka lebih Islamik.
Pemuda PAS negeri Pahang jangan terperangkap dengan pemikiran yang boleh merosakkan parti. Jangan mengurungkan diri dalam kepompong pemikiran jumud ini. Jangan ada lagi pertikaian antara mee celup dengan mee goreng siapakah yang lebih layak berada atas meja. Bagi kita, kedua-duanya layak dengan syarat perisanya ialah mendokong institusi kepikpinan ulama.
Apa yang penting di sini ialah kita memelihara institusi ulama yakni institusi yang meletakkan Islam sebagai dasar kehidupan dan perjuangan. Maknanya sesiapa pun boleh menjadi pemimpin termasuk golongan profesional atau sesiapa sahaja, asalkan mereka mendokong gagasan ini dan tunduk kepada kehendak Islam
Setiap tahun muktamar telah merungkai persoalan ini , namun masih terdapat golongan yang bebal dalam parti, tak faham dan pura-pura tak faham.
Memperanankan Wakil Rakyat PAS
Sidang muktamar sekalian,
Pilihanraya Umum ke 12 meyaksikan PAS hanya menang 2 kerusi DUN di negeri Pahang. Seharusnya dua kerusi DUN ini menjadi pengkalan dalam misi untuk menawan Pahang. Wakil rakyat PAS mesti aktif berperanan ditengah masyarakat dan aktif mengambil bahagian dalam Dewan.
Kemenangan adalah satu ujian untuk mengukur sejauh mana sebenarnya keikhlasan kita dalam memperjuangkan agama Allah SWT. Mungkin kekalahan juga satu ujian untuk mengukur kesungguhan kita, tetapi kemenangan boleh menjadi pengukur yang lebih berkesan apakah selama ini kita berjuang kerana Allah SWT atau kerana kita ‘gilakan’ sesuatu. Sudah banyak fitnah yang kita dengar bahawa ‘PAS sama macam Umno’ atau ‘PAS hanya gilakan kuasa’.
Wakil Rakyat PAS perlu menjadi jurucakap dalam membela isu-isu rakyat dan yang kedua dapat dilihat dari segi komitmen mereka dalam membantu rakyat. Rakyat memilih wakil mereka berdasarkan ciri-ciri tersebut .
Gaya hidup yang terlalu elit dikalangan wakil rakyat PAS dan kepimpinan PAS boleh menghakis sokongan rakyat. Antara sebab PAS mendapat sokongan rakyat kerana pemimpinnya mengamalkan gaya hidup yang sederhana dan mudah didekati rakyat. PAS akan jatuh jika tidak mengekalkan identiti yang lebih merakyat dan cara hidup sederhana. Kesederhanaan Tuanguru Dato Nik Abd Aziz dan Dato Seri Tuanguru Hj Abd Hadi Awang seharusnya menjadi contoh bagi kita.
Imej PAS yang dibawa oleh wakil rakyat ini akan memudahkan PAS melebarkan kemenangannya. Jangan hendaknya wakil rakyat PAS hanya sekadar menjadi tukang turut dan tukang urut sahaja. Mereka mesti meyedari gaji yang di terima adalah untuk berkhidmat pada Parti dan rakyat.
Dewan pemuda PAS sangat mengharapkan wakil rakyat kita tidak bersifat ’syok sendiri’. Mereka menang atas jerih payah ahli ahli PAS. Mereka menang atas pengorbanan ahli PAS yang sanggup bergolak bergadai. Malah selepas kemenangan ini pun mereka masih meneruskan sumbangan untuk memastikan ADUN PAS dapat memberikan khidmat yang baik.
Kemenangan ini sangat besar ertinya pada ahli PAS ianya lebih bererti jika wakil yang mereka julang dapat memberikan khidmat terbaik. Jangan hendaknya wakil rakyat dilihat gagal bergelanggang di tengah rakyat (untuk sama-sama berpanas, berhujan dan berembun) malah duduk dalam Dewan yang berhawa dingin pun gagal berperanan
Jangan hanya ketika sebelum di pilih mereka menonjolkan diri sebagai permata, apabila menang permata yang disangka permata menjadi kaca yang tak berguna. Dewan Pemuda PAS mengharapkan Badan Perhubungan PAS negeri Pahang memantau khidmat dan keberkesanan wakil rakyat kita agar ia tidak menjadi fitnah kepada Parti dimasa depan.
ketika Sayidina Umar bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “Jika aku telah melantik orang yang baik sebagai pemimpin-pemimpin pembantuku, apakah aku telah melaksanakan amanah kepimpinan ini dengan baik?” Sahabat-sahabatnya menjawab, “Tentu sudah wahai Amirul Mukminin…” Sebaliknya Umar menjawab, “Belum. Sehingga aku memastikan orang baik itu melaksanakan kebaikannya!”
Kita menang di kawasan bandar. Seharusnya sikap kritis rakyat dikawasan ini terhadap maklumat dari saluran ke dua di manfaatkan oleh ADUN kita. Risalah, blog apa sahaja aktiviti ADUN mesti di war-warkan pada rakyat.
MEMACU KEBANGKITAN MENJANA KEMENANGAN
Sidang muktamar sekalian,
Dewan Pemuda PAS bertekad untuk menggembleng seluruh tenaga dan kekuatan untuk memenangkan PAS di Negeri Pahang dalam PRU 13. Langkanya mesti bermula dari sekarang. Kita mempunyai tempoh 2 atau 3 tahun lagi.
Tempoh yang singkat ini mesti dimanfaatkan untuk Memacu Kebangkitan. Kebetulan selepas PRU 13, politik negara meriah dengan Pilihanraya kecil. Bermula dari Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan yang akan datang di Penanti. Pilihanraya kecil ini sebagai “warm up” dan medan latihan, menimba pengalaman sehingga menjelang PRU 13 pemuda PAS Pahang akan sarat dengan pengalaman.
Untuk itu saya lontarkan sekelumit dari isu yang berlegar dipersekitaran kita yang memerlukan perhatian yang serius dikalangan pemuda.
1. 2 DUN yang dimenangi oleh PAS, 2 Parlimen PKR dan 2 DAP mesti menjadi bukti Pakatan Rakyat besedia diberi amanah memimpin Kerajaan Negeri Pahang Khidmat Wakil Rakyat Pakatan Rakyat mesti pada tahap terbaik. Pemuda Negeri dan dan Kawasan mesti mendokongnya.
2. Kerjasama erat dan berterusan dari parti komponen Pakatan Rakyat mesti berterusan terutama Pemuda PAS dengan Angkatan Muda Keadilan dan Kelab penyokong Muda PAS.
3. Dewan Pemuda PAS Pahang mesti bertindak segera untuk memastikan pengundi muda terus berpihak dan bertambah menjelang PRU 13. Semua Lajnah dalam Dewan Pemuda PAS Pahang mesti memiliki program yang berjaya mengikat anak-anak muda untuk kekal bersama PAS selamanya. Aktiviti Gerakerja Pilihanraya, Pemerkasaan Tarbiyah, Pemerkasaan Organisasi, Penerangan dan Pendekatan kepada Anak Muda perlu diberikan keutamaan oleh pemuda disemua peringkat
4. Semua Program pemuda peringkat negeri dan kawasan mesti diberi liputan dan publisiti meluas dalam media parti dan media siber. Untuk itu apa sahaja program yang dianjurkan mesti mencapai standart kualiti yang sewajarnya. Jangan ada program yang sekadar melepas batuk ditangga dan sekadar untuk di muatkan dalam buku laporan muktamar.
5. Pelapis kepimpinan, penceramah dan pengurus mesti dicetak sebaiknya. Untuk itu Pemuda mesti bersedia untuk ditarbiyyah dan mentarbiyyah, diarah dan mengarah , dipimpin dan memimpin.
6. Meningkatkan prasarana diperingkat pemuda PAS kawasan, selain itu Ketua Pemuda dan setiausaha gagal hadir dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS negeri secara konsisten. Majlis Setiausaha yang menghimpunkan setiausaha-setiausaha DPP kawasan mesti diaktifkan.
Penutup
Akhirnya saya mengharapkan Muktamar kita ini akan berjalan dengan baik dan akan membariskan saff kepimpinan yang mantap untuk memacu kebangkitan dan menjana kemenangan. Terima kasih kepada Lajnah yang memberikan khidmat cemerlang sessi lalu, terus tingkatkan kecemerlangan itu.
Penghargaan buat sahabat yang menamatkan zaman pemuda mereka, Saudara Hasanuddin Salim, Dr Nilam bin Abd Manaf, Mohd Ghauth Razali.
Saudara Hasanuddin Salim kina adalah setiausaha PAS Kawasan Temerloh, Dr Nilam Abd Manaf adalah YDP PAS kawasan Raub. Saudara Ahmad Ghauth Razali adalah Naib YDP Pas Indera Mahkota.
Kita sangat berbangga kerana sebaik sahaja mereka menamatkan khidmat dalam DPPNP kini kesinambungan itu diteruskan di peringkat kawasan.
Selamat datang kepada Ketua-ketua DPP kawasan yang baru dilantik. Semoga perlantikan itu memberikan wajah segar khasnya kepada perjuangan pemuda Pas Kawasan dan Dewan Pemuda PAS negeri Umumnya.
Marilah kita bersama memikul amanah kepimpinan ini. Marilah bersama kita menjaga dan membaja perjuangan ini. Marilah bersama kita berpencak silat di gelanggang ini sehingglah Allah mengurniakan kemenangan ataupun kita gugur syahid kerananya.
SEKIAN
0 comments:
Post a Comment