HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Monday, March 8, 2010

Kempen Selamatkan Negara. Vol 2

ISLAM ADALAH PENYELESAIAN

1. Dunia dan seluruh isi penduduknya mesti menerima serta melaksanakan tuntutan wahyu Allah swt Tuhan yang mencipta sekelian alam ini . Firman Allah swt :

صبغة الله و من أحسن من الله صبغة

Celupan [ agama / cara hidup ] milik Allah dan celupan siapa lagi yang lebih baik selain daripada celupan Allah .

Surah al Baqarah 138

2. Dunia ini amnya dan negara kita khasnya memerlukan Islam dengan segala syiar dan syariat dari sumbernya yang asal iaitu al Quranul Kareem demi mewujudkan sebuah tamaddun dan peradaban yang sejahtera , selamat , maju , rahmat , berkat dan mendapat keampunan serta redha dari Allah swt . Justeru Al Quranul Kareem ini sememangnya diturunkan untuk menyelesaikan masaalah ummah sekaligus menyelamatkan mereka dari terus hanyut dan tenggelam dalam pengaruh maksiat dan jenayah .

3. Al Quranul Kareem adalah pekeliling yang diwahyukan oleh Allah swt [ Tuhan yang diakui oleh semua ummat manusia dan namanya Allah sebagai kalimah yang mahu digunakan oleh semua ] sebagai pedoman untuk membimbing manusia menjalani kehidupan di dunia ini . Samaada perkara yang berkait dengan ibadah dan syakhsiah termasuk juga soal ekonomi , politik dan sosial , semuanya dipandu dan ditunjuk ajar oleh Allah swt melalui al Quranul Kareem.

4. Lebih jelas Al Quranul Kareem membawa prinsip dosa dan pahala serta syurga dan neraka dalam setiap pendekatan dan penyelesaiannya . Prinsip ini mampu mendidik ummat manusia agar tidak mendekati sempadan maksiat dan jenayah lebih - lebih lagi untuk melakukannya. Lebih menarik , bagaimana didikan al Quranul Kareem ini mampu menyelamatkan manusia dan tamaddun mereka dari binasa sekalipun tanpa penguatkuasaan undang - undang terutamanya undang - undang manusia .

5. Contoh mudah saya kemukakan di sini ialah seorang yang mempunyai peluang untuk melakukan maksiat atau jenayah kerana tiada siapa yang melihatnya dan mungkin ia mempunyai kemahiran untuk melakukannya jua kemahiran untuk mengelak diri dari hukuman dunia atau juga mungkin kerana ia mempunyai wang yang banyak untuk disumbat ke dalam mulut penguasa dan hakim dunia ini .... tetapi .... ia tidak melakukannya kerana ia takutkan Allah swt dan takutkan dosa serta nerakaNya . Jika seseorang itu tidak takutkan Allah swt , dosa dan nerakaNya maka pantang ruang dan peluang terhidang , pasti ia akan melakukannya , malah saat tiada ruang dan peluang pun ia pasti akan terus mencuba dan nekad melakukannya biarpun berulang kali keluar masuk penjara .

6. Begitulah mukjizat Al Quranul Kareem kitab suci yang diturunkan oleh Allah swt sebagai sumber manhaj Islam dalam mendidik dan membimbing ummat manusia . Namun begitu , Maha suci Allah swt , al Quranul Kareem juga menyediakan beberapa peruntukan undang - undang yang telah ditetapkan untuk mencegah dan mengawal manusia yang tidak mahu dirinya dididik dan dibimbing melalui proses ilmu dan tarbiah sekaligus berfungsi sebagai akibat [ hukuman ] ke atas mereka yang degil dan keras kepala .

7. Peluang perlu diberikan kepada Islam sekurang - kurangnya sebagai alternatif untuk dilaksanakan kemudiannya memulihkan segala macam kepincangan sistem dan kemusnahan dasar ciptaan manusia setelah semua mata melihat sendiri kesan kerosakan dan kemusnahan akibat perlakuan manusia yang tidak mengenal dosa dan pahala . Bahkan tiada siapa yang mampu menafikan kesan parah akibat sistem ciptaan manusia yang terpisah dari wahyu Allah swt . [ al Quranul Kareem ]

8. Kedegilan dan keangkuhan tahap mana lagi untuk dipertahankan setelah statistik dari pihak Polis di Raja Malaysia , Corruption Perception Index , Jabatan Perangkaan Negara , Kementerian Kemasyarakatan , Juru Audit Negara , diari mahkamah , media dan lain - lain agensi dalam negara kita telah menunjukkan tahap jenayah , penyelewengan , penyalahgunaan kuasa , maksiat dan mungkar kian bertambah dan semakin sukar dibendung . Jelas ia adalah kegagalan sistem dan dasar yang dicipta oleh manusia sementara syariat Allah swt dan sunnah Rasulullah saw diketepikan .

9. Sekalipun kita membawa dan memulihkan sistem demokrasi yang memberi ruang kepada rakyat sendiri untuk memilih pemimpin mereka dan menentukan dasar pemerintahan seperti pilihanraya umum , kecil dan pilihanraya kerajaan tempatan , ia tetap tidak akan mampu merubah keadaan jauh sekali untuk membawa keberkatan , kerahmatan , keampunan dan keredhaan Allah swt jika sistem itu tidak dibina di atas manhaj Islam agama yang diwahyukan oleh Allah swt .

10. Saya menyeru kepada semua , pemerintah atau pembangkang , individu atau organisasi , kerajaan atau swasta , parti politik atau ngo , muslim atau non muslim agar memberi peluang kepada Islam tanpa prejudis untuk memimpin , memerintah dan menentu dasar . Jangan terpedaya dengan persepsi salah yang diberikan oleh musuh Islam terhadap syariat Islam . Jangan jua terperangkap dalam propaganda barat yang dirancang rapi lagi teliti untuk menghakis keyakinan masyarakat terhadap keupayaan Islam .

Apa yang tidak kena serta apa yang kurang dan salahnya Islam sehingga Islam tidak diberi laluan untuk memimpin sekalipun kuasa politik telah berada di tangan dan mandat rakyat telah diperolehi melalui pilihanraya ? atau anda mengalami trauma islamphobia angkara propaganda barat ? di mana tidak kenanya Islam , sila beritahu kepada saya .......


0 comments:

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive