HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Wednesday, March 3, 2010

Surat Terbuka Kepada JAIP

1. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh , saya ucapkan kepada seluruh warga Jabatan Agama Islam Pahang [ JAIP ].

2. JAIP adalah sebuah institusi yang sangat penting bagi memastikan pembangunan Islam dengan seluruh dasar dan prinsipnya di Negeri Pahang , malah bertanggungjawab jua untuk mengawal kesucian Islam .

3. Saya percaya , bermula dari Pengarah Jabatan hinggalah kepada staff pejabatnya adalah terdiri daripada seorang muslim yang cintakan Islam dan bertugas pula dengan penuh tanggungjawab dan amanah .

4. Saya turut mendoakan agar seluruh warga Jabatan Agama Islam Pahang dikurniakan kekuatan dan petunjuk oleh Allah swt untuk melaksanakan tugas yang mulia iaitu meninggikan syiar agama Allah sekali gus melaksanakan syariatnya.

5. Saya mengambil sedikit kesempatan untuk menghasilkan warqah terbuka , buat Pengarah dan seluruh warga Jabatan Agama Islam Pahang dengan mengingatkan kalian semua akan tugas yang maha berat ini . Agar ianya tidak dipersiakan dan terleka dengan kedinginan bilik pejabat serta tidak pula terlalai dengan keempukan kerusi yang diduduki. Sesungguhnya api neraka Allah pasti tidak berkurangan suhu panasnya dengan aircond dan tidak pula berkurangan azab seksanya dengan kerusi empuk .

6. Saya mewakili seluruh sahabat dan warga Ar Raudhah melahirkan rasa kecewa dan kesal yang sangat mendalam sehingga keselesaan kami terganggu sebagaimana rasa hormat kami terhadap kalian jua tercalar ekoran tindakan tidak profesional oleh JAIP yang tidak membenarkan Dr. Mohd Asri Zainal Abidin , panel yang kami undang untuk memberi pandangan dan cambah minda dalam Forum Ad Deen anjuran Musolla Ar Raudhah tempohari [ 27 Feb 2010 ]

7. Sehingga kini rakyat terpinga - pinga tidak memahami tindakan JAIP yang tidak jelas tujuan dan matlamatnya. Bahkan tindakan yang tidak profesional dan bertamaddun itu dilihat sangat memalukan bahkan zalim lagi berniat jahat untuk mengganggu majlis ilmu yang dianjurkan oleh pihak pihak Musolla.

[ Jika Dr. Asri dikatakan sesat dan memecahbelahkan masyarakat dengan ilmu dan kenyataannya , bukankah kami telah sediakan forum untuk berhujjah bagi mematahkan segala hujjah beliau jika bathil ? Bukankah kebenaran itu kaya dengan hujjah ? Kenapa perlu menggunakan kekerasan dan kekuatan ? kenapa tidak gunakan hujjah sebagaimana yang diajar oleh Al Quran ? Saya sendiri akan berhujjah dengan Dr Asri jika pandangan beliau salah dan mengelirukan pada malam itu , kerana saya juga panel ! Tentunya juga Dr Azahar Yaacub tidak mendiamkan diri ! ]

[ Kami telah wujudkan peluang , malah kami juga telah mengundang Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang untuk turut menjadi ahli panel bagi berhujjah mempertahankan kebenaran dan mematahkan hujjah - hujjah Dr Asri yang dianggap sesat ! tetapi malang beliau menolak . Forum juga dibuka kepada audien untuk bertanya dan berhujjah secara terbuka bahkan kami undang semua tokoh - tokoh ilmuan Islam untuk hadhir . Jika Dr Asri tidak benar , malam itu juga kita patahkan segala hujjahnya .......]

[ tetapi .... apabila Dr Asri tidak dibenarkan bercakap , bukan sahaja tindakan itu tidak bijak sebaliknya orang akan kata kalian yang tiada hujjah dan kalian yang tidak benar kerana tidak berani berhujjah . Sesungguhnya Islam dan kebenarannya tertegak dengan hujjah bukan dengan cota dan gari ]

8. Tindakan JAIP telah meruntuhkan kepercayaan masyarakat terhadap kredebiliti yang dipertahankan selama ini sedang pada masa yang sama , rata - rata masyarakat memperkatakan tentang kegagalan JAIP membendung "empayar" mak Nyah yang menyundal di lorong - lorong gelap di tengah - tengah bandar Kuantan secara terbuka sehingga mendapat jolokan Hatyai Pantai Timur justeru dibantu oleh penguasaan pelacur yang turut membentuk "wilayah" operasi mungkar mereka di situ.

9. Lebih menjengkelkan , apabila AJK Musolla Ar Raudhah pernah menghubungi pegawai - pegawai Jabatan Agama Islam Pahang pada satu ketika dahulu agar turun untuk memimpin mereka menyerbu sebuah rumah yang telah dikenal pasti menjalankan aktiviti maksiat , tetapi malang tidak seorang pun dari kalangan pegawai JAIP yang dihubungi mengangkat telefon kecuali seorang dan itu pun mengemukakan 1001 alasan kononnya "penat" untuk turun kerana mereka telah membuat operasi pada hari semalamnya .

10. Persoalannya , apakah pihak JAIP tidak diserang rasa bersalah dan berdosa dengan tindakan dan sikap sedemikian ? atau kalian sememangnya bangga kerana mampu mengkucar kacirkan majlis ilmu sementara kelab - kelab malam dan rumah - rumah urut terus beroperasi serta makmur tanpa sebarang gangguan dari pihak JAIP ?

11. Sekali lagi saya mengingatkan pihak JAIP bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Adil lagi Maha berkuasa . Semoga JAIP tidak lagi mengulangi tindakan sedemikian yang menimbulkan kemarahan dan kebencian ummat Islam kepada institusi yang penting ini serta saya turut mendoakan agar kalian semua dikurniakan petunjuk dan kekuatan oleh Allah swt untuk terus berperanan membasmi mungkar dan maksiat bukan menghalang majlis ilmu dan wacananya .

[ Kami juga sangat memahami bahawa kalian turut tertekan dengan arahan - arahan orang atasan justeru itu saya tidak penah memusuhi atau menganggap JAIP sebagai musuh , namun berpadalah dalam menjalankan tugas yang bertentangan dengan prinsip - prinsip Islam itu .]

12. Sementara kami pihak Musolla Ar Raudhah , akan terus memberi komitmen untuk menyuburkan majlis ilmu dan penyebarannya kepada masyarakat setempat biarpun dihalang dan dirintang justeru ini adalah tanggungjawab dan amanah yang kami pikul untuk membawa masyarakat menjadi muslim mukmin yang taat dan soleh .

13. Musolla Ar Raudhah akan kami jadikan " Open Islamic University " atau Universiti Islam Terbuka [ UIT ] di Kuantan bahkan di Pahang dan untuk menepati piawaiannya sebagai sebuah universiti , kami akan terus aktif menganjurkan pelbagai bentuk aktiviti ilmiah seperti forum , wacana , debat , dialog , seminar , kuliah , ceramah dan kursus dengan mengundang pula tokoh - tokoh ulama' terkemuka negara demi menyampaikan ilmu dan pandangan mereka sekali gus berfungsi sebagai Pusat Dakwah Islam .
Post a Comment

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 018 590 8890
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Follow by Email

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive