HIDUP BIAR BERMARUAH. MATI BIAR SYAHID

Friday, July 16, 2010

Hakim Wanita dan Peguam Non Muslim

1. Wanita menjadi Hakim Mahkamah Syariah

Kes yang berlaku :

(KUANTAN: Dua hakim syarie wanita pertama negara, Suraya Ramli dan Rafidah Abdul Razak, menyifatkan pelantikan mereka sebagai satu pengiktirafan serta mengangkat martabat wanita dalam kerjaya yang banyak dimonopoli lelaki.

Pengumuman pelantikan mereka dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berkata buat julung kalinya kerajaan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin melantik mereka Mei lalu, dengan masing-masing ditempatkan di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sambil memanjatkan rasa syukur, Suraya dan Rafidah turut menganggap pelantikan itu sebagai satu amanah selain membuktikan peranan dan sumbangan wanita sememangnya dihargai.

“Saya anggap ini tugas besar dan akan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan adil. Malah pengiktirafan ini maka lebih ramai lagi wanita akan mampu memegang jawatan yang selalunya dikuasai lelaki,” katanya pada majlis perasmian Persidangan Pegawai Syariah Kebangsaan Ke-12, di Bukit Gambang Resort City, di sini, semalam.

Suraya, 31, anak kelahiran Sabah, bertugas sebagai Pegawai Penyelidik Hakim Rayuan dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Latihan JKSM. Sementara itu, Rafidah, 39, yang berasal dari Pulau Pinang, menyuarakan penghargaannya kepada JKSM.)

Asal masalah ini adalah pada perkara yang melibatkan kepada perlantikan hakim dan secara mudahnya kita perlu untuk meneliti pada beberapa perkara agar masalah ini tiada lagi kesamaran.

a- Hakim dan bahagiannya
b- Syarat bagi perlantikan hakim

Hakim di dalam bahasa Arabnya disebut sebagai قاضي. Ianya membawa erti pegawai yang dilantik untuk mengetuai perbicaraan di dalam mahkamah dari segi bahasanya.

Mengenai jenis-jenis kehakiman ini, ianya telah disebut oleh sebahagian ulama di dalam masalah "al-wilayah" iaitu kekuasan. Kekuasaan ini terkadangnya umum dan terkadangnya khusus. Bentuk kekuasaan yang umum ini adalah merangkumi semuanya jenis kehakiman, perlaksanaan hukuman hudud, menunaikan hak-hak, meleraikan orang yang bertelagah dan sebagainya.

Adapun penguasaan yang khusus adalah individu yang dilantik mempunyai penguasaan di dalam sistem kehakiman secara terhad dengan melihat kepada kes-kes yang tertentu atau kawasan yang tertentu daripada bandar, atau dari sudut masa yang tertentu, atau di antara individu-indivdu yang tertentu dan bergantung pada mazhab yang tertentu. Asasnya adalah di dalam kelompok kedua ini, skop kehakiman mereka terbatas pada masa, mazhab dan tempat sahaja.

Adapun mengenai syarat untuk dilantik sebagai hakim, para ulama telah bersepakat dengan syarat-syarat yang berikut :

1- Akal
2- Baligh
3- Islam
4- Merdeka
5- Tiada cacat pada sekalian panca indera
6- Memahami akan hukum-hukum Islam

Di sana masih berbaki 3 lagi syarat yang ulamak bersalahan pendapat padanya iaitu :

1- Seorang yang adil
2- Lelaki
3- Seorang yang mujtahid

Pandangan Ulama mengenai perlantikan wanita sebagai hakim

1. Ulama yang menegah wanita dari menjadi hakim secara mutlak antaranya ;

Jumhur fuqaha' daripada Syafi'iah, Hanbilah, sebahagian ulama Hanafiah dan Malikiah. Antara lainnya adalah Sheikh Jamaluddin al-Afghani, Lajnah Fatwa al-Azhar tahun 1952, Dr Abdul Majid al-Zindani dan ramai lagi.

2. Ulama yang mengharuskan wanita dilantik sebagai hakim pada perbicaraan sivil tidak pada jenayah yang memerlukan pelaksanaan hudud ; Imam Abu Hanifah ra

3.Perempuan boleh menjadi hakim pada semua perkara

Sebahagian ulama daripada Hanafiah, Imam ibnu Qosim al-Maliki, Imam Ibnu Jarir at-Thobari dan Ibnu Hazm ad-Dzohiri.

2. Orang bukan Islam menjadi peguam di Mahkamah Syariah

Secara asasnya untuk melantik hakim antara syarat yang perlu dilengkapi adalah Islam. Jadi kesimpulannya orang bukan Islam tidak boleh menjadi hakim di Mahkamah Syariah. Persoalannya bagaimana pula dengan peguam?.

Kisah perbicaraan antara Khalifah Ali k.w selaku Amirul Mukminin ketika itu dengan seorang Yahudi perihal baju besi wajar dijadikan rujukan.

Asalnya khalifah Ali kehilangan baju besinya. Tiba-tiba terlihat ia dalam barang jualan seorang Yahudi, lelaki tersebut kelihatan sedang menjualnya di pasar. Apabila dituntut oleh khalifah Ali dengan mengatakan ia adalah baju besinya yang jatuh dari untanya di malam hari, lelaki Yahudi tersebut enggan mengaku dan menegaskan ia adalah miliknya. Ali terus menuntut membawa pertikaian mereka mereka ke penghakiman hakim Muslim.

Hasil dari itu, kes mereka berdua yang berselisih dalam menentukan pemilikan terhadap baju besi tersebut dibawa ke pengadilan Qadhi Syuraih Ibn Harith Al-Kindi r.a (wafat 78 H). Lalu Syuraih bertanya kepada Ali, apakah kisahmu?

Khalifah Ali : aku mendapati baju besi milikku yang jatuh tercicir pada malam hari berada di dalam barang jualan lelaki ini.

Qadhi Syuraih : bagaimana pula kamu wahai lelaki?

Lelaki Yahudi : Ia adalah milikku dan berada dalam simpananku, aku tidak pula menuduh Ali berbohong.

Qadhi Syuraih : Wahai Ali, aku tidak syak atas kejujuranmu namun kamu mesti mempunyai dua orang saksi. Adakah kamu mempunyai bukti ia milikmu?

Jawab Khalifah Ali : Ya, kedua anakku, Hasan dan Husain menjadi saksi bahawa ia kepunyaanku.

Qadhi Syuraih :Sesungguhnya penyaksian anak terhadap bapanya dalam kes ini tidak diterima.

Khalifah Ali : Subhanallah!. Adakah lelaki yang dijamin syurga tidak diterima penyaksiannya ( merujuk kepada Hasan dan Hussain yang disebut oleh nabi akan menjadi pemuda Syurga)

Qadhi Syuraih : bahkan wahai Amirul Mukminin, namun aku tidak boleh membenarkan penyaksian anak menyokong bapanya dalam kes ini.

Qadhi Syuraih : Wahai lelaki, ambillah, baju besi itu adalah milikmu.

Lelaki Yahudi berkata :

أمير المؤمنين قدمني إلى قاضيه! وقاضيه يقضي عليه! أشهد أن هذا الدين على الحق، وأشهد أن لا إله إلا الله، وأن محمداً عبده ورسوله، وأن الدرع درعك يا أمير المؤمنين، سقطت منك ليلاً.

Ertinya : Amirul Mukminin Ali membawaku untuk diputuskan hukuman melalui mahkamahnya (islam) dan Qadhi pilihannya. Qadhi pilihannya memutuskan sebaliknya.! Aku bersaksi sesungguhnya agama ini adalah BENAR, lalu beliau terus mengucap dua kalimah shahadah. Kemudian, berkata : Sesungguhnya baju besi tersebut adalah milikmu wahai Amirul Mukminin, tercicir darimu di malam hari. (Hilyatul Awliya, Abu Nu'aim Al-Esfahani, 4/140 ; Tarikh al-Khulafa, As-Sayuti, 1/185 ; Akhbar Al-Qudhah, Waki', 2/200)

Namun kemudiannya Ali terus menghadiahkannya kepada lelaki tersebut.

Jelas sekali lagi dalam kisah di atas bagaimana lelaki bukan Islam Yahudi ini dibenarkan berhujjah untuk dirinya sendiri. Menggunakan peguam adalah sama seperti berhujjah kepada diri sendiri, kerana peguam hanyalah wakil yang mewakili anak guamannya disebabkan kredibiliti, pengalaman dan pengetahuan undang-undang yang lebih baik berbanding anak guamannya.

KESIMPULAN

Hasil dari riwayat dalil di atas, buat masa ini saya berpandangan, secara ilmiah, logik dan asalnya, tiada salah mana-mana peguam sama ada dalam kes yang melibatkan harta seperti di atas atau kes kekeluargaan dan sebagainya bertindak selaku peguam bagi anak guamannya tanpa melibatkan perkara-perkara seperti pelaksanaan hudud, qias mahupun ta'zir.

Persoalan peguam ini termasuk dalam bab ‘Al-Wakalah bil Khusumah' atau ‘Al-Wakalah Fi Al-Da'wa'.

Ertinya, perlantikan seseorang terhadap peguam untuk mewakili dirinya dalam perbicaraan. Disebutkan dengan jelas oleh para ulama keharusan bukan Islam untuk mewakili orang Islam dalam apa juga kes melibatkan harta, keluarga, hak pusaka dan sebagainya. Imam Ibn Qudamah mengatakan :

وإن وكل مسلم كافرا فيما يصح تصرفه فيه صح توكيله سواء كان ذميا‏,‏ أو مستأمنا لأن العدالة غير مشترطة فيه

Ertinya : sesungguhnya jika seorang Muslim melantik wakilnya seorang kafir dalam perkara yang sah untuk dia lakukannya, maka sah perlantikannya sebagai wakil (dalam konteks perbincangan kita wakil bil khusumah = wakil pembela atau pendakwa), sama ada kafir itu dari kalangan kafir dzimmi, musta'min kerana keadilan itu tidak disyaratkan (berkait) padanya'

(Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah , Bab Wakalah)

1 comments:

Anonymous said...

Assalamu'alaikum..Ustaz ! saya nak buat satu teguran,mungkin Ust boleh rujuk artikel di sini http://al-muqry.blogspot.com/2010/06/hadis-aku-dibantu-oleh-pemuda-dan.html
Jika Ust merasakan tak perlu pamer,maka xperlu pamer... sekadar teguran utk sesama muslim dan saya nasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam meriwayat,menyebut dan berhujah dgn hadis @ sbgnya yg blm pasti kesahihannya..lebih2 lagi hadis,kerana jelas Amaran dari Nabi... semoga kita semua diberi kekuatan utk mendokong Islam...

Personal Info

"Seorang insan yang mahu berjuang menegakkan Islam dengan mengerahkan seluruh keupayaan diri. Perjuangan tidak akan berakhir hari ini sebagaimana ia tidak bermula hari ini."
Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi


Parliament: Temerloh (P.88)
Location: Pusat Komuniti, No 8 Tingkat 1, Jalan Chengal Baru 2, Pusat Perniagaan Chengal,
28000 Temerloh, Pahang Darul Makmur.

Phone: 019 980 8181
Fax:
019 916 8182
Email: tantawy08@yahoo.com

Popular Posts

Recent Posts

    Esei Dakwah

    Esei Tarbiyah

    Total Pageviews

    Blog Archive